Friday, January 1, 2010

BERITA

'Bina masa depan makmur'

Oleh Faiza Zainudin
faiza@bharian.com.my

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Najib Razak berharap ekonomi Malaysia bangkit lebih ampuh dengan pertumbuhan positif menerusi pengurangan kadar defisit fiskal dari 7.4 peratus kepada 5.6 peratus pada tahun ini.

Bagaimanapun Perdana Menteri berkata matlamat jangka panjang bukan hanya untuk pulih daripada krisis, tetapi yang lebih penting mengambil peluang untuk meletakkan asas kukuh bagi kemakmuran masa depan negara dengan pembaharuan yang berterusan.

"Masa depan Malaysia yang lebih cemerlang terletak kepada penggabungan serta pemupukan idea, bakat, inisiatif dan semangat seluruh rakyat tanpa mengenal batas dan latar belakang.

"Sumbangan setiap rakyat mustahak bagi menentukan kejayaan. Tidak ada rakyat yang tidak penting atau terpinggir.

"Kerajaan mengalu-alukan setiap bakat. Alangkah ruginya jika bakat yang terbentuk di bawah langit Malaysia diambil faedah untuk memakmurkan negara lain," katanya dalam perutusan khas sempena Tahun Baru 2010 yang turut disiarkan secara langsung menerusi media elektronik, malam tadi.

Perdana Menteri berkata, menjadi suatu imperatif kepada kemakmuran masa depan untuk Malaysia meningkat dalam rantaian nilai ekonomi global dengan merintis ke hadapan bagi mewujudkan ekonomi berteras pengetahuan yang digerakkan oleh daya kreativiti, inovasi serta nilai tambah tinggi.

Justeru, kerajaan akan membentangkan dua inisiatif penting tahun ini iaitu inisiatif jangka panjang melalui model baru ekonomi yang akan menjadi panduan hala tuju pembangunan negara menuju 2020 serta tahun berikutnya dan inisiatif jangka pendek serta sederhana menerusi Rancangan Malaysia ke-10 (RMK-10).

"Kejayaan inisiatif ini memerlukan peranan proaktif setiap rakyat Malaysia. Adalah benar, dalam mendepani saat sukar, cabaran ekonomi dan meraih kejayaan bukanlah secara kebetulan, bahkan dengan membuat pilihan yang bijaksana.

"Saya amat percaya, kunci kejayaan masa depan bukanlah semata-mata kepada kekayaan sumber alam, malah lebih utama adalah modal insan yang berilmu dihiasi semangat keusahawanan waja dalam menjana kekayaan baru untuk tanah air," katanya.

Najib berkata, bagi memastikan arah tuju yang ingin dicapai, pentadbiran beliau menggubal enam bidang keberhasilan utama (NKRA) merangkumi mengurangkan kadar jenayah, memerangi rasuah, meluaskan akses kepada pendidikan berkualiti dan berkemampuan, meningkatkan taraf hidup rakyat berpendapatan rendah, memperkasa prasarana luar bandar dan pedalaman serta menambah baik pengangkutan awam dalam jangka masa sederhana.

Katanya, ia adalah pernyataan kebertanggungjawaban kerajaan dan di bawah setiap matlamat NKRA dibentuk pula indeks pencapaian utama (KPI) supaya rakyat dapat mengukur sejauh mana keberkesanannya.

"NKRA dan KPI yang ada bukanlah sesuatu yang sudah lengkap. Kerajaan amat mengalu-alukan sumbangan idea dan pendapat rakyat. Saya yakin dengan wujudnya sintesis di antara kerajaan dan rakyat, kita akan mendapat idea yang tersaring untuk menambah baik apa yang ada," katanya.

Beliau yang mengucapkan Selamat Tahun Baru, berharap tahun 2010 akan membawa kemakmuran, keselamatan, kesihatan dan tuah untuk Malaysia dan rakyatnya.

Najib juga mengajak seluruh rakyat bergerak ke hadapan bagi mencapai kejayaan bersama kerana masih banyak cabaran yang perlu ditempuhi.

"Apa yang membumbungkan semangat ini adalah kerana saya percaya bahawa saya tidak keseorangan. Saya tahu rakyat negara ini adalah rakyat yang bijak, berbakat dan bersemangat tinggi. Kita akan bersama penuh optimistik menjulang nama Malaysia," katanya.

-----------------

Konsortium Felda, Felcra, Risda operasi akhir Januari

KUALA LUMPUR: Konsortium pertanian menggabungkan agensi Risda, Felda dan Felcra dengan suntikan modal permulaan RM300 juta akan dilancarkan selewat-lewatnya akhir Januari ini bagi meneroka pasaran berasaskan kelapa sawit dan getah di peringkat nasional dan antarabangsa.

Pengerusi Risda, Tan Sri Abdul Rahim Tamby Chik, berkata konsortium itu masih di peringkat awal penubuhannya dengan struktur pentadbiran membabitkan lembaga pengarah, tokoh pengurusan dan pekerja sedang dikenal pasti dan dimuktamadkan.

Pada masa sama, katanya, agensi terbabit juga sedang membuat penelitian beberapa projek yang bakal dilaksanakan bagi menjana ekonomi negara dalam bidang berkenaan.


“Kita hendak pastikan konsortium ini akan berupaya melaksana semua aspek dari termasuk kedudukan syarikat dapat disusun atur dengan baik.

“Bagi Risda, kami sudah bersedia dengan segala apa yang diperlukan oleh gabungan konsortium ini termasuk membekalkan tenaga pakar seperti pegawai kanan selain meluluskan modal permulaan sebanyak RM100 juta jika diperlukan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Makan Malam Estet Pekebun Kecil Sdn Bhd (Espek) 2009 di sini, malam tadi.

Turut hadir, Ketua Pengarah Risda, Datuk Mohammad Izat Hasan dan Pengurus Besar Espek, Kamaruddin Mohamed Shah.

Mengulas mengenai projek yang bakal dilaksanakan, Abdul Rahim yang juga Pengerusi Espek, berkata pihaknya kini sedang meninjau teknologi dan kepakaran berkaitan baja negara tertentu sebelum mengadakan kerjasama bagi mendirikan kilang baja di negara ini.

Beliau berkata, pihaknya juga meneliti projek yang berpotensi berasaskan getah dan kelapa sawit bagi membangunkan sektor itu bagi membantu nasib golongan pekebun kecil.

“Kita hendak pastikan konsortium ini akan berupaya melaksana semua aspek dari termasuk kedudukan syarikat dapat disusun atur dengan baik.

“Bagi Risda, kami sudah bersedia dengan segala apa yang diperlukan oleh gabungan konsortium ini termasuk membekalkan tenaga pakar seperti pegawai kanan selain meluluskan modal permulaan sebanyak RM100 juta jika diperlukan,” katanya pada sidang media selepas Majlis Makan Malam Estet Pekebun Kecil Sdn Bhd (Espek) 2009 di sini, malam tadi.

Turut hadir, Ketua Pengarah Risda, Datuk Mohammad Izat Hasan dan Pengurus Besar Espek, Kamaruddin Mohamed Shah.

Mengulas mengenai projek yang bakal dilaksanakan, Abdul Rahim yang juga Pengerusi Espek, berkata pihaknya kini sedang meninjau teknologi dan kepakaran berkaitan baja negara tertentu sebelum mengadakan kerjasama bagi mendirikan kilang baja di negara ini.

Beliau berkata, pihaknya juga meneliti projek yang berpotensi berasaskan getah dan kelapa sawit bagi membangunkan sektor itu bagi membantu nasib golongan pekebun kecil.
Dalam perkembangan lain, Abdul Rahim berkata Risda kini memperluaskan operasinya di Sabah dan Sarawak bermula Januari ini membabitkan tanah seluas 10,000 hektar di Sarawak dan dalam peringkat mengenal pasti tanah untuk dimajukan di Sabah.

Beliau berkata peringkat permulaan pihaknya akan meneroka tanah seluas 1,000 hektar di Asajaya, Samarahan, Sarawak bagi tanaman kelapa sawit manakala baki selebihnya akan ditanam dengan tanaman getah.

“Kita akan menanam getah jika kita dapati tanah di situ sesuai untuk tanaman pokok getah. Di samping dapat memberi peluang pekerjaan kepada penduduk setempat, langkah ini juga susulan daripada pembukaan pejabat pertama Risda di Sarawak yang juga bermula pada awal tahun depan.

“Kami mendapat kerjasama sepenuhnya daripada kerajaan negeri Sarawak bagi melaksanakan projek ini yang turut membabitkan agensi pertanian lain bagi membantu pekebun kecil dalam meningkatkan tanaman mereka sekali gus meningkatkan taraf masyarakat luar bandar," katanya.

(Berita2 ini diambil dari Berita Harian online, 1 Januari 2010)





No comments: