Sunday, February 7, 2010

BERITA


Pas perlu tegas: Najib

Oleh Nazura Ngah
nazura@bharian.com.my


DATUK Seri Najib Razak beramah mesra bersama penduduk Kampung Baru ketika membuat lawatan di sekitar kampung berkenaan. Turut hadir Menteri Wilayah dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin. - Foto Fariz Iswadi Ismail

PM tak mahu Nik Aziz dolak-dalik bincang dengan Umno soal Islam

KUALA LUMPUR: Pas perlu lebih tegas dalam pendiriannya sebelum membuat tawaran untuk berbincang dengan Umno dalam usaha menegakkan kepentingan umat dan agama Islam di negara ini, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri yang juga Presiden Umno, berkata pendirian tegas Pas amat diperlukan kerana pengalaman sebelum ini membuktikan parti itu tidak konsisten dan selalu berdolak-dalik dalam pendiriannya yang menyukarkan Umno membuat keputusan.

"Saya tak tahu nak kata apa sebab dia (Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Aziz Nik Mat) punya pendirian bertukar macam cuaca, ada masa setuju, ada masa tak setuju, ada masa tutup, (jadi) saya tidak tahu apa pendirian sebenar.

"Saya nak tunggu pendirian yang tegas oleh Pas, kalau dia bertindak berdolak-dalik, ini susah jadi kita," katanya pada sidang media di Dewan Orang Ramai Kampung Paya, Kampung Baru, di sini selepas melakukan tinjauan mesra ke Kampung Baru semalam.

Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz, Menteri Wilayah Persekutuan dan Kesejahteraan Bandar, Datuk Raja Nong Chik Raja Zainal Abidin dan timbalannya, Datuk M.Saravanan serta Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Ahmad Fuad Ismail.


DATUK Seri Najib Razak mendengar penerangan daripada Datuk Bandar, Datuk Ahmad Fuad Ismail (kiri) mengenai projek Bazaar Kampung Baru dalam lawatannya.

Najib berkata demikian ketika ditanya pendirian Umno berhubung kenyataan Nik Aziz, dua hari lalu yang mahu Umno dan Pas menghentikan pertelagahan mengenai politik, sebaliknya duduk semeja bagi membincangkan isu berkaitan agama Islam.

Menteri Besar Kelantan itu dipetik, berkata pemimpin Umno perlu memikirkan mengenai pentingnya kedua-dua parti itu membincangkan isu yang menyentuh agama kerana tiada faedahnya jika kedua-dua parti mengamalkan pendekatan permusuhan politik.

Najib berkata pendirian tidak tegas dan sikap berdolak-dalik pemimpin Pas itu membuatkan Umno tidak boleh membuat keputusan atas pelawaan itu ketika ini.

Umno sebelum ini pernah menyatakan kesediaan untuk berbincang dengan Pas mengenai kepentingan umat Islam selepas idea mengenainya dicetuskan Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada muktamar parti itu tahun lalu.

Bagaimanapun, cadangan itu mendapat tentangan hebat daripada Nik Aziz sehingga beliau mendesak Pas mengadakan Muktamar Agung Khas bagi membincangkan isu itu, dan akhirnya Pas terpaksa akur dan hasrat itu dibatalkan.

Mengulas lanjut, Najib menafikan dakwaan Nik Aziz itu kononnya Umno menghabiskan masa 50 tahun untuk menyerang pergerakan Islam yang diterajui parti itu.

Sebaliknya, beliau berkata, Umno adalah parti yang menegak dan membangunkan Islam di negara ini.

"Tidak benar apa yang mereka (Pas) kata, cuma kita berbeza pendapat dengan cara Pas...politik Pas, sebab Pas adalah parti politik, Pas tidak boleh disamakan dengan Islam.

"Pas pada hakikatnya adalah sebuah parti politik...inilah yang saya nak tegaskan," katanya.

(Berita ini diambil dari Berita Harian online, 7 Februari 2010)














No comments: