Mokhtar Petah
Semenjak aku masih kanak-kanak hingga pada waktu aku menulis buku ini, aku ditakdirkan Allah tidak ada minat bersukan. Apa jenis sukan jua pun. Aku pernah bermain badminton di sekolahku selama dua tiga bulan dan golf sekadar dua tiga minggu. Hingga kini aku tidak pandai main guli, congkak dan sebarang permainan yang boleh diperjudikan, seperti daun terup.
Seorang rakanku dari Kedah telah berkata kepadaku, “...hang ni macam bapuk, oghang duk main di padang, hang duk terperosok dengan buku di ghumah”.
Sama ada di sekolah mahu pun di luar sekolah, namaku tidak terkenal sebagai seorang peminat sukan. Minatku dalam bidang penulisan cuma.
OTAK MANUSIA
Walaupun aku penulis tetapi aku tidak berminat menyertai peraduan mengarang. Aku berpendapat, hasil dari otak manusia sukar diadili oleh manusia lain. Misalnya sesebuah novel dinilai oleh orang-orang yang ternama, tetepi mereka itu tidak pula pernah menulis walau sebuah novel. Kalau pun yang mengadili novel itu terdiri dari novelis-novelis, tetapi mereka tidak pula dapat menggagau maksud atau isi hati sang penulis novel yang diadilinya itu. Ertinya pengadil dengan yang diadili tidak mencapai maksud dan falsafah seseorang penulis atau pengarang.
Peraduan mengarang hanya menjadi publisiti bagi melariskan buku atau novel pedagang-pedagang sahaja. Yang mengaut keuntungan dari buku atau novel itu, ialah syarikat-syarikat yang menerbitkannya.
Aku bersama Allahyarham Haji Ahmad Badawi sering memberi ucapan kepada orang-orang Melayu di kampung-kampung untuk menerangkan perjuangan UMNO dan menarik perhatian mereka untuk menyertai parti politik Melayu itu.
MENUNTUT KEMERDEKAAN
Kami memberi ucapan di beberapa buah kampung dan permatang dalam kawasan Kepala Batas, Sungai Dua, Tasik Gelugur, Bukit Mertajam, Sungai Bakap, Balik Pulau dan bebrapa buah kampung di Negeri Kedah dan Negeri Perak.
Pada masa sekolah bercuti pada tahun 1954, selama dua hari, aku telah mengikuti Haji Ahmad Badawi dan Haji Sulaiman Palestin untuk memberi penerangan mengenai perjuangann UMNO menuntut kemerdekaan di kampung-kampung pendalaman di Johor dan Negeri Sembilan.
Semenjak sebilangan alim ulama dan guru-guru Melayu dalam UMNO mengikut jejak Haji Ahmad Fuad Hassan yang memimpin Parti Islam Se Malaya (PAS) pada tahun 1951, maka dari tahun itu hingga kepada tahun 1954 dan tahun-tahun sebelum Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, kebanyakan orang –orang Melayu di kampung-kampung tidak ‘cenderung’ menyertai UMNO. Mereka cenderung Parti Islam Se Malaya (PAS). Mereka percaya PAS satu-satunya parti politik orang Melayu dan Islam yang benar-benar berjuang untuk menegakkan kedaulatan orang Melayu dan umat Islam di Tanah Melayu.
PANDAI BERPIDATO
Untuk menanam kefahaman kepada orang-orang Melayu supaya menyertai UMNO, maka parti politik nasionalis Melayu itu memerlukan pemuda-pemuda yang berpengetahuan agama Islam yang bepandai berpidato. Maka beberapa orang pemuda yang boleh berpidato telah diambil menjadi pemidato dalam parti tersebut. Di antara mereka itu, Ustaz Jamaluddin Amini (Alor Setar), Ustaz Othman Abdullah (Bagan Datok), Ustaz Sharif Babul (Lenggong)
Aku dan pemidato-pemidato lain telah menyelitkan ayat-ayat Quran, hadis dan syair-syair Arab dalam ucapan-ucapan kami dengan tujuan menarik hati orang-orang Melayu menyertai perjuangan UMNO.
Aku masih ingat Allahyrham Tunku Abdul Rahman telah berkata kepadaku, ”...hang pi beghi tau orang Melayu, ...biak depa tu masuk UMNO, ...bila dah merdeka nanti UMNO akan jadikan negeghi Melayu ni negeghi Islam...”
MASUK SYURGA
Pada waktu aku menulis buku ini aku masih memendam perasaan kesal terhadap beberapa orang Melayu yang telah menggunakan kata-kata yang dicampurkan dengan ayat-ayat Quran untuk menarik orang-orang kampung menyertai UMNO. Di atara kata-kata itu, ialah:
”UMNNO” mereka samakan dengan ’Aamanu’.
”Man yadkhulu umno fayadkhulul jannah”
(Sesiapa yang masuk umno maka dia masuk
syurga)
”Manla yadkhulu umno fayadkhulun nar”
(Siapa yang tidak masuk umno maka dia
masuk neraka).
Ustaz Jamaluddin Amini – lepasan sekolah agama Ma’ahad Mahmud Alor Setar-, adalah pemuda yang paling lantang berucap dalam rapat-rapat umum dan majlis-majlis UMNO pada masa itu.
Ada pula orang-orang Melayu yang tidak mengerti bahasa Melayu dengan baik apabila berucap dalam majlis-majlis telah ditertawakan oleh orang-orang yang mahir bahasa Melayu yang hadir. Dalam satu perhimpuan UMNO di Kelab Melayu Butterworth, seorang tokoh kaum ibu UMNO dari Kedah telah berucap, tetapi dia telah tidak faham erti perkataan yang telah diucapkannya.
AGAMA ISLAM
Tokoh kaum ibu itu telah meminta ditubuhkan badan kaum ibu dalam UMNO. Dia telah berucap dengan kata-kata, ” ...kita kaum ibu mestilah mengadakan persetubuhan kaum ibu sendiri. Dengan adanya persetubuhan kita sendiri, kita tidak mendapat kemaluan yang besar dari kaum lelaki dalam parti kita.”
Dalam majlis itu, aku duduk bersama wartawan – wartawan Azhari Taib dari Kedah, Zin Arif dan Misbah Tahir dari Pulau Pinang dan beberapa orang wartawan dari kaum lain. Kami turut ketawa bersama orang-orang yang ketawa.
Pada masa itu, terutama pemuda-pemuda UMNO secara terang-terangan menolak usaha Tunku Abdul Rahman dan rakan-rakannya kerana telah menerima syarat-syarat dari Kerajaan Inggeris, iaitu orang Melayu, Cina dan India hendaklah bekerjasama menuntut kemerdekaan Persekutuan Tanah Melayu. Mereka telah menuduh Tunku Abdul Rahman telah mengenepikan tujuan perjuangan orang Melayu sebelum UMNO ditubuhkan, iaitu satu negara: Negara Melayu, satu bangsa: Bangsa Melayu, satu bahasa: Bahasa Melayu dan satu agama: Agama Islam (agama negara).
CUCUK HIDUNG
Ramai ahli-ahli UMNO dan pemuda-pemuda parti itu yang menuduh Tunku Abdul Rahman dan rakan-rakannya telah ’dicucuk hidung’ oleh pihak Kerajaan Inggeris. Dan Tunku Abdul Rahman, Tun Abdul Razak dan rakan-rakan seperjuangannya berjuang ’tolak beransur-ansur’ dengan bangsa-bangsa lain.
Ketua Pemuda UMNO Malaya, Saadon Haji Zubir sendiri, pada waktu berucap dalam satu perbarisan Pemuda UMNO di padang Kelab Melayu Butterworth, pada tahun 1954, iaitu setelah menerima sebilah pedang yang telah diserahkan oleh wakil Pemuda UMNO, antara lain katanya, ” ....pemuda UMNO menolak sama sekali campur tangan ’langsat masak’ dan ’manggis masak’ dalam perjuangan orang Melayu menuntut kemerdekaan tanahair kita.”
”...kalau mereka masuk campur, pemuda UMNO bersumpah, laut Pulau Pinang akan menjadi darah....,” katanya.
Lebih seribu orang pemuda UMNO yang sedang berbaris telah bertepuk tangan menyokong ketua mereka yang bersemangat nasionalis itu.
”Kami Pemuda UMNO mengaku dan bersumpah ( meniru sumpah Pemuda Indonesia pada 1928) tetap berbangsa satu, bangsa Melayu, berbahasa satu, bahasa Melayu,” laung Saadon Haji Zubhir dengan air liur berbuih pada celah dua bibirnya sambil menghunus pedang yang baru diterimanya dari seorang wakil pemuda-pemuda UMNO dalam perhimpunan itu.
”Kami Pemuda UMNO mengaku tanah tumpah darah kami yang satu, Tanah Melayu,”katanya lagi.
Pada waktu itu tepukan bergemuruh lagi oleh pemuda-pemuda UMNO. Sementara Naib Ketua Pemuda UMNO, Haji Ahmad Badawi bin Haji Abdullah telah melaungkan, ” Allahu Akbar, Allahu Akbar, Allahu Akbar” dan telah di sambut oleh pemuda-pemuda UMNO dalam barisan itu dengan tiga kali laungan,”Allahu Akbar ’.
KEMERDEKAAN NEGARA
Sesungguhnya pada masa itu pemuda-pemuda UMNO telah mempunyai semangat seperti pemuda-pemuda Indonsia yang berjuang untuk menuntut kemerdekaan negara mereka, seperti ’Sumpah Pemuda Indonesia 1928 – 1978’, iaitu:
1- Kami Putera Puteri Indonesia mengaku bertumpah darah satu, tanah air Indonesia.
2- Kami Putera Puteri Indonesia mengaku bangsa satu, bangsa Indonesia.
3 - Kami Putera Puteri Indonesia menjunjung bahasa persatuan, bahasa Indonesia.
Pada masa itu pemuda-pemuda Melayu yang menyertai Pemuda UMNO terdiri daripada mereka yang berpendidikan sekolah agama, institusi pondok, guru Melayu, bekas penuntut institusi pengajian tinggi Indonesia dan negara-negara lain, seperti Mesir, Mekah, Iraq dan India, pekerja bahagian rendah dalam jabatan kerajaan, buruh. Sedikit benar dari pemuda-pemuda yang berpendidikan dari institusi pengajian tinggi di Barat.
‘Sama ada Dr Gharfar Baba masih ingat atau tidak, bahawa pertama kali saya bertemu dengan beliau, ialah pada tahun 1953 di Sebrang Perai pada masa itu saya menjadi ahli Pemuda UMNO Malaya di bawah pimpinan Allahyarham Sardon Jubir dan Haji Ahmad Badawi, di samping menjadi pemberita sambilan kepada beberapa buah akhbar.
Sesungguhnya pada masa itu Dr Ghafar Baba masih muda, tetapi beliau payah senyum dan kalau beliau senyum pun hanya pada hal-hal yang tertentu atau yang terlalu menggelikan hatinya sahaja.
Pada masa itu kami memanggilnya ‘Cikgu Ghafar’ dan pada masa itu dalam UMNO terlalu ramai guru Melayu dan sedikit benar orang-orang lepasan universiti dan orang-orang Melayu itu agak kekok berhadapan dengan orang-orang Melayu kampung kerana mereka telah menerima pendidikan budaya dari orang-orang Barat.
Pada masa Allahyarham Sardon Haji Jubir memimpin Pemuda UMNO dan pembantunya Allahyarham Haji Ahmd Badawi, peranan meniupkan semangat nasionlisme kepda pemuda-pemuda UMNO adalah bergantung kepada Dr Ghafar Baba kerana beliau seorang nasionalis tulin yang sekali gus murid tua Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim dan menerima pengaruh perjuangan nasionlis Melayu dri Ibrahim Yaakob.
Selama menjadi ahli Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Dr Ghafar Baba banyak memberi fikiran kepada rakan-rakannya dalam parti itu supaya sama-sama mengkaji masa depan Tanah Melayu, sama ada hendak memakai Raja sebagai ketua negara atau sebuah pemerintahan bercorak republik.
Fikiran beliau telah diterima oleh orang-orang penting, seperti Allahyarham Dr Burhanuddin Helmi, Ishak Haji Muhammad, Dahari Ali dan Tengku Abdullah Thani (Ahmad Boestamam).
Kemudian, dalam mesyuarat agung UMNO kali yang kedua di Ipoh, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) telah mengemukakan cadangannya, supaya bendera Tanah Melayu Merdeka menggunakan merah putih sahaja dan tidak seperti cadangan UMNO yang mahukan merah putih bulat kuning dan keris.
Parti itu mempunyai dasar negara yang berlawanan dengan dasar negara yang dirancangkan okeh UMNO, iaitu:
Satu negara, Negara Melayu.
Satu bangsa, Bangsa Melayu.
Satu bahasa, Bahasa Melayu,
Satu agama, Agama Isalam (agama negara).
Allahyarham Dr Burhanuddin Helmi telah mengakui Dr Ghafar Baba seorang bekas ahli Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang banyak memberi sumbangan fikiran kepada parti tersebut.
Setelah Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) diharamkan oleh kerajaan Inggeris dan Tunku Abdul Rahman Putra mengambil alih jawatan Yang Dipertua UMNO setelah Dato’ Onn Jaafar meninggalkan parti itu pada tahun 1951, maka Dr Ghafar Baba dengan azam yang kuat, walaupun terpaksa ‘bertongkatkan paruh’ bahawa perjuangan tetap diteruskan hingga berjaya. Beliau telah masuk ke dalam UMNO tanpa keris di pinggang, tanpa tanjak sebagai hulu balang dan tanpa ijazah nan panjang, hanya sebagai seorang guru Melayu, nasionalis yang akan mengabdikan diri kepada Allah, berkhidmat dan berkorban untuk negara dan bangsa tercinta.’
KHEMAH TAHANAN
Sesungguhnya, dalam perhatianku, iaitu pada masa menuntut kemerdekaan Tanah Melayu, Tunku Abdul Rahman dan rakan-rakan seperjuangannya yang berpendidikan Barat, telah membelakangi harapan dan dasar perjuangan cita-cita dan harapan orang-orang Melayu yang telah berjuang dalam parti Islam Hizbul Muslimin, Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM), Angkatan Wanita Sedar (AWSAS) dan Angkatan Pemuda Insaf (API).
Pejuang-pejuang kemerdekaan dalam parti-parti tersebut telah ditangkap dan di tahan dalam khemah tahanan atas perintah Kerajaan Inggeris pada tahun 1948, iaitu pada masa Onn Jaafar berkuasa sebagai Menteri Hal Ehwal Dalam Negeri.
Mereka itu telah dianggap ‘pengkhianat’ oleh kebanyakan orang-orang Melayu dalam UMNO yang masih tebal dengan sikap, semangat dan tujuan ke Inggerisan, menganut fahaman kapitalis terutama mereka yang telah terlibat dengan doktrin protokol dasar free mason Yahudi.
‘A secret society for men, which declares itself to be based on brotherly love, dan charity. Its origins are uncertain but it probably developed from the medieval stonemaso’s guild. In it modern from freemasonary dates from the establishment (1717) in England of the Grand Lodge, tp wich over 8000 private lodge arew nhow affileted. The Grand Lodge runs hospital, a benevolent institution, an school for the orphans of former mjasons. During the 18th century masonary spreads of America and the colonies as well as to continental Europe. Its Ceremonie, which are allegorical and allustrated by symbols (many of which are the tools of a working mason), demand a vow of secrecy as awell belief in God (the great architect of the univers) and are Old Testament anecdotes and moeralities.
Opposition to masonary orginated with a papal bull (1738) excommunicating masons, since whwn Roman Catholics hve never accepted its principles or its secrecy. In France and some ather Eropean countries it assumed a political character and was condemned by covernments. Musolini and Hitler autlawed and it is banned in Erope.’
MENANG SORAK
Selain dari pengaruh organisasi di atas ini, Tunku Abdul Rahman dengan rakan-rakan seperjuangannya sedikit sebanyak telah termakan pujukan dari kalangan-kalangan tokoh-tokoh bukan Melayu dibelakangnya yang terdiri dari tokoh-tokoh Inggeris yang rapat dengannya, termasuk rakan-rakannya pada masa beliau menuntut di London.
Pada waktu aku menulis buku ini, aku telah teringat akan Allahyarham Dr Burhanuddin Helmi. Dalam percakapannya denganku pada tahun 1960-an, katanya, “...kemerdekaan kita seperti rezeki Pak Kadok, menang sorak kampung tergadai”.
“Tunku dan kawan-kawannya telah memesongkan perjuangan asal bangsa Malayu. Sekarang kita tidak dapat berbuat apa-apa lagi, lebih-lebih lagi orang-orang seperti kami mereka anggap pengkhianat kepada perjuangan mereka,” tambahnya.
Ishak Haji Muhammad, pada waktu aku makan buah durian di rumahnya, di Hulu Langat, pada tahun 1985, telah berkata “...mau tak mahu kita kena terima dua perkara, dagang lalu ditanakkan, anak mati kelaparan dalam buaian, ...si Loncai terjun dengan labu-labunya, biarkan, biarkan...”
BANGSA MELAYU
Mungkin orang-orang muda golongan nasional-kapitalis pada masa ini yang tidak mempelajari sejarah perjuangan bangsa Melayu dengan mendalam ‘menolak atau tidak menerima pendapatku ini, tetapi pendapat ini adalah ‘satu kebenaran dan menjadi catatan dalam sejarah bangsa Melayu’, iaitu orang-orang Melayu dan rakyat Tanah Melayu yang berjuang dalam apa jua parti politik – parti-parti politik kiri dan komunis - , adalah bertujuan menentang penjajah Inggeris dan menuntut kemerdekaan Tanah Melayu.
Kita tidak menerima ideologi komunis, tetapi mereka adalah pejuang-pejuang yang mesti dikenang dan dicatata dalam sejarah bangsa kita.Jasa mereka sangat besar dan bernilai kepada angkatakan muda kita untuk sepanjang zaman. Walaupun kita menolak mereka kerana kita bukan dari golongan mereka, tetapi kita sebagai orang yang bijaksana dan memang anti penajah dapat menerima mereka dan menyanjung perjuangan mereka pada sepanjang zaman.
Amalan politik Islam berbeda dengan amalan apa jua politik di seluruh dunia. Politik Islam berdasarkan kitab Allah, iaitu al Quran dan as Sunnah Rasul-Nya, tetapi amalan politik nasionalis dan kapitalis tidak jauh bedanya dengan amalan politik sosialis dan komunis. Nasionalis dan kapitalis mengabaikan keTuhanan Yang Maha Esa, manakala sosialis dan komunis menafikan kewujudan Tuhan Yang Maha Esa. Pada hakikatnya, nasionalis, kapitalis, sosialis dan komunis adalah mementingkan kebendaan dan membelakangi, menolak hukum Allah atau menidakkan kewujuudan Allah.
Kecuali politik yang berdasarkan al Quran dan as Sunnah, iaitu Islam, semua politik di dunia ini mempunyai pegangan, ’mengejar keuntungan dengan apa cara sekali pun walaupun terpaksa menjajah, membunuh manusia dan menentang hukum Allah’.(Sedutan dari manuskrip buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh, oleh: Mokhtar Petah. Editor, Petah Shahrir Aidid.)
No comments:
Post a Comment