Tuesday, November 3, 2009

BERITA


Dr Asri dilepas dengan bon


DR ASRI menunjukkan jam apabila pendakwa raya lewat hadir di Mahkamah Syariah Gombak Timur, semalam.

GOMBAK: Bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainal Abidin yang ditahan ketika memberi ceramah agama di sebuah banglo di Hulu Klang, tengah malam kelmarin, dilepaskan dengan bon jaminan semalam kerana pihak pendakwaan Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) gagal mengemukakan pertuduhan mengajar agama tanpa tauliah.

Namun, beliau terpaksa menunggu lebih tiga jam di Mahkamah Syariah Gombak Timur, dekat sini sebelum pegawai Jais memberikan bon jaminan selepas kedua-dua pihak bersetuju membatalkan bon jaminan terdahulu.

Peguamnya, Zulkifli Che Yong, berkata bon jaminan yang dikeluarkan selepas penahanan itu malam kelmarin terbatal dan Mohd Asri akan dipanggil oleh Jais untuk diambil keterangan dan siasatan lanjut pada bila-bila masa.


-----------------------


Ganjaran baru kakitangan, jabatan cemerlang

Oleh Johari Ibrahim
joib@bharian.com.my


NAJIB sambil diperhatikan Muhyiddin berucap pada Perhimpunan Bulanan Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya, semalam.

Sistem mampu tingkat motivasi penjawat awam: PM

PUTRAJAYA: Kerajaan akan memperkenalkan sistem ganjaran yang lebih berkesan untuk kakitangan awam dan jabatan yang cemerlang selaras dengan pendekatan budaya prestasi tinggi dalam perkhidmatan awam, kata Datuk Seri Najib Razak.

Perdana Menteri berkata, beliau bersama Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin; Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Mohd Sidek Hassan dan Jemaah Menteri sedang merangka kaedah sistem itu untuk diperkenalkan supaya benar-benar berkesan dan mampu meningkatkan motivasi penjawat awam.

"Maknanya, kita tidak bertolak ansur terhadap salah guna kuasa dan mediokriti (sederhana) tetapi (pada masa sama) kita perlu beri ganjaran kepada prestasi tinggi.

"Mungkin Hari Kualiti kita tukar kepada Hari Inovasi, kita nak cuba gubal satu sistem ganjaran yang lebih bermakna lagi, bukan seperti sistem sebelumnya, menegak dan melintang, tidak berkesan sebab kita dah berpakat, tahun ini giliran saya, tahun depan hangpa pulak... kalau macam itu tak jadi, jangan cakap tak berlaku, ia berlaku sebab saya tahu ia berlaku," katanya berucap pada perhimpunan bulanan agensi di bawah Jabatan Perdana Menteri (JPM), di sini, semalam.

Turut hadir Muhyiddin, Mohd Sidek dan menteri serta timbalan menteri di JPM.

Beliau berkata, ganjaran kepada prestasi tinggi bukan terhad kepada perkhidmatan kaunter atau soal hubungan terus dengan rakyat sebaliknya lebih luas, contohnya jabatan yang kutipan cukai meningkat, jabatan yang berjaya dalam banyak pendakwaan atau jabatan yang menghasilkan sesuatu yang luar biasa dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D).

"Ini semua terangkum dalam budaya prestasi tinggi yang saya harap kita dapat gubal satu sistem yang mana kita akan dapat memperkasakannya dalam pentadbiran awam dan kerajaan pada keseluruhannya," katanya.

Mengenai pegawai yang berada pada tahap sederhana, Najib berkata, ketua jabatan perlu menegur dengan baik dan berterus terang bahawa mutu kerjanya tidak sampai ke tahap yang boleh diterima supaya mereka berubah.

"Bukan bererti bahawa kita nak marah atau campak fail, tidak, jemput ke bilik dan terang kepada dia (bahawa) kerja saudara atau saudari tak sampai pada tahap kualiti yang dikehendaki," katanya.

(Berita ini diambil dari Berita Harian Online, 4 November 2009)


-----------------


Adakan muzakarah mufti, ilmuan Islam untuk selesai isu Mohd Asri

JOHOR BAHRU: Satu muzakarah di kalangan mufti dan ilmuan Islam perlu diadakan untuk membincangkan isu penangkapan bekas Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidin oleh anggota penguatkuasa Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) atas dakwaan mengajar agama tanpa tauliah.

Presiden Pertubuhan Kebajikan Al-Jamiatul Khairiah Wilayah Persekutuan dan Selangor, Datuk Syed Hussein Al Habshee ketika membuat cadangan itu berkata, apa yang penting (muzakarah itu) adalah untuk memelihara keharmonian amalan umat Islam negara ini.

"Mazhab Imam Shafie dan Ahli Sunnah Wal Jamaah adalah pegangan 'mainstream' umat Islam di Malaysia.

"Dalam hal ini pegangan yang bertentangan akan memporak-perandakan pemikiran dan amalan penduduk Islam negara ini.

"Pendekatan baru di dalam ajaran agama Islam yang boleh mengelirukan umat Islam terutamanya generasi muda yang baru ingin berjinak dengan Islam perlu ditolak," katanya yang dilihat jelas merujuk kepada dakwaan pihak tertentu bahawa Mohd Asri menyebarkan fahaman Wahabi.

Mohd Asri menafikan beliau membawa fahaman berkenaan.

Syed Hussein, bekas Duta Besar Malaysia ke Emiriyah Arab Bersatu (UAE) itu melahirkan keyakinan bahawa Jais sudah melakukan pemantauan terhadap kegiatan dan dakwah Mohd Asri di Selangor sebelum mengambil tindakan.

Syed Hussein mendakwa bahawa Mohd Asri pada 2007 ketika menjadi Mufti Perlis melarang sekumpulan ulama negara Arab yang berpegang kepada Ahli Sunnah Wal Jamaah daripada memberi ceramah di negeri itu. (Berita ini diambil dari Berita Harian Online - Bernama, 4 November 2009









No comments: