Monday, January 4, 2010

MENGENANG MASA SILAM

Mokhtar Peta

Menurut sejarah perkembangan agama Islam di Tanah Melayu, bahawa pengajian dan pembelajaran ilmu pengetahuan Islam dalam institusi pondok, telah wujud di Tanah Melayu, sejak pada sebelum tahun 1500 lagi. Tetapi pengajiannya diadakan di masjid-masjid dan surau-surau secara ‘mengaji menadah kitab’. Setelah orang-orang Melayu menuntut ilmu pengetahuan Islam di sekolah-sekolah agama di Makkah atau mengaji pada para ulama dari beberapa buah negara Islam yang mengajar dalam Masjidul Haram.

Pada zaman silam, iaitu setelah orang-orang Kristian berjaya menimba ilmu pengetahuan dari orang-orang Islam di beberapa negara Arab, Sepanyol, Farsi (Iran) dan negara-orang umat Islam lain, mereka telah berusaha untuk melumpuhkan agama Islam dan mengkristiankan semua manusia termasuk orang Islam.

Penjajah-penjajah Sepanyol (Spanish), Belanda, Amerika dan Inggeris telah membawa masuk mubaligh-mubaligh Kristian ke kawasan-kawasan penduduk atau negara-negara yang mereka jajah itu dengan tujuan untuk mengkristiankan penduduk-penduduknya di samping mengukuhkan kuasa penjajahan mereka.




Bersama rakan sekolah,

Allahyarham Haji Khalid Ismail,

Pajak Song


Penduduk-penduduk yang terdiri dari orang Melayu dalam kawasan negeri Melayu, iaitu wilayah Selatan Siam bawa ke seluruh Semenanjung Tanah Melayu, pulau-pulau dalam kawasan Riau hingga ke Aceh dan kawasan selatan Filipina tidak dapat dipengaruhi oleh pendakwa-pendakwah Kristian kerana mereka berpegang kuat kepada agama Islam.

Walau bagaimanapun penduduk-penduduk Melayu, terutama di wilayah Selatan Thailand dan Semenanjung Tanah Melayu dan Indonesia terpengaruh dengan kebudayaan India (Hindu) dan Cina menganut falsafah Buddha. Oleh yang demikian, terdapat beberapa amalan dalam masyarakat orang Melayu yang berunsur agama Hindu dan falsafah Buddha. Misalnya dalam adat pertunangan dan perkahwinan.

‘Bangsa Filipina tidak begitu dipengaruhi oleh dua aliran kebudayaan, iaitu kebudayaan India dan Cina, yang telah mempengaruhi negeri-negeri Asia Tenggara yang lainnya. Pada waktu negeri-negeri Asia Tenggara lainnya mengamalkan agama-agama Hindu, Buddha dan Islam, orang-orang di Kepulauan Filipina masih lagi memuja alam. Apabila bangsa Sepanyol tiba di situ, mereka mendapati bahawa penduduk-penduduk itu tidak mempunyai susunan politik, agama atau masyarakat yang teratur baik. Orang-orang Filipina itu mengerjakan ladang-ladang di sekeliling kampungnya dan tiap-tiap kampung merupakan unit yang berautonomi serta serba cukup.

Keadaan hidup yang sederhana ini berubah dengan cepatnya apabila gelombang mubaligh bangsa Sepanyol masuk ke pulau-pulau tersebut. Mereka ini mencuba mengkristiankan orang-orang Filipina itu menurut mazhab Katolik. Oleh sebab tidak ada sebarang susunan politik yang teguh, maka pendudukan Filipina boleh dikatakan berlaku tanpa menumpahkan darah. Di pulau-pulau tengah dan selatan Kepulauan Filipina itu terdapat sedikit tentangan terhadap agama Kristian. Tetapi di sebelah selatan, agama Kristian tidak mendapat kejayaan yang besar, kerana agama Islam telah bertapak teguh di situ.[1]

Amerika telah menjadikan agama Kristian sebagai satu rancangan mentamadunkan rakyatnya termasuk tentera dengan memasukkan pengajaran agama Kristian dalam sistem pelajaran dan diadakan undang-undang mewajibkan agama tersebut diamalkan.

‘A hundred years later the Supreme Court of the United States outlawed the devotional reading of the Bible and the recitation of prayers in public schools. Shocked and angered, millions of Americans have wondered why, members of the House of Representatives have introduced over 145 amendments to circumvent the Court’s decision. The State Board of Education in Alabama has reacted by requiring Bible reading in every public school, and in several other states official have encouraged teachers to flout the highest law of the land. Congressmen have reseived floods of mail on the issue. Swelling popular resentment of the court’s desision has treatened to displace the First Amendment with a new one redefining the role of religion in public life.

The religious customs represented by Alice Applege ti her Ashland school have come into sharp conflict, then, with the legal interpretation of tha separation of church and state in the pluralistic cociety. When law and folkways clash, as they have in the prohibition amendmend and the Supereme Court’s desegregation ruling in 1954, various courses of anction present themeselves.[2]

Setelah ilmuan Islam Melayu yang kembali dari Mekah dan Mesir dengan rasa penuh tanggungjawab untuk mengelakkan orang Melayu dari dikristiankan oleh pihak penjajah Inggeris, maka mereka telah menubuhkan institusi pondok dengan bantuan kewangan dari penduduk-penduduk Islam setempat.




Lelaki Cina ini, pada masa saya di Kepala Batas (1954)
dia masih murid sekolah rendah. saya bertemu kembali
dengan dia pada tahun 2004


Penjajah Inggeris telah mengadakan sekolah-sekolah Inggeris di bawah kelolaan badan gereja atau paderi dan sekolah yang bebas dari pengaruh tersebut, tetapi corak pelajaran dan pembelajarannya sama, iaitu seperti ikan diperam dengan garam dan beras goreng atau jagung goreng, ada yang menamakannya ‘budu’, ‘pekasam’ dan ada yang menamakan ‘pelara’. Pada hakikatnya adalah satu, iaitu ‘budu’.

Malay College Kuala Kangsar, adalah sebuah institusi di bawah bayangan penjajah Inggeris dan agama Kristian yang bertujuan mnengongkong fikiran anak-anak Raja Pemerintah, Sultan dan para Orang Besar- Besar Melayu. Mereka diasak dengan fikiran dan pendapat orang Barat agar meninggalkan amalan dalam budaya Melayu, amalan dalam agama Islam. Dan mereka digalakkan untuk mengamalkan budaya orang Barat yang berunsurkan agama Kristian.

Pada masa belum negara kita mencapai kemerdekaan, anak-anak orang biasa tidak diterima menuntut di Malay College - kalau ada pun hanya orang-orang tertentu sahaja -. yang memenuhi Malay College, ialah putera-putera Raja Pemerintah atau Sultan dan para Orang Besar-Besar Melayu.

Semua penuntut di Malay College diwajibkan memakai pakaian seragam warna putih, iaitu baju kemeja lengan pendek, seluar pendek, stokin panjang sampai ke lipatan lutut dan berkasut jenama baik. Walau bagaimanapun mereka dibenarkan juga memakai pakaian orang Melayu yang seragam. Baju dan seluar putih, kain samping seragam dan bersongkok hitam dari baldu yang terbaik.

Pada hari-hari kelepasan, kecuali hari Jumaat, semua penuntut diwajibkan memakai pakaian seragam – seluar pendek putih dan stokin panjang serta kemeja putih berlengan pendek. Mereka tidak dibenarkan makan di restoran India Muslim (mamak) dan makanan orang Melayu. Mereka hanya dibenarkan makan di restoran Cina Hailam Double lions dan sebuah restoran lagi, kepunyaan orang Cina Hailam juga, iaitu di Jalan Kangsar dalam bandar Kuala Kangsar.[3]

Manakala sekolah-sekolah Inggeris untuk penuntut perempuan, tidak membenarkan semua penuntutnya memakai tudung kepala. Rambut mereka mesti potong pendek atau dikaran (keriting) kan. Walaupun konde atau sanggul tidak ditegah, tetapi kebanyakan guru yang terdiri dari orang Inggeris tidak menggemarinya.




Bersama Abdullah Ahmad Badawi
di Rumah UMNO Kepaka Batas
pada 2004

Semua penuntut sekolah Inggeris (geverment English girls school) digalakkan (mungkin wajib) bergaul bebas lelaki dan perempuan dalam majlis-majlis yang diadakan oleh pihak sekolah dan sebagainya. Menari dan menyanyi menjadi amalan biasa. Pendeknya mereka diresapkan dengan ragam budaya orang Kristian atau orang Barat.

Kerajaan British dengan kerjasama organisasi Yahudi, telah mengambil pelajar-pelajar Melayu yang bergeliga otak mereka untuk dihantar menuntut di sekolah-sekolah menengah atau di institusi-institusi pengajian tinggi di England atau negara di bawah takluk British, Di sana mereka disesuaikan dengan kebudayaan orang Inggeris atau orang Barat. Ada di antara mereka langsung beristerikan wanita Inggeris

Di antara pelajar-pelajar itu, ialah anak kepada kadi di Negeri Perak, iaitu Tun Mohd. Sufian bin Haji Hashim (lahir di Lenggong, Perak, pada 12 November 1917). Dia telah menuntut di Sekolah Melayu Lenggong dan melanjut pelajarannya di Clifford School, Kuala Kangsar. Kemudian dia melanjutkan pelajaran dalam jurusan undang-undang di Middle Temple In, London, dengan biasiswa Ratu Inggeris. Pada masa di London, dia telah berkahwin dengan wanita Inggeris.

Sekembalinya Mohd. Sufian ke tanah air, dia telah berkhidmat dalam beberapa jabatan kerajaan, antara jabatan-jabatan yang disandang, ialah Timbalan Pendakwa Raya di Johor Bharu, Setiausaha Kerajaan Negeri Pahang dan Penasihat Undang-undang kepada Sultan Brunei.




Saya berdiri di tengah bersama
para pelajar Sanawi Rabni (4)


Sufian telah memikul tugas menterjemah Perlembagaan Persekutuan Tanah Melayu dari bahasa Inggeris kepada bahasa Melayu. Berikutnya dia telah memegang jawatan Ketua Hakim Negara pada tahun 1974.

Pada masa saya menulis buku biografi bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Kadir Yusuf, berjudul Abdul Kadir Peguam Rakyat, dibiayai oleh Tabung Kebajikan Ronald McDonald (1998), saya sering menemuinya dan bercakap yang mencangkupi politik, ekonomi, kebudayaan Melayu dan perbuatan rasuah yang diamalkan oleh sebilangan pegawai dan kakitangan kerajaan.

Pemerhatian saya kepada life style (gaya hidup) Mohd. Sufian (Tun) dan pengalaman saya mendampinginya, maka saya mendapati dia lebih selesa dengan gaya hidup orang Inggeris.

Semenjak tahun 1500 hingga 1950 - an terdapat pesanan, nasihat dan kata-kata menegah oleh para ulama Islam kepada ibu bapa Melayu agar tidak memasukkan anak-anak mereka ke sekolah Inggeris sebelum mendapat didikan agama Islam, iaitu didikan ilmu tauhid (usuluddin), ilmu Fikah iaitu yang disebut fardu ain. Tujuannya, supaya pelajar-pelajar itu tidak terpesong atau mengikut amalan orang-orang yang beragama Kristian atau pun langsung terjerumus ke dalam agama Kristian.

Pada umumnya, pada masa itu tidak ada ulama yang menentang seseorang Islam belajar bahasa Inggeris. Mereka memang menggalakkan anak Melayu mempelajari berbagai-bagai bahasa, tetapi sebelum belajar (bersekolah) Inggeris mestilah ada pengetahuan agama Islam atau telah kental iman kepada Allah, Quran, para malaikat, para rasul-Nya dan hari akhirat. .

MENADAH KITAB

Pada zaman silam di Kepala Batas dan kawasan sekitarnya terdapat banyak institusi pondok, iaitu madrasah atau pusat pengajian agama Islam yang dijalankan tidak bersistem sebagai sekolah. Cara belajar ilmu agama Islam seperti yang dilakukan dalam Masjidul Haram, Makkah, iaitu ‘menadah kitab’.

‘Menadah kitab’, iaitu guru mengajar dengan duduk bersila dalam masjid atau surau dan para pelajar demikian juga. Mereka membuka kitab masing-masing sambil menumpu perhatian kepada ajaran guru mereka. Kitab-kitab yang mereka belajar itu ada dalam bahasa Melayu dan ada dalam bahasa Arab. Di antara beberapa pelajaran yang mereka pelajari itu, ialah:

* Membaca Quran dan tafsir.

* Ilmu Tauhid atau Usuluddin.

* Ilmu Fikah dan usul fikah.

* Tajwid.

* Tasawuf dan akhlak.

* Nahu (tatabahasa Arab).

* Saraf.

* Mantik dan Ma’ani.

Selain daripada pelajaran-pelajaran itu, ada satu pelajaran lagi, iaitu sejarah Islam (meliputi ilmu siasah atau politik, sosial Islam dan sebagainya). Maka, semua pelajar yang belajar mengikut sistem pondok mempunyai pengetahuan politik Islam yang mendalam dan meluas. Kebanyakan mereka berpandukan perjuangan Nabi Muhammad s.a.w., para pejuang Islam hingga kepada perjuangan para anggota parti Ikhwanul Muslimin, Mesir, seperti Syed Qutb, Muhamamad Abduh, Hassan Al Bana, Jamaluddin Al Afghani dan Mustafa Al Ghalayin.

Dalam tiap-tiap majlis belajar itu diadakan soal jawab antara guru dengan pelajar-pelajar dan perbincangan mengenai masalah-masalah yang kurang mendapat kefahaman atau musykil.

Pelajar-pelajar tinggal dalam pondok-pondok yang didirikan oleh ibu bapa mereka di sekitar kawasan madrasah atau sekolah. Semua podok yang didirikan dalam kawasan institusi pondok itu menjadi hak milik institusi tersebut. Apabila pelajar itu tamat belajar atau kena buang dari institusi itu, maka pondok itu digunakan untuk tempat tinggal pelajar lain pula.

Semua pelajar yang tinggal di pondok-pondok itu, menggunakan tenaga sendiri, seperti memasak makanan dan minuman serta membasuh pakaian. Kebanyakan mereka tidur atas lantai beralaskan tikar mengkuang atau kumbuh. Bantal mereka dari kapuk atau kekabu dalam kain. Tetapi ramai pelajar yang suka tidur atas buah kelapa kering yang dipotong atau diparas bahagian atasnya, iaitu tempat meletak kepala. Cara tidur demikian menjadikan mereka tidak tidur nyenyak atau mudah jaga untuk menghafal atau mengulang kaji pelajaran.

‘Mulai penghujung abad ke-19, terutamanya selepas Perang Dunia Kedua, sekolah-sekolah pondok atau sekolah Arab dan sekolah-sekolah agama telah muncul di merata tempat di seluruh Semenanjung terutama di Kelantan, Kedah, Perak dan Pulau Pinang. Dengan berilhamkan ajaran-ajaran reformis dari Asia Barat seperti Muhammad Abduh sekolah agama (madrasah) telah menjadi satu alternatif yang sesuai untuk mendapatkan pendidikan bagi masyarakat ketika itu. Alternatif itu membekalkan kekuatan, bimbingan dan semangat kepada muridnya untuk menghadapi segala cabaran dan dugaan akibat dari proses sekularisasi yang dianjurkan oleh institusi Barat. Taraf pendidikan di sesetengah madrasah ini mempunyai mutu yang tinggi. Banyak di antara lepasan madrasah umpamanya daripada Madrasah Al Masyhur Pulau Pinang, Madrasah Muhammadiah, Kota Bharu dan Maahad Al Ihya’ asya Syarif Gunung Semanggol, dapat melanjutkan pelajaran mereka ke Asia Barat, terutamanya di Masjidul Haram, Makkah dan Universiti Al Azhar, Mesir.’

‘Adapun perkataan ‘pondok’ itu berasal dari perkataan Arab yang bererti rumah-rumah kecil tempat tinggal pelajar-pelajar, tiga atau empat orang bagi tiap-tiap sebuah rumah. Dalam bahasa Arab ‘pondok’ juga bererti rumah tumpangan atau hotel dalam bahasa Inggeris. Tetapi di Malaysia dan juga di Thailand Selatan (khususnya di wilayah Pattani, Narathiwat, Yala, Songkla dan Santun), ‘pondok’ juga bererti satu isntitusi pendidikan agama Islam yang bersendirian dan berasrama.’

Ilmu politik Islam adalah berdasarkan Quran dan Hadis. Di institusi pondok Kepala Batas, ilmu siasah (politik) berpandukan gerakan Ikhwanul Muslimin Mesir. Mereka dengan fikiran terbuka menerima hikmah atau ilmu pengetahuan Islam yang disebarkan oleh tokoh-tokoh Ikhwanul Muslimin, di antara mereka, Sheikh Hassan Al Banna, Sheikh Muhammad Abdul, Jamaluddin Al Afghani, Mustafa Al Ghalayin.

Hanya institusi pondok Sheikh Abdullah Fahim – Daeratul Maariful Wataniah yang mengajar ilmu siasah (politik) secara serius. Manakal institusi-institusi pondok yang lain pelajaran siasah Islam diajar tidak secara tidak serius.

Pelajar-pelajar lelaki berpakaian kopiah atau ketayap putih, baju Melayu (baju potongan Teluk Belanga atau potongan Johor) dan berselipar getah. Mereka belajar pada saban hari dan malam dengan duduk bersila atas lantai madrasah. Manakala guru yang mengajar duduk di hadapan mereka.

Mereka menggunakan kitab-kitab lama dalam tulisan Jawi atau kitab bahasa. Pengetahuan agama Islam yang mereka pelajari adalah aliran mazhab Asy Syafie.

Di antara pelajar-pelajar institusi pondok Kepala Batas, di bawah pimpinan Sheikh Abdullah Fahim, ialah:

1 Ustaz Abu Bakar Al Baqir, mudir Maahad El Ehyausy, Gunung Semanggol, Perak dan pemimpin Parti Islam - Hizbul Muslimin.

2 Ustaz Haji Ahmad Abdul Malik (Ahmad Maliki) salah seorang pengasas parti Islam se-Malaysia (PAS) pada tahun 1951.

Saya membaca dan meneliti, ‘ada kekurangan’ tulisan Azmah Abdul Manaf, Pusat Pengajian Pendidikan Jarak Jauh Universiti Sains Malaysia, Pulau Pinang, dalam bukunya Sejarah Sosial Masyarakat Malaysia, diterbitkan oleh Utusan Publications & Distirbutions Sdn.Bhd., kerana dia langsung tidak mencatatkan tentang sekolah agama Daeratul Maariful Wataniah Kepala Batas. Tetapi dia menulis tentang Maahad Al Ihya’ asya Syarif, Gunung Semanggol, Perak.

Mungkin Azmah Abdul Manaf kurang teliti dalam penyelidikannya atau ada sebab-sebab lain yang tidak dapat saya mengagaknya.




Bersama Abdullah Ahmad Badawi,
di Sungai Keladi pada 2008


Buku itu tidak menyentuh langsung akan perjuangan Sheikh Abdullah Fahim dan Haji Ahmad Badawi serta Kepala Batas sebagai salah satu tempat sejarah perjuangan orang Melayu. Bagi saya, sesuatu catatan sejarah tanah air, kalau tidak dicatatkan Kepala Batas, Daeratul Maariful Wataniah, Sheikh Abdullah Fahim dan Haji Ahmad Badawi, maka catatan itu kurang lengkap.

Walau bagaimanapun saya menyanjung tinggi akan usaha Azmah Abdul Manaf yang telah melakukan penyelidikan ilmiah dan menulis buku itu. Buku itu menjadi dokumen penting dalam sejarah bangsa Melayu. Berikut ini saya salinkan tulisan Azmah Abdul Manaf pada halaman 226 dan 227 dalam buku tersebut:

‘Memang banyak madrasah yang didirikan di sini adalah hasil usaha golongan Islah Islam ini. Contohnya Madrasah Al Masriah di Bukit Mertajam didirikan oleh Tuan Haji Salleh Masri seorang lepasan dari Mesir. Madrasah Al Hadi di Melaka dan Madrasah Al Masyahur al Islamiah di Pulau Pinang diusahakan oleh Sheikh Al Hadi, yang pernah ke Mesir dan bergaul dengan para reformis. Ramai juga antara mereka mengajar di madrasah yang ada, contohnya Sheikh Tahir Jalaluddin pernah mengajar di Madrasah Al Masyhur dan Madrasah Al Haji Taib di Muar. Syeikh Tahir Jalaluddin tokoh gerakan Islah Islam yang begitu berpengaruh dan tidak perlu diperkenalkan lagi. Beliau pernah tinggal di Makkah bertahun-tahun lamanya.

‘Tahun 1906 pula merupakan tahun penubuhan Madrasah Al Masriah di Bukit Mertajam, Seberang Perai, Pulau Pinang. Pengasasnya ialah Tuan Haji Salleh Masri. Berdasarkan struktur organisasi dan perjalanannya, bolehlah dikatakan bahawa madrasah ini adalah madrasah pertama yang didirikan dalam sejarah penubuhan madrasah di negeri-negeri Melayu kerana ia lebih menepati ciri-ciri sebuah madrasah. Walaupun ia diasaskan oleh Tuan Haji Salleh Masri tetapi perbelanjaannya madrasah itu ditanggung oleh Tuan Haji Abbas, mentua beliau sendiri. Ketika dirasmikan, Madrasah Al Masriah mempunyai penuntut lelaki berjumlah 30 orang, suatu jumlah yang boleh dibanggakan bagi sebuah institusi pendidikan yang baru. Semakin hari madrasah ini semakin berkembang pesat dan mendapat sambutan yang sangat baik daripada masyarakat sekelilingnya, sehingga ia terpaksa dibesarkan dan dikelolakan oleh satu jawatankuasa madrasah untuk memastikan pengendaliannya berjalan dengan lebih cekap. Tuan Salleh Masri ialah Yang Dipertuanya, yang pertama. Buat pertama kali muncul satu sistem pendidikan Islam yang lebih tersusun organisasinya dan lebih formal.

Sejak tahun itu, semakin banyak madrasah yang ditubuhkan dari tahun ke tahun di serata negeri, ibarat cendawan tumbuh selepas hujan. Antara yang boleh disebutkan di sini ialah Madrasah Al Hadi di Melaka (1917), Madrasah Al Masyhur Al Islamiah, Pulau Pinang (1918), Madrasah Al Khairiah, Kampung Parit Jamil, Muar, Johor (1920), Pada tahun 1921 bertukar nama kepada Madrasah Al Haji Taib, Madrasah Muhammadiah, Kelantan (1917), Madrasah Kampung Parit Baharu, Sabak Bernam (1933), Madrasah Al Ehya asy Syarif, Gunung Semanggol, Perak (1934), Madrasah Al Islah, Kuala Tekol, Temerloh,Pahang (1936), Madrasah Al Kahiriah, Pekok Sena, Seberang Perai (1935), Madrasah Al Alawiah, Arau, Perlis dan Madrasah Khairiah Muhammadiyah, Air Molek, Melaka (1927/28).

Ustaz Abu Bakar Al Baqir adalah bekas penuntut sekolah pondok Sheikh Abdulah Fahim. Penubuhan Maahad Ehya asya Syarif adalah terkemudian dari Daeratul Maariful Watanaiah Kepala Batas.

Sejak tahun 1930-an hingga tahun 1946, kesedaran berpolitik yang berideologikan Islam dan kebangkitan bangsa Melayu menuntut kemerdekaan dari penjajah Inggeris, adalah bermula dari para guru dan pelajar institusi pondok, khasnya institusi pondok Kepala Batas di bawah pimpinan Sheikh Abdullah Fahim dan semua institusi pondok di seluruh Semenanjung Tanah Melayu termasuk dalam wilayah selatan Thailand.

Dari jasa Sheikh Abdullah Fahim, bekas pelajarnya, Ustaz Abu Bakar Al Baqir dan para guru agama di seluruh Semenanjung Tanah Melayu telah menubuhkan parti Islam pertama, iaitu Hizbul Muslimin. Pada bulan Mei 1945. Para lepasan institusi pondok juga telah menubuhkan Parti Islam SeMalaya (PAS) di Kelab Melayu Butterworth pada tahun 1951. Di antara mereka itu, Haji Ahmad Fuad bin Hassan (Kuala Kangsar) lepasan Madrasah Idrisiah Kuala Kangsar dan guru institusi pondok Tanah Liat, Bukit Mertajam dan Ustaz Ahmad Abdul Malik atau Ahmad Maliki bekas pelajar institusi pondok Daeratul Maariful Wataniah, Kepala Batas.

Demikian juga mereka yang menyertai UMNO, ramai yang terdiri dari lepasan institusi pondok seluruh Semenanjung Tanah Melayu, termasuk institusi pondok Kepala Batas. Haji Ahmad Badawi yang memegang jawatan Naib Ketua Pemuda UMNO Malaya dan Haji Ahmad Abdul Malik atau Ahmad Maliki yang menganggotai jawatankuasa khas agama Islam dalam UMNO (sebelum PAS ditubuhkan), adalah lepasan institusi pondok Daertul Maariful Wataniah, Kepala Batas.

Kira-kira sepuluh tahun sebelum Semenanjung Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, institusi pondok Kepala Batas telah berubah kepada sistem sekolah agama. Walaupun pondok masih wujud di belakang sekolah (kini sekolah rendah agama) itu, tetapi sistem pelajarannya secara sekolah yang dijalankan di negara-negara Arab. Pelajar-pelajarnya berpakaian biasa, iaitu bersongkok, kemeja dan seluar panjang dan kasut mengikut kesukaan masing-masing. Mereka belajar dengan selesa, iaitu duduk atas bangku atau kerusi dan menghadap meja tulis.

Pada tahun 1940 – 1950- an, dalam kawasan Kepala Batas dan Tasik Gelugor terdapat 15 buah sekolah agama (rakyat) dibiayai oleh para penduduk setempat, iaitu:

(1) Daeratul Maaariful Wataniah, Kepala Batas.

(2) Madrasah Al Khairiah, Pokok Sena, Kepala Batas.

(3) Madrasah As Sa’adah, Kuala Muda, Kepala Batas.

(4) Madrasah Mutaratul Gharib, Permatang Janggus, Kepala Batas.

(5) Madrasah Darul Ma’arif, Lahar Kepar, Kepala Batas.

(6) Madrasah Mughadul Huda, Permatang Rambai, Kepala Batas.

(7) Madrasah Sa’adiah, Permatang Kerai Kecil, Kepala Batas.

(8) Maahad As Samadani, Permatang Tuan Samad, Kepala Batas.

(9) Madrasah An Nushu wal Istiqa, Simpang Tiga, Lahar Yoi, Kepala Batas.

(10) Madrasah Al Falah, Permatang Tok Gelam, Kepala Batas.

(11) Madrasah Yatimiah Islamaiah, Kubang Menerung, Tasek Gelugur.

(12) Madrasah Tarbiah al Ulum, Lahar Yoi, Tasik Gelugur.

(13) Maahad al Irshad, Padang Manora, Tasik Gelugur.

(14) Madrasah Tarbiah Abtaiah, Kampung Baru, Tasik Gelugur.

(15) Madrasah Irshad al Affal, Kampung Tok Bidur, Tasik Gelugur.

Senarai sekolah-sekolah agama rakyat yang dibentangkan dalam ‘Persidangan Ulama Al Masriah’ 1972’, terdapat sembilan buah sekolah agama dalam bahagian Seberang Perai Tengah dan empat buah sekolah agama dalam bahagian Seberang Perai Selatan. Di seluruh Seberang Perai ada sebanyak 23 buah sekolah agama (rakyat).

Pada tahun-tahun sebelum Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, hampir semua guru dan pelajar sekolah agama terdiri daripada individu-individu yang anti penjajah Inggeris. Mereka dari anak-anak orang kampung yang telah lama disedarkan keburukan penjajah melalui ajaran para ulama.

PERJUANGAN

Saya mengakui, kerana saya adalah salah seorang dari pelajar-pelajar Daeratul Maarif Wataniah, Kepala Batas, sekitar tahun 1953–1955, bahawa tidak ada sekolah agama di Tanah Melayu yang secara serius menyertai perjuangan bangsa Melayu menuntut kemerdekaan, selain dari sekolah tersebut.

Semua sekolah agama di Tanah Melayu termasuk Singapura, lebih-lebih lagi sekolah yang dibiayai oleh Kerajaan Negeri atau oleh dana dari Sultan, tidak sahaja tidak mengambil bahagian secara serius menyertai perjuangan orang Melayu, bahkan tidak membenarkan pelajarnya melibatkan diri mereka dengan perjuangan tersebut.

Penglibatan Daeratul Maariful Wataniah secara serius dengan perjuangan orang Melayu menuntut kemerdekaan, kerana Pengetuanya, Haji Ahmad Badawi Naib Ketua Pemuda UMNO Malaya, Guru Pengawas Pelajaran, Ustaz Haji Ahmad bin Abdul Malik (Ahmad Maliki) Ahli Jawatankuasa Agung PAS dan Setiausaha Daeratul Maariful Wataniah, iaitu Cikgu Ahmad Awang adalah Setiausaha Agung PAS.

Semua pelajar lelaki sekolah tersebut adalah ahli Pemuda UMNO yang pada masa itu berpakaian seragam. Sebilangan dari pelajar-pelajar itu, terutama mereka yang belajar dalam tingkatan atas, telah dilatih oleh Ahmad Badawi dengan semangat jihad fi sabilillah.

Selain dari pelajar-pelajar sekolah Daeratul Maariful Wataniah menyertai Pemuda UMNO, ramai pula pemuda-pemuda Melayu sekitar Kepala Batas yang menyertai badan pemuda itu, di antara mereka itu, Cikgu Azmir bin Haji Mohd. Nor guru bahasa Inggeris sekolah Cina dan Cikgu Mohd. Nor Ahmad guru sekolah Melayu..

Pada masa itu semua ahli Pemuda UMNO berpakaian rasmi - beruniform, itu baju kemeja warna putih berlengan pendek dan seluar putih. Atas kedua bahu tersemat tembaga kecil bertulis Pemuda UMNO, tembaga itu beralaskan pita merah (red tape). Sepatu hitam. Songkok putih seperti songkok para gerila Revolusi Indonesia yang telah melaksanakan Sumpah Pemuda pada 28 Oktober 1928.[7]

Apabila Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Gerald Templer memerintah ala kuku besi Tanah Melayu, maka, semua ahli parti politik tidak dibenarkan memakai uniform. Semua ahli pemuda UMNO terpaksa meninggalkan uniform mereka dan memakai pakaian yang tidak seragam. Gerald Templer khuatir dengan pakaian seragam itu akan menambah marak lagi api perjuangan orang Melayu menentang penjajah Inggeris.

Sir Gerald Templer telah menggantikan tempat Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Henry Gurney yang telah mati ditembak dalam serang hendap oleh Rejimen ke 10 Pahang yang diketuai oleh Abdullah C.D. yang berasal dari Bota, Parit, Perak,[8] dan gerila Parti Komunis Malaya, di Bukit Fraser, Pahang, pada pada 6 Oktober 1951.

‘Tanggal 6 Oktober 1951, dicatatkan sebagai titik tolak darurat bilamana Sir Henry Gurney, Pesuruhjaya Tinggi, dibunuh dalam serang hendap komunis semasa perjalanan ke bukit Fraser Hill; pada hari itu semua pihak terkejut. Pembunuhan itu juga telah menyedarkan kerajaan betapa pentingnya tindakan segera dan lebih serius dilakukan untuk menghadapi pemberontakan komunis. Sebagai langkah utama ke arah memerangi komunis dengan lebih berkesan lagi, Perdana Menteri British, Sir Winston Churchill telah melantik Jeneral Sir Gerald Templer sebagai Pesuruhjaya Tinggi mulai Mac 1952. Beliau juga merupakan pemerintah tertinggi dan Pengarah Gerakan Tanah Melayu yang diberi kuasa penuh. Beliau segera bertindak membereskan segala halangan yang boleh menjejaskan kelicinan melawan komunis. Darurat adalah menjadi keutamaan kerajaan pimpinannya.’[9]

Kerajaan British telah mulai takut terhadap pemuda UMNO beruniform kerana pakaian seragam itu sama dengan pakaian seragam Pemuda Revolusi Indonesia yang menentang Belanda. Pada masa itu juga Kerajaan British telah menabur cerita bohong, kononnya orang Melayu mahukan Presiden Sukarno memerintah Tanah Melayu dan semua Raja Melayu akan diturunkan dari takhta masing-masing.

Mereka juga telah menaruh prasangka terhadap Pemuda UMNO, iaitu ada kemungkinan mereka bekerjasama dengan pemuda-pemuda Indonesia yang telah merdeka untuk menentang British, lebih-lebih lagi Saadon bin Haji Zubir keturunan Jawa dan terpengaruh dengan perjuangan Sukrno.

Kerana Saadon bin Haji Zubir (keturunan Jawa) terpengaruh dengan perjuangan Presiden Sukarno, maka, anak lelakinya telah dinamakan Sukarno. Tetapi, apabila berlaku konfrontasi Republik Indonesia terhadap Malaysia, nama anaknya digantikan dengan nama lain. Dia tekah membenci dan mengutuk Presiden Republik Indonesia itu..

Konfrontasi itu telah berlaku kerana Presiden Sukarno menentang gagasan Malaysia yang dianggap satu ‘projek British’ untuk menjajah jiwa, politik dan ekonomi orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu khasnya dan Nusantara, amnya.

Presiden Sukarno mendakwa British telah mempergunakan Tunku Abdul Rahman supaya menubuhkan Malaysia. Penubuhan itu dikatakan bertujuan untuk menyelamatkan harta benda British, Amerika dan mereka yang bersekutu dengannya, iaitu minyak dan perdagangan penting dalam wilayah Borneo yang meliputi Brunei, Sarawak dan Sabah.

Presiden Sukarno mendakwa, bahawa Kerajaan British takut harta mereka akan dijadikan milik negara oleh Pemerintah negara baru, iaitu Republik Kalimantan Utara’ yang menyatukan Brunei, Sarawak dan Sabah yang akan ditubuhkan oleh Parti Rakyat Brunei (PRB) [10] yang dipimpin oleh Sheikh A.M. Azhari, Brunei.

Selain dari itu Presiden Sukarno telah menuduh Lee Kwan Yew, Singapura, menjadi tali barut Yahudi dan British untuk menubuhkan Malaysia, kerana bertujuan dan muslihat, iaitu Singapura menyertai Malaysia buat sementara dan kemudian menarik pulau milik bangsa Melayu itu keluar dari Malaysia; Singapura akan menjadi negara republik yang merdeka dikuasai oleh orang Cina.

Pada masa itu Lee Kwan Yew akrab dengan tokoh politik Yahudi di Singapura, di antaranya, David Marshall dan Alex Jeossy (wartawan).

Gagasan Malaysia itu turut ditentang oleh Filipina. Sedangkan negara itu berada dalam MAPHILINDO (Malaysia, Filipina dan Indonesia) – sebuah pakatan tiga negara yang menggantikan Melayu Raya. Presiden Republik Indonesia, Sukarno dan Presiden Filipina, D.Macapagal telah mengecam Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan gagasan Malaysia di Singapura.[11]

Di antara ahli-ahli politik yang menentang Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan Malaysia di Singapura dengan tidak berunding lebih dahulu dengan kabinet dan UMNO, ialah Tan Sri Syed Jaafar Albar, Abdul Aziz Ishak dan Sulaiman Palestin (UMNO). Di antara mereka di luar UMNO yang menentang langkah Tunku Abdul Rahman itu, ialah Dr. Burhanuddin Helmi (pendukung gagasan Melayu Raya) dan Ahmad Boestamam (Parti Rakyat Malaya - Front Socialist).

Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Kerajaan British telah menolak dakwaan Presiden Sukarno yang Malaysia projek penjajah British. Tetapi ternyata apa yang didakwakan oleh Presiden Sukarno itu benar, kerana tidak lama kemudian Singapura keluar dari Malaysia sebagai sebuah negara merdeka bertaraf republik, iaitu Republik Singapura.

Kenapa Malaysia ditubuhkan?

‘Pada umumnya konsep atau gagasan Malaysia bukan merupakan satu konsep yang baru. Pemikiran tentang satu gagasan ini telah muncul dari akhir abad ke- 19 lagi dengan beberapa konsep seperti ‘Melayu Raya’ di rantau ini.

Di samping itu terdapat banyak nasionalis Melayu yang bersetuju bahawa akhirnya wilayah di Asia Tenggara yang telah dipisahkan oleh penjajah British, Belanda dan Amerika akan bercantum semula setelah zaman penjajahan tamat. Walau bagaimanapun banyak yang terkejut dengan saranan Tunku Abdul Rahman kerana pada umumnya Asia Tenggara pada masa itu masih lagi bergolak dengan berbagai-bagai masalah termasuk Perang Vietnam dan ancaman Komunis di beberapa buah negara seperti Indonesia, Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu sendiri. Selain itu, Persekutuan Tanah Melayu baharu sahaja menolak hasrat Singapura untuk turut serta dalam Persekutuan Tanah Melayu. Akibatnya ada yang mengatakan bahawa Tunku mungkin ingin menguji reaksi wilayah-wilayah yang terlibat, tanpa membuat persediaan yang teliti.

Walau bagaimanapun Tunku sebenarnya amat bimbang dengan beberapa perkembangan terakhir di Singapura yang ada hubung kait dengan ancaman komunis. Pada bulan Mei 1961 ada tanda-tanda bahawa Parti Tindakan Rakyat (Peoples’ Action Party - PAP) menghadapi kekalahan di Singapura, termasuk kawasan pilihan raya Hong Lim. Selain kemungkinan jatuhnya PAP di negeri tersebut, jika Singapura di bawah satu kuasa yang berhaluan kiri tentu akan menjadi ancaman terhadap Persekutuan Tanah Melayu. Tunku menyedari bahawa Persekutuan Tanah Melayu tidak dapat menjamin keselamatan Singapura sekiranya negara tersebut menjadi ‘Cuba’ yang kedua.

Pandangan ini ada hubungan dengan teori keselamatan yang merupakan satu realiti di Asia Tenggara dalam tahun 1970-an. Selain perang di Tanah Besar Asia Tenggara, pihak komunis sedang mara di Vietnam, Laos dan Combodia. Persekutuan Tanah Melayu sendiri menghadapi ancaman pengganas komunis dalam dekad 1960-an dan teori domino telah disifatkan satu teori yang tepat pada masa itu.

Selain dari ancaman komunis di Singapura, Persekutuan Tanah Melayu juga yakin bahawa rakyat bumiputera di Sabah, Sarawak serta Brunei tidak dapat hidup bersendirian. Pada umumnya rakyat bumiputera di wilayah-wilayah itu telah jauh ketinggalan dari segi pembangunan kerana terbiar di bawah penjajah British. Melalui ‘gabungan politik dan ekonomi’ antara rakyat Sabah dan Sarawak akan dapat mencapai kemerdekaan melalui Malaysia dan masa depan mereka terjamin. Alasan lain ialah ancaman komunis di Sarawak semakin serius kerana terdapat kegiatan pengganas Parti Komunis Kalimantan Utara.

Sekiranya Singapura sahaja bergabung dengan Malaysia, kedudukan orang-orang Melayu dan bumiputera akan menjadi tidak seimbang kerana bilangan penduduk Cina yang banyak di negara itu. Akibatnya adalah difikirkan munasabah sekiranya wujud gabungan wilayah yang lebih luas dengan memasukkan wilayah Borneo iaitu bekas tanah jajahan British untuk memperseimbangkan kedudukan kaum. Dalam gabungan ini jumlah penduduk bumiputera akan dapat mengimbangi jumlah penduduk bukan bumiputera yang mewakili 80% rakyat Singapura pada masa itu.

Selanjutnya gagasan Malaysia akan menjamin proses kemerdekaan yang lebih cepat bagi wilayah-wilayah British di Borneo. Mengikut pandangan Tunku, pihak British tidak mempunyai rancangan untuk memberi kemerdekaan kepada Sabah dan Sarawak dalam masa lima tahun lagi. Sekiranya kemerdekaan diberi, wilayah-wilayah tersebut mungkin menghadapi kesukaran kerana hasil ekonomi yang kurang memuaskan. Dengan menyertai Malaysia, Tunku berharap Sabah dan Sarawak akan dapat menyelesaikan beberapa masalah, sekali gus masalah ekonomi dan kemerdekaan negeri-negeri yang terlibat termasuk Singapura.’[12]

Ahli-ahli Pemuda UMNO Kepala Batas terkenal sebagai ‘gerakan pemuda’ yang berdisiplin, kuat berpegang kepada agama Islam, berani dan berpandangan jauh. Pada tahun 1954, Tunku Abdul Rahman, ketika berucap dalam satu perhimpunan UMNO di Kelab Melayu Butterworth, telah memuji ahli-ahli Pemuda UMNO Kepala Batas.

Sesungguhnya semua ahli pemuda UMNO Kepala Batas terdiri daripada pelajar-pelajar Sekolah Daeratul Maariful Wataniah. Mereka itu adalah dari pelajar-pelajar dari Kedah, Perak, Selangor, Johor dan Singapura.

Semua pelajar itu telah dibimbing oleh Naib Ketua Pemuda UMNO Malaya, Haji Ahmad Badawi dengan perjuangan yang berfalsafahkan:

1 Agama Islam; Ketuhanan yang Maha Esa, Quran panduan dan undang-undang hidup umat manusia, Nabi Muhammad pemimpin agung yang berjiwa revolusi.

2 Bangsa Melayu ketuanan negara yang menjadi induk bangsa Nusantara.

3 Bangsa Melayu tak hilang di dunia selagi mereka berpegang kuat kepada agama Islam.

4 Semua bangsa asing di bumi ini adalah pendatang, tetapi mereka boleh menyertai kemerdekaan dan menjadi rakyat negara ini selagi mereka taat setia kepada negara ini dan menghormati hak-hak bangsa Melayu.

Pada masa itu hampir semua orang Melayu di Kepala Batas menyanjung Haji Ahmad Badawi kerana telah dipilih menjadi pembantu Saadon Haji Zubir untuk memimpin Pemuda UMNO Malaya.

Saya melihat, walaupun orang Melayu Kepala Batas pada tahun-tahun hampir dengan hari kemerdekaan negara 31 Ogos 1957, telah beganding bahu berjuang menuntut kemerdekaan tanah air, tetapi mereka itu tidak berada dalam hanya sebuah parti politik. Ada yang menyertai UMNO, Pemuda UMNO, ada pula yang menyertai Parti Islam SeMalaya (PAS) dan parti Buruh.

Pada masa itu, walaupun UMNO dan PAS pimpinan Haji Ahmad Fuad Hassan tidak berjuang bersama disebabkan PAS sebuah parti politik berideologikan Islam, namun ahli-ahli dari dua-dua buah parti politik orang Melayu bersatu seperti dua saudara kandung. Orang PAS dan UMNO sama-sama mengakui ‘saudara kandung’ dan sama-sama memperjuangkan kemerdekaan bangsa Melayu dan tanah air Melayu. Mereka berjuang seperti falsafah dalam pantun Melayu di bawah ini:

Kalau roboh Kota Melaka,

Papan di Jawa saya dirikan,

Kalau sungguh bagai dikata,

Badan dan nyawa saya serahkan.

Pada tahun 1953 – 1954 pejabat setiausaha agung PAS, Cikgu Ahmad Awang (Sekolah Melayu Paya Keladi) terletak dalam sebuah bilik di sebelah pejabat Naib Pemuda UMNO Kepala Batas dan Naik Ketua Pemuda UMNO Malaya, Haji Ahmad Badawi.

Saya juga melihat, bahawa perjuangan orang Melayu pada masa itu tidak dipengaruhi oleh niat buruk dan ‘semangat dan cita-cita kaum pendatang’. Ertinya perjuangan orang Melayu tidak dinoda oleh perangai cenderung kepada ‘rasuah politik’, ‘menikam belakang kawan’ atau ‘biar musnah bangsa asalkan diri sendiri hidup mewah’.

Perjuangan pada masa ini telah dinodai oleh faktor-faktor berikut:

· Sanggup bunuh kawan kerana kedudukan dan nama.

· Sanggup jatuhkan saudara kerana emas dan harta.

· Sanggup musnahkan saudara kerana kepentingan diri sendiri.

· Sanggup gadai maruah kerana ‘rasuah politik’.

· Sanggup menipu diri kerana mengejar nama dan pangkat.

Sesungguhnya Kepala Batas, Pulau Pinang, adalah satu nama besar dalam sejarah perjuangan kemerdekaan bangsa Melayu. Perjuangan itu bermula dengan perjuangan yang berdasarkan Islam atau Islamisme. Perjuangan tersebut kerana ‘Melayu itu Islam’ dan Tanah Melayu bumi umat Islam’.

Orang tua-tua Melayu mengajar saya, iaitu, kalau hendak mengetahui akan seseorang itu dari bangsa Melayu, ialah, dia tahu membuat dan suka atau gemar makan lemang dan ketupat. Lemang dan ketupat mengandungi falsafah yang tersembunyi.

Lemang

Pucuk pisang melambai awan,

Santan lemak kelapa bergayut,

Buluh muda di paya dura,

Beras pulut dari huma,

Garam putih dari laut,

Dalam pembetungan semuanya bersatu.

Palang kayu lemang bersandar,

Kayu api dari belukar belakang desa,

Tiada api lemang tak masak juga.

Lemang menjadi lambang kekuatan dan keberanian orang Melayu. Walaupun buluh muda, tetapi sanggup menghadapi api. Walaupun api menyala marak, namun buluh lemang tidak menjadi arang. Ada orang yang pandai, sebatang buluh boleh memasak tiga hingga lima kali lemang.

Lemang juga mengajar orang Melayu kekal dengan maruah dan adat bersendikan agama Islam, iaitu lemang yang telah masak, dikeluarkan dari buluh, pulutnya berbalut dengan daun pisang yang masak juga; keadaannya seperti orang yang berpakaian.

Maka, membuktikan seseorang itu beragama Islam, beriman kepada Allah dan bangsa Melayu, dia berpakaian menutup auratnya. Sesiapa yang berpakaian mendedahkan perut dan pusatnya, maka dia terkeluar dari falsafah lemang atau hidup tidak beriman.

Ketupat

Daun palas dari belukar,

Beras pulut padi paya,

Santan lemak kelapa bergayut,

Garam sejemput mengenakkan rasa,

Dalam periuk semua bersatu,

Tiada api ketupat tak masak.

Ketupat tiga bucunya;

Bucu pertama bangsa,

Agama Islam bucu kedua,

Bukti tanah air bucu ketiganya.

Untuk membuat ketupat memerlukan orang yang arif mengadun daun palas. Kelihatannya laksana wanita memakai seluar dalam. Membuka daunnya tidak menyusahkan. Dari ketupat dapat mengetahui sama ada si pembuatnya tahu adat dan resam orang Melayu atau tidak.

Ertinya ketupat menjadi lambang kehidupan bangsa Melayu. Mereka hidup atas tiga dasar penting, iaitu bangsa, agama Islam dan negara. Hilang salah satu dari tiga itu nama Melayu hilang di dunia.

Sesungguhnya, sesuatu bangsa di dunia ini akan terhapus, sekiranya individu-individu – dari pemimpin hingga kepada rakyat jelata tidak mengambil Islam sebagai dasar atau undang-undang bagi kehidupan mereka di dunia ini. Parti politik, harta dan kekayaan, kedudukan dan pangkat dan apa sahaja tidak akan menjamin kekukuhan satu-satu bangsa itu.

Kata-kata Hang Tuah, “tak Melayu hilang di dunia”, adalah kalimat-kalimat yang lahir dari pengarang buku itu – mungkin dia seorang yang amat faham akan agama Islam dan pengamal tasawuf. Bangsa Melayu tak hilang di dunia kerana beragama Islam.

Presiden Soekarno pernah berkata, bahawa bangsa yang kuat adalah bangsa yang kuat berpegang kepada agama Islam, iaitu berpegang teguh kepada kepercayaan adanya Allah dan kuasa-Nya atas alam.(mp)


[1] Gilbert Khoo, Sejarah Asia Tenggara Sejak Tahun 1500, 1976, Kuala Lumpur, Penerbit Fajar Bakti Sdn. Bhd., hlm.177.

[2] Paul Nash, History and Eduacation, 1970, New York, Raandom House, Inc., hlm. 212, 213.

[3] Tun Abdul Razam bercerita dengan penulis di Rumah Rehat, Taiping, pada tahun 1974.

[4] Malaysia Kita , 1991,Kuala Lumpur, Institut Tadbiran Awam Negara Malaysia (INTAN), hlm. 770.

[5] Penulis memperoleh keterangan dari: Sheikh Abdullah Fahim, Ustaz Abu Bakar Al Baqir, Haji Ahmad Abdul Malik (Ahmad Maliki), Datuk Haji Ahmad Badawi dan Ustaz Haji Ahmad Scor.

[6] Ustaz Abu Bakar Al Baqir memberitahu penulis di Ipoh, pada tahun 1976.

[7] Yayasan Gedung Bersejarah Indonesia, Bunga Rampai Sumpah Pemuda, 1978, Jakarta, PN Balai Pustaka.

[8] Lihat: Abdullah C.D., Memoir Abdullah C.D.

[9] Mohd. Reduan haji Asli, Pemberontakan Bersenjata Komunis di Malaysia, 1993, Kuala Lumpur, Dewan

bahasa dan Pustaka, hlm.47.

[10] Haji Zaini Haji Ahmad, Parti Rakyat Brunei, 1990, Petaling Jaya, Institute of Social Analysis (INSAN).

[11] Mokhtar Petah, Memoir ‘Bertongkatkan Paruh’ (akan terbit).

[12] Malaysia Kita, 1991, Kuala Lumpur, Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN), hlm.511, 512.






No comments: