Mokhtar Petah
Pujangga HAMKA telah berkata kepadaku, iaitu, kalau hendak tahu seseorang itu banyak membaca buku, majalah dan surat khabar, sekurang-kurangnya, dia telah mengetahui nama-nama para wartawan dan penulis di negaranya sendiri.
Sekitar tahun 1955 dan tahun 1970-an, namaku terkenal di kalangan mereka yang sering membaca majalah dan surat khabar sebagai salah seorang dari penulis yang controversy di negara ini.
Selain dari seorang penulis, namaku terkenal di kalangan Jabatan Agama Islam dan Adat istiadat Melayu Perak, kerana aku telah melibatkan diri dalam satu golongan ’ulama bebas’, di Negeri Perak. Pada masa itu golongan ulama tersebut telah menentang rancangan memungut zakat dan fitrah dan akta pencegahan khalwat di negeri itu.
Golongan itu berpendapat, pungutan zakat, terutama fitrah oleh Jabatan Agama, tidak praktikal dana tidak sesuai dengan sunnah, kerana fakir miskin dan mereka yang terhitung dalam lapan asnaf dalam hukum zakat dan fitrah lambat menerimanaya, sebaliknya hanya akan menguntungkan Jabatan tersebut kerana dapat mengumpul wang yang banyak dan berkemungkinan diselewengkan dari tujuan sebenar.
MENCEGAH KHALWAT
Mengenai akta pencegah khalwat, tidak sesuai dipraktikkan dan tidak sesuai dengan Quran dan Sunnah. Kami mahu undang-undang pencegahan zina diperkuatkan.
Tidak ada dalam Islam hukum mengenai mencegah khalwat. Undang-undang itu akan menjadi orang-orang yang jujur teraniaya.
Mereka yang menyertai golongan itu, selain dari aku, ialah, Ustaz Abdul Rauf Adham, Haji Ibrahim, Ustaz Ismail Mu’in, Yahya Arif, Ustaz Abdul Rauf atau Kulop Pipit dan Muhammad Aqib dan beberapa orang lagi.
Mereka itu telah mendapat sokongan dari dua orang ulama di luar Negeri Perak, iaitu Ibrahim Aqibi, Pulau Pinang dan Kiyai Hassan Bandung, dari Indonesia.
KAUM MUDA
Selain dari penentangan kami terhadap undang-undang zakat fitrah dan akta pencegahan khalwat itu gagal, kami telah dianggap oleh kalangan ulama di Negeri Perak sebagai ’kaum muda’.
Penasihat undang-undang Negeri Perak pada masa itu, menolak hukum zina dalam Islam dipraktikkan, kerana di negeri Perak dan Persekutuan Tanah Melayu tidak mengguna-pakai perlembagaan Islam.
Raja Musa bin Raja Mahadi- dari keluarga Diraja Perak - , Yang Dipertua Jabatan Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu Perak, telah memanggil kami ke pejabatnya. Dia telah menjelaskan akan sebab-sebab cadangan dan penolakan kami itu telah ditolak.
Semenjak dari perjumpaan itu, aku dan Raja Musa sentiasa bertemu dan berbincang mengenai perkara yang berlaku di sekitar negeri Perak, di Tanah Melayu dan kekadang menjangkau ke luar sempadan bumi Melayu. Dia telah menjadi sahabatku salah seorang peminati tulisan-tulisanku.
JAWATAN KADHI
Raja Musa telah berbincang dengan Dato’ Raja Hanif Shah (orang penting istana Sultan) untuk menawarkan satu jawatan dalam Jabatan Agama Islam Perak. Dato’ Raja Hanif Shah telah mencadang agar aku diberi jawatan mubaligh atau Pegawai Penerangan dalam jabatan tersebut, tetapi Raja Musa mahu aku memegang jawatan kadi kerana pada masa itu, jabatan tersebut memerlukan beberapa orang kadi.
Pada zaman itu orang-orang lepasan thanawi empat (setaraf dengan SPM), seperti aku, layak menyandang jawatan kadi di Negeri Perak.
Pada satu hari, Raja Musa telah menjemput aku datang ke pejabatnya. Pada ketika aku datang ke pejabatnya, dia bersama Dato’ Raja Hanif Shah, Kadi Haji Asa’aya dan beberapa orang lagi sedang menungguku. Setelah aku duduk atas sofa di hadapan mereka, Raja Musa telah menyuruh aku mengisi borang permohonan jawatan kadi yang diletakkan atas meja di hadapanku. Aku tercengang dan enggan mengisi borang itu, tetapi kerana didesak oleh Raja Musa dan dan Dato’ Raja Hanif Shah, maka aku telah mengisi borang permohonan itu.
Pada jam 11.00 pagi esoknya, aku telah ditemuduga oleh tiga orang pegawai Jabatan Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Perak, termasuk Kadi Besar. Aku telah diterima berkhidmat sebagai kadi (percubaan).
Oleh kerana aku tidak berminat akan pekerjaan kadi, sementara pula aku telah bekerja sambilan dengan dua buah surat khabar dengan pendapatan kira-kira $300.00 sebulan, sedangkan gaji kadhi sekadar lebih $93.00 sebulan, seminggu kemudian, aku telah datang melapor diri dan mula bekerja di pejabat agama yang pada masa itu terletak di hadapan Kelab Ipoh.
Aku bekerja kadi sekadar sehari sahaja. Pada petang itu juga aku telah memberi surat perletakan jawatanku kepada Yang Dipertua, Raja Musa. Walaupun dia keberatan menerimanya, tetapi dia tidak dapat berbuat apa-apa, kerana keputusanku itu muktamad.
(Sunjtingan dari manuskrip buku Memoir, Patah SayapBertongkatkan Paruh, Oleh:Mokhtar Petah. Editor, Petah Shahrir Aidid)
No comments:
Post a Comment