ARIF SHAH DAN ANWAR IBRAHIM
Oleh:
Jika ditilik pada kekayaan dan terkenal sebagai ‘orang politik’ kawasan Permatang Pauh, dan ahli Dewan Undangan Negeri Seberang Jaya, Datuk Arif Shah bin Omar Shah, 42, akan dapat mengalahkan Datuk Seri Anwar Ibrahim pada pilihanraya kecil 26 Ogos ini.
Calon tempelan, Hanafi Mamad, Angkatan Keadilan Malaysia, saya tidak bawa ke dalam artikel ini, kerana beliau orang baru dan bersifat kupu-kupu yang hinggap pada kuntum bunga pada waktu petang sahaja.
Bagi para pengundi yang yakin tegas kepada UMNO dan Barisan Nasional tentulah memberi undi mereka kepada Arif Shah. Mereka tidak berharapkan pada kekayaan beliau, tetapi kerana parti dan kerajaan Pusat yang diterajui oleh Barisan Nasional sekarang.
Manakala pengundi-pengundi yang telah hilang keyakinan kepada UMNO dan Barisan Nasional akan mengundi Anwar Ibrahim kerana mereka yakin mengundi Anwar Ibrahim akan dapat mengubah corak kerajaan negara ini, iaitu dari kerajaan konservertif kepada kerajaan yang radikal, adil dan terbuka.
Kawasan Dewan Rakyat Permatang Pauh adalah kawasan yang berbeza dari semua kawasan Dewan Rakyat di Pulau Pinang. Ia berbeza dari kawasan Dewan Rakyat Kepala Batas yang kini diwakili oleh Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia.
Kawasan Permatang Pauh adalah peninggalan seorang ahli politik terkenal di Pulau Pinang, iaitu Allahyarham Ibrahim, Setiausaha Parlimen Kementerian Kesihatan dan bapa Anwar. Pendeknya kawasan itu menjadi seperti negeri kecil kepada keluarga Anwar Ibrahim.
Catatan dalam sejarah, bahawa Permatang Pauh adalah:
* Tempat Anwar Ibrahim dan Wan Aziz bernikah menggunakan wali hakim – akad nikah dilakukan oleh Kadi Besar Pulau Pinang, Datuk Harun Sani bin Zakariah, kini Mufti Kerajaan Perak.
* Tempat bermulanya nama Anwar Ibrahim melonjak ke Dewan Rakyat, berjawatan menteri kabinet dan seterusnya Timbalan Perdana Menteri.
* Tempat isteri Anwar Ibrahim, Dato’ Wan Azizah mencapai kemenangan sebagai meminjam cahaya watak dan peribadi suaminya.
* Tempat Wan Azizah berkorban – meletakkan jawatan sebagai ahli Dewan Rakyat – kerana memberi peluang kepada suaminya.
Para pengundi dalam kawasan itu, terutama pengundi Melayu, tidak sahaja mahu melihat bagaimana Parti Keadilan Rakyat atau Pakatan memerintah negara ini, bahkan mereka memendam rasa sedih dan pilu kerana Anwar Ibrahim dilanda oleh keburukan yang diciptakan oleh orang-orang yang menjadi musuhnya dari UMNO.
Pengundi-pengundi Melayu yang selama ini menyanjung Abdullah Badawi sebagai pemimpin dan Perdana Menteri negara ini, tetapi setelah beliau mengumumkan akan meletakkan jawatannya pada 2010, mereka telah menjadi tawar hati dan mereka berpaling kepada Anwar Ibrahim.
Pada masa lalu para pengundi tersebut memandang dalam Malaysia ini, hanya dua tokoh politik dan pemimpin sahaja yang boleh mereka harap, iaitu Abdullah Badawi dan Anwar Ibrahim. Tidak ada Abdullah Badawi, maka Anwar Ibrahimlah menjadi tempat mereka menggantungkan harapan dan meminta belas kasihan.
Saya bersama orang-orang yang meramalkan Anwar Ibrahim akan mendapat kemenangan dalam pilihan raya kecil itu, berharap kekalahan UMNO dan Barisan Nasional nanti akan dapat menjadikan pengajaran kepada ahli-ahli UMNO, bahawa pejuangan memerintah dan mempertahankan negara tidak semudah bertepuk pada waktu menonton sabung ayam di gelanggang.
UMNO dengan segala macam karenah di dalamnya, terutama politik wang atau rasuah politik menjadikan orang ramai mencari parti politik yang belum melakukan demikian dan UMNO akan menjadi tirus ekor tikus pada masa akan datang.
No comments:
Post a Comment