Thursday, August 28, 2008

KEMENANGAN ANWAR IBRAHIM


Sebab Najib Bersumpah Dalam Masjid

Oleh: Mokhtar Petah

Saya adalah orang pertama meramalkan dalam blog saya dan Prof. Dato’ Khoo Kai Kim orang kedua yang telah meramalkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menang dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh pada Selasa lalu.

Mungkin sebilangan besar di kalangan orang UMNO meramalkan kemenangan Anwar Ibrahim, tetapi kerana beberapa sebab, maka mahu tidak mahu terpaksa berkempen dan melaungkan yang calon Barisan Nasional, Datuk Arif Shah Omar Shah akan mendapat kemenangan dengan majoriti besar.

Pengundi dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh sebanyak 58,459 dan yang keluar mengundi seramai 47,356, iaitu 81.01 peratus. Omar Shah mendapat undi 15,524 dan Anwar Ibrahim mendapat undi 31,195 dengan majoriti 15,671.

Kalau dilihat jentera kempen Barisan Nasional; Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan hampir semua menteri berkempen di sana di samping berjuta wang kerajaan dicurahkan termasuk derma untuk banyak masjid dan surau serta kempen yang dibantu oleh media kerajaan dan swasta tidak ada yang menyangka Barisan Nasional akan kalah.

Calon BN, Arif Shah sendiri pada hari Isnin masih ‘cakap besar’, “saya tidak gentar, Barisan Nasional akan menang.”

Jika dibandingkan Arif Shah dengan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Ibrahim Saad, maka Arif Shah ibarat murid darjah empat kepada Ibrahim Saad. Ibrahim Saad telah kalah di tangan Datin Seri Wan Azizah pada pilihanraya lama dulu.

Sebenarnya di Pulau Pinang tidak ada tokoh UMNO yang boleh melawan pengaruh Anwar Ibrahim. Dalam jangka sepuluh tahun lagi juga belum ada.

Kawasan Parlimen Permatang Pauh telah menjadi ibarat Kota Makah bagi keluarga Raja Arab Saudi bagi Anwar Ibrahim. Mungkin, jika Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bertanding dengan Anwar Ibrahim di kawasan itu, beliau akan mengalami kekalahan.

Kemenangan Anwar Ibrahim, selain dari para pengundi di sana menyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Rakyat dengan menolak UMNO dan Barisan Nasional ada banyak sebab yang menjadikan calon Barisan Nasional tewas. Di antara sebab-sebab itu:

1) Para pengundi yang terdiri dari UMNO memprotes tindakan Abdullah Badawi akan melakukan peralihan kuasa dengan Najib Tun Razak pada 2010.

2) Membantah tindakan Najib Tun Razak bersumpah dengan nama Allah dalam Masjid Kubang Semang kerana menafikan dia kenal akan wanita Mongolia, Altantuya Saaribu.

3) Terasa jemu dan jelak kerana para pekempen BN berucap banyak menyentuh peribadi Anwar Ibrahim dan mereka rasa simpati atau belas kasihan kepada pahlawan jaguh politik Permatang Pauh itu.

4) Menilai diri Anwar Ibrahim tidak mahu bersumpah untuk menafikan dia meliwat Mohd.Saiful BukhariAzlan kerana sumpah tidak bersifat mahkamah menentukan salah atau benar seseorang.

Dua perkara yang tidak boleh ditolak mengapa calon BN kalah di sana, ialah kefahaman para pengundi akan debat antara Menteri Penerangan, Dato Shabery Chik dengan Anwar Ibrahim dan debat antara bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dengan Ketua Menteri pulau itu, Lim Guan Eng.

Sebenarnya umpat dan keji, maki dan hamun kepada peribadi Anwar Ibrahim oleh pihak Barisan Nasional telah menjadi satu kempen untuk mempopularkan beliau dan menjadi para pengundi ingin membantu beliau untuk bangun.

Para pengundi di jaga mengambil kira, iaitu mengapa Abdullah Badawi tidak datang ke sana pada peringkat awal pilihanraya, sebaliknya beliau telah datang pada peringkat akhir.

Sebenarnya Barisan Nasional telah kehilangan undinya di kalangan MCA dan parti Gerakan kerana pengudi-pengundi yang terdiri dari orang Cina dan India beralih kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan mahu melihat kejayaan Pakatan Pembangkang membentuk kerajaan baru di negara ini.

Barisan Nasional telah kehilangan banyak undi dari UMNO kerana ramai dari ahlinya yang telah secara diam-diam beralih kepada PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Mereka melihat, setelah tahun 2010 UMNO tidak akan bingkas lagi kerana tidak ada tokoh yang boleh menggantikan Abdullah Ahmad Badawi.

Pada jam 10.00 pagi ini, Anwar Ibrahim telah mengangkat sumpah sebagai ahli Dewan Rakyat (Permatang Pauh) di hadapan Speaker Dewan Rakyat, Pandikar Amin Mulia.

Anwar juga dengan persetujuan anggota-anggota PAS telah dlantik memegang jawatan Ketua Pembangkang dalam Dewan Rakyat mengisikan tempat yang dikosongkian oleh isterinya, Datin Seri Wan Azizah Ismail.

Walaupun laung Anwar Ibrahim untuk menubuhkan Kerajaan Pakatan Rakyat pada pertengahan bulan September ini dianggap oleh pihak UMNO dan Barisan Nasional sebagai angan-angan atau gembar gemburnya sahaja, tetapi dengan adanya beliau dalam Dewan Rakyat akan menjadi para menteri dan semua ahli dewan itu dari Barisan Nasional tidak dapat tidur sebagai pada masa yang lalu.

Sungguhpun Anwar Ibrahim dianggap ‘jaguh politik’, tetapi sebagai harapan Pandikar Amin Mulia agar beliau dapat bekerja untuk memberi buah fikiran kepada Dewan Rakyat.

Kita juga berharap, Anwar Ibrahim yang berakhlak mulia itu dapat membentuk beberapa ahli dewan pihaknya yang kurang berlaku sopan dalam dewan tersebut.

Anwar Ibrahim patut sedar, walau bagaimana cemerlangnya seseorang ahli politik, tetapi kalau dia tidak berakhlak mulia, maka dirinya dan partinya akan menerima nama yang buruk.

No comments: