Sunday, January 17, 2010

CERITA DARI NOVEL


KELINGKING BERKAIT

Haji Adnan telah berkahwin dengan Bedah. Semua anggota masyarakat Orang Asli di Janda Baik, gembira. Mereka gembira kerana Haji Adnan telah menjadi anggota masyarakat mereka. Perkahwinan Haji Adnan dengan Bedah, mereka memndang sebagai satu penghormatan orang Islam kepada mereka. Mereka itu ’saudara baru’ dalam masyarakat Islam di negara ini.

Haji Adnan dan Bedah telah berniaga serbuk, kapsol dan air ubat-ubatan tradisional. Banyak ilmu membuat ubat tradisional yang telah didapati oleh Haji Adnan dari Azmi. Semua ilmu itu telah gunakan.

Berbagai jenis Minyak hangat atau minyak urut telah dibuat oleh Haji Adnan. Minyak urut belalang dewa, minyak lengkuas ranting, minyak kayu putih dan pelaga hutan dan sebagainya.

Minyak belalang dewa paling mujarab. Penyakit sengal-sengal sendi, tulang dan urat, penyakit angin, kendur-kendur urat, lenguh-lenguh dan kurang tenaga boleh diurut dengan minyak tersebut.

”Abang, belalang dewa ni panas, ...kalau abang urut, hangat tak boleh tidur...,”kata Bedah sambil senyum.

Haji Adnan ketawa.

”Belalang dewa ni banyak, atas bukit Titiwangsa, ...Tanah Rata,”kata Bedah lagi.

“Ia, ...kalau macam tu kita boleh cari banyak lagi,”kata Haji Adnan.

“Tak payah cari, abang, susah, kita beli pada budak-budak di sini...,”sahut Bedah.

“ ...ia, budak-budak boleh carike?” tanya Haji Adnan.

“Boleh, Bedah boleh cakapkan,”jawab Bedah.

Haji Adnan merenug isteri mudanya. Hatinya berdoa kepada Allah, mudah-mudahan Allah akan mengurniakan kepada mereka seorang cahaya mata.

“Kalau perempuan ngandung dua bulan, makan ketis belalang dewa tu dengan sirih, ...boleh gugur...,”jelas Bedah.

”Ia, bagus tu, Bedah,” sahut Haji Adnan.

JANDA GALAK

Mereka berkebun herba atas tanah milik Bedah. Pokok-pokok tongkat Ali, mengkudu susu, pelaga rimba, kacip Fatimah, seruntun, lenggundi, janda galak, misai kucing, halia bara, kunyit bara, lengkuas ranting, temung, lempoyan dan tunjuk langit berderek menghijau atas tanah seluas lima ekar itu.

Cikgu Zainab tidak mengetahui suaminya telah berkahwin dengan Bedah. Guru pencen itu langsung tidak terfikir yang suaminya akan berkahwin lagi. Tetapi Cikgu Zainab tahu suaminya kuat dan bertenaga. Dia sendiri tidak panas baran lagi. Darah telah tidak naik ke kepalanya dan tidak ada tekanan jiwa (stress) lagi.

Haji Adan telah berjaya menyuntikk keyakinan kepada isteri tuanya. Kononnya, tiap-tiap hari dia keluar rumah atau dalam seminggu dua dia tidak balik ke rumah, kerana dia berjuang dalam parti politik kerajaan. Ikut wakil-wakil rakyat atau politikus melaat kawasan masing-masing atau berjumpa beberapa orang menteri dan sebagainya.

Cikgu Zainab percaya suaminya seorang pejuang dalam parti politik.Perasaan bangsa membungkus hatinya; suaminya seorang pejuang dan ahli politik yang gigih.Suaminya mewarisan perjuangan Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Dr Mahathir Mohamad.

Semenjak Haji Adnan melibatkan dirinya dalam parti politik dan berkawan dengan wakil rakyat, dia menunjukkan kesetiaannya kepada isteri tuanya. Tubuh isterinya telah menjadi seperti tepung roti canai atau capati; sentiasa dipicit, ditepuk, dilenyet dan diulinya.

MADU LEBAH

Haji Adnan sering memuji Azmi dari jauh. Hatinya sering mengucap terima kasih kepada pemuda itu. Azmilah yang membuka lebuh raya bagi dirinya. Madu lebah campur, lengkuas ranting yang diberi oleh Azami, telah membina dirinya bertenaga, gagah, kuat dan bagai Badang. Kerani pencen itu telah berjaya ’towering personality’nya.

Bila Haji Adnan berada di rumah Bedah, pada tiap malam dan pagi isteri mudanya itu memberi dia minum ubat dan makan jamu. Hati dan perasaannya berkeadaan seperti orang muda.

“…takke risau, Cikgu?” Munah tujuh kali menjanda bertanya kepada Cikgu Zainab.

“Risau apanya, …tak ada yang nak saya risaukan…,”jawab Cikgu Zainab.

“Takkan tak risau,… nampaknya abang aji tu tak macam dulu lagi…,”kata Munah. Mulutnya memuncung.

“Mengapa, …ada apa?”Tanya Cikgu Zainab.

“Ialah,.…pagi petang melaram aja,…nanti anak dara mana, janda mana kebas…,” kata Muna lagi.

Munah perempuan kampung seberang. Kawan lama Cikgu Zainab. Pada masa Cikgu Zainab masih mengajar, Munah telah berniaga di kantin sekolahnya. Pada masa itu mereka berkenalan dan bersahabat rapat.

“Saya ni, Munah, bukan nak cakap besarlah, abang Haji kamu tu tak ke mana...,”kata Cikgu Zainab.

“Ngapa?”Tanya Munah.

“…dia tu dah macam beruk berantai, …puyuh jantan, ….kata orang ke mana berulang badak, gajah, kalau tak ke jenalik, ke sira lama juga,”kata Cikgu Zainab.

“Fasal, siapa yang rantai dia, siapa yang jebak dia?”Tanya Munah.

“Kamu ni, Munah, …kamu tak tau,” kata Cikgu Zainab.

”Apa Cikgu?”Munah bertanya. Mulutnya memuncung. Melopong.

”...saya dah beri makan serbuk mak Sari’ah, nasi kangkang…,”kata Cikgu Zainab.

“Iake, …?”Tanya Munah.

“Ia, lagi pun tak kan dia berani, …saya ni, Munah..., kalau abang Haji kamu nak kahwin lagi, langkah mayat saya dulu...,”kata Cikgu Zainab sambil menepuk dada penuh isinya. Takbur.

Tiada seorang pun dari penduduk-penduduki kampung Mandi Angin itu yang mengetahui Haji Adnan telah menikah dengan Bedah. Tidak ada rakan-rakannya telah mengetahui dia telah memadukan isterinya. Orang-orang politik tidak tahu, kerana mereka tidak bernikah di Bentong atau di Janda Baik. Mereka telah menikah di kampung Orang Asli, di Bidur, Perak.

BURUNG TIONG

Munah yang telah tujuh kali menjanda, amat arif perangai orang lelaki. Mereka macam burung tiung dengan buah betik masak; selagi paruh tak patah selagi itu buah betik itu dipatuknhya.

Memang telah menjadi pengetahuan Munah. Kebanyakan orang lelaki, bila di hadapan isteri masing-msing, pijak semu pun tak mati, tetapi bila di belakang, macam kijang jantan panjat bukit atau macam gajah turun minyak.

Kadang-kadang Munah ketawa sendirian. Bila ditimbang sama dan disukat cukup; orang perempuan pun sama juga. Di hadapan suami macam gondang bertelur di batang kemahang, tetapi di belakang suami, macam kedidi gatal atas batas sawah. Macam kambing bertemu daun nangka.

”Laki Cikgu ni tentu dah nikah lain,”hati Munah bersuara.

Cikgu Zainab merenung muka Munah. Perempuan itu seperti dia juga, tidak beranak. Macam tanah beracun; batang dan tunjang dipacak, kering jadinya. Benih disemai sambang akhirnya. Kontang.

”...tak siapa nakkan abang Haji tu, Munah, ...dah tua kerepot,”kata Cikgu Zainab.

Munah senyum. Munah tahu. Orang lelaki tua macam lengkuas, lagi tua lagi menjadi.Lagi tua lagi dicari oleh tukang masak. orang. Macam buluh tua, tahan dibuat rakit.Dinding rumah. Pagar tanaman.Sedkurang-kurang dijadikan colok air. Laksana buah kelapa; lagi tua lagi banyak santannya.Banayak lemaknya. Munah faham sangat, pada masa ini ramai anak dara suka bersuami tua.

”Macam nilah, Cikgu,”kata Munah. Senyum.

“ Apa, Munah?”Tanya Cikgu Zainab.

“Tak usah runsing-runsing sangat, abang Haji tu kawin lainke, tidak ke, Cikgu buat dek aja,”jawab Munah.

“Maunya…,”sahut Cikgu Zainab.

“…ialah, kita ni manusia, Tuhan berkuasa, …mana tau…, kalau abang Haji tu kahwin lain, biarkanlah, dah tua-tua ni takkan nak rebut benda tu aje kot…,”kata Munah.

TELUNJUK LURUS

Cikgu Zainab ketawa. Munah ketawa. Memang telah lama hati Munah berkenankan Haji Adnan. Sekadarkan ikhtirnya belum cukup. Hati Munah dengan Cikgu Zainab, macam hati Yahudi dengan Arab. Telunjuk lurus kelingking berkait. Harapannya tinggi melangit; pada satu hari nanti dia akan dapat juga berkongsi suami dengan rakannya itu.

Kira-kira sebulan kemudian, pada suatu hari, Munah telah pergi ke rumah seorang kawannya di kampung Janda Baik. Kebetulan pula pada hari itu kawannya itu mengadakan kenduri bercukur rambut cucu lelakinya. Dalam majlis itu Munah telah tertembung dengan Haji Adnan bersama isteri, Bedah.

”Munah, ni kak baru Munah,” Haji Adnan memperkenalkan isterinya kepada Munah.

”Apa khabar, kak?”Tanya Munah sambil berjabat tangan dengan Bedah.

”Khabar baik,”jawab Bedah.

”Kami dah lama kenal, abang Hji,” kata Munah kepada Haji Adnan.

”Ia, abang,” sambut Bedah.

Haji Adnan tercengang. Dia tidak menyangka akan bertemu dengan Munah di situ. Munah telah lama bersahabat Bedah. Mereka mula berkenalan pada masa Munah berniaga kantin di pejabat Hal Ehwal Orang Asli pada dua tahun lalu.

Haji Adnan merenung Munah. Sambil senyum dia meletakkan telunjuknya atas mulutnya. Munah senyum. Munah tahu Haji Adnam meminta dia merahsiakan dari Cikgu Zainab. Munah mengangguk. Hatinya gembira bercampur hampa.

”...tolong kawan kak, jangan sampai kak lagi satu tau,”bisik Bedah kepada Munah.

”Tak apa, insya Allah,”kata Munah. Jujur.

”Aku juga yang melepas,”sungut hati Munah.

Dua biji mata Munah merenung dahi Haji Adnan sambil menelan air liurnya sendiri.

BOTOL BERKARAT

Di sekitar Bentong sukar mendapat madu lebah yang baik. Tidak terdapat madu lebah yang bermutu seperti madu lebah di kebun Azmi. Banyak juga madu lebah dijual orang di tepi jalan, tetapi kebersihannya di ragukan. Botol berkarat dan madunya dicampurkan dengan air gula. Masam rasanya.

Haji Adnan dan Bedah memerlukan madu lebah yang bermutu untuk diadunkan dengan ubat-ubatan akar kayu mereka.

”Macam mana ni, dua tiga yang berhormat nak ubat..., ramai orang politik nak ubat..., tapi madu lebah tak ada,”hati Haji Adnan seperti orang meratus atas pusara isteri.

”Macam ni, Bedah,”kata Haji Adnan.

”Apa, abang?” Bedah bertanya.

”Kita pergi ke Ulu Yam, di sana kawan abang ada jual madu lebah,”kata Haji Adnan kepada isterinya.

”Ha, bagus tu, ...di mana Ulu Yam tu, abang?”Tanya Bedah.

“ Dekat Kuala Lumpur, …tapi kena masuk dekat rimba..., abang pun tak berapa ingat...,” jawab Haji Adnan.

” Tak apa, kereta ada,”sahut Bedah.

”Mana tahu, kawan abang tu, kalau-kalau dia nak beli akar-akar kayu kita,”kata Haji Adnan.

”Kalau dia nak beli baguslah ...tongkat Ali banyak, kacip Fatimah banyak, mas cotek ada, ...Bedah tanam dulu tu,”sahut Bedah.

“Ia, bagus tu, Bedah, ...sayang abang,”kata Haji Adnan.

“Dahlah tu abang ni, dah jadi belalang dewala, tu...,”kata Bedah. Ketawa.

Pada pagi Sabtu, Haji Adnan bersama isterinya telah pergi ke Ulu Yam. Mereka membawa buah tangan kepada Azmi, iaitu dua uncang akar-akar kayu dan dua bakul, tiap-tiap sebiji bakul berisi dua puluh pokok anak semaian tongkat Ali dan tiga puluh anak semaian kacip Fatimah.

Bedah hendak singgah di kampung Orang Asli, di Gombak, maka mereka mengikuti Jalan raya lama, Bentong - Kuala Lumpur. Semenjak ada jalan baru Kuala Lumpur- Karak, jalan raya yang lama itu menjadi jalan usang. Di kiri kanannya semak samun.

Mereka singgah di kampung Orang Asli di Gombak. Kemudian Haji Adnan memandu keretanya menuju hala ke Bandaraya Kuala Lumpur. Kereta yang diopandunya masuk ke jalan Pahang dan ke luar ke bulatan Jalan Tun Razak dekat Hospital Besar.

“Ya, Allah, abang tersilap, Bedah,”kata Haji Adnan.

“Ia, abang, kita kena balik ke belakang,”kata Bedah.

RASA GAYAT

Haji Adnan memandu keretanya dan mengikuti bulatan dan masuk semula ke Jalan Pahang. Kira-kira setengah jam barulah Haji Adnan dapat memandu keretanya masuk ke Jalan Batu Caves dan masuk ke jalan menuju ke Ulu Yam.

”Abang bawa kereta macam orang muda,” kata Bedah.

”Iake, ...lajuke, ...seronok...?” Haji Adnan bertanya. Ketawa.

”Seronok tu seronokle, ...tapi Bedah rasa gayat, takut, abang...,”sahut Bedah.

” ...takkan gayat kot, kalau tinggi, gayatla, ...tapi kereta kita ni merangkak aje...,” sahut Haji Adnan.

Mereka ketawa. Bunyi tawa mereka seperti seolah-olah akan memecahkan kaca-kaca tingkap kereta mereka. Beza mencubit peha kiri suaminya.

Kereta yang dipandu oleh Haji Adnan mendaki dan menurun bukit. Mengikuti ke Ulu Yam yang bengkang bengkok bagaikan ular kena palu.

Haji Adnan memberhentikan keretanya di hadapan pintu pagar rumah Azmi. Sambil keluar dari kereta, dua biji matanya liar merenung ke dalam pagar dan tersangkut pada dua buah kereta di halaman rumah itu dan lantas tercampak ke bangunan kilang dan kebun madu lebah di belakang rumah tersebut.

Long datang menghampiri pintu pagar. Dia tercengang sejenak di situ kerana melihat Haji Adnan dan Bedah berdiri di pintu pagar itu.

”Tuan Haji..., Bedah...,”sapa Long.

”Eh, Long, kamu ada di sini,”sahut Haji Adnan.

“Eh, Bedah, Bedah, …kamu…?” Long menyapa Bedah.

“Eh, abang Long,”Bedah hampir menjerit kepada Long.

“…mana pula kamu kenal Bedah ni, Long?”Haji Adnan bertanya.

“…abang Long ni, abang saudara saya, abang,”kata Bedah.

“Ia, adik saudara saya,”jawab Long.

Haji Adnan tercengang seperti kena pukau.

”...Bedah ni isteri saya, ...kami baru kahwin...,”Haji Adan memberitahu Long.

”Ha, ...eloklah, ...,Cikgu macam mana?”Tanya Long.

“Baik, ada di kampung,”jawab Haji Adnan.

Long merenung Haji Adnan dan Bedah.

“ …pakai dua,”kata Haji Adnan.

Long ketawa. Bedah dan Haji Adnan turut ketawa.

”Mana Azmi?”Tanya Haji Adnan kepada Long.

“…di kebun,”jawab Long.

ANAK ANGKAT

Bedah berjalan masuk ke halaman rumah Azmi. Haji Adnan memandu keretanya masuk ke halaman rumah itu dan diletakkan tepi jalan ke kilang herba. Long memandu mereka berjalan mmendapatkan Azmi dalam kebunnya.

Haji Adnan berdiri terpaku atas bumi. Tercengang. Di hadapannya berdiri anak angkatnya, Mahyun bersama Tijah dan Dara.

”Ayah,”suara Mahyun menyapa bapa angkatnya.

”...Yun, apa buat di sini Yun,”tanya Haji Adnan.

Mahyun datang menerpa kepada Haji Adnan dan berjabat tangannya diikuti oleh Tijah dan Dara. Tetapi Dara tidak berjabat tangan dengan Haji Adnan.

”...ini mak Cik Yun, ...isteri ayah,”Haji Adnan memperkenalkan Bedah kepada Mahyun.

”Mak su..., apa khabar, Mak Su,”Tijah menyapa Bedah dan memeluknya.

”...khabar baik, ...datang dengan Pak Su,”jawab Bedah.

”Bila ayah nikah dengan Mak Cik, ayah?” Mahyun bertanya kepada Haji Adnan.

”Baru, baru empat bulan...,”jawab Haji Adnan.

Mahyun senyum. Hatinya bersyukur kepada Allah, kerana bapa angkatnya telah bebas dari kekangan ibu angkatnya.

” ...tapi, tolong, Yun, tak usah beri tahu emak, ...perang sekampung nanti...,” Haji Adnan.

Mahyun ketawa. Semua ikut ketawa.

”Ialah,...tak apa, ayah tak usah risaulah,”sahut Mahyun.

Haji Adnan tertanya-tanya dalam hatinya, mengapa Mahyun berada di situ.

Dari jauh lagi Azmi mengangkat tangan kanannya Haji Adnan dan Bedah.

Apa khabar Pak Aji? Azami bertanya.

“Khabar baik,”jawab Haji Adnan.

Mereka berjabat tangan.

“…mana Cikgu?”Tanya Azmi.

Haji Adnan senyum. Mahyun merenung wajah Azmi.

“Di kampung...,”jawab Haji Adnan.

“ ...ini Mak Cik Bedah..., isteri ayah, abang,” Mahyun memberitahu Azmi.

Allahu Akbar, alhamdulillah, ...selamat pengantin baru,”ucap Azami.

Azmi ketawa. Mereka turut ketawa.Bunyi tawa mereka lantas ke hutan rimba Ulu Yam.

”...emak saudara Tijah,”Tijah memberitahu Azmi.

”Ha, begitu pula jadinya...,” sambut Azmi.

”Ia, saya adik saudara abang Long ni,”kata Bedah sambil menunjuk kepada Long.

“Anak emak saudara saya,”sambut Long.

Mereka ketawa lagi.

Azmi memperkenalkan isterinya kepada Haji Adnan dan Bedah.

”Orang mana isteri Encik Azmi ni?”Tanya Haji Adnan.

”Orang Pettani, Selatan Siam,”jawab Azmi.

“Bila Encik Azmi menikah...,?”Tanya Haji Adnan.

“Baru...,”jawab Azmi.

Alhamdulillah,”sambut Haji Adnan.

KACIP FATIMAH

Azmi mengajak Haji Adnan dan isterinya masuk ke rumahnya. Haji Adnan memegang tangan Bedah dan mengikuti Azmi dan Dara. Tijah, Mahyun dan Long mengikuti mereka.

”Eh, nak ambil pokok-pokok dalam kereta tu,”kata Haji Adnan sebelum masuk ke rumah.

”Pokok apa Pak aji?”Azman bertanya.

“ …anak-anak pokok tongkat Ali, kacip Fatimah, boleh tanam di kebun tu,…dalam uncang tu akar kayu,”jawab Haji Adnan lalu membuka pintu keretanya.

Haji Adnan mengeluarkan uncang-uncang plastik dari keretanya dan diserahkan kepada Azmi.

“Terima kasihlah, Pak Haji,”ucap Azmi.

“Sama-sama,”sahut Haji Adnan.

“Bagus tu, anak tongkat Ali ni,”kataAzmi.

” Di sana banyak,…eh, adakah madu lebah?”Tanya Haji Adnan.

“Ada,”jawab Azmi.

“Kami nak beli, …banyak,”kata Haji Adnan.

“Ai, nak buat apa?”Tanya Azmi. Hairan.

“…kami pun baut ubat juga,”jawab Haji Adnan.

“Dah bagus tu, Pak Haji,”kata Azmi.

“…kami tiru Azmilah,’sahut Haji Adnan.

Mereka ketawa.

Azmi membawa sebiji uncang dan uncang yang satu lagi dibawa oleh Mahyun. Long dan Tijah sama-sama menjinjing seuncang akar-akar kayu.

Tengah hari itu Haji Adunan dan isterinya telah makan di rumah Azmi. Pada waktu makan mereka telah bercakap berbagai-bagai topik.

”...yang saya hairan ni, ngapa pula Yun ada di sini,”kata Haji Adnan.

”Aaaa, Yun berkawan dengan Tijah, Yun datanglah ke sini,”kata Mahyun.

”Ooo, begitu,”sahut Haji Adnan.

Haji Adnan senyum. Hatinya percaya anak angkatnya itu ada ikatan ruhani dengan Azmi. Pada masa Azmi tinggal di Mandi Angin dulu, Haji Adnan telah memerhatikan ‘riak air di tasik’ dan ‘puput bayu di belukar’ pada anak aangkatnya itu.

“Eloklah kalau jadi bini Azmi,”hati Haji Adnan bersuara.

Azmi dan Haji Adnan telah mencapai persetujuan, pada masa mendatang; Haji Adnan akan membeli madu lebah Azmi dan Azmi akan membeli akar-akar kayunya.

“...ramai wakil rakyat nakkan ubat kami,”kata Haji Adnan.

”Baguslah, kalau dah wakil rakyat pun nakkan ubat Pak Haji,”sahut Azmi.

”Kenalah makan ubat, ...maklumlah isteri dua tiga...,”sambut Haji Adnan. Ketawa.

”...mana tau, Pak Haji pun akan jadi Yang Berhormat juga,”kata Azmi

Haji Adnan ketawa.Bedah ikut ketawa.

“...rasa-rayanya tak saya tak mahu jadi wakil rakyat, susah, pikul amant Tuhan, amanah orang ramai...,”kata Haji Adnan.

“Ialah, pegang jawatan tu seronok, tapi tanggungjawabnya besar...,”sahut Azmi.

Pada petang itu Haji Adnan dan Bedah meninggalkan rumah Azmi dalam hujan lebat. Seluruh kawasan Ulu Yam hingga ke hutan rimba dan gunung ganang kelihatan muram.

(Disunting dari manuskrip novel, Madu, oleh: Mokhtar Petah)

No comments: