Sunday, March 20, 2011

AL KITAB



MUFTI PERAK RISAU
UMAT ISLAM AKAN MELENTING


KUALA LUMPUR, 18 Mac — Mufti Perak Tan Sri Harussani Zakaria memberi amaran keputusan Putrajaya untuk melepaskan naskhah kitab Injil yang ditahan Kementerian Dalam Negeri di Pelabuhan Klang dan Kuching akan membawa kepada rasa tidak puas hati dan kemarahan orang umat Islam.
Ketika dihubungi The Malaysian Insider, Harussani berkata beliau bimbang umat Islam akan bangkit menentang keputusan itu dan menyebabkan lebih banyak ketegangan dalam situasi semasa yang dilihat sangat sensitif.
“Saya takut, apa pun boleh berlaku di sini. Orang tidak gembira dan apa jua boleh berlaku,” kata beliau lagi.
Harussani berkata beliau telah berusaha untuk berhubung dengan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak sejak mendengar keputusan itu Selasa lalu bahawa kerajaan telah memutuskan untuk memenuhi gesaan pemimpin-pemimpin Kristian dan beberapa parti politik agar melepaskan Al Kitab, dalam Bahasa Malaysia, yang ditahan oleh Kementerian Dalam Negeri.
“Tetapi, saya tidak dapat bercakap dengan beliau (Najib) dan pembantu beliau juga tidak dapat menawarkan saya dengan sebarang maklumat,” katanya lagi.
Masyarakat Kristian dan Islam negara ini terlibat dalam ‘rebutan’ berkaitan dengan penggunana kalimah Allah sejak beberapa tahun lalu dan ia berakhir dengan kes mahkamah di mana pada akhir 2009 keputusannya memihak kepada gereja Katolik yang menerbitkan akhbar The Herald.
Bagaimanapun Peguam Negara membuat rayuan dan ia masih di peringkat Mahkamah Rayuan.
Umat Islam menganggap kalimah Allah hanya boleh digunakan oleh mereka.
Bagaimanapun penganut Kristian pula berhujah ia adalah perkataan Arab yang turut digunakan oleh pengiut agama lain termasuk Yahudi bagi merujuk kepada Tuhan, termasuk di negara-negara Arab dan Indonesia.
Harussani berkata, tidak kira sama ada isu itu masih didengar di mahkamah atau sebaliknya, kalimah Allah hanya harus digunakan oleh umat Islam dan eksklusif bagi mereka.
Harussani juga berkata beliau akan mengadakan pertemuan dengan Peguam Negara pada 25 Mac ini untuk membincangkan perkara tersebut dan berusaha memujuk pihaknya agar menghentikan pelepasan naskhah Al Kitab.
“Saya juga akan cuba bertemu dengan Menteri Dalam Negeri dan Perdana Menteri. Saya akan bercakap dengan mereka,” katanya lagi.
Harussani menambah, beliau tiada pilihan memandangkan berhadapan dengan tekanan daripada masyarakat Islam untuk menghentikan naskhah-naskhah itu daripada dikeluarkan.
“Sejak diumumkan tentang pelepasan (naskhah Al Kitab), saya menerima SMS demi SMS. Umat Islam memberitahu saya yang mereka marah dan mereka bertanya saya, mencabar saya ... apa yang hendak dilakukan?
“Disebabkan saya selalunya lantang dalam isu-isu ini, jadi apa yang perlu saya lakukan? Saya akan cuba bertemu dengan kementerian,” katanya lagi.
Harussani berkata umat Islam tidak menentang penggunaan kitab Injil dalam Bahasa Malaysia, tetapi hanya perkataan Allah yang digunakan sebagai pengganti kepada Tuhan.
“Alasan kami mudah. Islam adalah agama rasmi di negara ini dan Allah, dalam al-Quran, didefinisikan sebagai “Yang Maha Tunggal’, yang bermakna satu-satunya Tuhan,” kata beliau lagi.
Harussani berkata meskipun kementerian membenarkan pelepasan dengan dua syarat tetapi tiada jaminan bahawa naskhah-naskhah itu tidak akan sampai ke tangan Muslim.
“Apa jaminan yang mereka ada? Apa jaminan yang mereka ada bahawa mereka (masyarakat Kristian) tidak akan menyebarkannya kepada Muslim?
“Mereka akan berkata, oh, kami tidak memaksa mereka (Muslim) untuk mengambil kitab itu, mereka sendiri akan mengambil. Jadi mengapa mencetuskan masalah ini?” katanya lagi.
Selasa lalu, kerajaan bersetuju membenarkan pengeluaran dan pengedaran secara terhad dan terkawal kitab Injil dalam Bahasa Malaysia, yang ditahan di Pelabuhan Kuching Sarawak, dan Pelabuhan Klang.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Idris Jala berkata langkah kerajaan itu adalah selaras dengan warta 1982 di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri dan kitab itu mesti dicop dengan tag “Untuk Penganut Agama Kristian sahaja”.
“Sejak peruntukan undang-undang itu digunakan pada tahun 1982, tiada sebarang masalah atau isu yang timbul dengan pelaksanaannya,” katanya.
Selain itu, Idris berkata kajian teliti oleh Jabatan Peguam Negara juga mendapati pengeluaran kitab-kitab itu tidak akan menggangggu dalam prosiding mahkamah berkaitan penggunaan kalimah Allah.
“Oleh itu, dalam konteks berikut Kerajaan telah dapat secara amnya mengeluarkan kitab Injil tersebut,” katanya. (Dari The Malaysian Insider).

********

Sesuai dengan keadaan negara sekarang, Kerajaan patut mendengar dan menerima pendapat Mufti Kerajaan Negeri Perak ini. Jika kerajaan lebih mengutamakan perpaduan dan mendengar kata – kata orang bukan Islam yang berhajat buku Al Kitab dilulus masuk ke negara ini, ada banyak kemungkinan akan berlaku seperti kata mufti tersebut.
Kementeran Dalam Negeri amat baik jika berhati – hati dan menghormati umat Islam di negara ini. – Mokhtar Petah.

No comments: