Sebagai penghargaan kepada penggunanya, Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan Lebuhraya Pantai Timur (Fasa 1) akan mengecualikan bayaran tol pada 11 dan 15 Febuari mulai jam 11.30 malam hingga 4.30 pagi.
Selain itu, pemberian diskaun tol antara lima peratus hingga 20 peratus pula ditawarkan di beberapa lebuh raya.
Menteri Kerja Raya, Datuk Shaziman Abu Mansor ketika mengumumkannya semalam berkata, insentif berkenaan adalah pertama kali sempena Tahun Baru Cina.
“Dalam erti kata lain, inilah angpau daripada syarikat konsesi untuk semua pengguna lebuh raya sempena Tahun Baru Cina ini,” katanya ketika berucap melancarkan Kempen Keselamatan Lebuh Raya peringkat Kementerian Kerja Raya di Semenyih.
Secara keseluruhan terdapat 26 syarikat konsesi tol yang beroperasi masa kini.
Lebuhraya yang menawarkan diskaun pada 14 Februari ialah Lebuhraya Damansara-Puchong (LDP), Sistem Penyuraian Trafik KL-Barat (Sprint), Lebuhraya Baru Pantai (NPE), Lebuhraya Sungai Besi (Besraya), Lebuhraya Smart, Lebuhraya Bertingkat Ampang Kuala Lumpur (Akleh), Lebuhraya Shah Alam-Kuang (Guthrie), Lebuhraya KL-Putrajaya; Lebuhraya Duta-Hulu Klang (Duke), Lebuhraya Cheras-Kajang (Grand Saga), Lebuhraya Shah Alam dan Lebuhraya Penyuraian Trafik Lingkaran Kajang (SILK).
Lebuhraya Utara-Selatan (Plus) pula menawarkan diskaun tol pada 10, 11 dan 12 Februari manakala Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) pada 17, 18 dan 19 Februari.
Shaziman berkata, kesediaan syarikat konsesi terlibat menyediakan insentif itu secara sukarela mencerminkan konsep ‘berorientasikan pengguna’ syarikat terbabit kepada pengguna lebuh raya.
Beliau berkata, kerajaan tidak mendesak syarikat konsesi tol menawarkan insentif itu kerana memahami ada syarikat yang tidak berkemampuan dari segi kewangan.
Mengenai kempen keselamatan lebuh raya yang dilancarkan, Shaziman berkata, kementerian mensasarkan untuk mengenal pasti 30 kawasan ‘hitam’ yang sering berlaku kemalangan tahun ini bagi membolehkan kerja pembaikan dijalankan.
Sementara itu, bersesuaian dengan tema kempen keselamatan lebuh raya yang dilancarkan hari ini iaitu ‘Menggalakkan Penggunaan Pengangkutan Awam’, Shaziman berpendapat kadar had laju bas ekspres dua tingkat wajar disemak semula. (Berita ini diambil dari Sinar Harian - Bernama online, 9 Februari 2010)
No comments:
Post a Comment