Thursday, February 11, 2010

BERITA



Umno ragut suasana aman negeri Pakatan


Rizal Tahir
KOTA BHARU, 10 Feb: Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat menyifatkan suasana aman di lima buah negeri Pakatan Rakyat diragut Umno apabila melakukan kudeta di Perak.

Sedangkan katanya, selepas pilihan raya umum lalu, Perak, Pulau Pinang, Selangor, Kedah dan Kelantan berada dalam keadaan aman.

“Pergolakan berlaku bermula dengan hari rampasan kuasa sehingga tidak berkesudahan sebagaimana dilakukan pihak tidak bertanggungjawab itu.

“Kelantan alhamdulillah termasuk tidak berlaku huru hara kerana tidak berlakunya perancangan rampasan kuasa,” katanya ketika ditemui selepas majlis jamuan perpisahan dua bekas setiausahanya, Annual Bakri Haron dan Mohd Saiba Yaakub.

Annual meletak jawatan sebagai Setiausaha Politik akhir tahun lepas dan Mohd Saiba tamat kontrak pelantikan awal Febuari lalu.

Tuan Guru Nik Abdul Aziz berkata, berlakunya rampasan kuasa di Perak menyebabkan rakyat sedar kerja tersebut merupakan perkara mungkar yang tidak bermoral.

Oleh itu, beliau meminta orang ramai melahirkan rasa benci kepada mereka yang menggadaikan maruah rakyat dengan melakukan kudeta.

Katanya, perasaan benci wajar ditanam terhadap mereka yang kufur dan fasik kerana Islam mengajar agar menanam kebencian terhadap golongan seperti itu.

Beliau juga berkata, tidak wajar dilakukan demontrasi terhadap penggunaan kalimah Allah oleh penerbitan Herald memandangkan ia telah lama digunakan bukan Islam di tanah Arab.


-----------------


Dedah siapa jual rahsia penting negara | Print | E-mail
Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 10 Feb: Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar meminta Menteri Pertahanan, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mendedahkan mereka yang terlibat menjual rahsia penting negara.

Ini berikutan Zahid mendedahkan berlaku pembocoran dan penjualan rahsia penting negara berkaitan keselamatan dan pertahanan negara.

Mahfuz berkata, pembocoran dan penjualan tersebut dikatakan melibatkan pihak dalaman Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan dijual kepada negara asing melalui kedutaan di Kuala Lumpur.

“Kejadian ini sekali lagi mendedahkan betapa kelemahan yang sangat ketara pada sektor dan institusi pertahanan dan keselamatan negara selepas dalam tempoh dua bulan kita dikejutkan dengan kecurian dan penjualan dua buah enjin Jet F5E di pasar malam antarabangsa,” katanya.

Tambahnya, kecurian enjin Jet, pembocoran serta penjualan rahsia penting negara menyebabkan kehidupan rakyat berada dalam keadaan cemas dan bimbang akan tahap keselamatan dan pertahanan negara.

Katanya, kebimbangan rakyat ada kewajarannya berasaskan pada tahap integriti institusi keselamatan dan pertahanan negara yang dilihat berada dalam keadaan yang sangat kritikal dan menghadapi ancaman dari negara luar.

Apatah lagi, ujarnya negara yang melakukan pengintipan dengan membeli rahsia penting negara sudah tentu mempunyai niat jahat terhadap Malaysia.

Menurutnya, dengan rahsia penting negara yang berkaitan dengan keselamatan dan pertahanan yang dimiliki oleh negara asing sudah tentu mereka akan bertindak terhadap Malaysia.

Katanya lagi, kalaupun tidak dengan menyerang Malaysia tetapi dengan maklumat rahsia yang mereka ada sudah pun cukup untuk mereka mensabotaj Malaysia.

“Inilah yang menjadikan rakyat gelisah dan merasakan berada dalam keadaan tidak selamat dan terancam,” ujarnya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu menambah, malangnya kerajaan gagal merungkai segala kebimbangan yang sedang dirasai oleh rakyat, tiba-tiba saja Menteri Pertahanan mengeluarkan kenyataan menyatakan kes penjualan dan kebocoran rahsia penting negara selesai dan diselesaikan mengikut saluran diplomatik.

“Saya membantah kenyataan Menteri Pertahanan. Rakyat perlu diberitahu siapa di dalam ATM yang menjual rahsia penting tersebut. Adakah mereka yang terlibat hanya berpangkat prebet atau sarjan seperti dalam kes kehilangan dan kecurian dua buah enjin Jet F5E,” katanya.

Katanya, rakyat juga perlu diberitahu negara mana yang menjalankan pengintipan dengan membeli pihak dalam ATM untuk mendapat rahsia penting negara yang berkaitan dengan keselamatan dan pertahanan negara.

Beliau menambah, rakyat berhak tahu adakah duta negara tersebut telah dipanggil oleh pihak Wisma Putra dan kementerian untuk diambil tindakan mengusir atau diberi amaran keras atau masih menjadi kes yang disiasat oleh polis.

“Saya mohon jawapan dan penjelasan segera dari pihak kerajaan khususnya Menteri Pertahanan untuk meyakinkan rakyat agar kebimbangan dan keresahan rakyat dapat diubati. Penjelesan dan jawapan segera menteri sangat penting bagi menjaga tahap integriti ATM,” ujarnya lagi.

(Berita ini diambil dari Berita Harian Online, 10 Februari 2010)



No comments: