Politik baru: Tionghua tingkat kesedaran kekal perpaduan | |
Harakahdaily |
KUALA LUMPUR, 14 Feb: Dewan Pemuda PAS Pusat yakin dan percaya bahawa masyarakat Tionghua telah terlibat secara langsung dalam politik baru hingga berlakunya tsunami politik 2008 yang lalu telah dapat meningkatkan kesedaran mereka khususnya tentang dasar dan peranan kerajaan terhadap tanggungjawab memelihara, mengukuhkan pentadbiran negara dan mengekalkan perpaduan nasional. Justeru, ketuanya, Nasrudin Hassan berkata, adalah menjadi tanggungjawab setiap daripada kita yang cintakan keamanan dan kemajuan untuk memastikan perpaduan di dalam masyarakat bukan sahaja dikekalkan, malah dipupuk dan dipereratkan lagi. “Semangat persaudaraan dan rasa setiakawan yang terjalin merupakan dua faktor penting bagi menentukan masa depan generasi baru Malaysia terus menikmati suasana kehidupan yang harmoni,” ujarnya dalam perutusan Tahun Baru Cina. Berikut adalah kenyataan penuh beliau: Alhamdulillah, marilah kita bersama-sama memanjatkan kesyukuran ke hadrat Allah subhanawata’ala, kerana dengan limpah dan kurniaNya, maka kita dapat bersama sekali lagi meraikan sambutan Tahun Baru Cina pada tahun 2010 ini. Dalam kesempatan ini saya ingin mengucapkan ”Selamat Tahun Baru Cina” dan ”Gong Xi Fa Chai” kepada seluruh rakyat Malaysia yang berbangsa Tionghua. Perayaan Tahun Baru Cina atau pada zaman lampau dikenali sebagai ”perayaan musim bunga” merupakan perayaan menyambut tahun baru kalendar Cina. Mengikut masyarakat Cina dahulu kala, iaitu setiap 12 tahun pada musim sejuk, raksasa Nian akan keluar membuat kacau dan memburu manusia dan raksasa itu dikatakan akan dapat dihalau dengan bunyi bising seperti mercun dan persekitaran serta pakaian berwarna merah. Kejayaan menghalau raksasa tersebut diraikan bersempena dengan kedatangan tahun baru mengikut kalendar cina. Tahun ini adalah tahun bintang harimau iaitu bintang haiwan yang ketiga dalam kitaran 12 haiwan zodiak Cina. Tahun harimau atau ”hu nian” yang jatuh pada tahun 2010 ini memberi pengertian yang cukup mendalam kepada manusia untuk mendalami dan menghayati elemen-elemen positif harimau yang berani, yakin, dinamik, gigih, bertenaga, cerdas, sanggup berkorban, setia, idealistic serta serba boleh dalam kehidupan seharian. Sesungguhnya kita semua juga sedang berusaha gigih dan berdikari untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang maju. Maju bukan sahaja dari segi ekonomi tetapi juga maju dari segi pembangunan akhlak dan sosial. Bagi mencapai hasrat ini, negara kita perlu melahirkan golongan muda, yang bukan saja berpengetahuan dan berilmu, tetapi juga mempunyai jati diri serta berpandangan jauh dan terbuka kepada idea-idea baru tanpa mengenepikan kebudayaan dan adat resam yang telah diwarisi turun-temurun. Di dalam negara majmuk seperti Malaysia di mana terdapatnya pelbagai kaum, agama dan kebudayaan, seluruh masyarakat terutama pemuda-pemudi kita mestilah mempunyai sikap toleransi, dan persefahaman yang tinggi supaya perpaduan dan keharmonian antara semua rakyat berbilang kaum dapat dipelihara. Dalam hal ini saya berpandangan bahawa peranan ibu bapa, masyarakat serta kerajaan amat penting bagi melahirkan generasi muda yang dapat menjamin kemajuan, kemakmuran, keamanandan perpaduan antara kaum dan agama di dalam negara kita secara berterusan. Firman Allah swt di dalam Surah Al Hujurat ayat 13 yang bermaksud: Wahai Manusia! Sesungguhnya kami [Allah swt] telah menciptakan kamu yang terdiri dari kalangan lelaki dan perempuan dan kami jadikan kamu berbilang - bilang bangsa dan kaum supaya kamu saling kenal mengenal antara satu sama lain . Sesungguhnya orang yang paling mulia dikalangan kamu [manusia] di sisi Allah swt ialah orang yang paling bertaqwa dikalangan kamu . Sesungguhnya Allah swt Tuhan yang Maha Mengetahui lagi Maha Teliti . Perjuangan Parti Islam SeMalaysia [PAS] pula melandasi firman Allah swt tersebut , bilamana PAS menjadikan perpaduan sebagai prinsip perjuangan melewati batas kaum dan bangsa. PAS konsisten dengan prinsip Li Taarafu [saling kenal mengenal] sebagaimana slogan PAS For All sekaligus meletakkan perjuangan PAS dan dakwahnya terbuka tanpa sempadan . Perkauman sempit lagi melampau sebagaimana yang diperjuangkan oleh Umno dan BN adalah musuh tradisi kepada usaha mewujudkan perpaduan dan keamanan di dalam negara ini. PAS konsisten menentang perjuangan dan gerakan yang berasaskan sentimen perkauman sempit, justeru perbezaan kaum dan bangsa adalah suatu ciptaan Allah swt yang menandakan keagunganNya sebagai Tuhan Yang Maha Mencipta. Pemuda PAS melihat seperti wujud siri serangan yang ‘dirancang’ untuk menafikan hak kaum lain khususnya Cina sebagai warga negara Malaysia yang sah. Serangan ini bermula dengan kenyataan Ketua Umno Bahagian Bukit Bendera, Datuk Ahmad Ismail yang menyatakan kaum Cina dan India sebagai bangsa pendatang di negara ini. Beliau kini telah pun diampunkan oleh Umno setelah dikenakan hukuman yang dilihat seperti melepaskan batuk ditangga. Baru-baru ini negara menjadi gempar dengan kenyataan ultra-racist dari Datuk Nasir Safar bekas Pegawai Khas Perdana Menteri apabila beliau secara terbuka menyelar kaum Cina dan India sebagai pendatang dan peminta sedekah serta mengancam untuk menarik balik kerakyatan jika kaum-kaum ini gagal menuruti ketetapan dan peraturan yang dibuat oleh kerajaan Umno dan BN. Terbaru, surat pembaca yang disiarkan oleh Malaysianinsider bahawa Setiausaha Kerja Umno, Datuk Abdul Rauf Yusoh menyebut di dalam satu ceramah beliau bersama kelab Umno di United Kingdom bahawa bangsa Cina adalah bangsa asing yang memijak kepala orang Melayu di negara ini. Sebelum ini kenyataan Nasir Safar turut mendapat sokongan dari sebahagian kalangan pemimpin Umno dan BN. Kenyataan dan jawapan Datuk Abdul Rauf Yusoh seperti menunjukkan rasis adalah dibenarkan dalam forum-forum tertutup seperti forum di kalangan orang Melayu, sebagaimana yang dilakukan sebelum ini oleh BTN. Dewan Pemuda PAS Malaysia melihat kenyataan-kenyataan bersifat perkauman ini semakin ketara dan ia boleh mendorong berlakunya persengketaan antara kaum dan sekaligus mengganggu kesejahteraan rakyat malah mengancam keselamatan negara. Selayaknya Umno dan BN menghormati hak-hak orang Cina dan India di dalam negara ini dengan tidak melabelkan mereka sebagai pendatang atau merempat dan 1001 kenyataan yang mengeruhkan kedudukan antara kaum dalam negara kita sekaligus bertentangan dengan semangat 1Malaysia yang diperjuangkan oleh Umno dan BN pada hari ini atau sememangnya konsep 1Malaysia itu hanyalah retorik semata-mata . Saya yakin dan percaya bahawa masyarakat Tionghua telah terlibat secara langsung dalam politik baru hingga berlakunya Tsunami politik 2008 yang lalu telah dapat meningkatkan kesedaran masyarakat Tionghua khususnya tentang dasar dan peranan kerajaan terhadap tanggungjawab memelihara, mengukuhkan pentadbiran negara dan mengekalkan perpaduan nasional. Justeru adalah menjadi tanggungjawab setiap daripada kita yang cintakan keamanan dan kemajuan untuk memastikan perpaduan di dalam masyarakat bukan sahaja dikekalkan, malah dipupuk dan dipereratkan lagi. Semangat persaudaraan dan rasa setiakawan yang terjalin merupakan dua faktor penting bagi menentukan masa depan generasi baru Malaysia terus menikmati suasana kehidupan yang harmoni. Antara cabaran utama kita di masa hadapan ialah mewujudkan sebuah negara yang lebih transparen, adil dan bersatu-padu di mana rakyat berbilang kaum satu bangsa malaysia yang bukan sahaja taat dan setia kepada negara tetapi juga mempunyai masa depan yang saksama. Ke arah mencapai matlamat ini, kita perlu meningkatkan usaha menyatupadukan rakyat di samping menghapuskan perasaan syak wasangka dan prejudis di antara satu sama lain. Saya berpandangan satu penilaian harus dijalankan supaya kita dapat sentiasa mewujudkan semangat perpaduan di dalam masyarakat kita. Tiap-tiap kaum mempunyai nilai-nilai dan ciri-ciri kebudayaannya yang tersendiri dan langkah yang harus dijalankan sekarang ialah dengan memahami cara hidup antara kaum. Fahaman yang lebih baik ini boleh dilakukan melalui program seperti majlis rumah terbuka, forum langsung serta dialog terbuka kerana ia akan membantu kita memupuk semangat masyarakat yang bersedia menghormati cara hidup yang berlainan daripada cara hidup kita. Saya dan seluruh warga Dewan Pemuda PAS Malaysia mendoakan agar negara kita terus dapat menikmati suasana kehidupan yang hormoni dalam sistem negara yang adil. Saya juga ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada seluruh masyarakat yang prihatin dalam usaha memperkukuhkan perpaduan di kalangan masyarakat berbilang kaum di Malaysia. Akhir kata, sekali lagi saya mewakili pimpinan Pemuda dan seluruh ahli Pemuda PAS Malaysia mengucapkan Selamat Tahun Baru Cina: Gong Xi Fa Chai. (Berita ini diambil dari Harakah Daily online, 14 Februari 2010) |
No comments:
Post a Comment