Saturday, January 9, 2010

BERITA

Banyakkan menerang bukan menyerang - Abdul Hadi

Nazri Abdullah

SHAH ALAM, 9 Jan: Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang hari ini mengingatkan seluruh kepimpinan parti di seluruh peringkat agar terus memberi penerangan kepada masyarakat khususnya berkaitan isu-isu semasa yang melanda negara.

Berucap sewaktu merasmikan program Taklimat Penerangan Isu-isu Semasa di Auditorium Dewan Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) pagi ini beliau memberitahu tugas menyedarkan masyarakat bukan sahaja diberi ganjaran pahala yang besar malah ianya juga prasyarat mencapai kemenangan.

"Kewajipan kita lebih banyak menerang, bukan menyerang, sebab itu kita namakan lajnah penerangan, bukan penyerangan," ujarnya.

Apatah lagi katanya, perkembangan teknologi sekarang khususnya kemunculan blog yang kadang kala melaporkan maklumat yang tidak benar boleh memberi kesan buruk jika tidak pandai ditangani.

Namun apa yang penting ujarnya, adalah iltizam dan istiqamah pimpinan parti memberi keterangan sebenar kepada masyarakat berdepan maklumat yang salah yang dilapor dalam blog.

"Maklumat yang betul tidak apa, maklumat salah menimbulkan masalah kadang kadang menimbulkan masalah dalaman.

"Sebab itu tugas penerangan sangat besar dalam hal ini," katanya lagi.

Menyentuh isu semasa, beliau turut mengutuk keras serangan membakar gereja yang dianggap bukan dari ajaran Islam.

"Kenapa berlaku bakar gereja, serang gereja? Ajaran mana mereka dapat?

"Ini punca sikap jahil terhadap agama Islam itu sendiri, jahil feqah dan jahil politik," katanya lagi.

Lebih 500 pemimpin PAS khususnya jentera penerangan di segenap peringkat hadir menyertai taklimat anjuran Lajnah Penerangan dan Dakwah PAS Pusat hari ini.

Mereka terdiri dari Ahli Majlis Syura Ulama, AJK Pusat, pimpinan dan AJK Dewan Ulama’, Pemuda dan Muslimat Pusat, Dewan Harian Badan Perhubungan Negeri dan Wilayah, Ketua dan Setiausaha Penerangan Ulama’/Pemuda/Muslimat Negeri-Negeri, AJK Lajnah Penerangan Dan Dakwah Pusat, Ahli Parlimen, Ahli Dewan Negara, Adun-Adun dan Ketua serta setiausaha Penerangan Kawasan.

Program sehari ini antara lain akan membentangkan secara khusus isu-isu nasional serta isu-isu yang berlaku di negeri-negeri Pakatan Rakyat.

Dalam program ini juga semua jentera penerangan akan didedahkan cara berdepan dengan beberapa isu yang dimanipulasi media dan parti pemerintah.

Mereka juga akan dibentangkan isu-isu nasional dan isu-isu di sekitar negeri Pakatan Rakyat sama ada Kelantan, Kedah, Selangor dan termasuk juga isu Perak.

Program hari ini juga dijangka berakhir jam 5.30 petang ini dengan perasmian penutup akan disempurnakan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.


-------------------

Paderi puji ketegasan PAS



Dzulfikar Mashoor & Rosly Yasmin
KUALA LUMPUR, 9 Jan: Ketua Paderi bagi Gereja Metro Tarbenacle, Hock Teck Leong merakamkan penghargaan kepada PAS kerana mengutuk pengeboman tiga gereja tempatan, pagi semalam.

Demikian maklum balas Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasruddin Hassan at-Tantawi, yang turut menyertai Ziarah Mesra PAS petang tadi.

“Dia cukup terharu dan mengucapkan terima kasih atas kunjungan dan simpati yang ditunjukkan oleh para pemimpin PAS,” jelas Nasruddin ketika dihubungi Harakahdaily.

Menurutnya, pihak gereja turut memuji ketegasan PAS mengutuk pengeboman tiga gereja terbabit oleh pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab.

Dalam sesi dialog, Nasruddin turut menjelaskan bahawa Rasulullah s.a.w. melarang umatnya meruntuh rumah ibadat bukan Islam.

“Kita berdialog, saya sempat jelaskan bahawa Rasulullah s.a.w. melarang umatnya membunuh budak kecil, wanita dan orang tua, tumbuh-tumbuhan hatta rumah ibadat ketika berperang.

“Kalau waktu berperang, Islam mengajar sebegitu, inikan pula waktu aman, orang yang terbabit tidak belajar keadilan dalam Islam,”ujarnya.

Sebelum itu, Presiden PAS, Datuk Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang bersama-sama beberapa pemimpin PAS Pusat mengadakan pertemuan Hock Teck Leong.

Dalam perkembangan berkaitan, pengeboman tiga gerrja di sekitar Lembah Klang dipercayai umum ekoran Gereja Roman Katholik memohon menggunakan nama Allah dalam akhbar mingguan mereka, The Herald.

Permohonan yang masih di mahkamah itu mengundang kritikan beberapa badan bukan kerajaan (NGO) Islam dan pemimpin Umno sendiri sedangkan PAS berpendirian, al-Quran membenarkan penggunaan nama Allah di kalangan penganut agama-agama samawi.

---------------------

ISA bukan penyelesaian isu bom gereja - GMI

Harakahdaily
KUALA LUMPUR, 9 Jan: Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) mengecam kenyataan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan bahawa kerajaan tidak teragak-agak untuk menahan pihak yang terlibat dalam insiden membakar gereja di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

Pengerusinya, Syed Ibrahim Syed Noh dalam satu kenyataan berkata, penggunaan ISA tidak akan menyelesaikan masalah sebenar, sebaliknya akan menimbulkan suasana tegang di negara ini.

GMI, tegasnya tidak menafikan perbuatan mengebom rumah ibadat itu merupakan satu tindakan yang tidak bertanggungjawab dan melampau serta mewujudkan ketegangan di kalangan masyarakat yang berbeza agama.

Namun, katanya GMI mahu kerajaan membuat siasatan yang betul dan menghadapkan pihak yang disyaki terlibat ke mahkamah terbuka untuk dibicarakan.

“Kami (GMI) memahami keperluan kerajaan untuk mengambil tindakan keras terhadap pihak yang bersalah malah GMI menggesa kerajaan mengambil tindakan segera terhadap mereka yang cuba mewujudkan huru-hara di negara ini. Namun mestilah mengikut undang-undang melalui perbicaraan di mahkamah, bukan menggunakan ISA,” katanya.

Tegasnya, GMI terus mengutuk penggunaan undang-undang zalim ISA yang melakukan penahanan tanpa melalui proses pengadilan yang sebenar yag jelas melanggar hak asasi manusia dan undang-undang negara.

“Kerajaan hanya membuat tangkapan dan menahan tahanan tanpa bicara mengikut andaian mereka bahawa seseorang itu bersalah, sedangkan andaian itu belum tentu betul. Ini sememangnya tidak adil dan merupakan satu penderaan mental yang teruk terhadap tahanan,” katanya lagi.

Sehubungan itu, GMI menyeru agar kerajaan berhenti menahan seseorang di bawah ISA dan menghapuskan terus undang-undang zalim itu serta membebaskan semua tahanan dengan membawa mereka ke muka pengadilan.

Kenyataan beliau itu sebagai mengulas kenyataan Hishammuddin semalam bahawa kerajaan tidak akan berkompromi dengan pihak yang cuba mencetuskan ketegangan di kalangan rakyat berbilang kaum di negara ini, malah sedia menggunakan ISA untuk menghalangnya.

Semalam, tiga gereja iaitu Gereja Metro Tabernacle di Desa Melawati, Gereja Assumption di Petaling Jaya dan Gereja Life Chapel di Damansara mengalami kerosakan apabila dibaling dengan bom buatan sendiri.

Insiden itu berlaku ekoran kontroversi keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan akhbar mingguan milik gereja Katolik, Herald, menggunakan kalimah Allah dalam penerbitan mereka.

(3 berita ini diambil dari Harakah Daily Online, 9 Januari 201o)









No comments: