Thursday, January 14, 2010

MENGENANG MSASA SILAM

Mokhtar Peta

Haji Ahmad Badawi, adalah orang Melayu yang bergelaran dengan nama satu kaum yang hidup di perkampungan dalam kawasan padang pasir Makkah, Madinah dan sekitar negara Arab, iaitu Badawi.

‘Orang-orang Badawi berada lebih jauh di padang pasir dan lebih sesuai hidup dengan kehidupan padang pasir kerana mereka terlalu bergantung hidup pada unta-unta, sementara golongan yang lainnya tadi hidup dengan menternak kambing domba, dan juga unta.

Dengan demikian telah menjadi nyata orang-orang Badawi adalah golongan yang tidak menikmati kemajuan hidup di mana hanya secukup apa yang perlu ada sahaja wujud dalam satu peradaban.’[1]

Gelaran ‘Badawi’ bukanlah satu ijazah dari mana-mana universiti seperti yang telah ditulis oleh seorang penulis dalam sebuah buku mengenai dirinya Haji Ahmad Badawi.

Gelaran itu terpahat pada diri Haji Ahmad Badawi semenjak dia kanak-kanak, iaitu antara enam hingga 12 tahun. Dia telah tinggal bersama bapanya, Sheikh Abdullah Fahim di Makkah. Pada masa itu Sheikh Abdullah Fahim menjadi guru agama, mazhab Asy Syafie dalam Masjidul Haram, Makkah. Haji Ahmad seorang kanak-kanak yang nakal. Kerana nakalnya jiran-jiran atau rakan-rakannya menggelar dirinya dengan nama kaum ‘Badawi’.

Menurut surat khabar Arab Saudi, Al Bilad, bahawa pada masa remajanya, Haji Ahmad Badawi bersama para pemain bola sepak Arab, Melayu dan Indonesia telah menubuhkan dua pasukan bola sepak di Makkah, Hijaz. Nama dua pasukan itu, al Wadah dan al Ittihad. Khabarnya, nama kedua-dua pasukan bola sepak itu masih wujud hingga kini.[2]

Haji Ahmad Badawi seorang yang cergas dan lincah. Dia bergerak dalam gerakan kaum tani, mahir dengan ilmu pencak silat, mahir ilmu politik Islam. Di kalangan orang Melayu Seberang Perai amnya dan Kepala Batas khasnya, dia terkenal seorang mualim yang keras hati, berani dan berpengaruh.

Pada masa saya menuntut di Daeratul Maariful Wataniah, Haji Ahmad Badawi adalah pengetua (mudir) sekolah itu. Dia telah mengajar pelajar-pelajar peringkat Thanawi (menengah) pada tiap-tiap hati Khamis atau pada hari lain yang ditentukan. Pelajaran yang diajarnya, ialah ilmu Assiasatul Islamiah – politik Islam dan ‘almayarakatul Islamiah - sosiologi Islam. Selain dari Quran dan Hadis, buku yang popular di kalangan Ikhwanul Muslimin, Masir, iaitu Izzatun nasyiin, buat pena Mustafal Al Ghalayin adalah menjadi teks pelajaran dan pembelajaran tersebut.

Ada beberapa perkataan yang menjadi pegangan, buah pesanan dan nasihat Haji Ahmad Badawi kepada pelajar-pelajarnya, iaitu:

(1) “Kita pemuda Islam mesti berani berjuang menentang siapa sahaja yang cuba menghina dan merosakkan bangsa kita, negara kita dan agama Islam.

(2) Dari bahasa Arab, “Siapa rajin dan bersungguh-sungguh akan berjaya.”

(3) Kita dianggap dayus kalau merelakan orang lain memperkotak-katikkan bangsa dan agama kita.

(4) Dari bahasa Arab, “Bukan pemuda sejati siapa membanggakan jasa bapanya, pemuda sejati ialah yang melaungkan, “aku adalah aku.”

Kerana sikap kerasnya, pada masa dia berjawatan wakil rakyat – ADUN Pulau Pinang (Kepala Batas),[3] Haji Ahmad Badawi pernah berhadapan dengan orang-orang UMNO yang hendak menjatuhkan namanya dalam politik dan UMNO, serta menggoncang kerusinya sebagai wakil rakyat. Tetapi kerana kecekapan dan diplomasinya, maka orang-orang yang menentangnya telah lembut hati dan menjadi penyokongnya pula.

Seperti keterangan yang saya dapati dari Pejabat Perbendaharaan Negeri Pulau Pinang, bahawa selama masa Haji Ahmad Badawi memegang jawatan Ahli Dewan Negeri, Anggota Jawatankuasa Kerja Kerajaan (Exco) Negeri dan memangku jawatan Ketua Menteri Pulau Pinang, pada masa Ketua Menteri, Tun Dr. Lim Choong Eu berada di luar negeri pada tahun 1976, Selain dari elaun tetapnya, dia tidak mengambil elaun menghadiri mesyuarat, mileage (elaun perbelanjaan perjalanan) dan beberapa jenis elaun lagi. Haji Ahmad Badawi adalah orang politik yang pertama berbuat demikian. Orang yang kedua, ialah Dato’ Haji Nik Abdul Aziz bin Nik Mat, Mursyidul Am PAS dan Menteri Besar Kelantan.

Pada tahun 1954, saya bersama Haji Ahmad Badawi telah pergi berkempen di sebuah kampung dalam kawasan Gunung Semanggol, Perak. Kami telah pulang dari majlis kempen itu kira-kira jam 12.00 malam. Haji Ahamad Badawi memandu keretanya, iaitu jenama Moris 8 (tidak ada hawa dingin). Saya duduk di sebelah kirinya.

Kami tiba dalam satu kawasan hutan yang keadaan sangat gelap. Tiba-tiba dua orang perempuan Melayu yang muda dan berpakaian lawa – baju kebaya bandung dan batik wiron, telah menahan kereta yang kain naiki. Mereka itu telah meminta untuk menumpang kereta kami. Kerana kereta itu hanya dua pintu, saya telah turun dan memberi dua perempuan itu masuk ke dalam kereta tersebut.

Sepanjang jalan atas batu kerikil kira-kira dua kilometer itu, dua perempuan itu tidak bercakap. Hanya bau harum semerbak dari mereka menyumbat hidung kami. Tiba di suatu tempat yang gelap, mereka meminta Haji Ahmad Badawi memberhentikan keretanya. Sebaik-baik sahaja kereta berhenti mereka turun dari kereta melalui jendela yang ternganga. Mereka tidak mengucapkan sebarang perkataan.

Apabila kereta berjalan semula, kira-kira dua rantai dari tempat itu, saya memandang kepada tempat duduk belakang, dalam cahaya samar-camar itu, saya ternampak dua batu nisan warna putih atas tempat duduk kereta tersebut. Haji Ahmad Badawi manusia tidak takutkan hantu. Kami turun dari kereta dan mengangkat batu nisan itu dan meletakkannya di tepi jalan.

Satu kisah yang lain, pada satu petang nyaris-nyaris Haji Ahmad Badawi mengamuk. Kejadian itu disebabkan kawan karibnya sejak masa di sekolah rendah dan sekolah menengah agama lagi dan murid Sheikh Abdullah Fahim. Namanya elok saya tidak mendedahkan pada halaman buku ini. Dia menjadi kaki judi loteri dan nombor ekor. Akibatnya dia telah menanggung hutang yang banyak. Dia mendapat satu akal, iaitu pada satu petang dia menjemput Sheikh Abdullah Fahim membaca doa majlis tahlil yang diadakan di rumahnya. Saya di antara orang-orang yang hadir di majlis itu.

Sebaik-baik sahaja Sheikh Abdullah Fahim akan membaca doa, orang itu telah bertanya nombor ekor kepadanya. Sheikh Abdullah Fahim tidak marah. Senyum pun tidak. Sambil mengucap masya Allah, masya Allah, masya Allah, dia telah mengangkat dua puntung tangannya dan membaca doa.

Hamba Allah mahir berjudi itu, pandai mengagak atau meneka akan tutur kata senyuman, memek wajah, gerak geri Sheikh Abdullah Fahim pada waktu dia membaca doa .Semua nombor yang di agak atau diteka.itu akan digunakan pada pada waktu dia membeli tiket-teket loteri nanti

Sebaik-baik sahaja majlis tahlil itu selesai, Sheikh Abdullah Fahim bersama kami meninggalkan rumah hamba Allah mahir berjudi itu. Kemudian dia telah memecut keretanya menuju ke Bukit Mertajam, Kulim, Sungai Petani hingga ke Alor Setar. Di tiap-tiap bandar itu, dia telah membeli tiket-tiket loteri yang mengandungi nombor-nombor dalam pada kertas catatan yang dibawanya.

Pada sebelah senja, apabila keputusan cabutan nombor loteri di umumkan, maka dia telah memenangi dua tiket loteri itu yang mengandungi nombor-nombor yang diramalkannya itu. Pada keesokan harinya, si kaki judi itu telah melangsaikan semua hutangnya. Dia rasa seperti baru hidup semula.

Pada esok paginya, Haji Ahmad Badawi telah mendapat tahu yang bapanya telah diperdaya oleh rakannya untuk mendapatkan nombor loteri. Perasaan marahnya memuncak dan telah mendorongkan dia membawa tongkat pendek kayu merbau dan pergi ke rumah rakannya itu. Pendeknya, kalau rakannya ada di rumah, tentu dia mengamuk. Tetapi rakannya itu telah mendapat tahu yang Haji Ahmad Badawi akan mengamuk, maka telah melarikan diri Nibong Tebal. Di sana dia telah bersembunyi selama dua minggu.

Kerana sedar akan kesalahannya, si kaki judi loteri itu telah datang menemui Haji Ahmad Badawi dan meminta maaf. Haji Ahmad Badawi yang telah hilang panas dan marahnya telah memaafkan rakannya itu.

Selama saya belajar di Daeratul Maariful Wataniah, sama ada disuruh atau dengan kerelaan saya sendiri, saya telah banyak membantu urusan sekolah itu. Di antaranya memegang jawatan pengarang majalah sekolah. Menjalankan kerja-kerja di pejabat sekolah, iaitu membantu Setiausahanya, Cikgu Ahmad Awang dan pergi ke permatang-permatang untuk memberi penerangan mengenai sekolah tersebut.

Saya juga menyertai pelajar-pelajar Daeratul Maariful Wataniah berlakon dalam sebuah sandiwara yang dipentaskan pada malam perayaan tahun sekolah tersebut. Skrip sandiwara itu ditulis oleh Ustaz Abdul Kadir Kamil dan saya sebagai pembantunya. Di antara para pelajar yang telah mengambil bahagian berlakon bersama saya dalam sandiwara bercorak sejarah Pulau Pinang pada masa mula dijajah oleh Inggeris itu, ialah Abu Bakar Othman (Tokai, Kedah), Arif bin Haji Yasin dan Khairuddin Haji Ahmad (Bagan Dato, Perak), Ali Haji Hussein (Teluk Anson). Sharif Ishak (Yan, Kedah) dan Muhammad Salleh Haji Taib (Pajak Song, Kepala Batas).

Kerana masalah kewangan ibu bapa saya disebabkan harga getah jatuh merudum, saya telah mengambil keputusan akan berhenti dari sekolah itu. Saya telah menyahut pelawaan dari sebuah syarikat filem Melayu, Singapura, untuk menjadi pelakon pembantu dalam sebuah filem yang akan dilakukan penggambarannya di sekitar negeri Johor dan Melaka.

Apabila saya menyerahkan surat untuk berhenti sekolah kepada Haji Ahmad Badawi, dia telah tidak membenarkan saya berhenti dan dia menasihatkan saya supaya bersabar kerana dia akan membantu mengatasi masalah saya.

Dua hari kemudian, saya dianugerahkan wang biasiswa sebanyak $25.00, iaitu untuk bulan Julai 1954. Wang itu ialah dari sejumlah wang biasiswa untuk saya. Saya akan menerima wang dari biasiswa tersebut pada tiap-tiap bulan hingga saya tamat belajar di sekolah tersebut pada akhir tahun. 1955.

Biasiswa kecil itu bukanlah dari mana-mana badan atau institusi, tetapi dari lima orang yang meminati tulisan saya dalam surat khabar dan majalah, di samping menilai khidmat saya kepada sekolah itu. Mereka itu, ialah Yahaya Arif (Pemilik tokok buku Melayu dan Indonesia) dan menantu kepada Sheikh Tahir Jalaluddin (Kuala Kangsar), Mohd. Khir Haji Taib, wartawan Utusan Melayu (Singapura), Cikgu Ahmad bin Awang (Paya Keladi, Kepala Batas) dan Haji Ahmad Fuad Hassan (Tanah Liat, Bukit Mertajam), Encik Hashim peniaga kasut capal (Kepala Batas).

Haji Ahmad Badawi tidak sahaja menjadi guru mengajar ilmu pengetahuan Islam kepada saya, bahkan dia telah mengajar dan membimbing saya dengan pengetahuan politik Islam. Dia juga telah menjadi rakan saya dalam perjuangan menuntut kemerdekaan.

Setelah saya berhenti dari Daeraul Maariful Wataniah pada hujung tahun 1955, saya kembali ke kampung saya, iaitu Kampung Ngor, Sauk, dalam daerah Kuala Kangsar; kini dalam kawasan Dewan Rakyat Cenderoh. Saya telah bekerja sebagai wartawan surat khabar ‘Harian Patriot’, Medan, Indonesia dan surat khabar Utusan Melayu (Singapura) di bawah wakilnya di Kuala Lumpur, Abdul Aziz Ishak[4] (kemudian Menteri Pertanian dalam kabinet Tunku Abdul Rahman).

Pada masa itu saya menyertai cawangan Pemuda UMNO dalam bahagian Kuala Kangsar. Dengan persetujuan UMNO bahagian tersebut, saya telah menjemput Haji Ahmad Badawi ke kampung saya untuk memberi ucapan dalam satu perhimpunan para warga kampung saya dan kampung-kampung lain sekitar Kuala Kangsar.

Beberapa bulan kemudian saya telah menjemput Tunku Abdul Rahman, Dato’ Abdul Razak bin Dato’ Hussein, Pegawai Penerangan UMNO Malaya, Syed Jaafar Albar dan Ketua Kaum Ibu UMNO, Khadijah Siddik

Setelah negara kita mencapai kemerdekaan dan bernama Malaysia, saya telah bekerja wartawan sebuah surat khabar, Haji Ahmad Badawi yang telah menjadi ahli Dewan Undangan dan anggota Majlis Kerja Kerajaan (Exco) Negeri Pulau Pinang (1969–1975). Dia sering berkunjung ke rumah saya di Kuala Kangsar. Pada tahun-tahun itu, kami menjadi sahabat akrab – politikus dan wartawan.



[1] Ibnu Khaldun, Mukadimah Ibnu Khaldun (terjemahan) , 1993, Kuala Lumpur, DBP, hlm. 84.

[2] Mokhtar Petah, Sheikh Abdullah Fahim Penentu Tarikh Kemerdekaan Negara 31 Ogos ‘ 57, 1997,

Kuala Lumpur, Pustaka Antara Sdn. Bhd., hlm. 98.

[3] Pada tahun 1974 telah ditukar nama kepada DUN Bertam. Dan Kepala Batas menjadi nama bagi kawasan

Dewan Rakyat (Parlimen).

[4] Wartawan yang disifatkan rat row (tikus rebut atau tikus mencela) oleh Pesuruhjaya Tinggi

British, di Tanah Melayu, General Sir Gerald Templer kerana dia telah melaporkan istiadat pertabalan

Maharani Inggeris, Elzabeth II, di London, pada tahun 1953. Dan laporan itu tidak menyenangkan hati

Kerajaan British.

( Dari manuskrip buku, Catatan Sejarah Melayu, oleh: Mokhtar Petah)


No comments: