Mokhtar Petah
Pada tahun 1950-an, mana-mana penulis yang menulis mengenai hal ehwal politik, masyarakat dan agama Islam, mengasah kesedaran dan fikiran orang-orang Melayu untuk memerdekakan bangsa dan tanah air, telah dianggap oleh orang-orang yang memihak kepda penjajah Inggeris, sebagai orang yang tidak diingini. Mereka menganggap penulis-penulis itu seperti ’duri dalam daging’ kepada kerajaan Inggeris dan anggota-anggota masyarakat yang sayangkan penajajah tersebut.
Oleh yang demikian ramai penulis-penulis yang menulis rencana, cerpen dan sebagainya yang mengandungi idea atau semangat perjauangan menuntut kemerdekaan atau politik menentang penjajah Inggeris telah menggunakan nama samaran masing-masing. Ishak Haji Muhammad menggunakan nama samaran: Anuar, Hantu Raya dan beberapa nama lagi, Abdullah Hussain: Adiwajaya, Iskandar Muda dana beberapa nama lagi, Abdul Samad Ismail: Asmal, Mohha dan Nasha, Kamaluddin Muhammad:Kris Mas, Abdullah Thani: Ahmad Boestamam dan Ruhi Hayat, Usman bin Awang: Tongkat Waran dan ramai penulis-penulis yang mengunakan nama samaran. Aku telah menggunakan beberapa nama samaran, di antaranya, M.Pathy, Shabab Asmara, Akhdiat, Noor Iskandar dan lain[1].
Aku dianggap oleh kebanyakan politikus Melayu seorang penulis kontroversi atau daring writer. Ramai yang suka membaca tulisanku dan ramai pula yang tidak suka membacanya kerana takut tulisanku itu memjadi ’sabun’ membasuh otak atau ’brain wash’ mereka.
Setelah sekolah aku di Teluk Anson tutup, kira-kira dua bulan aku tinggal di kampungku. Tiap-tiap hari aku telah bekerja menoreh getah di kebun getah ibuku, di Paya Pak Banon. Pada sebelah petang aku telah menolong ibuku bekerja sawah dan pada sebelah malam aku menjadi nelayan di Tasik Chenderoh. Ikan-ikan yang telah aku tangkap itu sekadar untuk lauk kami sahaja.
Di samping itu aku mengambil kesempatan dari waktu-waktu lapang untuk menulis artikel, cerpen dan buku cerita atau romen. Ada kalanya aku telah dikacau oleh pertanyaan; mengapa ku menjadi penagih menulis, sedangkan dari moyang, datuk dan bapaku, sama ada di sebelah bapaku mahaupun di sebelah ibuku tidak ada yang telah menjadi penulis?
Akhirnya aku menjawab sendiri, iaitu Allah telah menjadikan rasul-rasul-Nya dan nabi-nabi-nya. Maka tidak hairanlah Allah telah menjadikan orang-orang yang dikehendakinya itu sebgai penulis. Kepada rasul-rasul-Nya dikurniakan wahyu. Kepada penulis-penulis dianugerahkan ilham-Nya seperti Allah memberi wahyu dan ilham kepada lebah.
’Dan Tuhan kamu telah mewahyukan kepada lebah supaya membuah tempat diam (sarang) di bukit, di pohon kayu dan apa sahaja pun yang dapat mereka dirikan.
Kemudian (dan) makanlah buah-buahan dan laluilah jalan Tuhan dengan patuh.Dari perutnya keluar minuman yang bermacam warnanya, di dalamnya ada ubat bagi manusia; sesungguhnya hal itu menjadi keterangan bagi kamu yang memikirkan.[2]
Pada satu hari, aku bersama bapaku telah pergi ke sekolah agama, Madrasah Idrisiyah, Bukit Chandan, Kuala Kangsar dan menemui mudirnya, Ustaz Haji Zubir bin Haji Ahmad. Bapaku telah memohon mudir itu agar dia dapat menerima aku melanjutkan pelajaran di sekolahnya. Dengan pertolongan Allahyarham Haji Ohman bin Ahmad, bilal Masjid Ubudiyah, Bukit Chandan, maka aku telah diterima untuk menduduki peperiksaan khas pada hari itu juga, bagi melayakkan aku menyambung pelajaran dalam Qismuth thalith’ (tingkatan tiga).
Walaupun aku telah berjaya dalam peperiksaan khas itu, tetapi malang, kerana tiga orang dari ahli jawatankuasa sekolah itu telah tidak mahu menerimaku. Mereka telah memberi alasan, kerana sekolah itu di bawah naungan Sultan Negeri Perak, maka aku tidak boleh diterima belajar di sekolah itu, kerana aku telah benyak menulis artikel-artikel yang berbau politik dalam surat-surat khabar dan majalah-majalah. Jika aku diterima belajar di sekolah itu, maka aku akan merosakkan nama baik sekolah itu. Mereka juga tidak menolak kemungkinan, jika aku belajar di sekolah itu, ramai daripada penuntut-penuntut sekolah tersebut akan terpengaruh dengan fikiran dan tulisanku.
Aku terpaksa menganggur di kampungku selama sebulan setengah lagi. Ada hari-harinya aku pergi ke Kuala Kangsar. Di sana aku telah berkenalan dengan pemilik toko buku, di Jalan Kangsar, dalam bandar diraja itu, iaitu Allahyarham Yahya Arif. Dia ialah menantu kepada Sheikh Tahir Jalaluddin dan adik ipar kepada Tun Hamdan Sheikh Tahir. Yahaya Arif juga menjadi pengeluar ubat bersalin cop ’kambing gurun’ dan ’burung layang-layang’.
Setelah Yahya Arif mengetahui masalahku, maka dia telah mengesyorkan kepadaku supaya aku melanjutkan pelajaran ke sekolah agama Islam, di Padang atau Bukit Tinggi, Indonesia. Sekolah itu telah dikendalikan oleh beberapa orang ulama di sana, termasuk pujangga Haji Abdul Karim Amarullah - HAMKA.
Yahaya Arif telah memberi jaminan kepadaku, bahawa dia akan mengaturkan perjalananku ke sana dan segala perbelanjaanku di sana termasuk yuran sekolah dan buku-buku akan ditanggung oleh pihaknya.
Syeikh Tahir Jalaluddin adalah rakan karib kepada HAMKA. Yahya Arif juga menjadi rakan rapat pujangga itu. Di toko bukunya ada menjual banyak buku-buku karya HAMKA dan buku-buku karya penulis-penulis lain dari Indonesia.
Yahya Arif telah berharap kepadaku, apabila aku telah belajar di Bukit Tinggi, aku akan dapat membantu beberapa buah majalah Islam di sana, iaitu dengan menulis artikel-artikel untuk majalah-majalah itu. Aku akan diberi honorarium bagi setiap artikel karyaku itu.
Apabila usul atau rancangan Yahya Arif itu aku telah kemukakan kepada ibu dan bapaku, mereka telah tidak setuju. Mereka tidak mahu aku belajar di sana dan menurut mereka, kalau aku belajar di sana tentu aku tidak akan pulang ke tanah air lagi. Mereka khuatir aku akan berkahwin dengan gadis Minangkabau, di sana.
Ibu dan bapaku telah mendengar cerita-cerita dari orang-orang Minangkabau dari keluarga Malim Deman – kedai songkok-, di Jalan Datok, dalam bandar Kuala Kangsar, bahawa orang-orang Minangkabau pandai memikat pemuda-pemuda Melayu untuk menjadikan menantu mereka.
Kebetulan pula pada masa itu, ada seorang peniaga dari Minangkabau, Fakeh Hassan sering datang ke rumah kami. Dia telah memberitahu hasratnya kepada ibu dan bapaku, dia bercadang hendak mengambil aku menjadi menantunya, iaitu menjodohkan aku dengan anak gadisnya yang sedang menuntut di sekolah agama, di Bukit Tinggi, Indonesia.
Ibu dan bapaku telah mencapai keputusan, bahawa aku mesti menuntut di mana-mana sekolah agama Islam di tanah air. Kalau mereka membenarkan aku menuntut di Bukit Tinggi, sama seperti mencampakkan seketul batu ke dalam tasik. Mereka mengusulkan supaya aku melanjutkan pelajaran ke sekolah agama, Madrasah al Yahyawiayah, Padang Rengas. Pengetua sekolah itu, ialah Allahyarham Ustaz Haji Abdul Samad Noh,[3] seorang ulama muda lepasan sekolah Darul Ulum, Mekah.
Sebelum aku datang ke Madrasah Al Yahyawiyah, telah terbayang dalam mindaku yang sekolah itu beratap genting, dinding simen atau papan, lantainya marmar, banyak bilik darjahnya serta ramai muridnya. Tetapi apabila aku tiba di sekolah itu, apa yang telah terbayang dalam mindaku sebelumnya, langsung tidak wujud.
Madrasah itu hanya sebuah surau lama bertiang kayu-kayu empat segi, berdinding papan, lantai papan dan beratap zink. Surau itu terletak dekat sebuah telaga tempat penduduk-penduduk kampung Bawah Gunung mandi manda dan berhampiran dengan sebuah paya.
Bahagian atas surau itu tempat sembahyang dan kami belajar di bahagian bawahnya. Tidak ada bilik darjah. Kira-kira dua puluh orang penuntut sahaja yang belajar dalam tingkatan tiga (qismuth thalith. Semua penuntut terpaksa belajar dalam surau itu dengan bersila seperti penuntut-penuntut institusi pondok.
Di antara penuntut-peniuntut sekolah itu, ialah Ahmad bin Sheikh Juni Tala (adik ipar kepada Mohamad Asri bin Muda Menteri Besar Kelantan, kemudian dia menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri Perak– PAS - , kawasan Lubuk Merbau.
Kerana madrasah itu tiada asrama atau rumah tumpangan bagi penuntut-penuntutnya yang datang dari luar Padang Rengas, maka aku bersama penuntut-penuntut lain terpaksa menumpang di sebuah rumah milik seorang anggota Angkatan Pemuda Insaf (API), Ustaz Abdul Kadir. Dia telah ditahan dalam khemah tahanan politik, di bawah perintah Menteri Dalam Negeri, Dato’ Onn Jaafar[4] pada tahun 1948.
Ustaz Abdul Kadir bersama berpuluh-puluh orang anggota-anggota Parti Hizbul Muslimin, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) Angkatan Pemuda Insaf (API), Angkatan Wanita Sedar (Awas) di Padang Rengas dan beberapa tempat di Negeri Perak telah ditangkap dan ditahan dalam beberapa khemah tahanan politik di Malaya.
Rumah itu terletak di tepi sawah, di Kampung Lalang, sebuah kampung dipendalaman, kira-kira dua kilometer jaraknya dari sekolah tempat aku belajar. Aku telah tinggal besama tiga orang penuntut dari kampung Luat, Lenggong. Mereka itu, ialah Idris (kemudian menjadi guru agama pasukan Polis Hutan, di Ipoh), Abdul Muluk, Mohd. Azam dan Mohd. Adnan (kemudian bekerja kampung).
Aku dan rakan-rakanku terpaksa berulang alik ke sekolah dengan berjalan kaki mengikuti jalan tanah dan aspal – bila hari panas berdebu dan bila hari hujan berlumpur. Kami terpaksa memasak makanan sendiri kerana hendak berjimat.
Oleh kerana aku banyak menumpukan kepada pelajaran dan menulis rencana dan sebagainya, maka aku jarang mengambil bahagian memasak. Kawan-kawan serumah dengannku menganggapkan aku ’orang yang paling malas memasak’.
Pada masa itu jalan dari pekan Padang Rengas ke Kampung Lalang dan Kampung Laneh masih tanah merah dan pasir. Di kawasan bawah Gunung Pondok dan dekat stesen keretapi terdapat lebih lima belas rumah kedai setingkat.
Kira-kira dua bulan aku belajar di Madrasah al Yahyawiyah, aku telah bergaul dengan beberapa orang pemuda Melayu ahli Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan Angkatan Pemuda Insaf (API) di Padang Rengas. Mereka itu terdiri dari orang-orang yang belum ditangkap oleh pihak Kerajaan Inggeris. Di antara mereka itu, ialah Rashid Karim, Rashid Ali, Ismail Punjab dan Zainuddin Andika (seorang tukang kayu yang pandai membuat senjata api).
Mereka itu sering membaca artikel-artikel yang aku tulis dalam akhbar dan majalah-majalah. Kerana artikel-artikel yang aku tulis itu ada unsur-unsur politik, mereka menganggap aku mempunyai semangat dan jiwa perjuangan yang sama dengan mereka juga.
Mereka tidak mahu aku tinggal jauh dari sekolahku, maka mereka telah mengajak aku tinggal di sebuah rumah atau bangsal setingkat, beratap rumbia, dinding papan, tidak berlantai, hanya tanah berdebu. Bangsal itu milik seorang ahli Angkatan Pemuda Insaf (API) yang terletak dalam kebun ubi kayu, dekat landasan keretapi dan kira-kira suku kelometer jaraknya dari sekolahku.
Kira-kira sepuluh hari aku telah tinggal di bangsal itu, pada satu malam satu gerakan besaran-bersaran menangkap saki baki ahli-ahli Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS) telah dilancarkan oleh anggota-anggota pasukan Polis Hutan (jungle scout) di seluruh kawasan Kuala Kangsar, terutama di sekitar Padang Rengas[5].
Dalam gerakan pada malam pertama itu, beruluh-puluh orang Melayu ahli-ahli Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Hizbul Muslimin, Angkatan Pemuda Insaf(API) dan Angkatan wanita Sedar(AWAS) telah ditangkap dan dibawa dan ke Ibu pejabat Balai Polis, di Kuala Kangsar. Di antara rakan-rakanku di Padang Rengas yang telah ditangkap pada malam pertama, ialah Zainuddin Andika dan Ismail Punjap.
Pada malam yang kedua gerakan itu, aku sedang membaca buku dalam cahaya pelita minyak tanah, dalam bangsal itu, tiba-tiba aku terdengar beberapa orang berjalan di luar bangsal, kemudian pintu bangsal itu telah diketuk beberapa kali dari luar. Aku telah membuka pintu itu. Lebih sepuluh orang anggota-anggota Polis Hutan berpakaian seragam sedang berdiri di muka pintu bangsal itu.
Ketua mereka, seorang Melayu telah memberi salam kepaku. Kemudian dia telah masuk ke dalam bangsal dengan diikuti oleh anggota-anggotanya. Mereka telah menggelidah rak buku, almari dan apa sahaja dalam bangsal itu.
Aku telah memberitahu mereka yang aku masih belajar dan baru tinggal menumpang dalam bangsal itu.
Seorang pegawai polis – mungkin pegawai Polis Cawangan Khas, boleh berbahasa Arab dan lepasan sekolah agama – Madrasah Al Junid, Singapura, telah menggeledah di bawah pangkin dan telah mengetuk-mengetuk atas tanah di situ dengan bat senapangnya. Tempat itu bergaung. Setelah dibuka penutup lubang gaung itu, mereka telah menemui lebih dua ratus laras senapang -rifle - , yang siap dibuat dan semua rifle belum dipasang picu (trigger)nya. Mereka telah mengangkat keluar semua senapang itu dan kemudian membawa keluar dari bangsal itu.
Mungkin pada waktu anggota-angota polis hutan itu menggeledah bangsal aku itu, pegawai yang pandai berbahasa Arab itu telah membaca tulisan(Jawi)ku yang telah siap ku tulis dan buku-buku karangan Syed Qutb, Hassan Al Banna (anggota-anggota parti Ikhwanul Muslimin Mesir) serta buku-buku karangan Ir Soekarno, Dr Mohd.Hatta, Hamka dan Dr Burhanuddin Helmi yang terletak atas pankin dalam bangsal itu. Pada pagi esoknya, kira-kira jam 7.00 satu pasukan polis hutan telah datang menangkapku dan mereka telah membawaku ke Balai Polis Padang Rengas. Kira-kira dua jam kemudian mereka telah membawa aku ke Ibu Pejabat Balai Polis daerah Kuala Kangsar.
Aku adalah di antara berpuluh-puluh orang Melayu pejuang kemerdekaan yang telah ditahan di Ibu Pejabat Balai Polis itu. Aku ditahan sebagai tahanan politik hingga jam 4.30 petang.
Aku telah dibebaskan adalah dengan pertolongan seorang pegawai rendah mata-mata gelap, Sarjan Buang yang datang melihatku dan tahanan-tahanan lain dalam perut balai itu. Sarjan Buang sahabat bapakku. Beberapa bulan yang lalu, dia telah sering datang ke rumahku. Dia pernah menasihati aku supaya rajin belajar. Setelah Sarjan Buang berunding dengan pegawai-pegawai polis di balai itu, maka aku telah dibebaskan. Kemudian aku telah dihantar dengan sebuah lori polis ke pekan Padang Rengas.
Kerana aku masih muda – berdarah muda - , walaupun aku bukan pejuang kemerdekaan, tetapi setelah aku ditangkap oleh anggota-anggota Polis Hutan, aku berasa bangga, kerana aku telah ditangkap sebagai seorang pejuang atau patriotik kemerdekaan tanah air.
Aku telah merahsiakan kejadian aku telah ditangkap dan ditahan di Balai Polis Kuala Kangsar. Aku tidak mahu diketahui oleh guru-guru dan kawan-kawanku, lebih-lebih lagi oleh ibu dan bapaku. Kalau mereka telah mengetahui, tentulah mereka terpaksa mengeluarkan wang untuk datang ke Padang Rengas kerana melihatku. Pada masa itu wang sukar didapati oleh orang-orang yang berada dalam rahang kemiskinan.
[1] Mohd. Thani Ahmad, Sarah Sadon, Suhaimi Haji Muhammad, 1988, Wajah - biografi penulis, edisi
kedua,
[2] Quran - An Nahl: 68, 69.
[3] Noor Iskandar, Haji Abdul Samad Noh, Kuala Lumpur, Tempo, 2 Mei 1993.
[4] Dato’ Onn, Yang Dipertua UMNO. Dia pegawai tinggi (eksekutif) kerajaan Inggeris dan
mempunyai taraf dan kuasa Menteri Dalam Negeri.
[5] Semenjak tahun 1945, Gunung Semanggul, Bagan Serai dan Padang Rengas, Kuala
Kangsar telah menjadi kawasan tempat pejuang-pejuang kemerdekaan bergiat dan
bersedia untuk menghadapi kemerdekaan tanah air menurut yang mereka tuntut, iaitu
satu negara (Malaya), satu bangsa (Melayu) dan satu agama (Islam).
No comments:
Post a Comment