Sunday, August 29, 2010

SEJARAH (Ulangan)


ABDULLAH FAHIM:

PELOPOR PERJUANGAN UMAT ISLAM

MENUNTUT KEMERDEKAAN

[Disiarkan di sini salina kertas bicara mengenai ‘Sheikh Abdullah Fahim: PELOPOR PERJUANGAN UMAT ISLAM MENUNTUT KEMERDEKAAN’, dalam Seminar ‘Kebangkitan Islah di Alam Melayu’, anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia – IKIM -, di Dewan Besar IKIM, Jalan Duta, Kuala Lumpur,pada hari ini.

Seminar tersebut di rasmikan oleh: Mantan Perdana Menteri dan Pengerusi IKIM, Tun Abdullah Ahmad Badawi.]





Mokhtar Petah bersama
Presiden Pas,
Dato' Haji Abdul Hadi Awang




Bersama Tun Abdullah
Ahmad Badawi




Mokhtar Petah bersam
Samad Ismail



Bersama para anggota Al Arqam
di Lapangan Terbang Antarabangsa Singpura


Mokhtar Petah Di London
Oktober 2003



Mokhtar Petah bersama
Haji Sulaiman di Bukit Mertajam
pada hari kaji selidik selidik
mengenai Shikh Abdullah Fahim,
Sebelum menulis buku, Sheikh
Abdullah Fahim Penentantu
Tarikh Kemerdekaan Negara
'57




Mokhtar petah (berdiri di tengah)
pada masa menuntut di Sekolah
Sheikh Abdullah Fahik, Kepala
Batas, Pulau Pinang (1953 - 55)

Sheikh Abdullah Fahim (Pak Him), iaitu singkatan nama Haji Ibrahim bin Haji Tahir. Allahyarham terkenal dengan nama Sheikh Abdullah Fahim[1]. Haji Tahir adalah keturunan orang Melayu Pattani dalam wilayah Selatang Thailand.

Sheikh Abdullah Fahim lahir di Shu’ib Ali dekat Masjidul Haram, Mekah, pada tahun 1879 – 1296 Hijrah. Dari usia kanak-kanak hingga remaja, dia belajar ilmu pengetahuan Islam di pusat pengajian Islam, Darul Ulum, Mekah. Di antara guru-gurunya, ialah, Shikh Abdel Karim, Sheikh Muhamamad Amin Ridhuan dan Sheikh Mohd.Mokhtrar Al Jawi dan Sheikh Abdul Rahman Ad Dahhan.

Sheikh Abdullah Fahim menjadi guru diDarul Ulum. Kemuidan mengajar ilmu pengetahuan agama Islam dalam Masjidul Haram, Mekah. Dia juga telah menjadi ahli lembaga masjid tersebut.

Pada usia Sheikh Abdullah Fahim 28 tahun, dia telah berkahwin dengan Hajah Wan Habsah binti Haji Abdullah, berusia 16 tahun. Gadis itu menetap bersama ibu bapanya di Mekah.

Allah telah mengurniakan kepada Sheikh Abdullah Fahim dan Wan Habsah empat orang cahaya mata, iaitu Hajah Khadijah, Haji Ghazali, Haji Ahmad Badawi dan Haji Abdu Hamid.

Hajah Wan Habsah telah meninggal dunia pada tahun 1916. Pada hari Hajah Wan Habsah meninggal dunia, Sheikh Abdullah Fahim berusia 37 tahun.

Sheikh Abdullah Fahim telah pulang ke Tanah Melayu pada tahun kematian isterinya. Kemudian dia berkahwin dengan Hajah Shareah binti haji Hassan, di Kampung Titi Putus, Relau, Pulau Pinang.

Setelah berkahwin dengan Hajah Sareah, Sheikh Abdullah Fahim dankeuarganya telah tinggal di Kepala Batas. Kemudian selama empat tahun, dia mengajar di pondok Haji Wan Sulaiman bin Haji Wan Sidik, di Alor Setar.

Kerana pada zaman itu Sultan Kedah berkehendakkan seorang yang alim menjadi guru dan sekali gus penasihat hal ehwal agama Islam kepada baginda, maka Sheikh Abdullah Fahim telah memegang jawatan tersebut hingga tahun 1925. Dia pulang ke kepala batas dan mengajar di pondoknya di sana.

Pada tahun 1931, Sheikh Abdullah Fahim telah dilantik oleh Sultan Perak, Sultan Alang Iskandar Shah telah melantiknya untuk memegang jawatan mudir (pengetua) sekolah agama – Madrasah Idrisiah, Bukit Chandan Kuala Kangsar,Perak. Dia menggantikan tempat Sheikh Abdullah Maghribi.

Oleh kerana hubungan rapat Sheikh Abdullah Fahim dengan Sultan Perak, maka pegawai-pegawai Inggeris telah menaruh curiga, bahkan memfitnahnya. Akibat dari tindakan pegawai Inggeris itu, Sheikh Abdullah Fahim telah berhenti dari jawatannya di Madrasah Idrisiah . Dia telah pulang semula ke kepala Batas pada tahun 1946.

Di Kepala Batas, Sheikh Abdullah Fahim menjadi mudir (pengetua) sekolah agama – Daeratul Maariful Wataniah, Kepala Batas yang telah ditubuhkannya bersama penduduk- penduduk setempat. Dia terkenal seorang ahli falak, ahli politik Islam dan pelopor perjuangan bangsa Melayu (yang kuat berpegang kepada agama Islam) untuk menuntut kemerdekaan dari penjajah Inggeris.

Pada masa menghadapi kemerdekaan,Yang Dipertua UMNO[2], Allahyarham Tunku Abdul Rahman Putra bersama Ketua Pemuda UMNO, Sardon bin Haji Zubir dan Naibnya, Haji Ahmad Badawi bin Haji Abdullah Fahim telah meminta Allahyarham Sheikh Abdullah Fahim menentukan tarikh kemerdekaan bagi Persekutuan Tanah Melayu. Dengan menggunakan ilmu falaknya, Sheikh Abdullah Fahim telah menetapkan tarikh kemerdekaan pada 31 Ogos 1957.

(Lihat buku2 karangan saya: Sheikh Abdullah Fahim Penentu Tarikh Kemerdekaan Negara 31 Ogos ’51 (1997), dan buku mengenai cucundanya, Datuk Abdullah Badawi, Pejuang Kemanusiaan Sejagat (1997).

Pada tahun 1959 – 1961, Sheikh Abdullah Fahim memegang jawatan mufti Kerajaan Pulau Pinang.

Ramai orang Melayu di Tanah Melayu mengetahui, bahawa Sheikh Abdullah Fahim – datuk kepada Abdullah Ahmad Badawi, adalah seorang alim dan di antara beberapa ulama yang kiramat (keramat) dan memiliki ilmu kasyaf.Pada bulan pertama hingga

lima bulan kemudian saya menuntut di Daeratul Maariful Wataniah, saya ‘takut’ bertemu dengannya. Maklumlah, siapalah saya; saya seorang pelajar sekolah menengah, sedangkan dia seorang alim dan dikurniakan Allah kiramah.[3]atau keramat.

Pada satu pagi hujung bulan, sekolah cuti, saya sedang kekeringan wang. Dalam saku saya hanya ada dua puluh sen. Pada tengah hari itu belum tentu apa yang saya akan telan. Di rumah hanya ada dua ketul biskut lutut. Rakan-rakan tidak ada di rumah. Saya tak mahu meminjam wang dari kawan-kawan di pondok sekolah itu.

Pada pagi itu saya datang ke sekolah kerana ada kerja dalam pejabat sekolah. Saya ternampak Sheikh Abdullah Fahim memakai serban putih, kot dan kain pelekat sedang berjalan masuk ke pekarangan sekolah. Saya keluar dari pejabat sekolah dan mengelak dari bertemu dengannya.

Entah bagaimana, pada ketika saya di belakang sekolah, tiba-tiba Sheikh Abdullah Abdullah Fahim muncul di hadapan saya. Saya tergamam, tetapi dapat mengucap salam kepadanya. Setelah menyahut salam saya, dia berkata, “Nah enta ambil lima ringgit ni, ...enta tak ada duit.”

Saya telah menerima wang dari tangannya. Saya rasa tubuh saya menggigil. Tetapi sempat juga saya mengucapkan ‘alhamdulillah’ dan ‘terima kasih’ kepadanya.

Semenjak pagi itu saya jadi berani berjumpa dengan ulama itu. Kemudian saya dan dia menjadi ikrab. Sebelum saya meninggal sekolah itu, saya sempat belajar ilmu Islam kepadanya secara ‘seorang guru dan seorang murid’ dalam masjid Kepala Batas, pada tiap malam Selasa dan Jumaat, iaitu dari jam 10.00 hingga 11.30 malam.

Di antara pengetahuan Islam yang saya telah peroleh daripada Sheikh Abdullah Fahim, ialah:

* Falsafa politik dan sosial dari Quran.

* Rahsia–Rahsia dari Quran.

* Hukum hakam berdasarkan Quran.

* Tasawuf.

* Tauhid.

* Fikah

* Ilmu batin atau jampi menggunakan ayat-ayat

Quran.

Kerana mengenang jasa Allahyarham itu, saya telah menulis sebuah buku kira-kira 1,200 halaman yang mengandungi susur galur perjuangannya dan semua pengetahuan agama yang saya telah menerima daripadanya. Buku itu saya namakan ‘Sheikh Abdullah Fahim Pelopor Perjuangan Kemerdekaan Bangsa Melayu’. Isnya Allah buku itu akan dapat diterbitkan.

Sheikh Abdullah Fahim telah menerapkan as siasatul islamiah (politik Islam) kepada pelajar-pelajarnya menerusi ilmu yang diajarnya, seperti Quran, Hadis, tauhid, fikah dan tasawuf.

Di antara pelajar-pelajar Allahyarham yang telah menceburkan diri secara langsung dalam perjuangan politik Islam, ialah Allahyarham Ustaz Abu Bakar Al Baqir, mudir Maahad Ehyausy Syarif, Gunung Semanggol, Perak dan Yang Dipertua parti Islam pertama di Tanah Melayu, Hizbul Muslimin (parti umat Islam).

‘Pendidikan telah memberi kesedaran dan dorongan kepada orang Melayu untuk berjuang menentang penjajahan di tanah air sendiri. Ini terjadi kepada beberapa buah sekolah (agama) pondok seperti Maahad Ehyausy Syarif, Gunung Semanggol di Perak.

Perkembangan para pelajar dan pembelajaran di pusat pengajian ini sangat unik berbanding dengan sekolah-sekolah pondok yang lain sezaman dengannya. Sekolah ini telah ditubuhkan pada tahun 1934 boleh seorang tokoh ulama yang tidak asing lagi bernama Abu Bakar Said (lebih dikenali sebagai Ustaz Abu Bakar Al Baqir). Beliau telah menerima pendidikan awal hingga darjah lima sekolah Melayu. Beliau kemudiannya meneruskan pengajiannya di sekolah Al Rahmaniah dan kemudian ke Madrasatul Daeratul Maarif pada tahun 1924. Di sini Ustaz Abu Bakar telah berguru dengan seorang tokoh ulama yang akhirnya menjadi sahabat baik beliau iaitu Ustaz Haji Abdullah Haji Ibrahim (Abdullah Pak Him).

Mereka berdua kemudiannya telah menubuhkan sebuah madrasah bernama Qauzil Maarif dan selepas itulah Maahad Ehyausy Syarif ditubuhkan oleh Ustaz Abu Bakar pada 15 April 1934 (Nabir Abdullah, 1976). Sekolah ini diberi kebebasan bergerak cergas dalam kegiatan kokurikulum yang kemudiannya memberi tapak kepada penubuhan Kesatuan Melayu Muda menjelang Perang Dunia kedua. Ustaz Abu Bakar juga telah merapatkan diri dengan tokoh-tokoh politik Masyumi dan tokoh pemimpin seperti Dr. Burhanuddin Helmi dan Ibrahim Yaacob.

