Tuesday, January 5, 2010

BERITA

Guna 'Allah' KDN rayu

Oleh Ahmad Johari Mohd Ali
bhnews@bharian.com.my


LAU BEE LAN

  • Fail notis rayuan keputusan mahkamah semalam
  • Hari ini mohon tangguh pelaksanaan perintah hakim

    KUALA LUMPUR: Kementerian Dalam Negeri (KDN), semalam memfailkan notis rayuan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi (Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas) yang membenarkan majalah mingguan, Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah 'Allah' dalam penerbitannya.

    Selain itu, KDN akan memfailkan notis rayuan hari ini bagi memohon penangguhan pelaksanaan perintah yang dibuat Hakim Datuk Lau Bee Lan, sebelum ini.

    Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaluddin Md Said, berkata notis rayuan itu difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Rayuan, Putrajaya pada jam 4 petang semalam, manakala permohonan penangguhan akan difailkan di Pejabat Pendaftar Mahkamah Tinggi di Kompleks Mahkamah Jalan Duta, di ibu negara.

    "Prosiding rayuan bagi penangguhan pelaksanaan itu seterusnya akan didengar di Mahkamah Tinggi pada tarikh yang akan ditetapkan kemudian," katanya ketika dihubungi di sini, semalam.

    Pada 31 Disember lalu, Lau membenarkan penerbit majalah itu menggunakan kalimah 'Allah' selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman yang difailkan Titular Roman Catholic Archbishop Kuala Lumpur selaku pemohon.

    Lau juga mengisytiharkan bahawa keputusan KDN pada 7 Januari 2009 memberikan permit penerbitan kepada Herald dari tempoh 1 Januari hingga 31 Disember 2009 dengan syarat ia dilarang menggunakan perkataan 'Allah' adalah batal dan tidak sah.

    Dalam penghakiman lisannya, Lau berkata, Menteri Dalam Negeri dan kerajaan selaku responden pertama dan kedua gagal mengemukakan bukti bahawa penggunaan kalimah 'Allah' dalam penerbitan Herald boleh mengancam keselamatan negara dan menimbulkan salah faham serta kekeliruan di kalangan umat Islam di negara ini.

    Beliau berkata, Herald mempunyai hak dari segi perlembagaan menggunakan kalimah itu dalam penerbitannya untuk menyebarkan agama Kristian kepada penganutnya selaras dengan Perkara 3(1) Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan bahawa agama lain selain Islam boleh diamalkan dengan aman di negara ini.

    Lau mengakui berdasarkan Perkara 11(4) Perlembagaan Persekutuan, adalah menjadi kesalahan bagi bukan Islam menggunakan kalimah 'Allah' kepada orang Islam untuk penyebaran agama, tetapi ia boleh digunakan untuk bukan Islam bagi tujuan penyebaran agama kepada bukan Islam.

    Bagaimanapun, keputusan itu dibantah pelbagai pihak, termasuk pertubuhan bukan kerajaan (NGO), parti politik dan individu Islam yang mengadakan perhimpunan secara aman di seluruh negara dan meminta campur tangan Majlis Raja-Raja.

    Sebanyak 10 laporan polis dibuat oleh 13 gabungan NGO terhadap majalah Herald kelmarin berhubung tindakan penerbitnya meneruskan penggunaan kalimah Allah dalam penerbitannya.

    Berikutan pelbagai bantahan, Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak meminta umat Islam bertenang dan tidak terlalu 'memanaskan' isu itu dan menegaskan kerajaan amat memahami perasaan dan sensitiviti umat Islam di seluruh negara.

    Beliau juga berkata, kerajaan sedar dan prihatin dengan pelbagai reaksi, termasuk pemimpin Islam dan NGO berhubung keputusan itu.


  • -----------------------

    Najib persembah taklimat isu kalimah

    Oleh Azman Zakaria, Nazura Ngah, Tuan Nazuri Tuan Ismail, Zanariah Abd Mutalib dan Jaafar Neemat
    bhnews@bharian.com.my

    PM dijangka menghadap Seri Paduka sebelum mesyuarat Kabinet perjelas keputusan Mahkamah Tinggi

    KUALA LUMPUR: Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, esok bagi mempersembahkan taklimat mengenai keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur membenarkan Herald-The Catholic Weekly menggunakan kalimah 'Allah' dalam penerbitannya.

    Perdana Menteri dijangka menghadap Yang di-Pertuan Agong sebelum mesyuarat Kabinet. Kebiasaannya, Najib akan menghadap baginda setiap Rabu, di Istana Negara.

    Kelmarin, Najib menegaskan kerajaan amat memahami perasaan dan sensitiviti umat Islam di seluruh negara dan akan menghadap Tuanku Mizan Zainal Abidin untuk mempersembahkan taklimat mengenainya.

    Perdana Menteri turut meminta umat Islam bertenang dan tidak terlalu 'memanaskan' isu itu.

    Sementara itu, Mufti Selangor, Datuk Mohd Tamyes Abdul Wahab akan menghadap Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah hari ini bagi mempersembahkan isu berkenaan.

    Mohd Tamyes berkata, Sultan Selangor menitahkan beliau dan beberapa pegawai kanan negeri menghadap baginda bagi menyampaikan perkembangan isu itu.

    "Isu kalimah 'Allah' antara isu yang akan dibincangkan ketika menghadap Tuanku esok (hari ini). Baginda menitahkan pegawai kanan negeri menghadap baginda," katanya kepada Berita Harian, semalam.

    Sementara itu Bernama melaporkan, Kesatuan Anak-Anak Muda Islam Perak (Kami) yang mewakili 20,000 ahli akan mempersembahkan memorandum kepada Sultan Perak, Sultan Azlan Shah selaku Ketua Agama Islam Perak berhubung isu itu.

    Timbalan Yang Dipertuanya, Azhari Abu berkata isu itu tidak boleh dipandang ringan kerana ia mencabar hak mutlak agama Islam dan kedaulatan Raja-Raja Melayu.

    (Brita ini diambil dari Berita Harian Online, 5 Januari 2010)


    *****

    Laporan panel perubatan Sultan Kelantan disanggah

    KOTA BHARU 4 Jan. - Tengku Temenggong Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry Sultan Ismail Petra mempersoalkan laporan panel kesihatan yang merumuskan tahap kesihatan ayahandanya tanpa melawat dan memeriksa baginda.

    Beliau yang menyangkal laporan panel yang dibentuk oleh kerajaan negeri itu, percaya ada motif tertentu di sebalik laporan itu yang diumumkan Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat hari ini.

    "Sejak ayahanda dirawat di Hospital Mount Elizabeth di Singapura, mereka tidak pernah melawat dan menjalankan pemeriksaan.

    "Bagaimana mereka boleh mengeluarkan laporan yang merumuskan tahap kesihatan terkini ayahanda," katanya kepada pemberita di kediamannya di sini hari ini.

    Menurutnya, tahap kesihatan baginda lebih baik berbanding apa yang digambarkan oleh panel berkenaan.

    Hari ini, Nik Abdul Aziz mengadakan sidang akhbar di pejabatnya mengenai laporan kesihatan baginda yang dikeluarkan oleh panel berkenaan yang merumuskan bahawa keadaan Sultan Kelantan itu stabil dan boleh dibawa pulang untuk rawatan susulan di tanah air.

    Menurut laporan panel itu, baginda masih tidak dapat menggerakkan tangan dan kedua kaki manakala daya penglihatan dan pertuturan baginda masih lemah.

    Tambah Nik Abdul Aziz, laporan itu menyebut baginda kini diberi makan melalui tiub yang dimasukkan ke dalam perutnya.

    Menurut Tengku Muhammad Fakhry, penubuhan panel perubatan itu tidak pernah dimaklumkan kepada Raja Perempuan Kelantan, Tengku Anis Al-Marhum Tengku Abdul Hamid.

    "Saya tidak tahu bagaimana panel ini boleh memantau dan menyediakan laporan perubatan. Lebih-lebih lagi memandangkan baginda tidak pernah memperkenankan apa-apa maklumat perubatannya kerana kesemua ini adalah hak peribadi tuanku," katanya.

    Pada sidang akhbar berkenaan, Tengku Muhammad Fakhry yang merupakan anakanda ketiga Sultan Kelantan turut membacakan laporan mengenai keadaan kesihatan baginda yang dikeluarkan oleh hospital berkenaan.

    Antara isi kandungan yang dibacakan beliau menunjukkan bahawa keadaan baginda adalah lebih baik berbanding laporan perubatan yang dikeluarkan oleh panel yang dilantik kerajaan negeri.

    Sehubungan itu, Tengku Muhammad Fakhry berkata, beliau akan berbincang dengan peguamnya dalam tempoh terdekat ini untuk mengambil tindakan.

    "Saya akan berjumpa dengan barisan peguam saya untuk mengambil tindakan sekiranya kerajaan negeri masih terus mengeluarkan kenyataan seperti ini," tegasnya.

    Beliau mendakwa, Nik Abdul Aziz sendiri tidak pernah mematuhi titah baginda yang dibuat melalui panggilan telefon sebanyak dua kali pada penghujung Disember lalu meminta Menteri Besar itu menghadapnya.

    "Saya percaya sekiranya Menteri Besar berbuat demikian, maka beliau boleh melihat sendiri perkembangan kesihatan baginda atau mendengar sendiri titah baginda," jelasnya.

    (Berita ini diambil dari Utusan Malaysia Online, 5 Januari 2010)






    No comments: