Friday, February 11, 2011

TATAPAN JUMAAT





SEOANG GURU DAN SEORANG MURID

Ramai orang Melayu di Tanah Melayu mengetahui, bahawa Sheikh Abdullah Fahim – datuk kepada Abdullah Ahmad Badawi, adalah seorang alim dan di antara beberapa ulama yang kiramat (keramat) dan memiliki ilmu kasyaf. Pada bulan pertama hingga lima bulan kemudian saya menuntut di Daeratul Maariful Wataniah, saya ‘takut’ bertemu dengannya. Maklumlah, siapalah saya; saya seorang pelajar sekolah menengah, sedangkan dia seorang alim dan dikurniakan Allah kiramah. atau keramat.
Pada satu pagi hujung bulan, sekolah cuti, saya sedang kekeringan wang. Dalam saku saya hanya ada dua puluh sen. Pada tengah hari itu belum tentu apa yang saya akan telan. Di rumah hanya ada dua ketul biskut lutut. Rakan-rakan tidak ada di rumah. Saya tak mahu meminjam wang dari kawan-kawan di pondok sekolah itu.
Pada pagi itu saya datang ke sekolah kerana ada kerja dalam pejabat sekolah. Saya ternampak Sheikh Abdullah Fahim memakai serban putih, kot dan kain pelekat sedang berjalan masuk ke pekarangan sekolah. Saya keluar dari pejabat sekolah dan mengelak dari bertemu dengannya.
MENYAHUT SALAM
Entah bagaimana, pada ketika saya di belakang sekolah, tiba-tiba Sheikh Abdullah Abdullah Fahim muncul di hadapan saya. Saya tergamam, tetapi dapat mengucap salam kepadanya. Setelah menyahut salam saya, dia berkata, “Nah enta ambil lima ringgit ni, ...enta tak ada duit.”
Saya telah menerima wang dari tangannya. Saya rasa tubuh saya menggigil. Tetapi sempat juga saya mengucapkan ‘alhamdulillah’ dan ‘terima kasih’ kepadanya.
Semenjak pagi itu saya jadi berani berjumpa dengan ulama itu. Kemudian saya dan dia menjadi ikrab. Sebelum saya meninggal sekolah itu, saya sempat belajar ilmu Islam kepadanya secara ‘seorang guru dan seorang murid’ dalam masjid Kepala Batas, pada tiap malam Selasa dan Jumaat, iaitu dari jam 10.00 hingga 11.30 malam.
SUSUR GALUR
Di antara pengetahuan Islam yang saya telah peroleh daripada Sheikh Abdullah Fahim, ialah:
* Falsafa politik dan sosial dari Quran.
* Rahsia–Rahsia dari Quran.
* Hukum hakam berdasarkan Quran.
* Tasawuf.
* Tauhid.
* Fikah
* Ilmu batin atau jampi menggunakan ayat-ayat Quran.
Kerana mengenang jasa Allahyarham itu, saya telah menulis sebuah buku kira-kira 1,200 halaman yang mengandungi susur galur perjuangannya dan semua pengetahuan agama yang saya telah menerima daripadanya. Buku itu saya namakan ‘Sheikh Abdullah Fahim Pelopor Perjuangan Kemerdekaan Bangsa Melayu’. Isnya Allah buku itu akan dapat diterbitkan dalam masa yang terdekat.
POLITIK ISLAM
Sheikh Abdullah Fahim telah menerapkan as siasatul islamiah (politik Islam) kepada pelajar-pelajarnya menerusi ilmu yang diajarnya, seperti Quran, Hadis, tauhid, fikah dan tasawuf.
Di antara pelajar-pelajar Allahyarham yang telah menceburkan diri secara langsung dalam perjuangan politik Islam, ialah Allahyarham Ustaz Abu Bakar Al Baqir, mudir Maahad Ehyausy Syarif, Gunung Semanggol, Perak dan Yang Dipertua parti Islam pertama di Tanah Melayu, Hizbul Muslimin (parti umat Islam).
‘Pendidikan telah memberi kesedaran dan dorongan kepada orang Melayu untuk berjuang menentang penjajahan di tanah air sendiri. Ini terjadi kepada beberapa buah sekolah (agama) pondok seperti Maahad Ehyausy Syarif, Gunung Semanggol di Perak.
Perkembangan para pelajar dan pembelajaran di pusat pengajian ini sangat unik berbanding dengan sekolah-sekolah pondok yang lain sezaman dengannya. Sekolah ini telah ditubuhkan pada tahun 1934 boleh seorang tokoh ulama yang tidak asing lagi bernama Abu Bakar Said (lebih dikenali sebagai Ustaz Abu Bakar Al Baqir). Beliau telah menerima pendidikan awal hingga darjah lima sekolah Melayu. Beliau kemudiannya meneruskan pengajiannya di sekolah Al Rahmaniah dan kemudian ke Madrasatul Daeratul Maarif pada tahun 1924. Di sini Ustaz Abu Bakar telah berguru dengan seorang tokoh ulama yang akhirnya menjadi sahabat baik beliau iaitu Ustaz Haji Abdullah Haji Ibrahim (Abdullah Pak Him).
Mereka berdua kemudiannya telah menubuhkan sebuah madrasah bernama Qauzil Maarif dan selepas itulah Maahad Ehyausy Syarif ditubuhkan oleh Ustaz Abu Bakar pada 15 April 1934 (Nabir Abdullah, 1976). Sekolah ini diberi kebebasan bergerak cergas dalam kegiatan kokurikulum yang kemudiannya memberi tapak kepada penubuhan Kesatuan Melayu Muda menjelang Perang Dunia kedua. Ustaz Abu Bakar juga telah merapatkan diri dengan tokoh-tokoh politik Masyumi dan tokoh pemimpin seperti Dr. Burhanuddin Helmi dan Ibrahim Yaacob.
Akhirnya pusat pengajian ini menjadi pusat perjuangan agama Islam. Antara badan-badan ayang pernah ditubuhkan di sini, ialah:
(a) Pusat Perekonomian Melayu Se- Malaya (PEPERMAS).
(b) Majlis Agama Tertingi (MATA).
(c) Lembaga Pendidikan Rakyat (LEPIR)
(d) Hizbul Muslimin (parti Islam pertama di Tanah Melayu-mp).
Pada tahun 1948, Dato’ Onn berjawatan pegawai eksekutif dan bertaraf menteri dalam Kerajaan Penjajah British, iaitu Menteri Dalam Negeri. Kerajaan Penjajah British telah mengambil langkah untuk menyelamatkan nama dan kerajaan penjajahannya di Tanah Melayu, maka satu perintah darurat telah diisytiharkan. Pada masa darurat itu dengan kausa Menteri Dalam Negeri, Kerajaan Penjajah British telah menangkap beratus-ratus orang pejuang kemerdekaan Tanah Melayu, iaitu anggota-anggota dan ahli-ahli Hizbul Muslimin, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Wanita Sedar (AWAS), Angkatan pemuda Insaf (API ) dan parti-parti politik lain.
TEORI POLITIK
Di antara mereka itu, ialah Ustaz Abu Bakar dan Ishak Haji Muhammad (Pak Sako) Rashid Maidin. Mereka telah ditahan dalam beberapa khemah tahanan di Ipoh, Batu Gajah, Tanjung Beruas, Melaka dan beberapa khemah tahanan lagi.
Dr. Burhanuddin Helmi tidak sempat ditangkap kerana sebelum tindakan menangkap beramai-ramai itu, dia telah berada di Singapura untuk menguruskan klinik homeopatinya di sana.
Haji Ahmad Fuad bekas murid Sheikh Abdullah Fahim di Madrasah Idrisiah Bukit Candan. Dr. Burhanuddin Helmy tidak pernah menuntut di pondok Sheikh Abdullah Fahim, tetapi dia banyak mempelajari teori politik Islam kepadanya, iaitu pada ada kesempatan berbincang atau Dr. Burhanuddin Helmi sendiri datang menemui ulama itu. Dr. Burhanuddin Helmi dan Haji Ahmad Fuad Hassan telah memegang jawatan Yang Dipertua Agung Parti Islam Se Malaysia (PAS).
MENETAPKAN TARIKH
Sheikh Abdullah Fahim telah diminta oleh Tunku Abdul Rahman bagi pihak UMNO supaya menetapkan tarikh kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu mengikut ilmu falak. Tunku Abdul Rahman bersama beberapa orang penting UMNO terlah menemui Sheikh Abdullah Fahim di rumahnya (kini rumah sejarah) di Kepala Batas. Allahyarham telah menentukan tarikh yang diminta oleh Tunku Abdul Rahaman itu, iaitu 31 Ogos 1957.
Sheikh Abdullah Fahim telah menegaskan, kalau pada tarikh itu Penjajah Inggeris tidak mahu memberi kemerdekaan, maka Tunku Abdul Rahman dan UMNO terpaksa menunggu lima tahun lagi, iaitu pada 31 Ogos 1962.
Ketua Pemuda UMNO Malaya, Saadon Haji Zubir, naibnya, Haji Ahmad Badawi dan Haji Sulaiman Palestin ahli jawatan kuasa Pemuda UMNO Seberang Perai Turut serta dalam pertemuan itu. Sebaik- baik sahaja mendengar penjelasan Sheikh Abdulah Fahim itu, Saadon Haji Zubir dan Haji Sulaiman Palestin telah melanting -‘naik darah’ - , mereka berkata, bahawa jika penjajah British tidak mahu memberi kemerdekaan pada 31 Ogos 1957, pemuda UMNO akan mengadakan revolusi.
SECARA REVOLUSI
Sheikh Abdullah Fahim telah menasihatkan mereka supaya bersabar. Dia berpendapat, revolusi akan mendatangkan mudarat kepada orang ramai dan hasil dari tuntutan secara revolusi itu belum tentu berjaya.
Pembawaan atau perangai Sheikh Abdullah Fahim yang menarik hati saya, ialah apabila dia bersalaman dengan seseorang, ada perbezaan dilakukannya. Dia hanya berjabat tangan dengan seseorang.. Ada yang ditepuk-tepuk belakang tangan orang itu. Ada yang dilakukan, sambil bersalam, tangan kirinya menepuk lenga atau bahu orang yang dijabat tangannya Saya perhatikan, pembawaan dan perangai itu telah turun kepada Haji Ahmad Badawi dan kemudian turun kepada cucunya, Abdullah Ahmad Badawi.
Ramai orang yang terdiri dari golongan peniaga memberitahu saya, dengan izin Allah, setelah tangan atau lengan atau pun bahu mereka ditepuk oleh salah seorang dari tiga orang itu, maka dengan kehendak dan pertolongan Allah, perniagaan atau perusahaan mereka membuahkan rezeki yang melimpah.
Saya amat mengetahui, Sheikh Abdullah Fahim, Haji Ahmad Badawi dan Abdullah Ahmad Badawi memiliki hati masing-masing yang takwa kepada Allah dan tidak memandang buruk kepada orang lain. Setiap kali mereka bertemu dengan seseorang mukmin, dalam hati masing-masih ada doa kepada Allah agar orang itu ‘bahagia dan dilimpahkan rezeki’.
(Disunting dari manuskrip buku, Sheikh Abdullah Fahim Pelopor Pejuangan Kemerdekaan Umat Islam di Tanah Melayu, oleh: Mokhtar Petah)

No comments: