PELACUR YANG BAIK
Seorang pekerja – attendant - , hospital daerah Telok Anson, Pak Tamat, rakan Pak Ali yang menjadi rakanku. Walaupun usia Pak Tamat sama dengan usia bapaku, tetapi dia telah menjadi rakan baikku. Tiap-tiap malam dia datang sembahyang berjemaah di Madrasah Ihsaniyah. Kadang-kadang dia mengajak aku dan Pak Ali makan roti canai di kedai mamak tidak jauh dari madrasah itu.
Melalui Pak Tamat aku telah berkenalan dengan dua orang mu’allim di sana. Mereka itu, Haji Sulaiman Pagar dan Kiyai Haji Arshad, di Batu 20, Jalan Bagan Datok, Haji Sulaiman pagar mengajar agama di masjid-masjid di seluruh kawasan Teluk Anson dan Kiyai Haji Arshad, Pengetua Sekolah agama ’ al Ulum’, di Batu 20, Bagan Datok.
Haji Arshad ialah bapa kepada Ustaz Hassan Adli yang bergelar ’Panglima Jihad’ PAS setelah Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan.
MENONTON FILEM
Pada satu malam minggu, aku bersama kawan-kawan termasuk dua orang gadis sekolah menengah Inggeris yang berjiran denganku, telah pergi menonton filem Aloha, di sebuah pangung, dekat Immigrant Road dan tidak jauh dri pangkalan bot di sungai Perak. Pada waktu filem iklan ditayangkan, tiba-tiba kami terdengar bunyi letupan kuat di luar panggung itu. Berikutan dengan bunyi letupan itu, seorang lelaki India pekerja panggung tersebut menjerit ke dalam panggung, ”bom, ...bom, ...,lari.”
Seluruh perut panggung itu terang benderang kerana lelaki India itu telah membuka lampu. Aku dan rakan-rakanku keluar dari panggung itu. Masing-masing dalam ketakutan.
Dalam keadaan kelam kabut itu, dua orang gadis yang bersama kami, seorang memegang tangan kananku dan seorang lagi memegang tangan kiriku dan kami telah lari menyelamatkan diri. Kami telah terpisah dari rakan-rakan kami yang lain. Mereka telah hilang dalam kumpulan orang-orang yang lari bertempiaran itu.
SERPIHAN BOM
Pada ketika kami tiba di luar panggung itu, beberapa orang lelaki kelihatan terbaring di atas bumi akibat terkena serpihan bom tangan yang telah dicampakkan oleh pengganas –pengganas komunis di halaman panggung wayang itu.
Aku bersama dua orang gadis itu telah lari ke arah jalan belakang dengan tujuan hendak pulang ke tempat tinggalku, di Market Street, tetapi kami tersesat jalan dan lalu tiba di sebuah rumah kecil dalam kawasan belakang sebuah bangunan.
Sebaik-baik sahaja kami tiba di hadapan rumah itu, seorang perempuan Melayu kira-kira tiga puluh tahun umurnya, nama Mek Som, telah memangil kami masuk ke rumahnya. Dia baru sahaja melarikan dirinya ke rumahnya. Keadaannya masih menggigil kerana terlalu takut akan bunyi letupan bom itu.
BISKUT KERING
Aku bersama dua orang gadis, Anis dan Mimi telah masuk ke dalam rumah perempuan itu dengan perasaan lega. Tetapi kami dalam kedaan termengah-mengah kerana keletihan.
”...tok sah pegi, ...kak nampak oghan jahat banyak di sana tu...,”kata Mek Som dengan loghat orang Kelantan.
Mek Som telah menjamu kami minum air kopi panas dengan biskut kering. Dia telah meminta kami menunggu di rumahnya sehingga keadaan tenang semula.
Lewat tengah malam barulah kami keluar dari rumah Mek Som. Dua orang gadis itu telah mengikut meninggalkan rumah Mek Som dan pulang ke rumah masing-masing. Aku telah pulang ke bilikku dalam keadaan penat.
RESTORAN CINA
Dua hari kemudiannya, aku telah pergi ke sebuah kedai dekat Market Street dan ke arah Immigrant Road kerana hendak membeli racun nyamuk. Di kedai itu aku telah terserempak dengan Mek Som. Dia telah mengajak aku minum di sebuah restoran Cina dekat sebuah hotel di Market Street.
Pada waktu minum kopi di restoran itu, beberapa orang lelaki dalam restoran tersebut merenung kepada kami. Setelah kami bercakap mengenai bom pada dua malam yang lalu, Mek Som telah bertanya akan hal diriku. Dia telah menasihatiku supaya meneruskan pelajaranku.
Kata Mek Som, ”...kita ni hidup macam peghau, ilmu macam dayung, tak dak ilmu pengau hanyut...”
Sebaik-baik sahaja kami selesai minum, aku meminta diri kepada Mek Som. Dia berpesan kepadaku lagi supaya aku rajin belajar. Pada waktu aku hendak meninggalkan restoran itu, Mek Som telah berjalan ke arah hotel dan memanjat tangga di belakang hotel itu. Sepanjang perjalanan pulang, hatiku telah menyimpan perasaan ’buruk sangka’ kepadanya.
SANGKAAN BURUK
Allah dengan kehendak-Nya. Aku dianugerah bakat dan watak seorang wartawan dan penulis, maka dalam diriku ada suatu tindakan ruhani, iaitu aku ingin mengetahui setiap suatu dalam alam ini. Dua hari kemudian aku telah pergi menemui Mek Som di rumahnya. Sangkaan buruku terhadapnya telah menjdi nyata. Dia seorang pelacur berasal dari Kota Bharu, Kelantan. Semenjak usianya 22 tahun dia telah meniti lorong dan denai kehidupannya sebagai seorang peremuan yang yang memperdagangkan tubuhnya kepada manusia-manusia lelaki yang buas hawa nafsu.
Suami Mek Som, Nik Din (Samsudin) bekas guru sekolah Melayu. Pandai bersilat dan kemudian dia telah bekerja sambilan mengambil upah tukang bunuh orang. Dia telah menyertai geng ’kapak bungkus’ dalam Bandar Kota Bharu. Mereka mempunyai dua orang anak, yang sulung, lelaki dan anak yang kedua perempuan. Semenjak anak lelaki mereka berusia sepuluh tahun, suami Mek Som telah menghilangkan diri. Entah dia masih hidup ataupun telah mati.
Anak lelaki Mek Som sedang belajar, di sebuah kolej, di Negeri Selangor dan anak perempuannya sedang menuntut di sekolah menengah, di Kota Bharu, Kelantan. Gadis sunti itu menumpang di rumah jirannya.
ORANG GAJI
Dengan hasil kerjayanya sebagai pelacur, Mek Som telah menanggung anak-anaknya belajar. Tetapi anak-anaknya tidak mengetahui pekerjaannya. Dia telah memberitahu mereka yang dia bekerja sebagai orang gaji, di rumah Orang Besar, di Perak.
Pada zaman Tanah Melayu belum merdeka, iaitu sekitar tahun 1950-an hingga tahun 1960-an beratus-ratus perempuan Melayu dari Negeri Kelantan yang bekerja sebagai pelayan kedai minuman atau bar dan pelacur, di Kota Bharu dan bandar-bandar besar seluruh Tanah Melayu dan Singapura.
Pada tahun-tahun itu, Kota Bandar Baharu terkenal dengan bandar pelacuran. Tetapi setelah Kerajaan pimpinan Parti Islam Se Malaya (PAS) memerintah negeri itu, atau semenjak Allahyarham Menteri Besar, Asri bin Haji Muda, bandar itu telah beransur bersih dari pelacuran, kelab-kelab malam di tutup dan bandar tersebut telah menjadi sebuah bandar yang bermaruah Islam hingga kini.
(Disunting dari manuskrip buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, oleh: Mokhtar Petah).
2 comments:
Salam
Saya begitu menghargai penulisan tuan haji...saya selalu membaca penulisan diblog ini...semoga segala penulisan dan ilmu yg ditulis dikira bersama amal dan kebaikan....pengalam adalah sesuatu yg tidak dapat dibeli....semoga masih lagi sihat dan berkemampuan membaharui blog....terima kasih.
salam, betul tu.. saya pun berminat dengan penulisan tuan haji... dimana saya boleh dapat buku Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh
Post a Comment