Pada abad orang Melayu mencari erti ‘Ketuanan Melayu’, ‘kuasa Melayu’ dan ‘Melayu bangsa terjulang di langit zaman’ ini, maka negeri Melaka dan negeri Perak – Pasir Salak tidak lagi menjadi dataran tempat mengenang keunggulan kuasa Melayu, kerana dua negeri itu telah menjadi padang rumput tempat tumpah air mata orang Melayu, kerana bumi mereka dijajah oleh penjajah Portugis, Belanda, Inggeris dan Jepun.
Negeri Melaka dan Perak – Pasir Salak, hanya tempat mengenang betapa ‘tulang berserakan’, ‘darah membasahi bumi’ dan ‘air mata berladung, menitik lalu tumpah membasahi tanah subur’ kerana Raja dan Orang Besarnya. Darah, tulang dan air mata orang Melayu kerana menentang penjajah tetapi kecundang kerana bumi pusaka mereka terlepas ke tangan orang lain.
Jangan salahkan ibu mengandung,
Usah diungkit bapa pemirah,
Kerana Raja hilang punca,
‘Beraja di mana bersultan di hati’.
Apa diratap nasib diri,
Memang kita keturunan mulia,
Tapi dik penjajah berkuasa,
Di bumi sendiri menjadi hamba.
Apa ditampi nyiru di huma,
Padi telah menjadi lalang,
Kita berbudi orang merasa,
Kita kebulur orang kenyang,
Tanah sebidang milik orang,
Anak cucu jadi hamba orang.
Kini kita membina dalam minda kita; bahawa Kepala Batas adalah secebis dari bumi Melayu yang menjadi tempat mulanya orang Melayu mendapat ruang untuk membela diri mereka. Tempat menaikkan nama menjadi bangsa yang berdiri sama tinggi dan duduk sama rendah dengan semua bangsa di dunia ini.
Di bumi Kepala Batas inilah bermulanya ‘reformasi’ perjuangan orang Melayu setelah kejatuhan Malaka dan Pasir Salak serta beberapa negeri di Tanah Melayu ini. Reformasi berdasarkan ajaran agama Islam itu mula ditarbiahkan oleh seorang mualim terkenal, Sheikh Abdullah Fahim kepada para pelajarnya di institusi pondoknya yang kini terkenal dengan nama besar, Daeratul Maariful Wataniah.
Selain ajaran membebaskan diri dari penjajah Inggeris, didedah dan disebarkan kepada pelajar-pelajarnya, Sheikh Abdullah Fahim telah mentarbiahkan mereka dengan daya fikir dan semangat untuk membebaskan diri dari belenggu penjajah kepada individu-individu dari masyarakat Kepala Batas yang mengaji kepadanya di masjid – masjid atau mendengar ucapannya di mana-mana.
Ajaran itu telah diamalkan oleh semua bekas pelajar yang kembali ke kampung halaman mereka di seluruh Tanah Melayu ini. Di antara mereka itu, ialah Ustaz Abu Bakar Al Baqir yang telah menubuhkan parti Islam pertama di Tanah Melayu, iaitu Hizbul Muslimin di Gunung Semanggol, Perak, pada bulan Mei 1945.
Elok dinyatakan di sini, iaitu sekitar tahun 1924 dan 1926, Sheikh Abdullah Fahim telah bersahabat rapat dengan dua orang tokoh ilmuwan dan pengarang Melayu, iaitu Sheikh Tahir Jalaluddin dan Syed Sheikh Al Hadi, penerbit dan pengarang majalah Al Imam di Pulau Pinang.
Setelah negara kita mencapai kemerdekaan, Sheikh Abdullah Fahim memegang jawatan Mufti Kerajaan Pulau Pinang. Anaknya, Haji Ahmad Badawi naik sebagai Ahli Dewan Undangan Negeri, ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) dan Pemangku Ketua Menteri Pulau Pinang.
Putera Sheikh Tahir Jalaluddin, bekas Naib Canselor Universiti Sains Malaysia, Tun Hamdan Sheikh Tahir telah diangkat ke takhta Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang. Kemudian dengan ketentuan Allah, cucu Sheikh Abdullah Fahim, Abdullah Haji Ahmad Badawi terjulang ke atas sebagai Perdana Menteri Malaysia.
Pada bulan Oktober 1945, bertempat di hotel FMS, Ipoh, beberapa orang bekas pelajar Sheikh Abdullah Fahim, bersama Ishak Haji Muhammad, Dr. Burhanuddin dan Mukhtaruddin Lasso (dari Indonesia) telah menubuhkan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan kemudian wujud Angkatan Pemuda Insaf (API) dan Angkatan Wanita Sedar (AWAS).
Apabila Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) atau United Malays National Organisation (UMNO) ditubuhkan pada tahun 1946, sebilangan ulama telah menyertai UMNO, maka Sheikh Abdullah Fahim ikut menyertai parti politik orang Melayu itu. Allahyarham adalah ahli pertama parti politik tersebut di Pulau Pinang. Kemudian Allahyarham dipilih memegang tanggungjawab sebagai ‘Pengerusi Jawatankuasa Khas Agama Islam’ dalam UMNO. Jawatankuasa itu menjadi tenaga penasihat hal ehwal agama Islam kepada parti politik orang Melayu tersebut.
Menilai dari segi sejarah Alam Melayu, bahawa Hizbul Muslimin dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) yang telah ditubuhkan selepas Kesatuan Melayu Muda (KMM), pimpinan Ibrahim Yaacob, adalah menjadi political pilot kepada penubuhan Pertubuhan Kebangsaan Melayu Bersatu (PEKEMBAR) atau United Malaysia Nasional Organisation (UMNO).
Dato’ Onn Jaafar dan beberapa orang berpendidikan Inggeris telah mendapat kesedaran betapa derianya orang Melayu di bawah kuasa penjajah Inggeris. Manakala sebilangan orang Melayu yang berpendidikan dari institusi pengajian tinggi di Barat, tidak yakin yang orang Melayu boleh merdeka. Ada di antara mereka telah merendah-rendahkan orang Melayu yang berjuang menuntut kemerdekaan Tanah Melayu.
Mereka telah mengeluarkan kata-kata kesat yang boleh melemahkan orang Melayu yang berjuang. Di antara kata-kata itu:
“Macam mana orang Melayu nak merdeka, nak buat jarum pun tak tahu.”
“Kalau merdeka pun, sudahnya mati kebulur.”
“Kalau tak ada orang putih, orang Melayu mati tak makan.”
“Kalau merdeka, orang putih dah tak ada, kita tak makan mentegalah, jawabnya.”
Pada masa itu, mereka yang insaf dan rasa menderita di bawah penjajah Inggeris dan berjuang menuntut kemerdekaan adalah terdiri dari para guru agama, pelajar sekolah agama (rakyat) dan pondok, guru Melayu, peniaga kecil, petani, nelayan, buruh, penarik beca dan lain.
Apabila Dato’ Onn Jaafar menganjurkan kongres orang Melayu menentang gagasan Malayan Union oleh penjajah Inggeris, pada 1, 2, 3 dan 4 Mei 1946, maka sebilangan kecil sahaja dari mereka yang berpendidikan Barat yang menyertai kongres itu. Yang ramai adalah dari golongan guru agama hingga ke penarik beca seperti yang telah saya nyatakan di atas.
Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) telah menghantar paling ramai wakil dan pemerhatinya ke perhimpunan menentang Malayan Union itu, iaitu 22 orang. Di antara mereka lepasan sekolah Melayu yang menyertai Perhimpunan Orang Melayu Menentang Malayan Union itu, ialah Abdul Ghafar Baba, kemudian menyertai UMNO dan sebelum meninggal dunia, memegang jawatan Timbalan Perdana Menteri Malaysia; Datuk Abdul Aziz Tapa (Melaka) kemudian menyertai UMNO dan dipilih memegang tugas sebagai ahli Dewan Undangan Negeri dan anggota Exco Kerajaan Negeri Melaka.
Antara para bekas pelajar sekolah agama rakyat, ialah Haji Hassan Yunus, bekas pelajar Maahad Ehya Asy Syarif, Gunung Semanggol, Perak dan mufti Negeri Johor, Dato’ Haji Hassan Yunus ( Setelah Persekutuan Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, dia telah memegang jawatan Menteri Besar negeri itu. Dia adalah Menteri Besar pertama setelah merdeka.), Haji Ahmad Abdul Malik (Ahmad Maliki) dan Haji Ahmad Scor, Pajak Song.
Semenjak tahun 1946 hingga pada tahun-tahun saya tinggal di Kepala Batas, saya mendapati orang Melayu yang berpelajaran – sama ada berpendidikan Inggeris, Melayu mahupun agama Islam telah sama-sama menyertai perjuangan menuntut kemerdekaan. Ada yang menyertai UMNO dan ada yang menyertai PAS. Tetapi mereka mempunyai matlamat yang sama, iaitu merdekakan Tanah Melayu, bangsa dan agama.
Seorang mualim dari Pulau Pinang, Ustaz Muhammad Ali Baladram, pada ketika berucap dalam satu majlis ihtifah (perayaan tahunan) Daeratul Maariful Wataniah telah mengeluarkan pendapat (mungkin fatwanya), bahawa setiap orang Islam mesti menyokong perjuangan menuntut kemerdekaan negaranya, kalau tidak mereka itu terhitung dari orang-orang yang berdosa.
Para petani sekitar Kepala Batas, khasnya dan Seberang Perai amnya, apabila mereka bekerja dalam sawah atau waktu berehat, mereka telah menyanyikan lagu yang membakar semangat mereka. Di antara rangkap-rangkap nyanyi itu, ialah:
Kaum tani sudah berjaya,
Memoga hutan rimba dan paya,
Bersatu kita mara bersama,
Menuntut kemerdekaan negara.
Kaum tani sudah berjaya,
Berjuang membela bangsa,
Dalam lumpur kita bersuara,
Penjajah, penjajah, musuh kita.
Saya masih ingat-ingat lupa akan sajak yang saya telah tulis itu. Lebih kurang begini:
Biarlah kutinggalkan semua,
Cinta dan kasih penuh rela,
Demi tanah air kita,
Aku terus berjuang membela nusa.
Tinggallah sayang,
Air mata dibuang jangan,
Tepuk dadamu, laksana perwira,
Ke mana kita,
Ke medan jaya, merdeka.
Sebenarnya saya tidak pernah kenal guru itu. Setelah sajak yang saya tulis itu diterimanya, saya telah menerima surat daripadanya yang menyatakan terima kasihnya. Dan dalam surat itu ditulisnya, ‘saya mengenangmu hingga ke akhir hayat saya.’
Dia tahu, kalau dia memperkenalkan dirinya kepada saya, ditakdirkan pula kami bersahabat akrab; mungkin saya akan dikenakan tindakan ‘buang sekolah’ kerana sekolah tempat saya belajar itu ketat peraturannya.
Sesungguhnya, Kepala Batas ada dua, yang satu lagi di negeri Kedah. Tetapi Kepala Batas, Seberang Perai, telah menjadi bumi bertuah dan memiliki banyak kisah dan catatan sejarah orang Melayu berjuang untuk membebaskan tanah air mereka dari penjajah.
Sheikh Abdullah Fahim, Haji Ahmad Badawi, Haji Ahmad bin Abdul Malik (Ahmad Maliki), Hashim Awang, Haji Ahmad Scor, Cikgu Ahmad Awang, Haji Ahmad bin Mat Nor, Cikgu Azmir Haji Mohd. Nor dan ramai lagi adalah insan yang tidak boleh dilupakan perjuangan dan jasa mereka.
Selain dari Subky Abdul Rauf (kemudian Ahli Dewan Rakyat kawasan Balik Pulau, Pulau Pinang dan bergelar Datuk) yang paling rapat dengan keluarga Haji Ahmad Badawi, sayalah satu-satunya orang luar yang rapat dengan keluarga itu. Sekurang-kurangnya seminggu sekali, saya dijemput oleh Haji Ahmad Badawi atau Sheikh Abdullah Fahim datang ke rumah mereka (kini rumah sejarah). Isteri Haji Ahmad Badawi, Allahyahamah Hajah Kailan binti Haji Hassan sering menasihati saya supaya belajar bersungguh-sungguh. Katanya “Kalau wang ringgit, harta benda boleh hilang, boleh lesap, tapi ilmu tak hilang, ke mana kita pergi ilmu ikut kita."
No comments:
Post a Comment