Akhirnya pusat pengajian ini menjadi pusat perjuangan agama Islam. Antara badan-badan yang pernah ditubuhkan di sini, ialah: a. Pusat Perekonomian Melayu Semenanjung (PERMAS). b . Majlis Agama Islam (MATA). c. Lembaga Pendidikan Rakyat (LEPIR) d.Hizabul Muslimin (Parti Islam pertama di Tanah Melayu.[4]

Pada tahun 1948, Dato’ Onn berjawatan pegawai eksekutif dan bertaraf menteri dalam Kerajaan Penjajah British, iaitu Menteri Dalam Negeri. Kerajaan Penjajah British telah mengambil langkah untuk menyelamatkan nama dan kerajaan penjajahannya di Tanah Melayu, maka satu perintah darurat telah diisytiharkan. Pada masa darurat itu dengan kausa Menteri Dalam Negeri, Kerajaan Penjajah British telah menangkap beratus-ratus orang pejuang kemerdekaan Tanah Melayu, iaitu anggota-anggota dan ahli-ahli Hizbul Muslimin, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Angkatan pemuda Insaf (API ) dan parti-parti politik lain.

Di antara mereka itu, ialah Ustaz Abu Bakar dan Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) Rashid Maidin. Mereka telah ditahan dalam beberapa khemah tahanan di Ipoh, Batu Gajah, Tanjung Beruas, Melaka dan beberapa khemah tahanan lagi.

Dr. Burhanuddin Helmi tidak sempat ditangkap kerana sebelum tindakan menangkap beramai-ramai itu, dia telah berada di Singapura untuk menguruskan klinik homeopatinya di sana.

Haji Ahmad Fuad bekas murid Sheikh Abdullah Fahim di Madrasah Idrisiah Bukit Candan. Dr. Burhanuddin Helmy tidak pernah menuntut di pondok Sheikh Abdullah Fahim, tetapi dia banyak mempelajari teori politik Islam kepadanya, iaitu pada ada kesempatan berbincang atau Dr. Burhanuddin Helmi sendiri datang menemui ulama itu. Dr. Burhanuddin Helmi dan Haji Ahmad Fuad Hassan telah memegang jawatan Yang Dipertua Agung Parti Islam Se Malaysia (PAS).

Saya telah berpeluang menuntut ilmu pada Sheikh Abdullah Fahim secara, seorang guru dan seorang murid, dalam masjid Kepala Batas (kini Masjid Al Badawi), pada tiap – tiap malam Selasa, iaitu sebelum beliau beribada hingga tengah malam d alam masjid tersebut.

Pada menuntut secara satu guru dan satu murid itu, saya berepeluang bertanya dan berbahas dengan Allahyarham mengeani satu – satu ilmu Islam, termasuk hukum hudud dalam Quran.

Sheikh Abdullah Fahim telah diminta oleh Tunku Abdul Rahman bagi pihak UMNO supaya menetapkan tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu mengikut ilmu falak. Tunku Abdul Rahman bersama beberapa orang penting UMNO terlah menemui Sheikh Abdullah Fahim di rumahnya (kini rumah sejarah) di Kepala Batas. Allahyarham telah menentukan tarikh yang diminta oleh Tunku Abdul Rahaman itu, iaitu 31 Ogos 1957.

Sheikh Abdullah Fahim telah menegaskan, kalau pada tarikh itu Penjajah Inggeris tidak mahu memberi kemerdekaan, maka Tunku Abdul Rahman dan UMNO terpaksa menunggu lima tahun lagi, iaitu pada 31 Ogos 1962.[5]

Ketua Pemuda UMNO Malaya, Saadon Haji Zubir, naibnya, Haji Ahmad Badawi dan Haji Sulaiman Palestin ahli jawatan kuasa Pemuda UMNO Seberang Perai Turut serta dalam pertemuan itu. Sebaik- baik sahaja mendengar penjelasan Sheikh Abdulah Fahim itu, Saadon Haji Zubir dan Haji Sulaiman Palestin telah melanting -‘naik darah’ - , mereka berkata, bahawa jika penjajah British tidak mahu memberi kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, pemuda UMNO akan mengadakan revolusi.

Sheikh Abdullah Fahim telah menasihatkan mereka supaya bersabar. Dia berpendapat, revolusi akan mendatangkan mudarat kepada orang ramai dan hasil dari tuntutan secara revolusi itu belum tentu berjaya.[6]

Pembawaan atau perangai Sheikh Abdullah Fahim yang menarik hati saya, ialah apabila dia bersalaman dengan seseorang, ada perbezaan dilakukannya. Dia hanya berjabat tangan dengan seseorang.. Ada yang ditepuk-tepuk belakang tangan orang itu. Ada yang dilakukan, sambil bersalam, tangan kirinya menepuk lenga atau bahu orang yang dijabat tangannya Saya perhatikan, pembawaan dan perangai itu telah turun kepada Haji Ahmad Badawi dan kemudian turun kepada cucunya, Abdullah Ahmad Badawi.

Ramai orang yang terdiri dari golongan peniaga memberitahu saya, dengan izin Allah, setelah tangan atau lengan atau pun bahu mereka ditepuk oleh salah seorang dari tiga orang itu, maka dengan kehendak dan pertolongan Allah, perniagaan atau perusahaan mereka membuahkan rezeki yang melimpah.

Saya amat mengetahui, Sheikh Abdullah Fahim, Haji Ahmad Badawi dan Abdullah Ahmad Badawi memiliki hati masing-masing yang takwa kepada Allah dan tidak memandang buruk kepada orang lain. Setiap kali mereka bertemu dengan seseorang mukmin, dalam hati masing-masih ada doa kepada Allah agar orang itu ‘bahagia dan dilimpahkan rezeki’.

Sheikh Abdullah Fahim telah meninggal dunia di rumahnya,di Kepala Batas pada 28 April 1961. Telah disemadikan di tanah perkuburan Islam, dalam kawasan Masjid Al Badawi setempat.

(Selesai)



[1] Orang-orang kampung di Kedah, Seberang Perai, Pulau Pinang dan di wilayah Pattani di Selatan

Thailand ,memanggilnya Sheikh Abdullah Pak Him. Para penulis dan wartawan menggunakan namanya

Sheikh Abdullah Fahim.

[2] United Malay National Association – Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR). Parti

politik orang Melayu yang telah ditubuhkan dalam perhimpunan orang Melayu menentang Malayan

Union, di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur, pada 1 – 4 Mac 1946. Allahyarham

Dato’ Onn bin Jaafar

telah dipilih menjadi Yang Dipertua pertubuhan itu hingga tahun 1951. UMNO menjadi pertubuhan orang Melayu yang berjaya mencapai kemerdekaan Semenanjung Tanah Melayu dari penjajah British, pada 31 Ogos, 1957.,di bawah pimpinan Almarhum Tunku Abdul Rahman Putra.

[3] Keramat seseorang alim tidak diakui atau dibanggakan oleh orang alim itu sendiri, tetapi oleh orang lain

lain, misalnya para pelajarnya dan pengikutnya yang telah memerhati dan merasakan ada kekeramatan

pada diri orang alim itu.

[4] Malaysia Kita, 1991, Kuala Lumpur, Institut Tadbiran Awam Negara Malaysia., hlm.772.

[5] Mokhtar Petah, Sheikh Abduah Fahim Penentu Tarikh Kemerdekaan Negara 31Ogos ’57,1997, Kuala Lumpur, Pustaka Antara Sdn. Berhad.

[6] Tun Saadon bin Haji Zubir Zubir dan Haji Sulaiman Palestin memberitahu kepada saya pada tahun 1977.

No comments: