CINTA SI GADIS
Malam menyerkup kampung Mandi Angin. Gelap. Hitam seperti dalam terowong bumi. Cengkerik dan cacing gila menjerit-jerit di sekitar rumah Cikgu Zainab. Bunyi burung tukang, kalut seperti orang bertukang menenggelamkan bunyi pungguk lara.
Pada senja tadi Mahyun telah tiba di rumah ibu dan bapa angkatnya. Tujuannya hendak menemui Azmi. Kalau dia bertemu Azmi. Kalau dia dapat menemuinya akan dicubitnya pipi pemuda buah rindunya itu. Ketus kulit pehanya. Biar pemuda itu mengaduh dan menjerit kesakitan. Mahyun masih marah-marah sayang akan Azmi kerana membohonginya, kononnya dia hanya belajar di sekolah rendah.
Mahyun duduk di hadapan ibu dan bapa angkatnya. Di hadapan mereka terletak berceratuk tiga cawan air kopi hitam. Sepiring wajib dan sepiring ubi keladi goreng.
Mahyun telah menceritakan kepada dua orang tua itu Azmi. Dia bukan calang-calang pemuda. Nampak saja macam pemuda tamat sekolah rendah, tetapi dia lepasan universiti bidang pertanian dan memiliki ijazah dari universiti luar negara. Pandai berpidato.
“…ayah tak tau pula Azmi tu lepasan universiti,” kata Haji Adnan.
“Takkanlah lulus universiti, emak tak percaya,”sampuk Cikgu Zainab.
“…ia, emak,sungguh, emak,”kata Mahyun.
“Emak ni Cikgu sekolah tau…, mana ada orang lulus universiti berkebun, …cari madu lebah dalam hutan banat,” kata Cikgu Zainab.
“Ia, emak, dia lulus universiti, ada ijazah ilmu wahyu, syari’ah dari universiti luar negeri…,”kata Mahyun.
KIPAYAH RIMBA
“Mana Yun tau, Azmi beritahu Yun…, dia…?” Tanya Haji Adnan.
“Ha, yang emak tau dia dalam hutan, bila pula Yun jumpa dia,”Cikgu Zainab memotong percakapan suaminya.
“ Haaa, pada hari Sabtu baru ni,Yun dengan kawan- kawan Yun pergi seminar ‘Usahawan Muda’,” jawab Mahyun.
”Di mana?” Haji Adnan bertanya.
”Di dewan FELDA, Kuala Lumpur ayah, ...Yun tengok Encik Azmi tu beri ceramah fasal madu lebah rimba, fasal perniagaan herba, macam-macam lagi,”jelas Mahyun.
”Ia..., dia beri ceramah...?”Tanya Cikgu Zainab.
Haji Adnan hampir tersedak air kopi kerana melihat mata isterinya terbeliak.
“Ia, …juruacara seminar tu umumkan, Encik Azmi lulus Universiti Putra, bidang pertanian,”jelas Mahyun lagi.
Mulut Haji Adnan dan mulut isterinya melopong.
“Laa, tak sangka pula, ingatkan budak sekolah rendah saja...,”kata Cikgu Zainab.
” ...dia menuntut jarak jauh ilmu wahyu, Syari’at di universiti Islam di Iraq..., dia alim, emak,” terang Mahyun.
”Itulah awak, ...dia datang nak sewa tanah dulu, awak rendah-rendahkan dia tu,...ha, sekarang siapa yang ata baca tinggi...?” Haji Adnan bergurau.
”Mana nak buatnya, Nab tak tau...,” jawab Cikgu Zainab.
” ...Yun pun ingat dia belajar setakat darjah rendah aje, ayah,”kata Mahyun.
”Itulah, kita hidup dalam dunia ni, jangan suka rendahkan orang, ... awak tu guru pencen ...,” Haji Adnan menghalakan kata-kata kepada isterinya.
Wajah Cikgu Zainab moyok.
”Ialah, ayah, mana ada orang keluar universiti nak kerja di kampung...,”kata Mahyun.
”Kan ayah dah kata dulu..., dia tu ada pelajaran tinggi...., emak awak tak percaya,”balas bapa Haji Adnan.
”...ialah, abang ajilah menang...,”kata Cikgu Zainab.
”Ialah, ayah, tak sangka...,”sahut Mahyun.
Haji Adnan meneguk air kopi hitam dalam cawan.
”Esok pagi Yun nak jumpa dia…, ”kata Mahyun.
“Eloklah…,”sahut Haji Adnan.
“…kalau Nab nak jumpa dia, …esok pagi emak nak masak nasi lemak,”kata Cikgu Zainab.
“Ialah, emak,” sahut Mahyun.
Haji Adnan telah masak dengan tabiat isterinya. Kalau orang ada yang tak kena, kalau dia semuanya betul. Berbaik dengan orang memandang bulu. Kalau tak ada berada masakan tempua bersarang rendah, telah menjadi budaya hidupnya.
Haji Adnan tiga beranak bercakap seketika di situ. Sambil menekan-nekan belakang pinggangnya dengan tangan kanannya, dia bangun masuk ke bilik tidurnya. Cikgu Zainab bangun payah dan masuk ke bilik air.
Mahyun membwa piring-piring dan cawan-cawan kosong ke ruangan dapur. Wajah Azmi terbayang-bayang dalam otaknya. Azmi telah menjadi madat kepada gadis itu.
MAHYUB PERCAYA
AZMI TELAH TIDUR
Cikgu Zainab masuk ke bilik tidur mendapatkan suaminya. Haji Adnan berbaring di birai katil. Pinggangnya terasa sengal-sengal.
”Nab suka Yun tu baik dengan Azmi tu...,”kata Cikgu Zainab.
”Ha, sudaaah, ...adalah tu...,”sambut Haji Adnan.
Cikgu Zainab sengeh. Haji Adnan merenung isterinya dengan matanya yang rabun ayam.
Mahyun menjenguk melalui jendela dapurnya dan memandang ke arah rumah Azmi. Rumah itu gelap. Hitam. Tiada cahaya lampu di dalamnya. Mahyun percaya Azmi telah tidur. Kalau tidak kerana ibu dan bapa angkatnya, pada waktu itu juga dia akan meraba dalam gelap pergi mendapatkan Azmi.
Mahyun menutup daun jendela itu. Sambil mengesat tangannya dengan tuala tangan, dia berjalan masuk ke biliknya. Sambil meletakkan punggungnya atas birai katil, dia mengelamun sejenak melayan hatinya yang merindukan Azmi.
KOREK API
Encik Azmi yang mulia.
Yun rasa tidak tentu arah, nak menangis ada, nak menjerit pun ada kerana Encik Azmai tidak menjawab surat Yun. Mengapa tak jawab surat Yun, sayang.
Pada tiap-tiap malam, jarang Yun nyenyak tidur, macam pelupuk mata Yun bertongkatkan korek api, terbuka, ternganga macam mata ular, kerana ingatkan Encik Azmi.
Yun balik ke kampung ni kerana nak jumpa Encik Azmi. Nak tengok wajah Encik Azmi, nak bercakap dengan Encik Azmi dan nak menangis depan Encik Azmi.
Encik Azmi, betul-betul Yun jadi bodoh. Encik Azmi kata, Encik Azmi belajar sekolah rendah, Yun percaya. Encik Azmi pun bercakap depan Yun macam pemuda tamat sekolah rendah saja. Rupa-rupanya Encik Azmi lepasan universiti, belajar pula di universiti luar negeri. Yun tau semua ni sebab Yun tengok, Yun dengar Encik Azmi berucap di dewa FELDA, Kuala Lumpur pada minggu lalu.
Yun ada dalam majlis itu bersama kawan-kawan Yun. Bila Encik Azmi berucap, Yun rasa nak menjerit kepada Encik Azmi, nak kata “Hoi, siswazah sains pertanian ..., mengapa kata tamat sekolah rendah saja.Yun kena tipuuu...”
O.K.lah, hari ini Yun ada depan Encik Azmi, Yun cintakan Encik Azmi, Yun sayangkan Encik Azmi. Encik Azmi kekasih Yun.
Lepas ini Yun tak nak panggil Encik lagi. Tak nak panggil nama lagi. Buat apa orang dah bercinta nak panggil nama. Panggillah abangke, sayangke, darlingke, apa-apa ajele, asalkan manja.
Peluk cium dan salam dari Yun.
Sekianlah sahaja..
Yang cintakanmu,
Mahyun Sidik.
Seperti biasa, sama ada dia datang bulan atau tidak, bila hendak tidur Mahyun mengambil air sembahyang. Mahyun percaya kepada pendapat pensyarah agama Islam di universitinya, ”jika tidur dengan air syaitan, iblis tak hampiri kita, orang-orang jahat tak dapat memukau kita”. Air sembahyang masih membasahi wajah dan anak-anak rambutnya. Mahyun merebahkan tubuhnya atas tilam. Dia terlena di situ.
Mahyun telah berjalan seorang diri di sebuah kampung di kaki gunung. Di kampung itu berdiri indah sebuah masjid besar dan domnya berwarna hijau. Dari menara masjid itu kedengaran suara qari memdayu-dayu membaca ayat-ayat Quran.
Sambil menikmati suara qari itu, Mahyun melangkah, selangkah demi selangkah menjejaki jalan berturapkan pasir halus, berwarna perak. Sebaik-baik sahaja dia tiba di halaman masjid itu, dia melihat ramai orang-orang lelaki sedang sembahyang di dalamnya.
MENJULANG TINGGI
Tiba-tiba seorang perempuan tua memakai jubah hitam dan selendang hitam juga membungkus kepalanya, telah keluar dari sebuah rumah dekat jalan yang dijejaki oleh Mahyun. Perempuan tua itu senyum dan memberi salam kepadanya. Mahyun telah menyambut ucapan salamnnya. Mereka berkenalan di situ.
”...siapa nama anak ni?”Tanya perempuan tua itu.
”Mahyun,”jawab Mahyun.
”Ooo, panggil Yun aja boleh kan, ...saya Musalmah,”katanya.
Mereka berpeluk di situ sejenak seperti amalan orang-orang Arab. Wangi tubuh dan pakaian Musalmah menjadikan Mahyun suka memeluknya lama-lama. Segar rasa perasaannya.
”Mari ke rumah makcik, mari,”ajak Musalmah.
”Baik makcik,”sahut Mahyun.
Mahyun mengikuti perempuan tua itu menuju ke sebuah rumah tidak jauh dari jalan itu. Rumah kayu setingkat itu berbumbung laksana menjulang langit. Tidak berbentuk bumbung lima dan tidak juga seperti rumah orang Minangkabau.
JUBAH HITAM
Seorang demi seorang perempuan-perempuan itu telah memeluk Mahyun dengan mesra. Kemudian mereka telah mempersilakan Mahyun duduk atas tikar rumput yang terhampar atas lantai papan berkilat.
”Anakku, Yun, ini isteri-isteri suami saya, Sofiah, ini Fadhilah , yang ini Rasiqah isteri suami saya yang muda sekali,”kata Musalmah.
Mahyun berjabat tangan dengan mereka. Dari lembut tangan mereka, Mahyun dapat mengagak usia perempuan-perempuan itu. Rasiqah berusia kira-kira lapan belas tahun. Dia dan madu-madunya memakai jubah hitam. Kerana mereka berada dalam rumah, kepala masing-masing dengan rambut hitam berkilat terdedah bebas.
”Suami kami belum balik lagi, dia di masjid mengajar tafsir Quran,”Sofiah memberitahu Mahyun.
”Maafkan saya, kakak-kakak ni tinggal dengan makcik?” Mahyun bertanya.
”Ia, ...kami tinggal dengan kakak Musalmah,...rumah ni ada lapan bilik,”jawab Rasiqah.
”Ooo, begitu,”sahut Mahyun.
”Kami ni seronok sangat hidup bermadu, kami sama-sama sayangkan suami kami, suami kami sayangkan kami, ...adil...,”jelas Fadhilah.
”Kami reda terima takdir, kami sukakan suami kami, Mualim Abdul Rashid, mualim sayangkan kami, kakak Musalmah pula terima kami, ...kami hidup bahagia begini,”jelas Fadhilah lagi.
”Macam nilah, anak Yun, ...hukum Allah ada dalam Quran, orang lelaki boleh ada isteri lebih dari seorang, ...mengapa pula kita nak larang...,”kata Musalmah pula.
”…Allah mengetahui segala-galanya, semua hukum-Nya ada hikmat, ada nikmat, ada fadilat,”kata Musalmah lagi.
”Sebagai perempuan mukminah, solehah, kena reda dengan hukum Allah, reda suami ada isteri banyak, suami boleh adil, cukuplah,”tambah Musalmah
”Jadi isteri ni tak boleh nak kejar kaya, rumah besar, kenderaan besar, barang kemas banyak, macam orang-orang di luar sana tu, itu tak cukup iman, tak reda dengan Allah, boleh jadi melawan hukum Allah, tak dapat hidayat,”kata Fadhilah.
”Allah Maha Kaya, susahkah, senangkah kita, itu hak Allah, ...tak nak pula kami jadi isi neraka,” kata Fadhilah lagi.
”Saya ni sayangkan mualim, saya minta kepada kakak-kakak saya ni, saya nak nikah dengan mualim, ...merekalah meminang saya,”kata Rasyiqah.
Mahyun merenung wajah-wajah mukminah depannya. Mereka senyum. Musalmah berkata sesuatu kepada Rasiqah. Rasiqah bangun meminta diri kerana dia hendak membuat minuman. Sofiah dan Fadhilah mengikut Rasiqah ke dapur.
“Makcik rasa nikmat sangat, rasa bahagia sangat duduk bersama madu-madu makcik,”kata Musalmah.
“Anak Yun, macam mana, kalau bermadu macam kami?”tanya Musalmah sambil senyum.
“Saya, …saya macam makcik, reda, …tidak sempurna iman Yun kepada Allah kalau tak reda…,”jawab Mahyun.
“Elok, …elok sangat, tak ramai orang perempuan yang jadi penghuni syurga...,”kata Musalmah.
”Ia, makcik,”sahut Mahyun.
BIBIR GELAS
Mahyun meneliti lima biji cawan dan tiga biji pinggan di hadapannya Semuanya, mungkin kristal, mungkin delima, mungkin juga jed.
”Ada sedikit makanan, silakan,”Musalmah persilakan Mahyun.
”...ini air pati buah delima,”Kata Rasiqah.
“ …dalam pinggan tu halwa dari Saba,”kata Fadhilah.
. “Yang ini Sofiah buat sendiri, Dodol Kharsan,” sambut Sofiah sambil menunjukkan dengan jari maninya kepada dodol dalam pinggan.
”Minumlah, kak,”ajak Rasiqah.
”Ialah,”sahut Mahyun.
Mahyun mengangkat gelas. Direnung air pati delima itu. Merah. Ditekapkan bibir gelas itu kepada bibir bawahnya. Terasa dingin gelas itu pada isi bibirnya. Air delima semanis madu lebah, mengalir ke dalam mulutnya, lalu tumpah ke halkumnya.
Lapan biji mata para isteri bermadu itu merenung Mahyun. Semua mata bercahaya ikhlas dan menandakan pancaran dari hati yang kental iman kepada Allah.
Bunyi burung tukang masih galak mengocak kesepian malam. Mahyun terasa air mengalir pada lembah pipinya. disedutnya air itu. Dihisap. Air itu tawar rasanya. Berbau tidak enak. Mahyun terjaga dari tidurnya.
“Allahu Akbar, aku bermimpi…,”sungut Mahyun.
RENDANG
DAGING LEMBU
Mahyun mencari-cari erti mimpinnya. Menggagau ta’birnya. Tetapi dia tidak mencapai ertinya dan tidak menemui tamsil dan ibaratnya.
Pagi itu Mahyun telah minum secawan air suam cuma. Hajatnya, nasi lemak berlaukkan sambal ikan bilis dan rendang daging lembu akan dimakan bersama Azam dan Long. Hatinya riang laksana riangnya unggas-unggas mandi di tepi sungai, pada musim kemarau.
Mahyun telah menjinjing raga kecil berisi makanan. Surat untuk Azmi diselit dalam bajunya di bahagian dadanya. Dia berjalan menggonggong hati anak dara, menuju ke rumah Azmi. Di halaman rumah itu, Mahyun berdiri dan memberi salam.
“Assalamu alaikum.”
“Assalamu alaikum.”
“Assalamu alaikum,Encik Azmi.”
Rumah itu sepi. Tidak ada suara menjawab salam Mahyun. Hairan mendera hatinya. Mahyun nampak Long sedang bekerja dalam kebun. Dengan hatinya yang yakin; Azmi ada di sana, maka dia berjalan ke kebun madu lebah sambil membisikkan nyanyian rindu.
“Asslamu alaikum, pak Long,”Mahyun mengucap salam.
“Wa alaikum salam,…ha, CikYun,” jawab Long.
“Apa khabar, pak Long?” Tanya Mahyun.
“Khabar baik, baru dua hari Encik sebut-sebut nama Cik Yun,”jawab Long. Senyum.
“…ia, mana Encik Azim?”Tanya Mahu.
“…Tak ada, pagi kelmarin dia pergi ke rimba..., dia kata, dia lambat balik, seminggu di sana...,”jawab Long.
”AA, Yu ingat dia ada...,”kata Mahyun. Hampa.
”Duduklah dulu,”kata Long sambil menghampiri Mahyun.
KEPOMPONG
DITINGGALKAN ULAT SUTERA
Mahyun melabuhkan punggungnya atas pangkin dalam bangsal. Terasa hatinya kosong amat. Hampa, sehampa kepompong ditinggalkan ulat sutera. Kalau tidak kerana malukan Long, mahu dia menjerit dan melolong di situ, macam orang diserang histeria.
”Ni, ada nasi lemak,...makanlah,” Mahyun mempelawa Long.
”Baiklah,”sahut Long.
Mahyun telah makan nasi lemak bersama Long. Makanya tidak berselera. Seperti mengunyah hampas tebu. Rindunya kepada Azmi tidak terlerai. Terasa tersumbat dan sebak rongga dadanya.
Sebelum meninggalkan Long, Mahyun menyerahkan suratnya untuk Azmi kepadanya.
“…Yun minta pak Long beri surat ni kepada Encik Azmi,”kata Mahyun.
”Ialah, ...dia balik, saya sampaikan,”sahut Long sambil meletakan surat itu atas pangkin.
”Esok pagi Yun nak balik ke Kuala Lumpur, ingatkan dapat jumpa...,”kata Yun.
”Ialah, mana nak buatnya...,”sahut Long.
Mahyun diam.
“Minggu sudah Encik Azmi ke Kuala Lumpur, …dia kata nampak macam Yun dalam dewan, …dia tengah bercakap,…dia nampak Yun keluar…”kata Long.
“Salah orang kot,”balas Mahyun.
“Entahlah, agaknyalah…,”sambut Long.
Sebak lagi rongga dada Mahyun. Azmi telah tahu dia telah meninggalkan dewan tempat seminar ‘Usahawan Muda’. Mahyun menyesali kesilapannya sendiri. Kalau dia tidak meninggalkan dewan itu, tentu dia dapat bertemu dengan Azmi.
Pada sepanjang hari itu, perasaan hampa dan hiba memamah diri Mahyun. Kesal ada dan menyesal pun ada. Apa hendak dikatakan, hendak meraung malu rasanya dan hendak menangis bukannya kanak-kanak.
Pagi esok Mahyun menggonggong hatinya yang hampa berangkat pulang ke Lembah UIA. Di sana dia akan menjadi penunggu batu gunung. Dalam bas ekspres yang meluru ke ibu negara, hati Mahyun diratah sedih. Derita. Kecewa kerana tidak dapat bertemu dengan Azmi.
Tiba-tiba Mahyun terdengar suara Azmi mengusap dan menjilat sepasang lubang telinganya. Suara itu sayup sesayup bunyi kuang mengigal dalam Banjaran Titiwangsa.
“Sayang, apa yang sayang sedihkan di lembah derita, ...renungkan dirimu yang cantik, milik saya, tunggulah, alam ini indah dengan cinta kita.”
Mahyun senyum.
“Di mana, sayang...,”suara Mahyun berbisik.
Sepasang matanya mencari Azmi.
Jantungnya, jantung dara, berdebar lagi. Siksa lagi.
(Disunting dari manuskrip novel, Madu Dan Cinta, oleh: Mokhtar Petah)
No comments:
Post a Comment