TAKDIR ALLAH DAN CINTA SEMENTARA
Semenjak zaman berzaman, telah menjadi kebiasaan di kalangan orang -orang Melayu di kampung - kampung, apabila anak lelaki telah meningkat teruna dan anak perempuan telah bergelar dara, maka mereka segera mencari pasangan bagi anak-anak mereka itu.
Orang tua-tua Melayu berpendapat, pasangan hidup anak-anak mereka mestilah ditentukan oleh ibu bapa. Anak-anak mesti menerima pasangan hidup mereka yang telah dipilih oleh ibu bapa mereka. Perkahwinan anak-anak mereka dengan ’cinta-cintaan’ tidak boleh dilakukan dan bahkan mesti ditolak, kerana mereka berpendapat, ’manusia mengadun cinta dan memusnahkan cinta’.
Adik beradik dan rakan-rakan ibu dan bapaku yang ada anak gadis, telah merisik kepada mereka, kalau-kalau ibu dan bapaku sudi berbesan dengan mereka, iaitu dijodohkan aku dengan anak gadis mereka. Ada beberapa orang pula telah bertandang atau menziarah ke rumah ibu dan bapaku bersama anak gadis masing-masing untuk ’suai kenal’ dengan bakal mertua.
BERANI BERHADAPAN
Ada pula di antara mereka itu yang memperkenalkan anak-anak gadis mereka kepadaku. Maksud mereka baik; menghubung atau memdekatkan keluarga dengan keluarga.
Aku telah menolak semua maksud mereka yang disampaikan oleh ibuku kepadaku dengan baik dan beralasan yang menasabah, itu, ”...sabarlah emak, saya berhajat nak belajar lagi.”, ”...takkan emak nak cepat bernantu kut, saya belum bersedia...” dan ” ....tak apalah emak, ...kalau ada jodoh saya tak ke mana.”
Pada masa itu, walaupun aku berani berhadapan dengan siapa sahaja, tetapi aku takut berhadapan dengan ibu-ibu yang ada anak gadis, kerana aku ’berjiwa kecil’. Di antara sebab-sebab aku ’berjiwa kecil’, ialah kerana aku telah membandingkan rumah ibu bapaku dengan rumah ibu bapa gadis -gadis itu. Rumah kami ibarat ran atau sangkar di rimba, manakala rumah mereka, rumah gedang tiang seribu. Selimut mereka kain sekayu sedangkan selimut kami kain panjang lima; tutup kepala kaki telanjang, tutup kaki kepala terbuka. Pendeknya aku dan ibu bapaku terkepung dalam penjara kemiskinan.
Seorang gadis anak saudara bapaku, sering datang ke rumah kami. Aku menyayangi dia seperti menyayangi adik kandungku sendiri. Kadang-kadang hanya kami berdua dalam rumahku. Pada waktu aku menulis atau membaca, dia duduk dekatku dan ikut membaca. Makan dan minumku disediakan. Pendeknya dia benar-benar seperti adik kandungku sendiri. Ibu dan bapaku pula tidak menaruh sebarang sangkaan buruk terhadap kami.
KELUARGA BERADA
Setiap bunga mekar diziarah kumbang, begitulah adik saudaraku itu. Dia dilamar dan dipinang oleh seorang pemuda dari keluarga berada. Ibunya setuju menerima lamaran dan pinangan pemuda itu.
Kira-kira dua minggu lagi perkahwinan adik saudaraku dengan pemuda itu akan berlangsung, aku telah datang ke rumahnya. Pada waktu itu ramai tetamu yang terdiri saudara mara dan sahabat handai dalam rumah ibu saudaraku itu. Pada ketika kami bercakap-cakap, tiba-tiba kami dikejutkan dengan perbuatan adik saudaraku itu, sambil menangis dan meraung seperti diserang histeria(letusan emosi yang sukar dikawal). Dia telah menojah atau menikam beberapa biji periuk tanah dan periuk aluminium dengan golok tumpul di dapurnya.
Apabila aku menghampiri adik saudaraku itu dan meminta dia bertenang dan bersabar, dia telah menghalau aku dan meluahkan kata-kata, ”...gi balik, ...dah tak suka..., tak sudi buat apa maghi...”. Pada saat itu, barukah aku mengetahui akan tujuan dia telah bertindak begitu.
Ibu saudaraku telah berkata kepadaku pada ketika aku akan meninggalkan rumahnya, ”...sedih mak long, ...kasian dia, ...mu laa, tak kesian dia...”
SURAT CIKGU
Seminggu kemudian pertunangan adik saudaraku itu dengan pemuda tersebut telah dibatalkan. Kira setahun kemudian, adik saudaraku telah berkahwin dengan seorang pemuda dari sebuah kampung, di Hulu Perak.
Kira-kira sebulan kemudian, seorang kanak-kanak perempuan yang baru pulang dari sekolah telah memberi satu sampul surat kepadaku sambil berkata, ”...surat cikgu.” Setelah aku membaca surat itu, aku telah terkejut dan tubuhku menggigil, kerana surat itu mengandungi perasaan ’kasih’ penulisnya kepada diriku. Dia seorang gadis bekerja guru, anak kepada seorang dari kaum kerabat bapaku.
Walaupun selepas menerima surat guru itu, aku sering bertemu dengannya di rumah ibunya, tetapi aku tidak menjawab suratnya. Aku telah berpura-pura tidak mengetahui akan perasaan hatinya kepadaku. Sesungguhnya, walaupun guru itu cantik, tetapi dalam diriku, tidak ada perasaan cinta terhadap dirinya. Aku telah menganggap dia seperti adikku sendiri.
Kira-kira tiga bulan kemudian guru itu telah ditunangkan dengan seorang pemuda tempatan yang bekerja polis. Pertunangannya dengan persetujuan antara ibunya dengan ibu pemuda itu. Pada satu hari aku telah bertanndang ke rumahnya. Pada waktu itu dia bersama ibunya serta empat lima orang perempuan sedang membuat bunga-bunga kertas dalam rumah itu. Tiga biji tudung saji bersulam benang emas terleka dekat gadis tersebut. Sebaik-baik sahaja aku mengucapkan ’selamat pengantin baru’ kepadanya, tiba-tiba dia bertindak menikam-nikam semua tudung saji itu dengan hujung gunting besar di tangannya sambil menangis dan meraung.
GADIS PILIHANKU
Melihat keadaan gadis itu seperti orang diserang histeria, timbul perasaan ’bersalah dan kasihan’ kepadanya. Aku segera meninggalkannya. Ibunya berwajah muram, telah mengikuti aku hingga ke kaki tangga rumahnya.
Allah dengan takdirNya dan aku lemah di bawah takdirNya. Aku telah menikah dengan gadis pilihanku sendiri. Kami sama – sama cinta. Hasil hidup kami suami isteri, Allah mengurniakan kepda kami empat anak lelaki dan seorang anak perempuan. Anak perempuan kami telah meninggal dunia pada masa bayi.
Bukan kerana tidak ikut kehendak ibu bapa dan bukan kerana cinta pilihan sendiri, tetapi dengan takdir Allah juga, aku dan isteriku berpisah dengan tiak kehendakku.
Nota tambah: Baru beberapa hari lalu, pada ketika aku
dan isteriku menghantar cucuku, Muzammil bin Khairul Anuar
di KLIA, akan bertolak ke Australia kerana melanjut
pelajaran dalam bidang Hal Ehawal Antara Bangsa,
di sebuah universiti di Australia, aku bertemu denga
Kami tidak bercakap dan kami merenung dari jauh sahaja.
(Dikutip dari manuskrip buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh,oleh: Mokhtar Petah.
No comments:
Post a Comment