Sunday, January 3, 2010

BERITA

PAS adakan mesyuarat khas bincang isu nama Allah | Print | E-mail
Harakahdaily

KUALA LUMPUR, 3 Jan: PAS memanggil mesyuarat khas Lajnah Politik, iaitu lajnah paling berpengaruh dalam parti itu bagi membincangkan beberapa perkembangan terbaru termasuk isu penggunaan nama Allah oleh agama Kristian.

Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali berkata, mesyuarat itu akan diadakan malam esok di Pejabat Agung PAS, Jalan Raja Laut.

"Kita turut menjemput AJK PAS Pusat dalam mesyuarat khas ini," kata Mustafa kepada Harakahdaily.

Mesyuarat ini dijangka membincangkan secara mendalam keputusan Mahkamah Tinggi yang membenarkan majalah milik aktivis Kristian, Herald, untuk menggunakan nama Allah sebagai ganti 'God' dalam bahasa Inggeris.

Sejak keputusan itu dibuat, kelihatan pemimpin PAS tidak seragam pandangan mereka dalam isu ini.

Mesyuarat ini dijangka akan memberikan kata putus apakah pendirian bersama parti Islam itu dalam isu ini.

Anggota utama lajnah politik adalah pemimpin kanan PAS di samping beberapa pemimpin yang tidak berada dalam AJK PAS Pusat termasuk Khalid Samad, YDP PAS Shah Alam yang juga anggota Parlimen kawasan tersebut.


--------------------


Tiada masalah orang Islam bangsa lain, jadi MB | Print | E-mail
Muhammad Yusri Amin
KOTA BHARU, 2 Jan: Exco Kelantan Datuk Takiyuddin Hassan bersetuju dengan pandangan Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat bahawa orang bukan Melayu beragama Islam boleh menjadi menteri besar.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri berpendapat, perkara itu wajar asalkan individu tersebut mempunyai ilmu yang tinggi mengenai Islam.

"Calon Menteri Besar atau pemimpin bagi kerajaan yang berteraskan Islam, calon itu mestilah mempunyai ilmu yang tinggi mengenai Islam.

"Ini kerana sebagai menteri besar dan pemimpin, perlu memutuskan satu-satu perkara berdasarkan kepada syariat dan hukum," katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis jamuan kesyukuran dan doa selamat sempena pembukaan Bazar Tengku Anis di sini kelmarin.

Beliau berkata, dalam sejarah Islam itu sendiri, aspek 'bangsa' itu adalah sebagai satu yang tidak pernah diambil kira oleh Rasulullah s.a.w .

"Bahkan dari segi ilmu, Hadis Nabi saw sendiri menyebut (bahawa) disaran supaya menuntut ilmu walau pun sampai ke negeri Cina. Itu dari segi ilmu.

"Dalam Islam, setakat yang saya faham, tidak pernah ada syarat untuk menjadi pemimpin itu mesti (dari) bangsa-bangsa tertentu," katanya yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Bunut Payong.

Menteri Besar baru-baru ini menyatakan kesediaan Kerajaan Kelantan untuk meminda Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri bagi membolehkan orang bukan Melayu beragama Islam menjadi Menteri Besar negeri itu.

Beliau berkata bukanlah menjadi persoalan untuk meminda peruntukan dalam undang-undang berkenaan asalkan ia selari dengan kehendak Islam seperti diperkenalkan PAS sejak memerintah negeri Kelantan pada 1990.

Mengikut dasar Islam, kata Nik Aziz, calon Menteri Besar dari kalangan bukan Melayu itu layak dijadikan pemimpin asalkan calon berkenaan berakhlak baik dan mengamalkan ajaran Islam dengan sebenarnya.

Beliau turut menempelak pemimpin Umno yang taksub terhadap bangsa sendiri apabila menolak saranan tersebut dan menyifatkan Umno pada masa akan datang tiada tempat dalam politik negara, malahan imej Umno pada kacamata masyaakat Cina lebih buruk.

Turut menyokong pandangan Menteri Besar Kelantan itu, Setiausaha Agung PAS Pusat Datuk Mustafa Ali .

Malah Mustafa mencadangkan ianya bukan sahaja untuk Menteri Besar Kelantan saja, bahkan membabitkan pemimpin utama negara.

Mengulas perkembangan perniagaan dijalankan para peniaga di negeri ini membabitkan peniaga di Pasar Buloh Kubu, Bazar KB Mall dan terbaru Bazar Tengku Anis di sini, Takiyuddin berkata semua pihak perlu bekerjasama untuk mewujudkan satu suasana yang kondusif serta selesa.

Peranannya tersebut bukan saja perlu dimainkan Majlis Perbandaran Kota Bharu Bandaraya Islam (MPKB-BRI) dan pihak Kerajaan Negeri, bahkan membabitkan semua jabatan dan agensi berkaitan.

"Pada masa sama, pihak peniaga perlu mengambil inisiatif melariskan perniagaannya, Kerajaan hanya memberi pandangan dan galakan di samping menyediakan kemudahan dan cara (facility), keselamatan, kebersihan dan keceriaan, bahkan MPKB-BRI sendiri amat bertoleransi dengan para peniaga,' katanya.

----------------------


Nama Allah dalamTh Herald: Di mana kita?

Keputusan Hakim Lau Bee Lan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur baru-baru ini yang mengisytiharkan nama "Allah" boleh digunakan oleh agama lain mengundang pelbagai polemik sehingga kepada desakan campurtangan Majlis Raja-Raja.

Beberapa NGO termasuk tokoh Pemuda UMNO cuba menjadi hero dengan mengecam hebat keputusan tersebut sehingga menyindir parti-parti politik berasaskan agama yang mengambil langkah berdiam diri ketika ini.

Isu ini sebenarnya harus dilihat secara rasional, tanpa prejudis dan paling utama berdasarkan hujah dan dalil yang sahih serta Qath'ie. Keputusan Mahkamah tersebut harus dinilai berdasarkan persoalan berikut:

Pertama: Apakah skop penggunaan nama Allah dalam THE HERALD? Sekiranya nama Allah dalam artikel mingguan tersebut digunakan bagi tujuan menunjukkan bahawa ia merujuk kepada Tuhan sebenar manusia seluruh alam, maka kita perlu menerimanya.

Ia merupakan suatu pengiktirafan terhadap kewujudan ALlah SWT. Bukankah Allah adalah Tuhan yang menurunkan Rahmat Seluruh Alam? Ia menambahkuatkan lagi bahawa bukan Islam telah memahami Islam dan Tuhan orang Islam.

Kedua: Sekiranya ia merujuk hanya kepada Allah hanya Tuhan bagi agama mereka disamping kewujudan konsep "Trinity" di dalam THE HERALD dan ia disebar luaskan, maka ia telah termasuk dalam kesalahan penghinaan agama lain dimana Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan Perkara 11(4) yang memberikan kuasa kepada negeri-negeri untuk menggubal undang-undang berkaitan penyebaran dakyah agama lain.

Dua persoalan ini sudah cukup untuk membuat analisa ringkas tentang keputusan Mahkamah tersebut. Pada hemat saya, umat Islam negara ini perlu dipandu secara jujur dan ikhlas bahawa selagi Allah tidak dihina dan Islam dipijak, maka ruang lingkup perbahasan ilmiah perlu dibuka.

Bagi aktivis yang bermatian-matian "memperjuangkan" isu ini di dalam peti televisyen, saya menjemput anda semua melihat beberapa tragedi-tragedi Islam diputuskan di Mahkamah negara ini.

Kes Pertama: Kes Minister for Home Affairs & Anor v Jamaluddin bin Othman [1989] 1 MLJ 368 & 418, melibatkan tindakan Jamaluddin menyebarkan dakyah Kristian yang ditahan di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Mahkamah kemudiannya memutuskan tindakan tersebut (menyebarkan dakyah) tidak memadai untuk mendatangkan ancaman bagi ditahan dibawah ISA. Jamaluddin dibebaskan.

Kes Kedua: Hajah Halimatussaadiah bt Hj Kamaruddin V Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Malaysia & Anor 3 MLJ 61, seorang kakitangan kerajaan yang dibuang kerja kerana memakai Purdah. Mahkamah memutuskan bahawa pembuangan kerana memakai purdah adalah betul. Harus diingat, Hajah Halimatussaadiah dibelia oleh peguam Karpal Singh.

Kes Ketiga: Mior Atiqurrahman & Ors v Fatimah Sihi & Ors. 3 orang pelajar sekolah kena buang sebab pakai serban. Mahkamah Persekutuan memutuskan pembuangan pelajar tersebut adalah betul.

Kes Keempat: Che Omar Bin Che Soh [1988] 2 MLJ 55, Mahkamah tertinggi negara, Mahkamah Persekutuan, memutuskan bahawa Malaysia bukan negara Islam.

Ini adalah antara kes-kes yang amat memeritkan umat Islam, belum lagi dikira kes-kes Murtad yang berleluasa diputuskan dengan mudah oleh Mahkamah. Soalnya dimana UMNO dan NGO "cabuk" perkakas UMNO ini? Adakah keputusan-keputusan Mahkamah ini baik dan harus diterima?

Isu yang "substance" ini lebih utama dari hanya membicarakan penggunaan kalimah Allah dalam akhbar agama Kristian ini. Adakah mereka mendesak Majlis Raja-Raja campurtangan, disaat aktivis agama, peguam-peguam dan pendokong serta pencinta Islam bertempiaran dikejar dan dihamburkan air berasid hadiah FRU?

Saya melihat isu kalimah Allah ini adalah rahmat kepada umat Islam keseluruhannya, kerana masyarakat ingin melihat lebih jauh dari itu.

Maka di hadapan kita sebenarnya terbentang pelbagai "juadah" jijik yang telah disajikan kepada Islam di Mahkamah negara kita..Justeru, di mana kita?


(Berita ini diambil dari Harakah Daily Online , 3 Januari 2010)




No comments: