Monday, November 30, 2009

BERITA

Pengganti Tuan Guru: Hentikan berbalas kenyataan dalam media





Abdul Aziz Mustafa
KUALA LUMPUR, 28 Nov: Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak sepatutnya ditekan untuk menamakan penggantinya dan semua kenyataan pemimpin PAS mengenai perkara itu mesti dihentikan, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

"Jangan paksa Tuan Guru mencadangkan penggantinya. Beliau tentu mempunyai perkiraan, perhitungan dan kebijaksanaan sendiri untuk memilih masa yang sesuai untuk mencadangkan siapa penggantinya," kata beliau.

Mahfuz menyifatkan tindakan berbalas-balas kenyataan mengenai perkara itu secara terbuka di dalam media memberi tekanan kepada Tuan Guru menamakan penggantinya sebagai Menteri Besar Kelantan.

Walaupun tindakan menyuarakan pandangan mengenai perkara itu adalah hak demokratik masing-masing, kata beliau, tetapi berbalas-balas kenyataan sesama sendiri mengenai perkara itu secara terbuka di dalam media boleh mengakibatkan implikasi yang lain.

"Lebih dari itu, semua pihak jangan membelakangi tertib organisasi di dalam PAS.

"Dari segi peraturan berorganisasi di dalam PAS, Tuan Guru atas sifatnya sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan boleh mencadangkan nama penggantinya kepada dan di dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat untuk dipertimbangkan.

"Begitu juga, ahli-ahli mesyuarat yang lain di dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat juga boleh mengemukakan cadangan untuk dipertimbangkan.

"Tetapi, dari segi kaedah berjemaah di dalam PAS, keputusan mengenai perkara itu hanya boleh dibuat di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Ahli Jawatankuasa PAS Pusat sebagai badan eksekutif yang dipilih oleh muktamar," katanya.

Bagaimanapun, kata Mahfuz, pandangan dan hasrat Tuan Guru sebagai pemegang jawatan itu kini dan lebih dari itu sebagai Mursyidul Am biasanya diberi keutamaan untuk dipertimbangkan oleh mesyuarat tersebut.

Mahfuz juga menjelaskan, setiap kali PAS mendapat kerusi majoriti di mana-mana negeri selepas pilihan raya, nama orang yang mendapat kepercayaan parti untuk menjadi Menteri Besar di kemukakan oleh Presiden PAS kepada Sultan negeri yang berkenaan.

"Presiden PAS pula mengemukakan nama tersebut kepada Sultan yang berkenaan setelah dipersetujui oleh mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat,"kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mahfuz meminta semua pihak agar memberikan kepercayaan kepada Tuan Guru untuk memilih masa yang sesuai bagi mencadangkan penggantinya sebagai Menteri Besar Kelantan dan juga kepada mesyuarat Ahli Jawatankuasa PAS Pusat untuk mempertimbangkan cadangan beliau dan membuat keputusan mengenainya.

"Saya yakin semuanya akan berjalan dengan lancar mengikut tertib berjemaah dan berorganisasi di dalam PAS," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

(Berita ini diambil dari Harakah Daily, 30 November 2009)

BERITA


Najib mungkin jumpa tiga kumpulan bertelagah dalam MCA

PORT OF SPAIN (Trinidad dan Tobago): Datuk Seri Najib Razak berkata, MCA memerlukan masa untuk mengadakan pemilihan semula parti dan beliau akan berjumpa tiga kumpulan bertelagah jika masalah dihadapi sekarang tidak dapat diselesaikan.

Bagaimanapun, Perdana Menteri berkata, beliau berharap timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin yang mengadakan pertemuan dengan pihak terbabit malam tadi, dapat menyelesaikan masalah melanda MCA sebelum beliau mendarat di Subang, hari ini.

"Persoalan sekarang bilakah pemilihan semula parti akan diadakan. Inilah perkara akhir yang perlu dibincangkan," katanya pada sidang media kepada wartawan Malaysia di sini.

(Berita ini diambil dari Berita Harian Online, 30 November 2009)


--------------------------


Projek di tapak LKIM tetap akan diteruskan - Noh


Noh Omar bertikam lidah dengan Exco Kerajaan Negeri Selangor, Ronnie Liu sewaktu berbincang dan menyelesaikan isu setinggan yang menduduki tanah Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) Pasir Penambang di Kuala Selangor, semalam. - utusan/Mohd. Shaharani Saibi


KUALA SELANGOR 29 Nov. - Projek penempatan semula empat rumah setinggan di tapak pembangunan Kompleks Pendaratan Ikan Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) di Pasir Penambang di sini akan diteruskan mengikut rancangan, kata Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Noh Omar.

Beliau berkata, di bawah projek pemindahan semula itu empat rumah setinggan dan sebuah tokong di kawasan berkenaan akan dipindahkan ke satu kawasan seluas satu ekar yang disediakan.

Katanya, di bawah program penempatan semula itu juga pihak pengurusan tokong berkenaan diberi pampasan bernilai RM15,000 manakala pemilik rumah setinggan yang terlibat diberikan hampir RM80,000.

"Jika kerajaan negeri tetap berkeras mahu projek penempatan semula ini dihentikan, saya sedia bawa perkara ini untuk diselesaikan oleh mahkamah," katanya selepas menghadiri sesi dialog bersama empat pemilik rumah setinggan itu, wakil pengurusan tokong berkenaan, serta para penduduk yang tinggal berhampiran projek berkenaan, dan majlis turut dihadiri Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan Kajian dan Penyelidikan Selangor, Ronnie Liu.

Baru-baru ini projek penempatan semula projek itu yang bermula 10 November lepas diarah berhenti oleh Majlis Daerah Kuala Selangor atas arahan Liu, dan ia menimbulkan kemarahan penduduk kawasan berkenaan.

Liu berkata, arahan itu dibuat kerana kerajaan negeri menawarkan satu jalan penyelesaian yang dirasakan lebih sesuai, dan jika ia tidak dipersetujui penduduk.

Perkara itu terpaksa dibawa ke mesyuarat exco kerajaan negeri supaya satu jalan penyelesaian baru dapat dicari.

(Berita ini diambil dari Utusan Malaysia Online - BERNAMA, 30 November 2009)




MENGENANG MASA SILAM

Mokhtar Peta

Pada November 1953.

Aku masih menuntut dalam tingkatan menengah sekolah agama - Daeratul Ma'ariful Wataniyah - Kepala Batas, Seberang Perai. Oleh kerana ini ingin mempelajari pergolakan umat Islam menuntut kemerdekaan wailayah Pattani , Selatan Thailand, aku bersama dua rakan, Ali Haji Hussein (Teluk Anson) dan Kamaruddin Betan (Sabak Bernam) telah pergi ke Pattani dan menjadi tetamu ulama dan pejuang kemerdekaan wilayah tersebut, Allahyarham Haji Sulung Al Fattani bin Abdul Kadir (meninggal dunia pada Ogos 1954).

Pada tahun tersebut dan sebelumnya, Haji Sulung sering datang ke Pulau Piang untuk menemui para ulama dan penyokong perjuangan umat Islam di sana.Di antara penyokong - penyokong perjuangan umat Islam Pattani, Sheikh Abdullah Fahim, Haji Yusof Rawa, Haji Ahmad Fuad, Haji Ahmad Badawi, Haji Ahmad Tuan Hussein, Haji Sulaiman Palestin (Pulau Pinang), Haji Hussein Che Dol dan Haji Abdul Rahman Merbok (Kedah) dan Sheikh Abu Bakar Ashaari (Perlis).

Haji Sulung telah menasihatkan kami, jika hendak ke Pattani, kami tidak boleh makai seluar panjang, berkemeja dan tidak bersongkok. Kami mesti memakai kopiah putih (ketayap), baju Melayu (potongan Johor atau Teluk Belanga) atau pakaian Al falah (peladang) Arab, iaitu baju kurung labuh seperti yang dipakai oleh para guru agama dan lebai sekarang. Polis dan askar Siam tidak mengesyaki apa - apaan jika berpakaian demikian.

Di Pattani, kami tinggal di rumah tumpangan - pondok - penuntut pondok. Tinggal di situ, kami dipandang oleh musuh - musuh umat Islam di sana sebagai penutut institusi pondok.

Selama tiga hari dua malam tinggal di sana, kami makan dan minum di rumah Haji Sulung.

Haji Sulung telah memberi tazkirah kepada kami tetang perjuangan umat Islam di sana. Menurutnya umat Islam Pattani tetap menuntut empat wilayah di Selatan Thailand kerana wilayah itu adalah hak orang Melayu dan telah dijajah oleh Siam setelah Inggeris menyerahkan kepada mereka.

"Dah jadi wajib kami berjihad, berjuang bebaskan tanah air kami,"katanya dan mengucap beberapa ayat Quran.

"Kalau saya mati, kawan - kawan seperjuangan mati, perjuangan kami akan diteruskan oleh anak cucu kami ...,"katanya lagi.

"Perjuangan menuntut kemerdekaan tanah air kami tidak akan berakhir selagi penjajah Siam tidak menyerhakan tanah air kami kepada kami smeula,"tambanyak.

Kini anak cucuk Haji Sulung dan para pejuang di sana meneruskan perjuangan suci itu. Mereka akan berjuang terus hingga cita - cita mereka tercapai.






MELAYU WAJIB BERSATU



PERPADUAN MELAYU


Dia (Allah) telah menurunkan keterangan – keterangan yang jelas kepada hamba - Nya (Muhammad s.a.w.) untuk mengeluarkan kalian dari kegelapan kepada cahaya yang terang dan sesungguhnya Allah itu Petunjuk dan Penyayang kepada kalian. - Al Hadid: 9.
Orang Melayu boleh menjadi bangsa yang kuat dan disegani oleh umat manusia di seluruh dunia, hanyalah jika ditangan mereka ada kuasa Melayu (Malay power). Kuasa Melayu tidak akan diperolehi sampai bila – bila, selagi orang Melayu tidak mengikut petunjuk Allah dalam Quran, iaitu tidak berpecah belah – bersatu padu di bawah kalimah Allah.
Ketuanan Melayu tidak penting, kerana ketunanan itu satu warisan dari bangsa Arab kuno sebelum Islam, iaitu 'Syed atau tuan' yang mengusai orang - orang miskin dari bangsa mereka sendiri. Pada zaman kesultanan Melayu Melaka sebelum 1511 dan zaman Sutan Abdullah di Perak sebelum 1874, telah wujud Ketuanan Melayu. Ketuanan Melayu itu telah memberi peluang kepada golongan Istana dan peodal (ketuanan) Melayu memperhambakan orang ramai Melayu yang miskin atau marhein.
Orang Melayu boleh bersatu – padu, jika semua organisasi politik Melayu, UMNO (berpegang kepada kebangsaan Melayu) dan PAS (berpegang kepada Islam sebagai amalan dalam semua bidang kehidupan insan), ketepikan sentimen politik dan mengorbankan pegangan tidak mengikut Islam dan sama – sama berepegang kepada Islam sebagai dasar hukum dan amalan dalam kehidupan negara dan rakyat.
Maka, jika benar orang Melayu mahu bersatu - padu dan mendapat kembali kuasa Melayu (Malay power), maka UMNO dan PAS hendaklah membuangkan yang keruh dan ambil yang jernih; saling bekerjasama dalam semua bidang.
Saya yakin, jika orang Melayu tidak bersatu - padu, dalam tempoh 10 hingga 20 tahun sahaja lagi, bangsa Melayu akan hilang. Bukan hilang kerana ribut dan banjir seperti maksud Quran di atas ini, tetapi kerana corak politik yang berbeza dengan corak politik UMNO dan PAS, akan melanda dan akan menjadi besi waja kekuatan bangsa lain menguasai negara pusaka bangsa Melayu ini.
Bagaimana nasib UMNO dan PAS di pulau Singapura yang kuat pada masa belum kuasa bangsa lain yang membawa basi waja politik sosio - demokrsi ke pulau pusaka bangsa Melayu itu?
Najib Tun Razak, Muhyiddin Yassin, Haji Hadi Awang, Nik Aziz dan Anwar Ibrahim bertanggung jawab atas menyatu padukan orang Melayu. Mereka perlu kembali kepada firman Allah, ' berpegang teguh pada tali Allah (berpadu) dan jangan berpecah belah'.(mp).

QURAN, HADIS DAN LAIN



JANGAN MENURUT ORANG KAFIR



Dan sampaikanlah (oleh Muhammad s.,a.w.) berita yang menggembirakan kepada mereka yang beriman, bahawa sesungguhnya mereka akan beroleh limpah kurnia yang besar dari Allah.

Dan jangan anda menurut kehendak orang – orang kafir dan orang – orang munafik, dan jangan anda hiraukan ancaman dan celaan mereka serta berserahlah kepada Allah (memelihara keselamatan anda); dan cukuplah Allah menjadi pelindung. Al Ahzab:47,48.



HADIS


MELEBIHKAN DIRI

Nabi Muhammad sallallahu alaihi wasallam bersabda: ”Rosak binasalah orang – orang yang suka melebih – lebihkan dari kadar kemampuan diri mereka sendiri.”

Perawi: Ibnu Mas’ud



PETUA


ZUHUD DAN QANA’AH


Tidak semua orang yang berpengetahuan Islam itu warak. Tidak semestinya orang yang warak itu banyak pengetahuan Islam. Warak itu permulaan kehidupan zuhud (tidak mementintingakn keduniaan sebaliknya mementingkan Allah dan hari akhirat) sebagai mana qana’ah , iaitu menuju kepada kehidupan yang diredai oleh Allah.



TAHUKAH


PEMIMPIN


Siapa juga menjadi pemimpin – presiden atau perdana menteri – sesebuah negara di dunia ini tetap ada musuhnya sendiri dalam parti politiknya yang berkeadaan ’musuh dalam selimut’ atau ’duri dalam daging’ dan mushuh diluar partinya yang berusaha menjatuhkannya dari keduddukannya.

Sunday, November 29, 2009

CERPEN (Ulangan)




REDA BERMADU


Oleh: Mokhtar Petah


Khairiah Jilid, 35 tahun, berlesung pipit pada pipi kiri. Peniaga. Sakinah Maulud, 28 tahun, berkening lentik. Penganalisis perdagangan. Asmah Laili , 25 tahun, bertahi lalat manis atas pipi kiri. Peguam perundangan Islam -syarie.

Tiga isteri bermadu itu duduk bersimpuh di hadapan suami mereka, Khalid, 46 tahun. Lelaki itu berwajah tenang. Janggut. Misai. Jambangnya bersulam uban perak menghiasi wajahnya. Tubuhnya yang masih kuat itu berbungkus dalam baju Fatihah warna putih. Kain sarung Samarinda warna biru tua. Ketayap putih terserkup atas kepalanya. Rambutnya bagai bunga-bunga lalang tepi paya menghiasi kepalanya. Bahagian dahi dan ubun-ubunnya rambut masih jarang-jarang subur laksana menerung dalam sawah padi di Perlis.

Cinta tiga perempuan beriman itu kepada suami mulia mereka laksana gunung emas bersinar dalam hati masing-masing. Teguh. Ikhlas berbungkus taqwa kepada Al Quds.

Khalid telah berhijrah ke ibu kota dari Kampung Air Meleleh, sebuah kampung di pendalaman, di Negeri Perak. Pada hari dia melangkah meninggalkan anak tangga terakhir rumah ibunya, usianya telah menjangkau 25 tahun. Tujuannya menjadi perantau untuk mengutip rezeki Tuhan di mana-mana. Dia jenis manusia yang senantiasa mengharapkan reda Tuhan sepanjang perjalanan usianya.

Dengan menggonggong Sijil Pelajaran Malaysia sekolah menengah dan pengetahuan agama Islam yang dipungut dari sekolah agama (rakyat) di kampungnya, Khalid berjaya mendapat pekerjaan di sebuah syarikat pelancong ‘Haji dan Umrah’ di Kuala Lumpur.

Khalid salah seorang dari ramai manusia yang kenal akan diri dan kenal akan Tuhannya. Maka dia telah berjaya membina kejayaan dirinya. Namanya terkenal di kalangan umat Islam yang pergi balik kerana menunai ibadat di Mekah dan Madinah.

Kata orang tua-tua di kampung; hati pemuda kampung lebih kaya cinta suci dari hati pemuda bandar. Hati Khalid mencintai ramai wanita. Arwah Ibunya telah meninggalkan amanah kepadanya; di mana-mana Khalid berada, hendaklah menyayangi manusia sejenis ibunya. Ramai perempuan mencintainya. Tetapi dia mengambil tiga orang gadis cuma untuk menjadi teman hidupnya.

Sebelum berkahwin dengan isteri-isterinya itu, dia telah merenung dengan mata hatinya dan memastikan gadis-gadis itu beriman tegar kepada Allah. Akhlak mulia. Aurat mereka tidak terdedah di luar rumah masing-masing. Pusat dan perut mereka tidak pernah dijilat cahaya matahari.

Khalid juga tahu, mereka jenis manusia tidak panas baran. Tidak takbur. Tidak berperasaan cemburu dalam diri masing-masing. Bercakap lemah kembut. Sentiasa tersenyum. Reda atas susah atau sukar menimpa diri mereka. Bersyukur ketika menerima nikmat atau rahmat.

Tubna..., ma fa’alna.”

“ tubna..., ma fa’alna.”

“ tubna..., ma fa’ala...”

Butir-butir suara Khalid lembut. Sayu. Hiba terluah dari mulutnya memenuhi ruang solat itu. Dengan setulus ikhlas hatinya, dia mengadu dan memohon kepada Tuhan. Isteri-isterinya menyambut suaranya dengan suara senada. Merdu. Manis. Sayu. Padu.

“Ya Allah, ampunilah diriku, isteri-isteriku yang cinta dan setia kepada diriku. Sesungguhnya mereka taat dan taqwa kepada-Mu, ya Tuhanku!”

Amiiin,” suara tiga isteri setia.

“...sesungguhnya aku telah banyak melakukan salah dan silap terhadap-Mu, ya Allah. Aku telah memadukan perempuan-perempuan ini. Mereka isteriku yang setia. Mereka menjadi satu hati dalam kasih sayangku. Aku suami mereka yang kasihkan mereka, ya Allah.”

Amiiin,” suara isteri-isteri itu menjadi satu.

“Aku telah mengikut petunjukmu dalam Quran, ya Allah, seperti bilangan tiga dalam surah An Nisa: ... Kahwinlah perempuan-perempuan yang kamu sukai; dua ,tiga dan empat...”

Amiiin, tubna ma fa’alna,” manis dan manja suara isteri-isterinya.

“Ya Allah, sesungguhnya, ya Allah, walaupun aku telah berlaku adil kepada mereka,Ya Allah, tetapi aku sedar, sebagai manusia yang lemah, aku tidak terdaya berlaku adil seperti kehendak-Mu kepada semua isteriku.

Amiiin, tubna ma fa’alna,” suara isteri mengusap puncak hati Khalid.

“Ya Allah, Kau jadikanlah aku dan isteri-isteriku hambamu yang ikhlas dan tidak melakukan tipu daya dan Kaulah ya Allah, sebaik-baik pembalas tipu daya’. Ya Allah.”

Amiiin, tubna, ma fa’alna...,”sahut ketiga-tiga isterinya.

“...Kau jadikanlah isteri-isteriku ini seperti firman-Mu bilangan dua ratus dalam surah Ali Imran: Hai orang-orang yang beriman bersabarlah, dan perteguhkan kekuatanmu dan taqwalah kepada Allah, supaya kamu menjadi beruntung.Ya Allah.”

Amiiin, tubna, ma fa’alna..., alhamduka,ya Karim ...,”suara semua isteri itu lemah lembut. Merdu.

Cahaya lampu dalam ruang solat rumah itu menjilat wajah lelaki bersama tiga isterinya. Wajah Khalid tenang. Dua biji matanya yang bersinar, merenung mesra kepada isteri-isterinya dalam telekung warna kapas. Semua wajah perempuan solehah itu manis. Berseri. Ada cahaya keimanan. Taqwa.

Khairiah memuji suaminya dalam hatinya. Memuji dan bersyukur kepada Tuhan kerana menjodohkan dia dengan suaminya. Mereka dikurniakan lima cahaya mata – tiga lelaki dan dua perempuan. Semua anak mereka masih menuntut di peringkat sekolah menengah.

Sakinah bersukur kepada Allah kerana menjodohkannya dengan Khalid. Allah mengurniakan kepada mereka dua cahaya mata. Yang sulung belajar dalam darjah empat di sekolah rendah agama Islam,. Anak yang kedua masih nakal di taman didikan kanak-kanak.

Asmah Laili telah berkahwin dengan Khalid setelah mereka tenggelam bersama dalam tasik cinta selama dua tahun. Sebelum bercinta Asmah Laili telah berikrar dengan Khalid; dia akan setia dan jujur kepada suaminya dan berbaik dan setia dengan madu-madunya.

Dua isteri Khalid – Khairiah dan Sakinah telah meminang Asmah Laili untuk dimartabatkannya sebagai madu mereka. Ibu bapa Asmah Laili seperti ‘tidak cukup nyiru tapak tangan ditadahkan’, menerima Khalid menjadi menantu mereka. Dari Asmah Laili mereka menerima cerita; Khalid lelaki sejati – jujur, tabah, tawakal, dedikasi dan menyayangi wanita.

“...dia tu macam wali, emak, dahlah kacak, jujur, rajin sembahyang pula,”kata-kata Laili Asmah masih terlekat pada papan conteng dalam hati ibunya.

Asmah Laili lepasan U.I.A., telah berjaya menanam dakwah Islamiah ke dalam hati ibu dan bapanya dengan mengutip falsafah Perdana Menteri.

“Khalid tak cari harta bertimbun-timbun, emak, dia ambil banyak tunjuk ajar dari Quran, Hadis dan Sunah..., dia ikut Iman Ghazali, Iman Shafie, emak, dia tak berfoya-foya..., emak,” Asmah Laili memberitahu kepada ibunya.

“Bagus benarla tu, yang macam tu emak nak...,”kata ibunya.

“...ia, alhamdulillah, saya tak nak bakal menantu kita kejar harta, kaya raya, berfoya- foya..., bongkak, lupa Tuhan..., elok macam Si Khalid tu, ...lagi pun saya dah kenal dia tu...,”kata bapa Asmah Laili.

Khalid memberitahu isteri-isterinya, Allah telah menetapkan dalam Quran, lelaki boleh berpoligami sekiranya mereka mampu berlaku adil. Sesiapa menentang ketetapan Allah dalam Quran akan menjadi kafir.

“...orang perempuan harus menasihati suami depa supaya ta memadukan depa, sekiranya suami depa tak dapat berlaku adil, tetapi tak boleh tegah...,”kata Khalid.

“Allah dah menjadikan semua perempuan suka suami depa tu memadukan depa, fitrah manusia perempuan begitu..., kalau depa kuat iman dan taqwa, depa reda dimadukan,”kata Khalid sebagai pendakwah.

“... tapi kebanyakan orang perempuan tak dak ilmu pengetahuan agama Islam yang mendalam, tak cukup iman, tak taqwa kepada Allah..., depa jadi mangsa rasukan syaitan dan iblis, tebal perasaan cemburu..., sebab tu depa tentang poligami...,” Khalid menjelaskan kepada isteri-isterinya.

“La ni, ghamai orang perempuan tak ada pengetahuan agama Islam, tak cukup iman, tak taqwa, sebab tulah depa jadi macam-macam...,”jelas Khalid lagi.

“Perempuan yang beriman, taqwa, depa yang taatkan Allah, tak bantah hukum Allah, taatkan suami, ...suami yang baik, yang beriman, taqwa, hormatkan isteri,” tambah Khalid.

Semua isteri Khalid mengangguk. Mereka faham. Percaya. Hati mereka menerima dengan ikhlas akan penjelasannya.

Ya Allah, kami telah menganiaya diri kami sendiri; dan kiranya Engkau tidak mengampun dan mengurniakan rahmat kepada kami, tentulah kami

termasuk dalam golongan orang-orang yang rugi,” suara Khalid memenuhi ruang solat itu.

Amiiin, tubna ma fa’alna,”suara isterinya sekati.

“Ya Tuhan kami, kurniakanlah kepada kami kebaikan di dunia ini dan kebaikan di akhirat dan peliharalah kami dari azab neraka,” Khalid mengakhiri doanya dari ayat Quran bilangan dua kosong satu, al Baqarah.

Amiiin, tubna ma fa’alna...,” suara tiga isteri itu lembut. Manja.

“Ya Tuhan kami, janganlah kami dihukum, jika kami lupa atau tersalah. Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan atas kami beban yang berat, sebagaimana Engkau telah pikulkan ke atas orang-orang yang terdahulu dari kami,” suara Khalid lembu. Suara suami budiman.

Amiiin, tubna ma fa’alna,”suara tiga perempuan itu sayu.

“Ya Tuhan kami, janganlah Engkau pikulkan atas kami apa yang tidak upaya kami pikul, maafkanlah kami, ampunilah kami, dan berilah kami rahmat; Engkaulah Pelindung kami, sebab itu tolonglah kami terhdap kaum yang zalim,” Suara Khalid bergema lembut memenuhi ruangan solat yang sentiasa di kunjung oleh para malaikat dan wali itu.

Amin, tubna ma fa’alna,” tiga perempuan itu memohon kepada Allah sambil mengesat air mata masing-masing dengan telekung,

Sebaik-baik sahaja selesai membaca doa, Khalid menyalami dua puntung tangan isteri pertamanya, di ikuti dua puntung tangan isteri kedua dan isteri ketiganya. Masing-masing mengucup tangannya.

Khalid dan isteri pertamanya memiliki syarikat pelancongan yang membawa umat Islam menunaikan ibadat haji dan umrah di Mekah dan Madinah.

Ramai yang memanggil namanya Ustaz Khalid al Malihi (dari nama Kampung Air Meleleh).

Hari raya Fitrah tahun ini – Syawal 1427, rindu Khalid terubat. Pada hari raya yang ke -10 abang saudara entah berapa pupu dengannya, Amin Ghazali dari Kampung Air Meleleh telah berkunjung ke rumahnya, di Taman Lomomba, Kuala Lumpur. Orang tua itu datang bersama isterinya dan lima orang saudara sepupunya.

Sambil makan Lemang buluh akar dan ketupat daun palas berlaukkan rendang pedas daging ayam kampung, Khalid bertanya kepada abang saudaranya, “...tak nak ikut macam saya ke, abang wa?”.

Orang tua berusia lebih tujuh puluh tahun itu senyum memanjang. Sambil menjeling kepada isterinya mahasiswa MA universiti tempatan, dia berkata, “...siapa tak nak ikut Sunnah Nabi, Lid..., tapi abang wa ni dah macam batang buruk hanyut dalam sungai, katak hijau pun tak nak numpang....”

Mereka ketawa. Dalam mulut masing pulut lemang, ketupat berbaur rendang pedas tersentil di celah gigi puntung-puntung gigi yang jarang.

“Abang wa ni dah di tahap, tangga kata pergi, kubur kata mari...,”kata Amin Ghazali.

Isteri Amin Ghazali, Aminah Lo’lo’ merenung tiga isteri Khalid. Dia memuji perempuan-perempuan yang solehah itu. Kagum hatinya.

“...aku nak syurga, tapi aku tak sanggup bermadu...,”suara hati isteri abang saudara Khalid, Aminah Lo’lo’.

Ruang tamu rumah Khalid penuh dengan bunyi tawa mereka.

Hati Khalid masih muda. Lelaki tua berhati muda tak di hinggap penyakit. Dia akan berkahwin lagi. Calon isterinya telah ada. Gadis itu, Asmawati Tero, 20 tahun dari Aceh. Sedang menuntut di UIA, Gombak.

Ketiga-tiga isteri Khalid telah menemui Asmawati Tero pada malam Qiamul lail di Masjid Syedina Uthman ibnu Affan. Menurut jadual, pada hari ketiga, raya korban nanti, Khalid akan dinikahkan dengan Asmawati Tiro.

Pada waktu abang saudara Khalid dan tetamu-tetamu lain akan meninggalkan rumahnya pada petang itu, Asmawati Tiro tiba di halaman rumah Khalid. Dia di sambut oleh tiga isteri Khalid dengan mesra.

Khalid dan isteri-isterinya memperkenalkan gadis dari Aceh – dari kaum kerabat Hassaan Tiro itu kepada Amin Ghazali.

“Bertuah..., Khalid,”kata abang saudaranya dan mereka yang hadir.

“...ikut Sunah, abang wa...,” sahut Khalid. Senyum.

Alhamdulillah...,”sahut Amin Ghazali.

Dalam cahaya petang lepas hujan, dua biji mata Khalid terpacak dalam lubuk mata gadis berdagu lekuk itu.

(tamat)

BERITA

Perutusan hari Raya Aidil Adha


Datuk Seri Abdul Hadi Awang

Pada hari yang sangat besar ertinya kepada umat Islam ini, ketika mana Allah menjadikan manusia dari pelbagai bangsa dan keturunan berhimpun di tempat letaknya kiblat umat Islam, kita dipersatukan dengan Islam yang menjadi panduan hidup manusia sehinggalah ke hari kiamat. Iman yang dimiliki oleh umat manusia inilah yang juga mempersaudarakan kalangan manusia dari pelbagai rupa bangsa samada dekat atau jauh, semuanya adalah bersaudara di antara satu sama lain.

Kita membaca bagaimana umat Islam di zaman dahulu berpegang teguh dengan Al-Quran dan Hadis Nabi saw, termasuklah dalam perkara hubung-kait antara satu sama lain walaupun mereka berselisih pendapat dan berbeza pemimpin, mazhab dan guru tetapi mereka berkasih sayang dan bermaafan. Kalau mereka berselisih pendapat atau berkelahi dengan mudah sahaja mereka berdamai kerana mereka menyelesaikan masalah dengan kembali kepada kepada Al-Quran dan Hadith Nabi saw.

Kepada seluruh ahli Parti Islam SeMalaysia (PAS), marilah kita terus menerus memperkukuhkan parti kita dengan sama-sama kita mengikhlaskan niat perjuangan kita kerana Allah, dan seterusnya kita beramal dengan kaedah perjuangan yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah saw.

Marilah kita berpegang teguh kepada firman Allah dalam Surah An-Nisa’ ayat 59.

“Hai orang-orang yang beriman, taatilah Allah dan taatilah Rasul (Nya), dan ulil amri di antara kamu. Kemudian jika kamu berlainan pendapat tentang sesuatu, maka kembalikanlah ia kepada Allah (Al Qur'an) dan Rasul (sunnahnya), jika kamu benar-benar beriman kepada Allah dan hari kemudian. Yang demikian itu lebih utama (bagimu) dan lebih baik akibatnya”

Juga sabda nabi s.a.w yang diucapkan ketika menunaikan haji selamat tinggal :

“Janganlah kamu menyeleweng, menjadi kafir selepas aku wafat sehingga ada di kalangan kamu memancung leher dengan pedang-pedang di antara satu sama lain (Riwayat Imam Ahmad, Bukhari & Muslim)

Ikhlas,

Presiden PAS

----------------

Pengganti Tuan Guru: Hentikan berbalas kenyataan dalam media


Abdul Aziz Mustafa
KUALA LUMPUR, 28 Nov: Mursyidul Am, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat tidak sepatutnya ditekan untuk menamakan penggantinya dan semua kenyataan pemimpin PAS mengenai perkara itu mesti dihentikan, kata Naib Presiden PAS Datuk Mahfuz Omar.

"Jangan paksa Tuan Guru mencadangkan penggantinya. Beliau tentu mempunyai perkiraan, perhitungan dan kebijaksanaan sendiri untuk memilih masa yang sesuai untuk mencadangkan siapa penggantinya," kata beliau.

Mahfuz menyifatkan tindakan berbalas-balas kenyataan mengenai perkara itu secara terbuka di dalam media memberi tekanan kepada Tuan Guru menamakan penggantinya sebagai Menteri Besar Kelantan.

Walaupun tindakan menyuarakan pandangan mengenai perkara itu adalah hak demokratik masing-masing, kata beliau, tetapi berbalas-balas kenyataan sesama sendiri mengenai perkara itu secara terbuka di dalam media boleh mengakibatkan implikasi yang lain.

"Lebih dari itu, semua pihak jangan membelakangi tertib organisasi di dalam PAS.

"Dari segi peraturan berorganisasi di dalam PAS, Tuan Guru atas sifatnya sebagai Pesuruhjaya PAS Kelantan boleh mencadangkan nama penggantinya kepada dan di dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat untuk dipertimbangkan.

"Begitu juga, ahli-ahli mesyuarat yang lain di dalam mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat juga boleh mengemukakan cadangan untuk dipertimbangkan.

"Tetapi, dari segi kaedah berjemaah di dalam PAS, keputusan mengenai perkara itu hanya boleh dibuat di dalam dan dengan persetujuan mesyuarat Ahli Jawatankuasa PAS Pusat sebagai badan eksekutif yang dipilih oleh muktamar," katanya.

Bagaimanapun, kata Mahfuz, pandangan dan hasrat Tuan Guru sebagai pemegang jawatan itu kini dan lebih dari itu sebagai Mursyidul Am biasanya diberi keutamaan untuk dipertimbangkan oleh mesyuarat tersebut.

Mahfuz juga menjelaskan, setiap kali PAS mendapat kerusi majoriti di mana-mana negeri selepas pilihan raya, nama orang yang mendapat kepercayaan parti untuk menjadi Menteri Besar di kemukakan oleh Presiden PAS kepada Sultan negeri yang berkenaan.

"Presiden PAS pula mengemukakan nama tersebut kepada Sultan yang berkenaan setelah dipersetujui oleh mesyuarat Jawatankuasa PAS Pusat,"kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

Mahfuz meminta semua pihak agar memberikan kepercayaan kepada Tuan Guru untuk memilih masa yang sesuai bagi mencadangkan penggantinya sebagai Menteri Besar Kelantan dan juga kepada mesyuarat Ahli Jawatankuasa PAS Pusat untuk mempertimbangkan cadangan beliau dan membuat keputusan mengenainya.

"Saya yakin semuanya akan berjalan dengan lancar mengikut tertib berjemaah dan berorganisasi di dalam PAS," kata Ahli Parlimen Pokok Sena itu.

-------------------

BTN tiada manfaat, hanya dakyah pesong semata-mata


M Khaleel Kas

SIJANGKANG, 28 Nov: Tiada manfaat dan hanya dakyah untuk memesong pemikiran belia-belia semata-mata. Demikian kesimpulan yang dapat dirungkaikan mengenai kursus Biro Tata Negara (BTN).

Pembantu Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan,Dr Ahmad Yunus Hairi berkata, amat jelas program BTN merupakan alat Umno dalam menyebarkan dakyah kepada belia-belia yang menyertainya.

"Ramai pemimpin dalam kerajaan negeri kini yang pernah menyertai malah mengendalikan BTN dan daripada maklum balasnya kita yakin tiada manfaat
jelas program sebegitu,"jelasnya semasa ditemui Harakahdaily di lokasi majlis korban di Dun Sijangkang sebentar tadi.

Disebabkan itu katanya, kerajaan negeri mengambil keputusan untuk tidak lagi membenarkan 'anak-anak buah'nya menyertai kursus-kursus yang dianjurkan di bawah BTN.

(Gambar: Dr Ahmad Yunus sedang melakukan ibadah korban dengan menyembelih lembu di Masjid al-Firdaus Kg Sg Rambai pagi tadi)

Dalam pada itu, Dr Ahmad juga menjelaskan bahawa, kerajaan negeri sendiri telah memperkenalkan programnya tersendiri dalam memastikan pembinaan modal insan para belia di negeri Selangor melalui program SPIES (Spiritual, Physical, Intellectual,Emotional, Social).

"Kita telah lama wujudkan dan memang terbukti memberikan kesan yang baik berbanding dengan program-program seperti BTN,"katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri Selangor melarang penyertaan kakitangan kerajaan negeri dan pelajar di institusi pengajian tinggi miliknya hadir di program anjuran Biro Tatanegara (BTN).

Menurut Exco Pendidikan, Pendidikan Tinggi dan Pembangunan Modal Insan Selangor, Dr Halimah Ali,keputusan yang berkuatkuasa serta-merta itu dibuat dalam mesyuarat exco kerajaan negeri susulan desakan sekumpulan ADUN Pakatan Rakyat di Selangor yang mendakwa program kendalian biro bawah Jabatan Perdana Menteri itu membangkitkan sentimen perkauman.

Empat buah pusat pengajian tinggi yang dimiliki kerajaan negeri itu: Universiti Industri Selangor (Unisel), Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS), Kolej Antarabangsa INPENS dan Institut Kemahiran Yayasan Selangor.

Selain menghentikan penyertaan pelajar, seperti didesak, keputusan itu turut meliputi kakitangan kerajaan negeri dan pegawai semua anak syarikat kerajaan itu, tambahnya.

Dalam satu sidang media di Shah Alam baru-baru ini, Dr Halimah menyifatkan program BTN sebagai "indoktrinasi kerajaan (pusat) BN untuk menimbulkan fenomena yang agak racist (perkauman) seolah-olah ingin memecah belah penduduk pelbagai bangsa dan agama."

"Rata-rata (peserta BTN) termasuk anak saya sendiri, mereka kadang-kadang dibekalkan dengan buku kecil yang mengandungi pelbagai perkara yang menimbulkan kebencian kepada (pihak) yang dikatakan pembangkang kepada kerajaan Malaysia,” kata wakil rakyat PAS itu.

"Oleh kerana ia tidak memberi satu perkara yang positif, tambahan pula kepada minda yang begitu muda ini, maka kita rasa ia tidak perlu dan menghabiskan wang rakyat."

Minggu lalu, sekumpulan wakil rakyat muda tiga parti dalam Pakatan menulis surat kepada Menteri Besar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim untuk membuat desakan demikian.

ADUN-ADUN yang terlibat: Amirudin Shari (PKR-Batu Caves), Lau Weng San (DAP-Kampung Tunku), Nik Nazmi Nik Ahmad (PKR-Seri Setia), Jenice Lee Yin Ha (DAP-Teratai), Hannah Yeoh Tseow Suan (DAP-Subang Jaya) dan Gan Pei Ni (PKR-Rawang).

(Berita ini diambil dari Harakah Daily, 29 November 2009)