Friday, August 1, 2008

NABI SULAIMAN TOLAK RASUAH

Ilmu Pengasih Paling Mujarab

Oleh: Mokhtar Petah


Sesungguhnya warkah ini dari Sulaiman, (bersamanya) dan sesungguhnya dengan nama Allah Yang Pemurah dan Penyayang.

(An Naml: 30)


Amalan rasuah telah berlaku sejak zaman berzaman lagi. Pada zaman Nabi Sulaiman a.s., kerajaan Saba, di bawah perintah Ratu Balqis, telah mencuba untuk memberi rasuah dengan gadis-gadis cantik dan emas dan permata kepada Junjungan.

Dalam Quran, surah An Naml: 20–44 Allah telah menceritakan kisah kerajaan Saba yang telah menghantar hadiah (rasuah) kepada Nabi Sulaiman dan Junjungan menolaknya dengan tegas.

Nabi Sulaiman a.s. terkenal dengan kebolehannya memahami bahasa jin, haiwan, unggas dan serangga. Junjungan telah menguasai atau memerintah semuanya itu dengan pertolongan Allah yang Maha Kuasa.

Pada satu hari, Nabi Sulaiman telah memeriksa (pertemuan) dengan berbagai unggas. Didapatinya burung hud-hud – taguk-taguk atau belatuk -, tidak ada di kalangan burung-burung itu.

Lalu Junjungan bertanya, mengapa belatuk tidak ada dalam pertemuan itu. Junjungan memberitahu, jika belatuk tidak mengemukakan alasan munasabah akan sebab-sebab dia tidak datang dalam pertemuan itu, maka ia akan di hukum dengan hukuman yang keras.

Sebentar kemudian belatuk tiba ke dalam pertemuan itu. Belatuk memaklumkan kepada Nabi Sulaiman, bahawa baru pulang dari sebuah negeri, iaitu Negeri Sabah – Yaman (lihat, surah Saba: 15-20) dan membawa berita baik untuk Junjungan.

Saya mendapati(di Saba) seorang perempuan cantik (Ratu atau Maharani) memerintah rakyatnya. Baginda mempunyai segala-galanya dan istana yang besar.

Saya mendapati Baginda dan kaum (rakyat)nya menyembah matahari selain dari Allah. Syaitan telah (perdaya) mereka nampak perbuatan yang buruk itu sebagai baik dan menghalang mereka dari jalan (yang benar) kerana mereka tidak mendapat pimpinan Allah itu, tiada Tuhan selain dari pada-Nya. Pemimpin singgahsana yang besar.

(An Naml: 22 – 26)

Nabi Sulaiman telah memberitahu belatuk itu, bahawa Baginda akan melihat, adakah cerita belatuk itu benar atau sengaja mendustakan Junjungan. Lalu Junjungan memerintahkan belatuk supaya membawa warkah Junjungan ke istana Ratu Balqis dan gugurkan warkah itu ke dalam istana Ratu tersebut. Belatuk telah melaksana perintah Nabi Allah itu.

Sebaik-baik sahaja Ratu Balqis menemui warkah dari Nabi Sulaiman yang digugurkan oleh belatuk itu, maka Ratu itu memberitahu para bembesar atau kabinetnya.

Sesungguhnya (warkah) itu dari Sulaiman (di antara isinya), dan sesungguhnya dengan nama Allah yang Pemurah dan Penyayang.

(An Naml:30)

Ayat Quran ini telah melembutkan hati Ratu Balqis dan perasaan cintanya kepada Nabi Sulaiman telah menguasai hatinya. Pada masa ini ayat tersebut telah dijadikan mentera pengasih lelaki kepada seseorang gadis yang mereka berkenan untuk dijadikan teman hidup.

Caranya: Apabila memandang gadis itu, baca istighfar tiga kali, diikuti dengan memohon kepada Allah agar menjadikan hati gadis itu jatuh kasih kepada (yang berhajat), diikuti dengan membaca ayat itu, dan diikuti pula dengan pantun:

Terentak terenting atas batu,

Terberak terkencing ingatkan aku.

Baca selawat kepada Nabi Muhammad. (ulang tiga kali sambil menyedut nafas). Dengan izin dan kehendak Allah, berhasil.

Antara kandungan surat Nabi Sulaiman itu:

Jangan (baginda) menyombong kepada aku dan datanglah kepada aku dengan sujud kepada Allah (memeluk agama Islam).

(An Naml: 31).

Ratu Balqis telah memberitahu anggota-anggota kabinetnya, supaya membuat pertimbangan akan hajatnya untuk mengadap Nabi Sulaiman itu. Ratu itu tidak akan memutuskan hal itu dengan sendiri melainkan menerima keputusan kabinetnya.

Para anggota kabinet telah menasihatkan Ratu Balqis supaya tidak tunduk kepada Nabi Sulaiman kerana mereka mempunyai kekuatan untuk menentang Nabi Allah itu. Tetapi mereka menyerahkan kepada Balqis untuk mengambil tindakan yang sewajarnya.

Ratu Balqis memaklumkan kepada mereka, bahawa Nabi Sulaiman mempunyai kekuatan dan memnpunyai tentera yang ramai. Kalau Junjungan menyerang sesebuah negeri, maka negeri itu menjadi binasa dan rakyatnya menjadi hina.

Dan sesungguhnya, aku hendak mengirim hadiah (rasuah) kepadanya (Nabi Sulaiman) dan mahu melihat bagaimana utusan-utusan (kita) kembali (membawa jawapan).

(An Naml:35).

Menurut kisah, bahawa hadiah-hadiah dari kerajaan Ratu Balqis itu, ialah 99 orang gadis cantik, emas dan permata yang dibawa oleh beberapa buah kereta kuda. Hadiah itu adalah rasuah agar Nabi Sulaiman membatalkan tujuannya untuk mengajak ratu itu memeluk agama Islam.

Pada zaman Nabi Muhammad s.a.w. mengembangkan agama Islam di Makah, para pembesar dan hartawan Arab Quraisy telah mencuba untuk merasuah Junjungan dengan menawarkan harta benda dan kekayaan kepada Junjungan agar Junjungan berhenti dari mengembangkan agama Islam. Nabi Muhammad s.a.w. telah menolaknya.

Tatkala utusan-utusan Ratu Balqis itu membawa hadiah-hadiah itu tiba di istana Nabi Sulaiman, Nabi Allah itu bertanya kepada mereka:

Kamu semua hendak menolong (memberi rasuah) dengan harta (kekayaan)? (ketahuilah) segala yang diberikan oleh Allah kepada aku lebih dari dari yang diberikan kepada kamu sekalian tetapi kamu semua rasa bangga dengan hadiah kamu itu.

(An Naml: 36).

Nabi Sulaiman telah memerintahkan utusan-utusan Ratu Balqis itu agar pulang dengan membawa kembali hadiah-hadiah tersebut. Junjungan memberitahu mereka yang Baginda dengan bala tenteranya akan menyerang negeri mereka.

Setelah utusan dari Ratu Balqis berangkat pulang, maka Nabi Sulaiman telah bertanya kepada para pembesarnya (mungkin dengan makhluk Islam yang terdiri dari jin dan manusia), iaitu siapa di antara mereka yang sanggup menerbangkan istana Ratu Balqis di Saba ke negerinya, sebelum Ratu Balqis dan rakyatnya datang menyerah.

Sejenis jin yang paling kuat bernama ‘Ifrit telah bangun dan memberi kesanggupan menerbangkan istana ratu itu. Dia berkata:

Aku sanggup membawanya kepada kamu sebelum kamu berdiri dari persidangan kamu, sesungguhnya aku sangat kuat dan (boleh) dipercayai.

(An Naml: 93).

Di antara mereka itu ada seorang lelaki, menurut ahli tafsir Quran, dia bernama Asyaf, telah bangun dan menyatakan kesanggupannya kepada Nabi Sulaiman.

Kata seorang lelaki yang berpengetahuan tentang kitab telah menyatakan kesanggupannya kepada Nabi Sulaiman: Saya sanggup membawa (istana ratu Balqis) kepada Junjungan dalam sekelip mata. Setelah itu (Nabi Sulaiman) melihat istana tersebut berdiri tersergam di hadapannya. Junjungan telah berkata, Ini adalah dari kurniaan Tuhanku, kerana dia hendak menduga aku. Apakah aku tahu bersyukur, dia bersyukur untuk kebaikan dirinya. Dan siapa yang tidak bersyukur, sesungguhnya Allah itu Maha Kaya dan Mulia. Perhatikan, adakah dia (ratu Balqis) mengetahui atau dia dari mereka yang tidak mengetahui.

(An Naml:40,41).

Istana Ratu Balqis itu diubahsuai dengan segera dan lantai masuk ke dalam ruang tamu Istana itu diperbuat dari batu marmar yang bercahaya seperti air mengalir.

Setelah ratu Balqis itu tiba, ditanya (oleh seseorang) kepadanya, adakah istana Tuanku seperti ini? Dia (ratu Balqis) menjawab: Keadaannya seperti (istana) ini. Dan kepada kami diberi pengetahuan sebelum ini (tentang ratu Balqis dalam Bible). Dan kami adalah orang-orang yang orang-orang beragama Islam.

Dan yang menghalangnya menyembah lain dari Allah (ratu itu hidup ditengah rakyat yang menyembah matahari dan haiwan-haiwan, itulah yang menhalangnya dari menyembah Allah). Sesungguhnya ratu itu termasuk kaum yang kafir.

(An Nzaml:42.43)

Pada ketika hendak melangkah masuk ke dalam istana tersebut, ratu Balqis telah menyelak kainnya sehingga nampak betisnya kerana dia menyangka lantai marmar itu air sedang mengalir.

Dikata (dipersila)kan kepadanya (Ratu Balqis): (Silalah) Masuk ke dalam istana. Setelah dilihatnya, disangkanya air kolam (disingsingkan kainnya) dan terdedah betisnya. (Nabi Sulaiman) bersabda : Sesungguhnya inilah istana yang dipersenikan dengan kaca (marmar).(ratu itu bertitah):Ya tuhanku, sesungguhnya aku telah menganiaya diriku sendiri, dan aku (mengaku) aku tunduk (memeluk agama Islam) bersama Sulaiman, kepada Allah Penguasa semesta alam.

(An Naml:44).

Dalam kitab Bible, dalam Bab Raja-Raja yang pertama, ada dikisahkan tentang Ratu Balqis pada ketika bertemu dengan Nabi Sulaiman, iaitu : 10: 6-7:

“Lalu katanya kepada Raja (nabi) Sulaiman : “Benarlah seperti khabar yang beta dengar di negeri beta akan hal ehwal Tuanku.”

“Maka khabar itu pun tidak beta tidak percaya sebelum beta datang ke mari dan mata beta sendiri melihat semuanya, maka sesungguhnya, separuhnya tidak dikhabarkan kepada beta, kerana hikmat (pengetahuan) dan harta benda Tuanku yang meliputi segala khabar yang beta telah dengar itu.”

Ratu Balqis tidak sahaja beriman kepada Allah dan Nabi Sulaiman, bahkan hatinya telah jatuh cinta kepada Nabi Allah itu. Maka ekoran dari pertemuan dua orang ketua kerajaan itu, maka Ratu Balqis telah menamatkan usia mendaranya dengan berkahwin dengan lelaki yang dicintainya itu.

Mungkin para penyair kini dapat mengukir sajak mereka tentang Ratu Balqis seperti saya di bawah ini:

Biar sahara gersang panas membara,

Biar betapa perit meleraikan kuasa,

Aku hanya perempuan dara,

Hatiku selembut dedaun muda,

Imanku pada Allah Maha Kuasa,

Cintaku pada lelaki Rasul-Nya,

Diriku milik Sulaiman Perkasa.

No comments: