Monday, November 10, 2008

RASUAH

ADAKAH MEREKA YANG MEMANJAT KE MT TIDAK RASUAH?
Oleh: Petah Shahrir Aidid

Maka berkatalah, Setiausaha Agung UMNO, Datuk Tengku Adnan Mansor, Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi mahukan semua ahli-ahli UMNO yang akan bertanding merebut kerusi Majlis Tertinggi parti tersebut bersih dari amalan rasuah. Abdullah Ahmad Badawi telah menegaskan kepada beliau dalam pertemuan bersama dengan Pengerusi Lembaga Disiplin UMNO, Tan Sri Tengku Ahmad Rithauddin Tengku Ismail di Putrajaya kelmarin.

"Dalam pertemuan itu, Datuk Abdullah menekankan kepada kami, kalau boleh, dipercepatkan semua kes terbabit (politik wang) supaya mereka tidak boleh bertanding," kata Tengku Adnan

"Bagi mereka yang telah menang di peringkat (bahagian dan cawangan) kena letak jawatan dan akur dengan keputusan yang diputuskan Lembaga disiplin UMNO," tambahnya.

Setakat ini lembaga displin UMNO telah menerima lebih 900 aduan mengenai rasuah atau politik wang dari orang-orang penting dalam UMNO, menurutnya. Secara ikhlas, tidak perlu bersumpah dengan menjunjung Quran; adakah semua individu dari UMNO yang akan bertanding itu bersih dari melakukan rasuah atau tidak pernah melakukan rasuah?

Siapa pun tidak boleh menjawab. Hanya Allah Yang Maha Mengetahui. Maka, dengan jujur, jika mereka yang akan bertanding itu telah melakukan rasuah - menerima wang, rumah, tanah, harta atau perempuan - eloklah mengundurkan diri agarUMNO tidak dilaknat oleh Allah.

Mereka mesti bertanya kepada diri mereka sendiri.Muhasabah diri,kalau mereka benar-benar jujur dalam perjuangan - demi bangsa, tanah air dan agama Islam.Islam menolak pemimpin rasuah.

Islam tetap dengan penegasan dalam Hadis Nabi Muhammad s.a.w., bahawa Allah melaknat orang yang memberi rasuah, menerima rasuah dan orang tengah atau broker mereka.

Semua ahli UMNO di Semenanjung Malaysia terdiri daripada orang Melayu dan beragama Islam, maka tentulah mereka tidak mahukan Allah akan melaknat UMNO dan diri mereka disebabkan para pemimpin mereka di peringkat cawangan, bahagian, negeri dan Majlis Tertinggi mengamalkan rasuah atau politik wang.

Jalan yang paling baik, siapa sahaja yang telah melakukan perbuatan rasuah atau politik wang, mengambil langkah mengundurkan diri dan biarkan mereka yang bersih dari rasuah menyertai pertandingan di semua peringkat dalam UMNO.

Saya kira, jalan yang paling baik Lembaga Disiplin UMNO bekerja erat dengan Badan Pencegah Rasuah dalam menyekat kaki rasuah atau politik bertanding dalam Perhimpunan Agung UMNO Mac tahun depan.

Badan Pencegah Rasuah meneliti secara bertangungjawab, mana-mana individu yang ada fail - recod atau report - mengenai rasuah yang serius atau yang ada bukti yang memnbolehkan individu-individu itu di dakwa dalam mahkamah, mereka itu tidak dibolehkan bertanding.

Setiap individu yang bernafsu besar dalam UMNO dan semua ahlinya. mestilah sedar dan insaf, bahawa UMNO sebuah parti politik yang diharapkan membela bangsa (serta rakyat Malaysia), tanah air dan agama Islam. Ia bukan sebuah kelab untuk memberi kekayaan kepada individu-individu yang bergiat di dalamnya.

Semenjak merdeka hingga pada hari ini, UMNO telah dijadikan oleh orang-orang yang bergiat di dalamnya sebagai sebuah institusi perdagangan dan perniagaan untguk mencari kekayaan atau kemewahan hidup.

Kerana UMNO dijadikan insititusi tersebut, maka orang-orang yang tamak dengan tidak menginsafkan diri mereka 'siapa aku, ahli yang jujur atau kaki rasuah' telah berlumba-lumba untuk mendapatkan jawatan dalam UMNO.

Sesiapa yang berjaya memegang jawatan dalam bahagian akan menjadi kaya. Siapa yang duduk dalam Badan Perhubungan UMNO negeri akan lebih kaya. Dan siapa yang menduduki kerusi Majlit Tertinggi amat kaya dan boleh menjadi Qarun moden.

Oleh yang demikian, kerana masing-masing bertujuan untuk kaya raya, maka masing-masing berlumba dan berlakulah pergaduhan dalam bahagian-bahagian UMNO di merata-rata.

Siapakah di antara mereka yang berlumba untuk merebut kerusi di Majlis Tertinggi UMNO nanti tidak rasuah atau tidak melakukan politik wang. Tanya diri sendiri. Mengadu kepada Allah. Undur diri. Jangan menjadi pemimpin palsu yang boleh mengakibatkan Allah melaknatkan UMNO - Barisan Nasional dan kerajaannya.

Saya dengan bergantung kepada Allah yang Maha Kuasa, kalau semua perwakilan UMNO memilih mereka yang ada dosa rasuah atau politik wang, bererti memilih jalan Allah melaknatkan parti politik orang Melayu itu.

Kita menanti apa yang akan berlaku di hadapan kita nanti. Adakah UMNO akan terus maju dan mara ke hadapan atau terus menjunam, lumpuh dan terkubur akibat pada penanggungjawabnya terdiri dari mereka yang melakukan rasuah yang amat sukar diwujudkan buktinya.

Hanya Allah yang Maha Mengetahui dan Maha Adil.


No comments: