LARUT, 31 Jan: 10 ribu pemuda PAS Perak yang berhimpun di sini hari ini membuat ikrar janji akan memastikan Pakatan Rakyat mendapat kembali kerajaan negeri ini pada Pilihan Raya Negeri yang bakal diadakan.
"Bahawasanya kami pemuda PAS Perak dengan ini berikrar setia dan berjanji akan mempertahankan hak demokrasi tulen pengundi-pengundi Perak.
"Bahawasanya kami akan memastikan kemenangan PAS dan Pakatan Rakyat dalam Pilihan Raya negeri Perak.
"Bahawasanya kami akan memulangkan tampuk pemerintahan negeri Perak kepada Pakatan Rakyat di bawah pimpinan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin".
Bacaan ikrar tersebut diketuai pemangku ketua pemuda PAS, Nuru Al-Amin diikuti seluruh pemuda PAS Perak di hadapan Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan dan Naib Presiden PAS, Datuk Mahfuz Omar dan Salahuddin Ayub.
Ianya sekaligus membuktikan kesiapsediaan jentera pemuda menggalas tugas parti dalam misi mengembalikan hak dan maruah rakyat negeri ini.
Nasruddin dalam ucapannya sebelum itu memberikan kata-kata semangat kepada seluruh jentera pemuda PAS Perak agar melakukan persedian mental, fizikal dan rohani berdepan pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri itu.
"Soal tarikh Pilihan Raya soal kedua, yang penting pemuda PAS sedia bila-bila masa.
"Kita kena yakin, kemenangan adalah kurnian Allah SWT, oleh itu hubungan kita dengan Allah jangan sesekali retak, jangan sesekali putus," katanya.
Namun jelasnya apa yang lebih penting adalah tugas pemuda berdamping setiap anak muda di semua peringkat termasuk Dun, kawasan mahupun cawangan.
Tugas pemuda bukan sekadar memenangkan Pakatan Rakyat, malah lebih besar dari tu adalah menyampai dan menerangkan dasar Islam yang diperjuangkan PAS.
"Gerakkan komitmen semaksima mungkin, hidupkan jentera kita di semua peringkat sama ada cawangan, Dun, kawasan mahupun negeri.
"Kita kena cipta pelbagai aktiviti untuk bersama dengan anak muda," katanya lagi.
Tugas tersebut jelasnya adalah tanggungjawab semua ahli pemuda tanpa mengira pangkat dan jawatan yang dipegang.
"Saya harap tiada siapa yang mengecualikan diri dari amal Islami ini.
"Ayuh kita memberikan sumbangan, pengorbanan kepada perjuangan agama Allah ini untuk kebaikan umat Islam dan rakyat di negeri Perak ini," katanya. ----------------
Yusri Amin | KOTA BHARU, 1 Feb: Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Desa dan Bioteknologi negeri, Che Abdullah Mat Nawi mempertikai kenyataan Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan, Datuk Seri Rais Yatim yang mendakwa isu tuntutan royalti petroleum perlu diselesaikan melalui saluran undang-undang di mahkamah dan bukannya melalui ceramah. “Selalunya macam itulah, sebagaimana juga ISA, apabila kita bawa rakyat berdemonstrasi untuk menuntut hak rakyat, mereka mengatakan sepatutnya tidak dibawa ke jalan itu, sepatutnya dibawa ke meja rundingan, sepatutnya dibawa ke Parlimen,” katanya. Menurutnya, sudah beberapa kali isu royalti itu dibawa ke Parlimen dan meja rundingan, bahkan surat kerajaan negeri secara rasmi telah dihantar kepada pihak berkenaan, namun belum ada perbincangan. Tambahnya, sebenarnya penafian royalti itu diucapkan di jalanan juga, sebagaimana dakwaan Timbalan Menteri Kewangan, Senator Datuk Dr Awang Adek Hussein di Bachok dan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed di Jeli dan Manek Urai sebelum ini. “Keadaan itu serupa saja, cuma program kita ramai rakyat, tidak sebagaimana program mereka. Hari ini, siapa kerajaan negeri, yang dipilih oleh rakyat menyebabkan tiba-tiba mereka mendawa (berceramah) di Bachok dan di Jeli dengan menyatakan mahu memberi wang ehsan dan disalurkan kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan (JPP). “Jawapan mereka itu (diberikan) di pentas apa, Mereka mendakwa hendak memberi RM20 juta, hendak memberi royalti, wang ehsan, bahkan sanggup mendakwa bahawa wang ehsan itu sama dengan royalti. “Tidakkah dakwaan itu di pentas ceramah?” katanya pada majlis perasmian penutup Taklimat Hala Tuju Perniagaan Koperasi Hilal (Al-Hilal) Malaysia Berhad, di sebuah hotel di sini. Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Wakaf Baru turut menyeru rakyat agar melangkah lebih jauh ke hadapan. Sehubungan itu, katanya rakyat yang memahami Al-Quran tidak akan menyertai Umno, bahkan kefahaman mendalam terhadap kitab suci itu menyebabkan mereka berjuang menegakkan ajaran Al-Quran itu sendiri. | (Berit ini diambil dari Harakah Daily Online, 1 Februari 2010)
|
No comments:
Post a Comment