Tuesday, August 26, 2008

PAS DAN PEMBANGKANG

IDEOLOGI BERCANGGAH

Oleh: Mokhtar Petah


Ucapan wakil Pas Pahang, Hamzah Jaafar, dalam Muktamar Tahunan PAS Ke–54, di Ipoh, pada 16 Ogos lalu menarik, kerana beliau yakin parti tersebut akan menjadi sebagai sepasang suami isteri yang tidak berbahagia.

“Sebagai suami kita mesti selalu cakap ‘I love you. Kalau boleh hari-hari kita kena cakap ‘I love you’ kepada isteri walaupun sebenarnya tidak sayang,” kata Hamzah Jaafar.


Pandangan Hamzah Jaafar itu sebagai mewakili sejumlah besar ahli parti Islam yang ditubuhkan pada tahun 1951 itu.Pandangann itu seperti yang ada dalam hati Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang dan mereka yang faham yang agama Islam tidak membenarkan para pemeluknya berkongsi kuasa atas sesebuah negara dengan orang bukan Islam.

Nabi Muhammad yang telah memeteraikan perjanjian kerjasama antara masyarakat Islam dengan masyarakat Yahudi di Madinah yang terkenal dengan Piagam Madinah, tetapi tidak bekerjasama dalam bidang politik dan pemerintahan dengan orang Yahudi dan mereka yang tidak beragama Islam.

PAS tidak akan kekal kerjasamanya dengan parti-parti non-Islam dalam Pakatan Rakyat, kerana ideologi yang dianutinya berbeza dan berlawanan dengan ideologi parti-parti politik dalam Pakatan Rakyat itu.

Semenjak ditubuhkan pada tahun 1951, PAS yang banyak berpandu kepada parti Islam Ikhwanul Muslimin Mesir, berideologikan Islam dan meletakkan parti politik itu sebgai sebuah parti Allah atau hizbullah.

Sebilangan ahli-ahli PAS yang tidak kuat berpegang kepada ideologi Islam dan hanya bertujuan untuk menumbangkan Kerajaan Barisan Nasional telah menjadi terumbang-ambing – ada kala cenderong kepada kebangsaan – kapitalis seperti yang dibawa UMNO dan ada kalanya cenderung kepada sosio-demokrasi seperti yang diamalkan oleh DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Disebabkan didorong oleh nafsu besar kalangan orang muda dalam PAS untuk menghancurkan UMNO dan Kerajaan Barisan Nasional, maka mereka telah menerima DAP dan PKR sebagai rakan kerjasama.

Seperti pendapat penulis dan Ketua Pengarang Mingguan Siasah, Encik Mohd. Sayuti Omar, bahawa dalam PAS kini ada golongan muda sekular dan mereka itu sebagai melakukan tekanan kepada kepimpinan PAS dan Datuk Nik Abdul Aziz bin Nik Mat.

Saya membuka kembali sejarah perjuangan PAS, pada masa yang lalu, PAS tidak pernah bekerjasama dengan parti-parti non-muslim untuk menjatuhkan UMNO dan Barisan Nasional. Parti itu tidak pernah bekerjasama dengan Parti Progresif Rakyat (PPR) yang berpusat di Ipoh sebelum berlaku tragedi 13 Mei1969.

Pada masa ini, kerana golongan ulama dalam PAS kelihatan lemah disebab tekanan golongan yang mahu berkuasa dan tidak menghiraukan apa yang akan berlaku ke atas parti itu, maka kerjasama dengan parti-parti pembangkang telah terjalin.

Setiap orang Islam yang tegar iman memang menyokong PAS untuk menegakkan negra Islam, tetapi tidak semua menyokong parti itu yang bekerjasama dengan DAP dan PKR kerana hendak memusnahkan UMNO – parti politik orang Melayu dan Islam.

Jika PAS sanggup bekerjasama dengan parti politik yang menentang negara Islam kerana hendak menghancurkan parti politik bangsa Melayu dan umat Islam, maka boleh dianggapkan sebilangan dari ahli-ahli PAS sama dengan para pengikut Abdullah Ibnu Ubay pada zaman Nabi Muhammad.

Sesungguhnya, semua parti politik yang menganut ideologi yang lain dari Islam tetap tidak inginkan Islam berakar umbi, kuat dan apa lagi wujud negara Islam di Malaysia.

Kongres Kebangsaan DAP, di Kuala Lumpur telah menolak dengan keras akan Negara Islam seperti yang diperjuangkan oleh PAS.

Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pada masa memimpin Angkatan Belia Islam (ABIM) dan pada hari-hari beliau berjuang dalam PAS bersama Presiden, Allahyarham Datuk Hj. Fadzil Mohd. Nor, beliau telah memperlihatkan azamnya untuk mnenegakkan negara Islam.

Tetapi, apabila beliau termasuk perangkap Dr. Mahathir Mohamad dan setelah mendapat kedudukan dan kemewahan, maka suara Anwar Ibrahim telah berubah, beliau telah menjadi seorang tokoh kapitalis dalam UMNO dan menentang Malaysia dijadikan Negara Islam.

Allah telah memberi satu contoh dalam Quran yang boleh menjadi panduan atau teladan para ahli PAS, iaitu kisah Qarun yang alim, tetapi setelah dia menjadi kaya raya, dia menentang Nabi Musa yang memperjuangkan Islam, bahkan dia menentang Tuhan.

Pendeknya PAS tidak akan selamat dan tidak akan mencapai cita-citanya untuk menegakkan negara Islam jika ia terus bekerjasama dengan parti-parti politik dalam Pakatan Pembangkang.

Jika PAS meneruskan juga dengan Pakatan Pembangkang, ia mungkin boleh menumpang kejayaan (mungkin) menumbangkan UMNO dan Barisan Nasional, tetapi ia tetap akan diketepikan oleh pihak parti-parti rakannya.

Akhirnya PAS akan menerima nasib seperti seorang perempuan yang pada masa gadisnya bernafsu besar untuk bersuamikan lelaki kaya dan berkedudukan, tetapi akhirnya hajatnya tidak sampai dia telah menjadi janda yang membilang kepada suami.

Percayalah, jika PAS terus dengan Pakatan Pembangkang dengan tujuan untuk menumbangkan kerajaan pimpinan UMNO dan Barisan Nasional, maka ia akan menghadapi musuh dalamnya, iaitu DAP yang menentang sebarang usahanya untuk menegakkan negara Islam.

Dalam Pakatan pembangkang, boleh dinisbahkan, PAS seperti seekor kambing baka baik, DAP sebagai seekor serigala dan PKR sebagai seekor musang, ketiga-ketiga-tiga jenis haiwan itu gemar makan buah betik masak. Dalam merebut betik masak, PAS akan menjadi kempunan dan mungkin dirinya sendiri dimakan oleh dua jenis haiwan itu.

No comments: