Wednesday, August 25, 2010

SEJARAH: MENUJU 31 OGOS 2010

DATO’ ONN JAAFAR – NASIONALIS MELAYU

Oleh: Mokhtar Petah

Dato’ Onn seorang nasionalis Melayu. Tokoh pejuang dan pemimpin orang Melayu menuntut kemerdekaan. Lahir di Johor Baru, pada tahun 1895. Menerima pendidikan awal di Johor Baharu. Melanjutkan pelajarannya di Malay College, Kuala Kangsar. Kemudian melanjutkan pelajarannya ke England.
Dia telah memulakan kehidupannya dengan bekerja sebagai kerani dalam Kerajaan Negeri Johor. Berkat kegigihan dan tekun bekerja, dia telah naik ke atas sehingga pada tahun 1930 dia telah dilantik memegang jawatan rasmi sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Negeri Johor. Kemudian dia memegang jawatan Menteri Besar Negeri Johor
Sebagai ahli Majlis Mesyuarat, Dato’ Onn bersuara lantang yang kadang-kadang tersentuh perasaan atau hati pihak Kerajaan Inggeris. Kerana Inggeris itu penjajah, sebagai penjajah-penjajah yang lain selalu curiga kepada anak peribumi yang bijak dan menyentuh diri mereka sebagai penjajah. Ada kalanya penjajah dianggap oleh anak peribumi yang dijajah sebagai ‘lanun di lautan’ dan ‘penyamun di daratan’.
Untuk menyekatnya, pada tahun 1939 kerajaan telah menghantarnya ke Amerika Syarikat dengan alasan untuk menaikkan imej atau memperkenalkan negeri Johor di sana. Pada tahun 1940 dia telah kembali ke tanah air.
Seperti yang diceritakan oleh Dato’ Onn kepada saya, bahawa dia mengakui kaum wartawan dan penulis Melayu adalah menjadi penyedar orang Melayu untuk bangun membebaskan diri dari belenggu penjajahan. Selain dari golongan wartawan dan penulis, golongan ulama dan guru Melayu telah memainkan peranan penting dalam meniupkan semangat perjuangan orang Melayu, bahkan kebanyakan dari mereka telah menyertai perjuangan itu.
Dato’ Onn adalah anak bekas Menteri Besar Negeri Johor, Dato’ Jaafar Muhammad. Selain dari dibesarkan dalam istana Johor, Dato’ Onn adalah anak angkat kepada Sultan Johor, Sultan Ibrahim.
Pada tahun 1930 Dato’ Onn telah melibatkan diri dengan kewartawanan dan dirinya telah menjadi ‘anak istana berjiwa rakyat’. Kerana fikirannya yang radikal, dia telah dimurkai oleh bapa angkatnya, Sultan Ibrahim. Dia tidak sahaja dimurkai oleh Sultan, bahkan diusir dari Johor Bahru ke pulau Singapura. Pada masa itu anaknya, Hussein (Tun Hussein, Perdana Menteri Malaysia (1976 – 1981) masih berusia 10 tahun.
Di pulau Singapura, Dato’ Onn bersama keluarganya telah menjalani kehidupan yang serba kekurangan. Untuk mencari wang bagi keperluan keluarganya, dia bersama isterinya telah menjual kain dan barangan tembaga dari Kelantan.
Kemudian Dato’ Onn telah bekerja sebagai pengarang surat khabar Lembaga Malaya. Kerana dia terlibat dengan perjuangan politik yang digerakkan oleh pemimpin Kesatuan Melayu Muda (KMM), Ibrahim Yaacob, maka dia telah memberi ruang dalam surat khabarnya kepada pemimpin nasionalis Melayu dari negeri Pahang itu untuk menulis artikel-artikel politik.
Selain dari Ibrahim Yaacob, Ishak Haji Muhammad (Pak Sako atau Hantu Raya) mendapat peluang juga menulis artikel-artikel politik dalam surat khabar yang dipimpin oleh Dato’ Onn itu.
Pada masa bertugas sebagai Pegawai Daerah di Batu Pahat, Dato’ Onn telah menjadi pembela orang Melayu dalam krisis antara orang Melayu dengan orang Cina sehingga berlaku gerakan parang panjang yang diketuai oleh Kiyai Salleh (kiayai ilmu mandi minyak dan parang panjang) di Batu Pahat, Johor.
Kemuncak perjuangan Dato’ Onn, dengan sokongan berbagai golongan orang Melayu, dia telah dapat menarik ramai orang Melayu seluruh Semenanjung Tanah Melayu dan Singapura menentang projek Malayan Union yang diwujudkan oleh penjajah Inggeris.
Dato’ Onn telah berjaya menghimpunkan ramai orang Melayu dalam satu kongres menentang Malayan Union yang diadakan di Kelab Sultan Sulaiman, Kampung Baru, Kuala Lumpur, pada 1,2,3,4, Mac 1946. Kongres itu dihadiri oleh 125 wakil, 49 pemerhati dari 41 pertubuhan Melayu, termasuk Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan Kesatuan Melayu Singapura (KMS).
Dalam kongres itu telah ditubuhkan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) atau United Malays National Organisation (UMNO). Kerana banyak sebab yang tidak sesuai dengan perhitungan Dato’ Onn, tetapi sesuai dengan perhitungan sebahagian besar ahli-ahli UMNO, maka pada tahun 1951, Dato’ Onn meninggalkan UMNO dan menubuhkan parti politik, Independence of Malaya Party (IMP). Parti itu tidak berdasarkan perkauman..
Oleh sebab parti itu tidak mendapat sambutan, Dato’ Onn telah menubuhkan pula Parti Negara. Parti politik itu juga seperti dilumpuhkan oleh UMNO. Sebelum meninggal dunia, Dato’ Onn telah menerbitkan surat khabarnya sendiri, iaitu ‘Keritik’ di Kuala Lumpur.
Saya banyak bercakap dengan Dato’ pada masa belaiu menerbitkan surat kahabar tersebut.

TUNKU ABDUL RAHMAN DIHALAU DARI ISTANA

Pada tahun 1951, Tidak seorang pun dari penduduk-penduduk dalam kawasan Kepala Batas yang menyangka, bahawa sebuah rumah yang sesuai didiami oleh kerani rendah kerajaan, di Telaga Air, Teluk Air Tawar – dekat jalan raya Kepala Batas – Butterworth -, menjadi tempat tinggal seorang bekas peguam dan penasihat undang-undang kerajaan, pemimpin bangsa Melayu, putera Sultan dan adik kepada Sultan yang memerintah negeri.
Telaga air tidak jauh dari Kepala Batas. Rumah itu, sebuah rumah usang yang sebelumnya didiami oleh seorang kerani kerajaan. Perabot dan barang-barang di dalamnya telah rosak dan usang. Tetapi masih ada air dari paip dan api elektrik.
Tungku Abdul Rahman Putra telah mengambil alih jawatan Yang Dipertua Agung UMNO Malaya setelah Dato’ Onn Jaafar menarik diri dari dicalonkan bagi memimpin parti politik orang Melayu itu dalam Persidangan Agungnya, pada tahun 1951.
Tekad dan cita-cita Tunku Abdul Rahman untuk memimpin UMNO dan berjuang menjuntut kemerdekaan Tanah Melayu telah menjadikan abangnya, Sultan Kedah, Sultan Badli Shah ibni Sultan Abdul Hamid Halim Shah (1943–1958) murka kepadanya. Baginda tidak berkenan Tunku Abdul Rahman memegang jawatan Yang Dipertua Agung UMNO.
Kebencian Sultan Kedah kepada UMNO kerana parti politik Melayu telah dipimpin oleh Dato’ Onn Jaafar. Seperti Sultan Johor, Sultan Badli Shah murka kepada Dato’ Onn kerana telah mengemukakan kepada para Sultan dan Kerajaan Inggeris, iaitu pada masa menghadapi kemerdekaan Tanah Melayu, hendaklah dilantik seorang Melayu untuk memegang jawatan Timbalan Pesuruhjaya Tinggi Tanah Melayu.
Sultan Kedah dan Sultan Johor telah menganggap anak Melayu yang akan memegang jawatan Timbalan Pesuruhjaya Tinggi itu akan berkedudukan di atas Raja-Raja Melayu. Mereka rela orang Inggeris mengatasi mereka, tetapi tidak rela anak Melayu berkedudukan lebih tinggi dari mereka.
‘Untuk melaksanakan dasar kerjasama antara Kerajaan Inggeris dan para Sultan seperti yang termaktub dalam Perjanjian atau Perlembagaan persekutuan Tanah Melayu Dato’ Onn pernah menekankan kepada pihak Kerajaan Inggeris tentang pentingnya diangkat seorang Timbalan Pesuruhjaya Tinggi yang terdiri daripada orang Melayu sebagai wakil para Sultan untuk turut memegang kendali pentadbiran. Hal ini terjadi dalam bulan Oktober 1948 ketika beliau berkunjung ke London. Kemudian pada 15. 6 49 di dalam Persidangan Para Sultan, Dato’ Onn mengemukakan soal ini supaya dapat dipersetujui oleh Sultan-sultan itu.
Tetapi para Sultan enggan menyetujui cadangan Dato’ Onn tersebut kerana kalau orang Melayu diangkat untuk jawatan itu, tentulah kedudukannya lebih tinggi dari Sultan-sultan itu sendiri. Penolakan ini dianggap oleh Dato’ Onn sebagai kekolotan para Sultan dan oleh kerana itu beliau mengundurkan diri dari Persidangan Sultan-Sultan itu. Sikap yang degil ini mungkin menimbulkan rasa kurang puas bagi Sultan Johor ( Sultan Ibrahim 1895–1959), yang akhirnya memerintahkan kepada Dato Onn supaya menaruh perhatian kepada jawatannya sebagai Menteri Besar Negeri Johor. Perintah itu agaknya sangat menyinggung perasaan Dato’ Onn, maka dalam bulan Oktober 1949 beliau meletakkan jawatan Menteri Besar itu.’
Seperti cerita Tunku Abdul Rahman kepada saya, bahawa setelah selesai Persidangan Agung UMNO Malaya, di Kuala Lumpur, Tunku Abdul Rahaman dan isterinya, Puan Sharifah Radziah telah pulang ke istana peninggalan bapanya di Alor Setar, Kedah. Mereka telah tiba di istana itu pada waktu malam.
Sebaik-baik sahaja Tunku Abdul Rahman dan isterinya tiba di istana – belum sempat bersalin pakaian, seorang pegawai istana telah datang mendapatkan Tunku Abdul Rahman. Dia datang membawa perintah Sultan supaya Tunku Abdul Rahman dan isterinya berpindah dari istana itu pada malam itu juga
Kerana terlalu murka, Sultan Badli Shah telah tidak perkenan akan permohonan Tunku Abdul Rahman untuk menghadapnya. Walaupun perintah itu dari saudara kandung Tunku Abdul Rahaman sendiri, tetapi telah menjadi perintah Sultan – perasaan saudara kandung tidak timbul lagi, maka dengan hati yang cekal berbaur sedih, pada malam itu juga Tunku Abdul Rahman dan isterinya membawa diri dari istana peninggalan ayahandanya.
Dengan membawa sedikit pakaian – banyak yang ditinggalkan, Tunku Abdul Rahman dan isterinya menaiki kereta yang dipandu oleh pekerjanya yang setia, Syed Ahmad, telah berangkat ke sebuah Rumah di Telaga Air dekat Kepala Batas . Rumah itulah menjadi tempat awal bagi Tunku Abdul Rahman memulakan perjuangannya menuntut kemerdekaan negara ini dari penjajah British. Rumah tersebut pernah didiami oleh Syed Ahmad pada masa dia belum bekerja dengan Tunku Abdu Rahman.
Menurut Tunku Abdul Rahman Putra, kira-kira sehari setelah tinggal di rumah itu, dia telah menghubungi peguam yang memegang amanah harta pusaka ayahandanya di Pulau Pinang. Dia telah meminta wang dari sewa beberapa buah rumah ayahandanya di sana. Tetapi peguam itu memberitahu kepadanya, bahawa dia telah diperintahkan oleh Sultan Kedah, tidak boleh mengeluarkan wang itu kepadanya.
Sehari demi hari sampai seminggu, Tunku Abdul Rahman dan isterinya mulai menghadapi kekeringan wang untuk membeli makanan. Pada hari-hari itu juga dia memerlukan wang untuk meneruskan perjuangannya dalam UMNO. Hendak meminta kepada UMNO, dia tahu parti politik Melayu itu tidak mempunyai wang.
“Apa nak kata, saya dah jadi anak raja papa...,” kata Tunku Abdul Rahman kepada saya.
Tunku Abdul Rahman telah buntu fikirannya untuk mendapatkan wang; tidak ada jalan yang dinampak di hadapannya. Setelah berunding dengan isterinya, wanita yang bakal menjadi ‘Ibu Pertama Negara’ itu, maka dengan ketentuan Allah jua, isterinya telah merelakan gelang dan rantai leher, pergelangan tangan dan kerongsang digadaikan. Syed Ahmad telah menggadaikan barang-barang kemas itu di beberapa kedai pajak gadai termasuk di Butterworth..
Pada masa tinggal di rumah tersebut, Tunku Abdul Rahman sering datang menemui Sheikh Abdullah Fahim. Mungkin firasat atau ilmu ladunni Sheikh Abdullah Fahim, dia mengetahui Tunku Abdul Rahman kekeringan wang. Seminggu kemudian Haji Ahmad Badawi bersama Allahyarham Hashim Awang dari Tasik Gelugur (Pernah menjadi pengarah syarikat surat khabar, Utusan Melayu Berhad dan ahi Dewan Rakyat), Haji Sulaiman Palestin, telah membawa wang untuk Tunku Abdul Rahman Putra
Pendeknya perhubungan Tunku Abdul Rahman dengan Sheikh Abdullah Fahim telah menjadi sebagai perhubungan anak dengan bapa kandung. Sebelum mengetuai Rombongan Merdeka ke London, Tunku Abdul Rahman telah meminta Sheikh Abdullah Fahim menggunakan ilmu falak menentukan tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Tarikh yang ditentukan oleh Sheikh Abdullah Fahim, ialah pada 31 Ogos 1957.
Beberapa minggu kemudian UMNO Malaya telah mengeluarkan wang tabungnya untuk perbelanjaan Tunku Abdul Rahman Putra menjalankan kerjanya sebagai Yang Dipertua Agung UMNO Malaya.
Pada masa Persekutuan Tanah Melayu belum mencapai kemerdekaan, dalam bandar Kuala Lumpur tidak ada hotel bertaraf mewah, kecuali sebuah hotel dekat stasiun kereta api Kuala Lumpur. Walaupun kebanyakan ahli jawatankuasa UMNO menginap di hotel tersebut, tetapi Tunku Abdul Rahman menginap di sebuah hotel di Jalan Raja Muda dekat Kampung Baru, Kuala Lumpur, iaitu New Hotel. Sewa bilik hotel itu murah, iaitu kira-kira empat ringgit bagi satu bilik selama sehari semalam. Tidak lama kemdian ramai ahli jawatan kausa UMNO Malaya datang menginap di hotel tersebut.
Setelah Tunku Abdul Rahman meninggal dunia, saya telah melawat ke hotel itu dan bercakap dengan pengurusnya yang telah tua. Dia telah memuji Tunku Abdul Rahman kerana berjaya memerdekakan negara ini. Sambil ketawa, dia berkata, yang eloknya UMNO menjadikan hotelnya itu sebagai sebuah ‘bangunan mengenang perjuangan Tunku Abdul Rahman dan rakyat Tanah Melayu menuntut kemerdekaan’.

PERJUANGAN YANG DI KABURKAN

Saya mengakui, kerana saya adalah salah seorang dari pelajar-pelajar Daeratul Maarif Wataniah, Kepala Batas, sekitar tahun 1953–1955, bahawa tidak ada sekolah agama di Tanah Melayu yang telah secara serius menyertai perjuangan bangsa Melayu menuntut kemerdekaan, selain dari sekolah tersebut.
Semua sekolah agama di Tanah Melayu termasuk Singapura, lebih-lebih lagi sekolah yang dibiayai oleh Kerajaan Negeri atau oleh dana dari Sultan, tidak sahaja tidak mengambil bahagian secara serius menyertai perjuangan orang Melayu, bahkan tidak membenarkan pelajarnya melibatkan diri mereka dengan perjuangan tersebut.
Penglibatan Daeratul maariful Wataniah secara serius dengan perjuangan orang Melayu menuntut kemerdekaan, kerana Pengetuanya, Haji Ahmad Badawi Naib Ketua Pemuda UMNO Malaya, Guru Pengawas Pelajaran, Ustaz Haji Ahmad bin Abdul Malik (Ahmad Maliki) Ahli Jawatan Kuasa Agung PAS dan Setiausaha Daeratul Maariful Wataniah, iaitu Cikgu Ahmad Awang adalah Setiausaha Agung PAS.
Semua pelajar lelaki sekolah tersebut adalah ahli Pemuda UMNO yang pada masa itu berpakaian seragam. Sebilangan dari pelajar-pelajar itu, terutama mereka yang belajar dalam tingkatan atas, telah dilatih oleh Ahmad Badawi dengan semangat jihad fi sabilillah.
Selain dari pelajar-pelajar selokah Daeratul Maariful Wataniah menyertai Pemuda UMNO, ramai pula pemuda-pemuda Melayu sekitar Kepala Batas yang menyertai badan pemuda itu, di antara mereka itu, Cikgu Azmir bin Haji Mohd. Nor guru bahasa Inggeris sekolah Cina dan Cikgu Mohd. Nor Ahmad guru sekolah Melayu..
Pada masa itu semua ahli Pemuda UMNO berpakaian rasmi - beruniform, itu baju kemeja warna putih berlengan pendek dan seluar putih. Atas kedua bahu tersemat tembaga kecil bertulis Pemuda UMNO, tembaga itu beralaskan pita merah (red tape). Sepatu hitam. Songokok putih seperti songkok para gerila Revolusi Indonesia yang telah melaksanakan Sumpah Pemuda pada 28 Oktober 1928.
Apabila Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Gerald Templer memerintah ala kuku besi Tanah Melayu, maka, semua ahli parti politik tidak dibenarkan memakai uniform. Semua ahli pemuda UMNO terpaksa meninggalkan uniform mereka dan memakai pakaian yang tidak seragam. Gerald Templer khuatir dengan pakaian seragam itu akan menambah marak lagi api perjuangan orang Melayu menentang penjajah Inggeris.
Sir Gerald Telpler telah menggantikan tempat Pesuruhjaya Tinggi British, Sir Hanry Gurny yang telah mati ditembak dalam serang hendap oleh Rejemen ke 10 Pahang yang diketuai oleh Abdullah C.D. yang berasal dari Bota, Parit, Perak, dan gerila Parti Komunis Malaya, di Bukit Fraser, Pahang, pada pada 6 Oktober 1951.
‘Tanggal 6 Oktober 1951, dicatatkan sebagai titik tolak darurat bilamana Sir Hanry Gurny, Pesuruhjaya Tinggi, dibunuh dalam serang hendap komunis semasa perjalanan ke bukit Fraser Hill; pada hari itu semua pihak terkejut. Pembunuhan itu juga telah menyedarkan kerajaan betapa pentingnya tindakan segera dan lebih serius dilakukan untuk menghadapi pemberontakan komunis. Sebagai langkah utama ke arah memerangi komunis dengan lebih berkesan lagi, Perdana Menteri British Sir Winston Churchill telah melantik Jeneral Sir Gerald Templer sebagai Pesuruhjaya Tinggi mulai Mac 1952. Beliau juga merupakan pemerintah tertinggi dan Pengarah Gerakan Tanah Melayu yang diberi kuasa penuh. Beliau segera bertindak membereskan segala halangan yang boleh menjejaskan kelicinan melawan komunis. Darurat adalah menjadi keutamaan kerajaan pimpinannya.’
Kerajaan British telah mulai takut terhadap pemuda UMNO beruniform kerana pakaian seragam itu sama dengan pakaian seragam Pemuda Revolusi Indonesia yang menentang Belanda. Pada masa itu juga Kerajaan British telah menabur cerita bohong, kononnya orang Melayu mahukan Presiden Sukarno memerintah Tanah Melayu dan semua Raja Melayu akan diturunkan dari takhta masing-masing.
Mereka juga telah menaruh prasangka terhadap Pemuda UMNO, iaitu ada kemungkinan mereka bekerjasama dengan pemuda-pemuda Indonesia yang telah merdeka untuk menentang British, lebih-lebih lagi Saadon bin Haji Zubir keturunan Jawa dan terpengaruh dengan perjuangan Sukrno.
Kerana Saadon bin Haji Zubir (keturunan Jawa) terpengaruh dengan perjuangan Presiden Sukarno, maka, anak lelakinya telah dinamakan Sukarno. Tetapi, apabila berlaku konfrontasi Republik Indonesia terhadap Malaysia, nama anaknya digantikan dengan nama lain. Dia tekah membenci dan mengutuk Presiden Republik Indonesia itu..
Konfrontasi itu telah berlaku kerana Presiden Sukarno menentang gagasan Malaysia yang dianggap satu ‘projek British’ untuk menjajah jiwa, politik dan ekonomi orang Melayu di Semenanjung Tanah Melayu khasnya dan Nusantara amnya.
Presiden Sukarno mendakwa British telah mempergunakan Tunku Abdul Rahman supaya menubuhkan Malaysia. Penubuhan itu dikatakan bertujuan untuk menyelamatkan harta benda British, Amerika dan mereka yang bersekutu dengannya, iaitu minyak dan perdagangan penting dalam wilayah Borneo yang meliputi Brunei, Sarawak dan Sabah.
Presiden Sukarno mendakwa, bahawa Kerajaan British takut harta mereka akan dijadikan milik negara oleh Pemerintah negara baru, iaitu Republik Kalimantan Utara’ yang menyatukan Brunei, Sarawak dan Sabah yang akan ditubuhkan oleh Parti Rakyat Brunei (PRB) yang dipimpin oleh Sheikh A.M. Azhari, Brunei.
Selain dari itu Presiden Sukarno telah menuduh Lee Kwan Yew, Singapura, menjadi tali barut Yahudi dan British untuk menubuhkan Malaysia, kerana bertujuan dan muslihat, iaitu Singapura menyertai Malaysia buat sementara dan kemudian menarik pulau milik bangsa Melayu itu keluar dari Malaysia; Singapura akan menjadi negara republik yang merdeka dikuasai oleh orang Cina.
Pada masa itu Lee Kwan Yew ikrab dengan tokoh politik Yahudi di Singapura, di antaranya, David Marshall dan Alex Jeossy (wartawan).
Gagasan Malaysia itu turut ditentang oleh Filipina. Sedangkan negara itu berada dalam MAPHILINDO (Malaysia, Filipina dan Indonesia) – sebuah pakatan tiga negara yang menggantikan Melayu Raya. Presiden Republik Indonesia, Sukarno dan Presiden Filipina, D.Macapagal telah mengecam Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan gagasan Malaysia di Singapura.
Di antara ahli-ahli politik yang menentang Tunku Abdul Rahman mengisytiharkan Malaysia di Singapura dengan tidak berunding lebih dahulu dengan kabinet dan UMNO, ialah Tan Sri Syed Jaafar Albar, Abdul Aziz Ishak dan Sulaiman Palestin (UMNO). Di antara mereka di luar UMNO yang menentang langkah Tunku Abdul Rahman itu, ialah Dr. Burhanuddin Helmi (pendukung gagasan Melayu Raya) dan Ahmad Boestamam (Parti Rakyat Malaya - Front Socialist).
Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan Kerajaan British telah menolak dakwaan Presiden Sukarno yang Malaysia projek penjajah British. Tetapi ternyata apa yang didakwakan oleh Presiden Sukarno itu benar, kerana tidak lama kemudian Singapura keluar dari Malaysia sebagai sebuah negara merdeka bertaraf republik, iaitu Republik Singapura.
Kenapa Malaysia ditubuhkan?
‘Pada umumnya konsep atau gagasan Malaysia bukan merupakan satu konsep yang baru. Pemikiran tentang satu gagasan ini telah muncul dari akhir abad ke- 19 lagi dengan beberapa konsep seperti ‘Melayu Raya’ di rantau ini.
Di samping itu terdapat banyak nasionalis Melayu yang bersetuju bahawa akhirnya wilayah di Asia Tenggara yang telah dipisahkan oleh penjajah British, Belanda dan Amerika akan bercantum semula setelah zaman penjajahan tamat. Walau bagaimanapun banyak yang terkejut dengan saranan Tunku Abdul Rahman kerana pada umumnya Asia Tenggara pada masa itu masih lagi bergolak dengan berbagai-bagai masalah termasuk Perang Vietnam dan ancaman Komunis di beberapa buah negara seperti Indonesia, Singapura dan Persekutuan Tanah Melayu sendiri. Selain itu, Persekutuan Tanah Melayu baharu sahaja menolak hasrat Singapura untuk turut serta dalam Persekutuan Tanah Melayu. Akibatnya ada yang mengatakan bahawa Tunku mungkin ingin menguji reaksi wilayah-wilayah yang terlibat, tanpa membuat persediaan yang teliti.
Walau bagaimanapun Tunku sebenarnya amat bimbang dengan beberapa perkembangan terakhir di Singapura yang ada hubung kait dengan ancaman komunis. Pada bulan Mei 1961 ada tanda-tanda bahawa Parti Tindakan Rakyat (Peoples’ Actikon Party - PAP) menghadapi kekalahan di Singapura, termasuk kawasan pilihan raya Hong Lim. Selain kemungkinan jatuhnya PAP di negeri tersebut, jika Singapura di bawah satu kuasa yang berhaluan kiri tentu akan menjadi ancaman terhadap Persekutuan Tanah Melayu. Tunku menyedari bahawa Persekutuan Tanah Melayu tidak dapat menjamin keselamatan Singapura sekiranya negara tersebut menjadi ‘Cuba’ yang kedua.
Pandangan ini ada hubungan dengan teori keselamatan yang merupakan satu realiti di Asia Tenggara dalam tahun 1970-an. Selain perang di Tanah Besar Asia Tenggara, pihak komunis sedang mara di Vietnam, Laos dan Combodia. Persekutuan Tanah Melayu sendiri menghadapi ancaman pengganas komunis dalam dekad 1960-an dan teori domino telah disifatkan satu teori yang tepat pada masa itu.
Selain dari ancaman komunis di Singapura, Persekutuan Tanah Melayu juga yakin bahawa rakyat bumiputera di Sabah, Sarawak serta Brunei tidak dapat hidup bersendirian. Pada umumnya rakyat bumiputera di wilayah-wilayah itu telah jauh ketinggalan dari segi pembangunan kerana terbiar di bawah penjajah British. Melalui ‘gabungan politik dan ekonomi’ antara rakyat Sabah dan Sarawak akan dapat mencapai kemerdekaan melalui Malaysia dan masa depan mereka terjamin. Alasan lain ialah ancaman komunis di Sarawak semakin serius kerana terdapat kegiatan pengganas Parti Komunis Kalimantan Utara.
Sekiranya Singapura sahaja bergabung dengan Malaysia, kedudukan orang-orang Melayu dan bumiputera akan menjadi tidak seimbang kerana bilangan penduduk Cina yang banyak di negara itu. Akibatnya adalah difikirkan munasabah sekiranya wujud gabungan wilayah yang lebih luas dengan memasukkan wilayah Borneo iaitu bekas tanah jajahan British untuk memperseimbangkan kedudukan kaum. Dalam gabungan ini jumlah penduduk bumiputera akan dapat mengimbangi jumlah penduduk bukan bumiputera yang mewakili 80% rakyat Singapura pada masa itu.
Selanjutnya gagasan Malaysia akan menjamin proses kemerdekaan yang lebih cepat bagi wilayah-wilayah British di Borneo. Mengikut pandangan Tunku, pihak British tidak mempunyai rancangan untuk memberi kemerdekaan kepada Sabah dan Sarawak dalam masa lima tahun lagi. Sekiranya kemerdekaan diberi, wilayah-wilayah tersebut mungkin menghadapi kesukaran kerana hasil ekonomi yang kurang memuaskan. Dengan menyertai Malaysia, Tunku berharap Sabah dan Sarawak akan dapat menyelesaikan beberapa masalah, sekali gus masalah ekonomi dan kemerdekaan negeri-negeri yang terlibat termasuk Singapura.’
Ahli-ahli Pemuda UMNO Kepala Batas terkenal sebagai ‘gerakan pemuda’ yang berdisiplin, kuat berpegang kepada agama Islam, berani dan berpandangan jauh. Pada tahun1954, Tunku Abdul Rahman, ketika berucap dalam satu perhimpunan UMNO di Kelab Melayu Butterworth, telah memuji ahli-ahli Pemuda UMNO Kepala Batas.
Sesungguhnya semua ahli pemuda UMNO Kepala Batas terdiri daripada pelajar-pelajar Sekolah Daeratul Maariful Wataniah. Mereka itu adalah dari pelajar-pelajar dari Kedah, Perak, Selangor, Johor dan Singapura.
Semua pelajar itu telah dibimbing oleh Naib Ketua Pemuda UMNO Malaya, Haji Ahmad Badawi dengan perjuangan yang berfalsafahkan:
1 Agama Islam; Ketuhanan yang Maha Esa, Quran panduan dan undang-undang hidup umat manusia, Nabi Muhammad pemimpin agung yang berjiwa revolusi.
2 Bangsa Melayu ketuanan negara yang menjadi induk bangsa Nusantara.
3 Bangsa Melayu tak hilang di dunia selagi mereka berpegang kuat kepada agama Islam.
4 Semua bangsa asing di bumi ini adalah pendatang, tetapi mereka boleh menyertai kemerdekaan dan menjadi rakyat negara ini selagi mereka taat setia kepada negara ini dan menghormati hak-hak bangsa Melayu.
Pada masa itu hampir semua orang Melayu di Kepala Batas menyanjung Haji Ahmad Badawi kerana telah dipilih menjadi pembantu Saadon Haji Zubir untuk memimpin Pemuda UMNO Malaya.
Saya melihat, walaupun orang Melayu Kepala Batas pada tahun-tahun hampir dengan hari kemerdekaan negara 31 Ogos 1957, telah begandring bahu berjuang menuntut kemerdekaan tanah air, tetapi mereka itu tidak berada dalam hanya sebuah parti politik. Ada yang menyertai UMNO, Pemuda UMNO, ada pula yang menyertai Parti Islam Se Malaya (PAS) dan parti Buruh.
Pada masa itu, walaupun UMNO dan PAS pimpinan Haji Ahmad Fuad Hassan tidak berjuang bersama disebabkan PAS sebuah parti politik berideologikan Islam, namun ahli-ahli dari dua-dua buah parti politik orang Melayu bersatu seperti dua saudara kandung. Orang PAS dan UMNO sama-sama mengakui ‘saudara kandung’ dan sama-sama memperjuangkan kemerdekaan bangsa Melayu dan tanah air Melayu. Mereka berjuang seperti falsafah dalam pantun Melayu di bawah ini:
Kalau roboh Kota Melaka,
Papan di Jawa saya dirikan,
Kalau sungguh bagai dikata,
Badan dan nyawa saya serahkan.
Pada tahun 1953 – 1954 pejabat setiausaha agung PAS, Cikgu Ahmad Awang (Sekolah Melayu Paya Keladi) terletak dalam sebuah bilik di sebelah pejabat Naib Pemuda UMNO Kepala Batas dan Naik Ketua Pemuda UMNO Malaya, Haji Ahmad Badawi.
Saya juga melihat, bahawa perjuangan orang Melayu pada masa itu tidak dipengaruhi oleh niat buruk dan ‘semangat dan cita-cita kaum pendatang’. Ertinya perjuangan orang Melayu tidak dinoda oleh perangai cenderung kepada ‘rasuah politik’, ‘menikam belakang kawan’ atau ‘biar musnah bangsa asalkan diri sendiri hidup mewah’.
Perjuangan pada masa ini telah dinodai oleh faktor-faktor berikut:
* Sanggup bunuh kawan kerana kedudukan dan nama.
* Sanggup jatuhkan saudara kerana emas dan harta.
* Sanggup musnahkan saudara kerana kepentingan diri
sendiri.
* Sanggup gadai maruah kerana ‘rasuah politik’.
* Sanggup menipu diri kerana mengejar nama dan
pangkat.
Sesungguhnya Kepala Batas, Pulau Pinang, adalah satu nama besar dalam sejarah perjuangan kemerdekaan bangsa Melayu. Perjuangan itu bermula dengan perjuangan yang berdasarkan Islam atau Islamisme. Perjuangan tersebut kerana ‘Melayu itu Islam’ dan Tanah Melayu bumi umat Islam’.
Orang tua-tua Melayu mengajar saya, iaitu, kalau hendak mengetahui akan seseorang itu dari bangsa Melayu, ialah, dia tahu membuat dan suka atau gemar makan lemang dan ketupat. Lemang dan ketupat mengandungi falsafah yang tersembunyi.
Lemang
Pucuk pisang melambai awan,
Santan lemak kelapa bergayut,
Buluh muda di paya dura,
Beras pulut dari huma,
Garam putih dari laut,
Dalam pembetungan semuanya bersatu.
Palang kayu lemang besandar,
Kayu api dari belukar belakang desa,
Tiada api lemang tak masak juga.
Lemang menjadi lambang kekuatan dan keberanian orang Melayu. Walaupun buluh muda, tetapi sanggup menghadapi api. Walaupun api menyala marak, namun buluh lemang tidak menjadi arang. Ada orang yang pandai, sebatang buluh boleh memasak tiga hingga lima kali lemang.
Lemang juga mengajar orang Melayu kekal dengan maruah dan adat bersendikan agama Islam, iaitu lemang yang telah masak, dikeluarkan dari buluh, pulutnya berbalut dengan daun pisang yang masak juga; keadaannya seperti orang yang berpakaian.
Maka, membuktikan seseorang itu beragama Islam, beriman kepada Allah dan bangsa Melayu, dia berpakaian menutup auratnya. Sesiapa yang berpakaian mendedahkan perut dan pusatnya, maka dia terkeluar dari falsafah lemang. atau hidup tidak beriman.
Ketupat
Daun palas dari belukar,
Beras pulut padi paya,
Santan lemak kelapa bergayut,
Garam sejemput mengenakkan rasa,
Dalam periuk semua bersatu,
Tiada api ketupat tak masak.
Ketupat tiga bucunya;
Bucu pertama bangsa,
Agama Islam bucu kedua,
Bukti tanah air bucu ketiganya.
Untuk membuat ketupat memerlukan orang yang arif mengadun daun palas. Kelihatannya laksana wanita memakai seluar dalam. Membuka daunnya tidak menyusahkan. Dari ketupat dapat mengetahui sama ada si pembuatnya tahu adat dan resam orang Melayu atau tidak.
Ertinya ketupat menjadi lambang kehidupan bangsa Melayu. Mereka hidup atas tiga dasar penting, iaitu bangsa, agama Islam dan negara. Hilang salah satu dari tiga itu nama Melayu hilang di dunia.
Sesungguhnya, sesuatu bangsa di dunia ini akan terhapus, sekiranya individu-individu – dari pemimpin hingga kepada rakyat jelata tidak mengambil Islam sebagai dasar atau undang-undang bagi kehidupan mereka di dunia ini. Parti politik, harta dan kekayaan, kedudukan dan pangkat dan apa sahaja tidak akan menjamin kekukuhan satu-satu bangsa itu.
Kata-kata Hang Tuah, “tak Melayu hilang di dunia”, adalah kalimat-kalimat yang lahir dari pengarang buku itu – mungkin dia seorang yang amat faham akan agama Islam dan pengamal tasawuf. Bangsa Melayu tak hilang di dunia kerana beragama Islam.

(Dipetik dari manuskrip dua buku saya: Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, dan Kepala Batas Dalam Sejarah).


No comments: