Sunday, October 4, 2009

DARI NOVEL




KAHWIN DI LONDON


Dua hari setelah berlansung perkahwinan ‘Alimin dengan Tengku Intan, Syamila, Ramlah Syakir dan anggota Mafi, Lukman dan Mahmud telah pulang ke Baghdad. Mereka pulang dengan hati yang puas dan gembira kerana seminar ‘Islam Dan Keamanan Dunia’ yang telah berjaya dan perkahwinan ‘Alimin dengan Tengku Intan.

Sepanjang penerbang dari London ke Baghdad, Ramlah Syakir yang duduk atas kerusi sebelah kanan Syamila tidak bercakap banyak. Hatinya sedang diratah duka. Ramlah Syakir seumpama orang mencari harta Nabi Sulaiman. Hampa. Kecewa kerana yang diharap-harapkan, telah melepas.

Ramlah Syakir sayu. Hiba. Sedih. Resah, kerana ‘Alimin tidak pulang bersama mereka ke Baghdad. Kuntum-kuntum kulat cemburunya kepada Tengku Intan tumbuh pada ketul hatinya. Tetapi dia tidak menyalahkan’Alimin dan Tengku Intan kerana dia tidak pernah meluahkan perasaan cintanya kepada pemuda Melayu itu.

Kadang-kadang Ramlah Syakir telah digugat oleh perasaan takut mencintai ‘Alimin. Buku kisah Hang Tuah yang telah dibacanya; tumbuh sangkaan buruknya kepada pemuda Melayu. Pemuda Melayu rapuh dalam bercinta. Mungkir kepada berjanji. Tidak ada belas kasihan kepada perempuan. Seperti Hang Tuah, telah bercinta dengan gadis Pahang, Tun Teja, tetapi kemudiannya gadis itu diserahkan kepada rajanya. Bercinta pula dengan Puteri Gunung Ledang – puteri Majapahit -, cintanya yang agung menjadi longlai kerana mengikut perintah Sultan Melaka yang mabuk berahi kepada puteri itu.

MEREKA MENAJDIU

SEPASANG PENGANTIN

Ramlah Syakir mengaku dirinya jahil tentang peribadi dan perwatakan ‘Alimin. Tetapi setelah dia sendiri menyaksikan sendiri betapa setianya ‘Alimin kepada kekasihnya hingga mereka menjadi sepasang pengantin, dan telah diketahui pula betapa sepasang kekasih itu telah membina cinta dan derita merindu bertahun-tahun lama, maka dia percaya, bahawa sesungguhnya ‘Alimin seorang lelaki sejati.

Sepasang pengantin baru, Tengku Intan dan ‘Alimin telah berbulan madu dalam Bandaraya London yang berselimut kabus pagi. Tengku Intan memandu kereta menuju ke Dover, sebuah Bandar lama di pinggir Selat Dover atau Pas de Calais..Di sana mereka memanjat bukit dan memandang ke wajah selat tersebut. Dalam awan kelabu bercampur biru, nampak berbalam bandar di Franchis. Di sana mereka telah melawat beberapa tempat bersejarah. Minum air kopi panas – kopi Cuba - , di restoran tua. Sebelum meninggalkan Bandar itu, ‘Alimin memaut pinggang isterinya. Dalam cahaya matahari di situ,mereka berdiri dan merenung biji mata masing-masing.

“…renung selat Dover tu, I teringat sungai Perak, Lubuk Mak Anjing,”kata ‘Alimin sambil mengeratkan pelukannya.

Tengku Intan ketawa manja.

“…tadi, di kedai jual barang-barang cendera mata, ada sebiji labu,…I teringat labu tanah yang kita tempa di kampung Sayung dulu,yang,”kata Tengku Intan.

“…yang ingat tu kita,…ada di sini kita,…biarkan si Loncai…,”kata ‘Alimin.

“.Terjun dengan labu-labunya, biarkan, biarkan,” sambut Tengku Intan.

“Intan nak dengar sajak orang tua-tua Sayung?”Tanya ‘Alimin.

“…ia, …nak,”sahut Tengku Intan.

“Lunchai oh, Lunchai,

ngapa tak ke Sayung,

Jawab Lunchai, air deras sangat.

Lunchai oh, Lunchai,

ngapa tak kawin,

aku nak kawin,

dengan siapa,

dengan puteri raja.

Lunchai oh, Luncai, mana puteri raja,

Jawab Lunchai, dia dah kawin,

Kawin dengan siapa,

tukang labu.

Biarkan, biarkan.”

DIA MENJELIRKAN

LIDAH MERAHNYA

Tengku Intan menjerit. Sambil mencubit paha kanan suaminya, dia bagaikan kucing lapar ikan, pipi kiri suaminya. ‘Alimin mengaduh. Tengku Intan berlari manja ke keretanya. Di sana dia menjelirkan lidah merahnya seolah-olah mencabar perasaan berahi suaminy.

Mereka ketawa. Beberapa orang pelancong yang lalu di situ merenung mereka.

Pada sebelah petangnya, mereka menjelajah pusat Bandaraya London. Parliament House, Bridge Tower, kawasan Istana Buckingham, Tower of London, beberapa buah muzium beberapa tempat bersejarah.

“Di sini pun ada jual buah durian,”Alimin berkata sambil menyentuh duri buah durian sebesar kepala kerbau dalam bakul.

“…durian Siam, bukan durian Malaysia,”kata Tengku Intan.

“Patutlah tak ada bau,…tak macam durian kampung Sayung,”sahut ‘Alimin.

“Di China Town ni,…apa pun ada jual,…emak dengan ayah aje tak ada…,”kata Tengku Intan.

‘Alimin diam sejenak. Wajah isterinya direnung sambil senyum. Dari wajah manis itu dua biji matanya melompat-lompat ke merata sekitar China Town itu.

“…ada satu tempat…, mari I tunjuk…,” kata ‘Alimin.

“Tempat apa?”Tanya Tengku Intan.

INTAN MENJERIT

GELI GELEMAN

Mereka beredar dari lunggukan buah durian itu dan berjalan dalam asap mee dan kotew goreng yang menerjah keluar dari sebuah restoran China di situ. Di sebatang lorong, mereka masuk ke sebuah kedai yang berbilik-bilik kecil. Tengku Intan menjerit geli geleman. Belum pernah dilihatnya benda-benda tiruan begitu sebelumnya.’Alimin ketawa. Tangan kanan isterinya dipegang dan memimpinnya keluar dari kedai menjual sex instrument itu.

“Mana Yang tau kedai tu?”Tanya Tengku Intan sambil mencubit paha kiri suaminya.

“…dulu, I ad baca dalam majalah Arab,” jawab ‘Alimin.

Mereka ketawa. Tengku Intan geli geleman lagi. Bulu tengkuknya meremang.

“Kaum kerabat raja Arab suka datang ke sini,”kata ‘Alimin.

Tengku Intan mengangguk. Debar jatungnya masih berombak dalam dadanya. Mereka berjalan perpegangan tangan. Kata orang, jika berjalan dengan isteri atau kekasih dalam Bandaraya London mesti memegang tangannya. Jika tidak entah ke mana lesapnya.

“…kebanyakan bangunan- bangunan di Bandar London, dibina dengan duit negara-negara yang mereka jajah,”kata ‘Alimin pada ketika mereka berdiri depan Parliamen House.

“Ia,…duit dari India, negara kita…dari Afrika…,”sahut Tengku Intan.

Mereka pulang ke aparment pada waktu Asar telah lanjut.

“…Eli, Intan tak nak tinggal di sini, …nak ikut Eli balik ke Baghdad,”kata Tengku Intan pada ketika mereka merebahkan diri masing – masing atas katil.

“Ia,…ngapa?”

“…di sini tak ada you.”

Tengku Intan mencium pipi kanan suaminya. Ciuman mesra itu berbalas.

“Ia, Intan tak sanggup berpisah dengan Eli lagi,…tak sanggup.”

“…bagus, syukur kepada Allah, kita tak seksa meridu lagi.”

“…ia, seksa, …rindu satu penyeksaan.”

“Tapi…”

“Apa,yang?”

“…ia, bagaimana apartment ni?”

“…aparment ni, aparment kita,Eli,…kita sewakan.”

“…kalau macam tu,I ikut aje.”

“Bagus,…Intan nak pergi ke Baghdad, …Intan nak tinggal di sana.”

Alhamdulillah, …tak sejuklah I di sana.”

‘Alimin mengaduh kesakitan kerana pahanya dicubit isterinya. Sakit-sakit mesra.

KE RESTORAN

MAKANAN MELAYU

Kota London dalam pelukan malam. Kota London tidak pernah tidur sepanjang usianya. Sepsang pengantin baru nyenyak kepenatan.

Esok paginya Tengku Intan dan ‘Alimin telah pergi ke pejabat agen hartanah untuk menyelesaikan urusan sewa rumah mereka. Nasib mereka baik, di pejabat itu ada seorang pegawai dari kedutaan sebuah negara Arab sedang mencari rumah sewa. Rumah itu telah disewa kepada pegawai itu selama tiga tahun.

“…I fikir begini, Intan guna akaun simpanan di bank ini,…tak usah pindahkan wang Intan ke Iraq,” kata ‘Alimin pada ketika mereka duduk atas sofa sebuah bank di Oxford Street.

“…ngapa?”Tanya Tengku Intan.

“…di sini lebih selamat,…maklumlah di Iraq sekarang,”jawab ‘Alimin.

“Baik, Intan ikut you,”kata Tengku Intan.

“…di sana you guna kad you, “kata Alimin.

“Tengku Intan mengangguk.

Setelah keluar dari bank itu, mereka menumpang teksi ke restoran makanan Melayu, di Edgware Road. Pada ketika mereka masuk ke ruang makan berhadapan dengan pintu hala ke dapur, ‘Alimin terpandang kepada seorang lelaki Melayu memakai kaca mata berbingkai besar, ketayap putih dan baju tebal, sedang bercakap dengan dua orang Pakistan.

DIA PERNAH

MELIHAT LELAKI ITU

Pada ketika mereka hendak melabuhkan punggung masing-masing atas kerusi, ‘Alimin memberitahu isterinya, dia pernah melihat lelaki itu, entah di mana.

“…ada dua tiga kali Intan nampak di Masjid Regent,” sahut Tengku Intan.

Tengku Intan dan ‘Alimin tengah asyik makan nasi campur, tiba-tiba seorang lelaki Melayu menyapa ‘Alimin.

“Eee, encik ‘Alimin…,”lelaki itu menghampiri mereka.

“…wau, dunia ni sempit, bila Encik Zul datang?” Tanya ‘Alimin.

“Dah dua hari,…malam ni nak balik,”jawab Zulkifli

‘Alimin dan Zulkifli berjabat tangan. Setelah dipersilakan oleh ‘Alimin,Zulkifli melabuhkan punggungnya atas kerusi di sebelah kana ‘Alimin.

Tengku Intan senyum memandang Zulkifli.

“…apa khabar?”Tanya Tengku Intan.

“Khabar baik ada, …tak baik ada,”jawab Zulkifli.

“Intan kenal Encik Zul ni,”Tanya ‘Alimin.

“Kenal, baru-baru ni kami berjumpa,…isteri Encik Zul ni study di sini,”jawab Tengku Intan.

“Oo,begitu,”sahut ‘Alimin.

“Encik Zul, ni isteri saya, Tengku Intan,”kata ‘Alimin.

“Allah, minta maaf,Tengku, …patik tak tahu Tengku ni anak raja,”kata Zulkifli sambil senyum.

“…taka pa,…raja, tak raja sama aje,”sahut Tengku Intan.

“Maaf, bila Encik ‘Alimin, …Tengku Intan kahwin?”Tanya Zulkifli.

“Baru dua tiga hari lalu, … kami kahwin di sini,”jawab ‘Alimin.

Tengku Intan senyum. Mengangguk.

“Alhamdulillah, ….tahniah,…selamat pengantin baru,”ucap Zulkifli.

“Terima kasih,”ucap ‘Alimin.

“Terima kasih,” ucap Tengku Intan.

“…Intan ingat tak, Encik Zul ni selalu datang ke bengkel labu tanah di kampung Sayung,”kata ‘Alimin.

“ Ia, …tapi pada masa tu Intan belum kenal Encik Zul ni lagi …,”sahut Tengku Intan.

“Ia, mana nak kenal,…Encik ‘Alimin tak perkenalkan,”sambut Zulkifli.

Mereka ketawa.

“Encik Zul, mike kenal tak orang yang pakai ketayap tu?”’Alimin bertanya.

“…orang tu, kenal tu takle, tapi tau…,dia tu mengaku profesor, banyak dah pemimpin-pemimpin badan kebajikan di Malaysia diperdayanya,”jelas Zulkifli.

“Ha, pakai ketayap macam tu pun pedaya orang …?”Tanya ‘Alimin.

“…ia, dia mengaku jadi wakil yayasan umat Islam di London ni, orang-orang tu diajak ke sini, kononnya yayasan tu nak beri zakat sehingga sejuta ringgi kepada badan tu,”jelas Zulkifli lagi.

“Deme tu datang ke, dapatke duit tu,”Tanya ‘Alimin.

“Deme detangle, …deme percayakan dia, …deme kena bayar tambang dia, duit hotel,maka minum dia, …sampai ke sini duduk dua tiga hari, …tapi duit tak mandang,…tak ada duit tu, …deme balik tangan kosong ajele,”terang Zulkifli.

“Macam mana tu”?Tanya Tengku Intan.

“…dia tu profesor mangkuk ayun menanya,…memang dia cari makan macam tu…,dia ada isteri di sini, di Kuala Lumpur ada seorang lagi,”jelas Zulkifli.

“Patutlah, … saya nampak dua tiga kali dia di Masjid Regent tu,”kata Tengku Intan.

“Iale, dia kata sahabat-sahabatnya ramai, profesor, doktor, alim ulama, macam-macam orang di masjid tu,”sahut Zulkifli.

Mereka merenung ke arah lelaki tersebut.

“…di sini ramai orang-orang Malaysia bersembunyi,”kata Zulkifli.

“Ha, macam mana tu?”Tengku Intan bertanya.

“…orang politik tipu rakyat, tipu kerajaan,…kebas wang kerajaan, …rasuah, …lari dari kena tangkap oleh BPR, …sembunyi di sinile,”jawap Zulkifli.

Masya Allah,”suara Tengku Intan dalam keluhan.

Zulkifli hanya minum ai kopi hitam panas. Tengku Intan merenung wajahnya. Kisah lelaki itu melintas dalam mindanya.

“Apa macam, dah O.K.?”Tengku Intan bertanya kepada Zulkifli.

Zulkifli mengangguk.

O.K., kami dah bercerai…,talak satu,”jawab Zulkifli.

“Ha, siapa yang bercerai?” Tanya ’Alimin.

“…saya dah bercerai dengan isteri saya, ..dah tak tahan lagi,…tak cerai saya dayus, …saya rasa bercerai jalan terbaik,”Jawab Zulkifli.

“Ada anak?”Tanya ‘Alimin.

“…ada seorng, lelaki, …saya jaga,”jawab Zulkifli.

“…apa nak buat, Encik Zul, …rezeki, pertemuan, jodoh, di tangan Tuhan, …sabar ajelah,” kata Tengku Intan

“…ia, sabarlah, …Allah sayangkan hambanya yang sabar,…ada hikmatnya, tu,” ‘Alimin memujuk Zulkifli.

“Ia, saya sabar,…tapi lepas bercerai saya rasa lega,”sahut Zulkifli.

WANITA YANG PALING

DISAYANGINYA

Zulkifli menarik nafas panjang. Hatinya sedih kerana terpaksa berpisah dengan wanita yang paling disayanginya di dunia ini.

“...Allah Maha Kuasa, …semua tu cubaan,”kata ‘Alimin.

“…dalam hal ni, saya tak salahkan isteri saya,…saya yang salah,”kata Zulkifli.

“Macam mana tu?”Tengku Intan bertanya.

“…saya banyak membaca cerita dongeng, cerita rekaan,..saya percaya cinta tu suci, tapi…,” jawab Zulkifli sambil merenung wajah Tengku Intan.

Tengku Intan mengangguk. ‘Alimin mengangguk. Mereka menanti kata-kata lelaki lara yang berada dalam rahang duka dan lara itu.

“…tapi dunia dah moden, …saya yang salah meletakkan cinta saya,…saya baru tau, cinta macam lilin…, di tempat panas cair, di tempat sejuk keras…,”sambung Zulkifli.

“Ai, macam falsafah pula,”kata Tengku Intan.

“…ia, dalam dunia moden ni, cinta kukuh, indah, kalau kita berpelajaran tinggi,…banyak duit,…banyak harta, …tapi kalau tak ada semua tu, …cinta jadi cair macam lilin atas tungku panas,”sahut Zulkifli.

“Dengar tu,Intan,”kata ‘Alimin kepada isterinya.

Tengku Intan senyum.

“Tak semua orang begitu dalam dunia ni, Encik Zul,”kata Tengku Intan.

“…ia, orang lain entahlah, …tapi saya dah rasa,…pahit maung dah saya telan,”sahut Zulkifli.

Mereka termenung sejenak bagaikan orang tafakur mengenangkan rakan yang meninggal dunia.

“…apa yang Encik Zul alami tentu ada hikmatnya,…Allah Maha Adil,Encik Zul,” kata ‘Alimin.

Zulkifli mengangguk. Wajahnya muram dalam senyuman.

“Tu saya tak nafikan,…hati manusia macam saya ni…, tau sajalah,”kata Zulkifli.

“Sabarlah, Encik Zul,…tiap yang patah akan tumbuh tunas, yang hilang berganti,” Tengku Intan memujuk.

“…perempuan yang kita cinta macam rebung, kalau rebung di tangan kita tu dah hilang, rebung baru tak sama,” sahut Zulkifli.

“ Ialah,…sabarlah,Encik Zul,”kata Tengku Intan.

Zulkifli menghirup air kopi yang berbaki dalam cawan. Dia mengeluh.

“Bila nak balik ke Malaysia” Zulkifli bertanya kepada ‘Alimin.

‘Alimin senyum.

“…insya Allah, sedikit hari lagi, ada sedikit hal di sini…,”jawab ‘Alimin.

“Bila balik boleh berniaga,…orang dah keluar universiti takkan nak niaga labu tanah lagi kot,”kata Zulkifli.

“Tak begitu kot … ,”sahut ‘Alimin.

AGAMA ISLAM

TETAP GEMILANG

‘Alimin senyum. Wajah isterinya direnung dan hatinya memintal bahasa cinta dari wajah isterinya. ‘Alimin berpaling kepada Zulkifli. Senyum. Hatinya dan hati Zulkifli berbeza. Pandangan dan perjuangan mereka berbeza. Wasiat bapa ‘Alimin, jihad mesti dilaksanakan oleh anak lelakinya. Di negaranya tidak ada ruang bagi jihad yang serius, kerana umat Islam tidak tertindas, agama Islam tetap gemilang, tetapi di Palestin, Afghanistan, Iraq dan negara-negara lain ada ruamg jihad.

Mereka keluar dari perut restoran bawah tanah itu. Masing-masing memipir atas bahu jalan Edgware Road menuju ke Oxford Street . Mereka bercakap tentang bengkel labu tanah di kampung Sayung yang tinggal usang , mak Usu, pak Usu dan Mimi yang telah meninggal dunia di Mekah.

Zulkifli berpisah dengan ‘Alimin dan Tengku Intan dekat Marble Arch.

Sepasang pengantin baru itu mengatur langkah di celah-celah ratusan manusia atas bahu jalan Oxford Street.

Sorry, Eli,…you berjalan di sini kena tengadah ke langit,” kata Tengku Intan seraya ketawa kecil.

“Ngapa?” ‘Alimin bertanya sambil memegang lengan kanan isterinya.

“…tengok, tu, …takut youle…,”jawab Tengku Intan sambil menunjuk ke aras beberapa orang perempuan muda sedang berjalan mendedahkan pusat dan perut mereka.

Masya Allah, …baik I tengok pusat isteri I, tak nampak kotor, selemuh…,”kata ‘Alimin.

Tengku Intan menjelirkan lidah. Geli geman. Mereka sama-sama menahan tawa.

“Intan, di London banyak tak masjid ?”Tanya ‘Alimin.

“Banyak, kalau tak silap Intanlah, ada lebib108 buah,”jawab Tengku Intan.

“Apa kata, kita melawat masjid-masjid tu, … kita sembahyang sunat?”Tanya ‘Alimin.

“Boleh,tapi …”jawab Tengku Intan.

“Apa?”Tanya ‘Alimin.

“…tapi, ialah, setakat yang bolehle,”jawab Tengku Intan.

“Baik,”sahut ‘Alimin.

Mulai pada petang itu mereka telah menghabiskan masa dua hari melawat masjid-masjid dalam Bandaraya London. Mereka telah sembahyang sunat dalam tiap-tiap masjid yang telah mereka lawati itu. Di antara masjid - masjid itu: Masjid AL Hilal; Brailsford Road, Masjid Al Muntada Al Islami Trust; Bridge Place, Al Falah; Cowper Road, Masjid Ahlul Bait; Edgeley Road, Masjid Al Nahar; Caledonian Road, Masjid Al Azhar Acadamy; London Road, Masjid Darul Ummah Bigland Road dan Masjid Hussaineyyat-Al-Rasul Al A’dham; Crickle Wood Lane.

Sehari seblum berangkat ke Iraq, mereka telah melawat ke Darul Arqam Educational Trus dan Islamia Schools Centre.

‘Alimin dan Tengku Intan memacakkan keyakinan pada hati masing-masing; dalam tempoh yang tidak lama lagi, Bandaraya London akan berubah menjadi sebuah bandar raya yang menerima pengaruh agama Islam. Ramai pula orang-orang yang memandang umat Islam sebagai pengganas akan berubah, terutama mereka yang beragama Kristian. Mereka akan memeluk agama Islam. Sesuatu yang mustahil akan tidak menjadi mustahil, jika Allah menghendakinya. Demikian pendapat mereka.

(Dicabut dari manuskrip novel, Jihad dan Cinta, oleh: Mokhtar Petah. – Editor, Petah Shahrir Aidid.)

No comments: