PAS DAN UMNO PERINTAH NEGARA
Oleh:
Untuk mencapai perpaduan dua buah parti politik Melayu – UMNO dengan PAS kerana kepentingan bangsa Melayu dan agama Islam, tidak perlu membubarkan UMNO, sebaliknya dua parti itu perlu ada cara yang berasaskan Islam.
Pendapat Mursyidul ‘Am Pas, Datuk Haji Nik Abdul Aziz yang mahukan sebuah parti politik sahaja itu baik, tetapi tidak mungkin diterima oleh sebilangan ahli UMNO dan cara itu menambahkan kekusutan. Mungkin sebilangan ahli PAS juga tidak setuju dengan cara demikian.
Menghapuskan dua buah parti – parti Melayu dan parti Islam itu sama dengan menanam kisah dan sejarah perjuangan bangsa Melayu. UMNO (walaupun UMNO baru) telah ditubuhkan pada tahun 1946 dan PAS ditubuhkan oleh para ulama dari UMNO pada tahun 1951. Walaupun dua parti itu tidak bertemu bulu, tetapi asas perjuangannya sama, iaitu negara, bangsa dan agama Islam.
PAS dengan ideologi Islamnya dan berjuang untuk menegakkan negara Islam di Malaysia, boleh diterima oleh UMNO dengan baik kerana UMNO juga menjunjung agama Islam sebagai agama rasmi negara.
Maka UMNO dan PAS perlu saling bekerjasama untuk mewujudkan negara Islam di Malaysia. Ertinya negara Islam itu nanti menjadi pelindung kepada umat Islam dan semua rakyat yang terdiri dari pelbagai bangsa dan menganut berbagai agama serta tidak beragama.
Apabila berlaku pembentukan negara Islam, maka Perlembagaan negara hendaklah di pinda, terutama mengenai kepimpinan negara yang berdasarkan dua dari beberapa ayat Quran yang melarang orang Islam mengambil orang kafir menjadi pemimpin orang Islam, iaitu:
Hai orang-orang yang beriman, jangan kamu mengambil orang-orang Yahudi dan Kristian menjadi pemimpin, sebagaimana mereka menjadi pemimpin bagi yang lain. Sesiapa di antara kamu mengambil mereka menjadi pemimpin, maka orang-orang itu termasuk golongan mereka. Sesungguhnya Allah tidak memberi pimpinan kepada kaum yang zalim.
(Al Maidah:51).
Bahawa sesungguhnya, pemimpin kamu hanyalah Allah dan Rasul-Nya (Quran dan Sunnah) dan orang-orang yang beriman, iaitu mereka yang mengerjakan sembahyang, membayar zakat, dan mereka itu adalah individu-individu yang rukuk (taat kepada Allah).
(Al Maidah:55).
(Erti kafir: Manusia yang tidak beriman kepada Allah (dan menyembah lain dari Allah), para malaikat, Kitab-kitab Allah kepada para rasul-Nya dan Quran kepada Nabi Muhammad, dan hari kiamat, iaitu adanya syurga dan neraka).
Dalam perlembagaan itu dimasukkan kira-kira seperti berikut:
1) Apa-apa ideologi selain dari Islam tidak boleh diguna pakai sebagai dasar dan perundangan negara.
2) Ideologi selain dari Islam tidak boleh diguna pakai oleh parti-parti politik, tetapi boleh mengguna pakai nasional atau kebangsaan sahaja.
3) Hanya orang Islam rakyat Malaysia boleh menjadi pemimpin (ketua) negara (termasuk negeri).
Semua undang-undang negara dan negeri-negeri berdasarkan Quran dan Sunnah dan ijmak ulama. Mungkin buat sementara ada beberapa undang-undang yang tidak bercanggah dengan Islam boleh diguna pakai.
PAS dengan UMNO perlu mencapai persefahaman dalam menentukan kerusi masing-masing dalam Dewan Rakyat dan Dewan-dewan di negeri-negeri seluruh negara.
Pada pilihan raya ke-13, UMNO dan PAS akan kekal dengan kerusi-kerusi yang telah dimenangi pada pilihanraya ke – 12 lalu. Mana-mana kerusi yang telah menjadi milik Barisan Nasional – MCA, MIC dan parti-parti lain, terus menjadi hak barisan tersebut, kerana parti-parti politik bukan Melayu itu masih kekal dengan UMNO dalam Barisan Nasional.
UMNO dan PAS perlu berunding dan mencapai kata sepakat untuk mendapatkan kerusi-kerusi yang masih dikuasai oleh DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR), jika PAS berpecah dengan pakatan tersebut.
Sekiranya perlembagaan Malaysia telah dipinda seperti di atas, maka parti-parti politik yang berkonsep atau berideologikan sosio-nasionalis atau sosio-demokrasi tidak dibolehkan hidup apa lagi untuk memerintah negara ini.
Dalam pilihan raya ke-13 akan berkedudukan, PAS dan UMNO dan Barisan Nasional kekal dengan kerusi masing-masing dalam Dewan Rakyat dan Dewan negeri-negeri.
Mereka akan berunding untuk mengagih kerusi-kerusi yang dimiliki oleh DAP dan Parti Keadilan Rakyat sekarang ini. Mungkin setelah pindaan telah berlaku kepada Perlembagaan negara, DAP dan PKR tidak bertanding lagi pada pilihanraya ke -13.
PAS dan UMNO - Barisan Nasional saling bantu membantu merebut kerusi–kerusi tersebut, jika ada parti-parti politik atau calon-calon bebas yang bertanding.
Mana-mana negeri yang pada masa ini Menteri Besarnya terdiri dari orang PAS (seperti Perak dan Kedah), maka dikekalkan kepada PAS selepas pilihan raya ke-13 nanti.
Jika Perpaduan PAS dengan UMNO berhasil, maka Negeri Perak, Selangor akan terpaksa bertukar kerajaan, iaitu dari kerajaan Pakatan Rakyat kepada Perpaduan UMNO dan PAS. Begitu juga Negeri Kedah diselaraskan dengan semangat perpaduan UMNO dan PAS, iaitu menjadi negeri Perpaduan UMNO dan PAS.
Sekiranya langkah yang saya kemukakan ini berjaya, maka akan berjayalah perpaduan orang Melayu dan ummah kembali padu dan mereka yang terdiri dari rakyat tidak beragama Islam tetap kekal menjadi sahabat dan jiran tetangga orang Melayu dan rakyat negara Islam.
Kesimpulannya, rakyat Malaysia yang tidak beragama Islam dan hidup dalam negara Islam, mereka tetap dengan agama mereka, tetapi mengakui seperti dalam Piagam Madinah, Fasal 47:
... barang siapa berpegian dari kotaMdinah atau mnenetap di dalamnya adalah terjamin keselamatannya kecuali orang-orang yang zalim atau yang bersalah. Dan bahawa Allah merestui setiap orang yang membuat kebajikan dan bertaqwa dan bahawa Muhammad hendaklah diakui Pesuruh Allah.
Oleh kerana perpaduan UMNO dengan PAS masih belum menjadi kenyataan, maka tulisan saya ini sekadar boleh menjadi renungan. Tetapi kalau telah berlaku, mungkin tulisan ini menjadi sedikit faedah kepada pihak-pihak yang ikhlas untuk mengembalikan perpaduan ummah dan menjaga kepentingan Islam.
No comments:
Post a Comment