Saturday, February 6, 2010

BERITA


Pemimpin Umno terima baik cadangan Nik Aziz

ALOR SETAR: Pemimpin Umno menerima baik cadangan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Aziz Nik Mat, yang mahu Pas dan Umno duduk semeja berbincang bagi menamatkan perseteruan lebih 50 tahun antara kedua-dua parti itu.

Namun pada masa sama mereka mahu Nik Aziz serius berhubung perkara itu dan bukan bermain sandiwara untuk tujuan tertentu.

Ahli Majlis Tertinggi Umno, Dr Mohd Puad Zarkashi, berkata Umno sentiasa mengamalkan dasar terbuka sekiranya Pas benar-benar ikhlas mahu mengadakan rundingan demi kepentingan Melayu.

"Umno sudah lama bersedia mengadakan rundingan dengan Pas tetapi bila ia hendak dilaksanakan timbul pula masalah,” katanya.

Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Mukhriz Mahathir, berkata beliau menyokong cadangan itu, tetapi keliru dengan pendirian Nik Aziz yang sebelum ini berkeras menolak rundingan antara kedua-dua parti.

"Saya berharap Nik Aziz bukan sekadar omong kosong kerana sebelum ini beliau pernah menyelar tiga pemimpin tertinggi Pas yang berusaha ke arah cadangan sama sehingga mereka dikenakan tindakan disiplin," katanya.

Ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin, berkata beliau berasa Menteri Besar Kelantan itu sudah hilang keyakinan terhadap rakan kongsinya dalam pembangkang berikutan masalah dalaman Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan juga masalah kepemimpinan DAP di Pulau Pinang.

“Kenyataan Nik Aziz itu menunjukkan beliau sudah sedar dan sedia untuk bersemuka dengan Umno atas dasar kepentingan negara dan bukan untuk kepentingan orang Islam dan Melayu semata-mata,” katanya.

(Berita ini diambil dari Berita Harian online, 6 Februari 2010)






No comments: