Thursday, August 28, 2008

KEMENANGAN ANWAR IBRAHIM


Sebab Najib Bersumpah Dalam Masjid

Oleh: Mokhtar Petah

Saya adalah orang pertama meramalkan dalam blog saya dan Prof. Dato’ Khoo Kai Kim orang kedua yang telah meramalkan Penasihat Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim akan menang dalam pilihan raya kecil Permatang Pauh pada Selasa lalu.

Mungkin sebilangan besar di kalangan orang UMNO meramalkan kemenangan Anwar Ibrahim, tetapi kerana beberapa sebab, maka mahu tidak mahu terpaksa berkempen dan melaungkan yang calon Barisan Nasional, Datuk Arif Shah Omar Shah akan mendapat kemenangan dengan majoriti besar.

Pengundi dalam kawasan Parlimen Permatang Pauh sebanyak 58,459 dan yang keluar mengundi seramai 47,356, iaitu 81.01 peratus. Omar Shah mendapat undi 15,524 dan Anwar Ibrahim mendapat undi 31,195 dengan majoriti 15,671.

Kalau dilihat jentera kempen Barisan Nasional; Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri dan hampir semua menteri berkempen di sana di samping berjuta wang kerajaan dicurahkan termasuk derma untuk banyak masjid dan surau serta kempen yang dibantu oleh media kerajaan dan swasta tidak ada yang menyangka Barisan Nasional akan kalah.

Calon BN, Arif Shah sendiri pada hari Isnin masih ‘cakap besar’, “saya tidak gentar, Barisan Nasional akan menang.”

Jika dibandingkan Arif Shah dengan bekas Timbalan Ketua Menteri Pulau Pinang, Datuk Ibrahim Saad, maka Arif Shah ibarat murid darjah empat kepada Ibrahim Saad. Ibrahim Saad telah kalah di tangan Datin Seri Wan Azizah pada pilihanraya lama dulu.

Sebenarnya di Pulau Pinang tidak ada tokoh UMNO yang boleh melawan pengaruh Anwar Ibrahim. Dalam jangka sepuluh tahun lagi juga belum ada.

Kawasan Parlimen Permatang Pauh telah menjadi ibarat Kota Makah bagi keluarga Raja Arab Saudi bagi Anwar Ibrahim. Mungkin, jika Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi bertanding dengan Anwar Ibrahim di kawasan itu, beliau akan mengalami kekalahan.

Kemenangan Anwar Ibrahim, selain dari para pengundi di sana menyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Pakatan Rakyat dengan menolak UMNO dan Barisan Nasional ada banyak sebab yang menjadikan calon Barisan Nasional tewas. Di antara sebab-sebab itu:

1) Para pengundi yang terdiri dari UMNO memprotes tindakan Abdullah Badawi akan melakukan peralihan kuasa dengan Najib Tun Razak pada 2010.

2) Membantah tindakan Najib Tun Razak bersumpah dengan nama Allah dalam Masjid Kubang Semang kerana menafikan dia kenal akan wanita Mongolia, Altantuya Saaribu.

3) Terasa jemu dan jelak kerana para pekempen BN berucap banyak menyentuh peribadi Anwar Ibrahim dan mereka rasa simpati atau belas kasihan kepada pahlawan jaguh politik Permatang Pauh itu.

4) Menilai diri Anwar Ibrahim tidak mahu bersumpah untuk menafikan dia meliwat Mohd.Saiful BukhariAzlan kerana sumpah tidak bersifat mahkamah menentukan salah atau benar seseorang.

Dua perkara yang tidak boleh ditolak mengapa calon BN kalah di sana, ialah kefahaman para pengundi akan debat antara Menteri Penerangan, Dato Shabery Chik dengan Anwar Ibrahim dan debat antara bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Tan Sri Dr. Koh Tsu Koon dengan Ketua Menteri pulau itu, Lim Guan Eng.

Sebenarnya umpat dan keji, maki dan hamun kepada peribadi Anwar Ibrahim oleh pihak Barisan Nasional telah menjadi satu kempen untuk mempopularkan beliau dan menjadi para pengundi ingin membantu beliau untuk bangun.

Para pengundi di jaga mengambil kira, iaitu mengapa Abdullah Badawi tidak datang ke sana pada peringkat awal pilihanraya, sebaliknya beliau telah datang pada peringkat akhir.

Sebenarnya Barisan Nasional telah kehilangan undinya di kalangan MCA dan parti Gerakan kerana pengudi-pengundi yang terdiri dari orang Cina dan India beralih kepada Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan mahu melihat kejayaan Pakatan Pembangkang membentuk kerajaan baru di negara ini.

Barisan Nasional telah kehilangan banyak undi dari UMNO kerana ramai dari ahlinya yang telah secara diam-diam beralih kepada PAS dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Mereka melihat, setelah tahun 2010 UMNO tidak akan bingkas lagi kerana tidak ada tokoh yang boleh menggantikan Abdullah Ahmad Badawi.

Pada jam 10.00 pagi ini, Anwar Ibrahim telah mengangkat sumpah sebagai ahli Dewan Rakyat (Permatang Pauh) di hadapan Speaker Dewan Rakyat, Pandikar Amin Mulia.

Anwar juga dengan persetujuan anggota-anggota PAS telah dlantik memegang jawatan Ketua Pembangkang dalam Dewan Rakyat mengisikan tempat yang dikosongkian oleh isterinya, Datin Seri Wan Azizah Ismail.

Walaupun laung Anwar Ibrahim untuk menubuhkan Kerajaan Pakatan Rakyat pada pertengahan bulan September ini dianggap oleh pihak UMNO dan Barisan Nasional sebagai angan-angan atau gembar gemburnya sahaja, tetapi dengan adanya beliau dalam Dewan Rakyat akan menjadi para menteri dan semua ahli dewan itu dari Barisan Nasional tidak dapat tidur sebagai pada masa yang lalu.

Sungguhpun Anwar Ibrahim dianggap ‘jaguh politik’, tetapi sebagai harapan Pandikar Amin Mulia agar beliau dapat bekerja untuk memberi buah fikiran kepada Dewan Rakyat.

Kita juga berharap, Anwar Ibrahim yang berakhlak mulia itu dapat membentuk beberapa ahli dewan pihaknya yang kurang berlaku sopan dalam dewan tersebut.

Anwar Ibrahim patut sedar, walau bagaimana cemerlangnya seseorang ahli politik, tetapi kalau dia tidak berakhlak mulia, maka dirinya dan partinya akan menerima nama yang buruk.

KUALA PILAH

RUMAH REHAT PASAR ARAK


Mungkin Majlis Daerah Kuala Pilah memejamkan mata atau sengaja mengenepikan yang agama Islam melarang orang Islam meminum dan menjalankan perniagaan arak ataupun Pejabat Agama Islam di sana membenarkan Rumah Rehat milik kerajaan di bandar tersebut menjual arak.

Mungkinkah Kerajaan Negeri Sembilan membenarkan Rumah Rehat milik kerajaan menjalankan perniagaan arak.

Pada malam Isnin yang lalu saya telah tersesat dalam bandar Kuala Pilah. Untuk mencari kedai makanan, saya telah singgah di Rumah Rehat yang terletak atas bukit di tepi rimba.

Saya tidak jadi makan di situ, kerana restoran di situ dijalankan oleh orang Cina dan saya tidak dapat mempastikan sama ada makanan yang dijual di situ halal atau tidak.

Saya mendapati di tingkat atas rumah rehat itu ramai orang India dan Cina sedang minum arak (beer) dan botol-botol biar yang kosong bersepah di atas lantai dan yang masih berisi banyak di atas meja-meja di situ.

Ada beberapa orang kelihatan telah mabuk dan ramai yang bercakap-cakap dengan suara yang nyaring dan ketawa yang bunyinya menakutkan.

Saya kira langkah pihak Majlis Tempatan atau Bandaran Kuala Pilah membenarkan Rumah Rehat kerajaan menjual arak adalah berlawanan dengan amalan Islam Hadhari yang sedang dilaksanakan oleh Kerajaan Pusat dan kerajaan-kerajaan negeri.

Eloklah Menteri Besar, Dato’ Seri Haji Mohamad Hassan mengambil tahu akan perkara tersebut agar nama baik kerajaan Negeri Sembilan tidak tercemar.

QURAN


Allah menyusut (mengurang)kan (kebaikan harta yang didapati dengan melalui) riba dan Dia mengembangkan harta (berkat) yang mengeluarkan sedekah – zakat. Dan Allah tidak suka kepada mereka yang terus kekal dalam kekufuran dan selalu melakukan dosa.

(Al Baqarah: 276).

HADIS


Sabda Nabi Muhammad s.a.w.: Sesungguhnya benar itu ketenangan dan dusta keraguan.

Perawi: Imam Tarmizi.

PETUA


Petua para ulama Melayu: Jika hendak melantik pemimpin, pilih yang ada lima perkara dan tidak ada lima perkara, iaitu,

1: Ada pengetahuan agama Islam,

2: Berakhlak mulia,

3: Tidak bercakap takbur,

4: Tidak berdusta,

5: Tidak bersumpah kerana menegakkan kebenaran diri tanpa pengadilan.

Tidak ada lima perkara, iaitu,

1: Jahil pengetahuan agama Islam,

2: Tidak berakhlak mulia,

3: Bercakap takbur,

4: Banyak berdusta,

5: Bersumpah atas nama Allah kerana menegakkan kebenaran diri sendiri tanpa pengadilan (cara syariah).

Tuesday, August 26, 2008

TERATAK ZAABA

Setiap guru dan penulis amat mengetahui pendeta Zaaba atau Zainal Abidin Ahmad. Guru sekolah, pensyarah Maktab Perguruan Sultan Idris, Tanjung Malim dan ahli bahasa Melayu.

Zaaba telah menghasilkan banyak buku ilmu pengetahuan dalam bahasa Melayu.

Pada tahun 1930-an, Zaaba telah menulis banyak artikel meengenai kemiskinan wang ringgit, harta benda dan ilmu pengetahuan di kalangan orang Melayu. Allahyarham juga sama-sama berjuang dengan Dato’ Onn Jaafar menentang Malayan Union dan menuntut kemerdekaan Tanah Melayu.

Allahyarham telah lama meninggal dunia.

Sebagai mengabadikan perjuangan, kerjaya dan jasanya, maka Kerajaan Negeri Sembilan telah membina ‘Teratak Zaaba’, atas sebidang tanah di Batu Kikir. Teratak yang berbentuk rumah orang Minangkabau itu diperbuat dari kayu dan berwarna hitam yang dibina mengikut bentuk rumah Zaaba sendiri.

Dalam teratak itu dijadikan muzium kecil yang berisi barang- barang peninggalan Zaaba, seperti buku-buku karangnya, tiga buah mesin tulis miliknya, alat-alat kerja menulisnya seperti botol dakwat, pena dan sebagainya.

Di sekitar belakang teratak tersebut, dalam sebuah bangunan dipamerkan alat-alat pertanian yang pernah digunapakai oleh Zaaba, seperti lesung kaki, alat-alat pengipas padi dan beras, kepuk padi dan sebagainya.

Di luar bangunan itu terdapat satu kawasan kecil tanaman pokok-pokok herba yang dulunya pernah ditanam oleh Zaaba, di antaranya pokok bongsai, lempoyang, mascotek dan misai kucing.

Sayangnya teratak ini tidak diletak dibawah muzium negara atau Kementerian Kebudayaan dan Warisan. Ia diletak dibawah Perbadanan Muzium Negeri Sembilan.

Mungkin kerana kekurangan wang atau sebab-sebab lain, saya mendapati bahan-bahan yang dipamerkan di dalamnya, seperti buku dan gambar-hambar tidak dijaga dengan rapi tidak diawet, maka semuanya telah hampir rosak.

Sepatutnya pihak Perbadanan Muzium Negeri Sembilan menjaga dengan baik semua bahan-bahan yang dibapkir itu di teratak tersebut termasuk alat-alat pertanian.

PAS DAN PEMBANGKANG

IDEOLOGI BERCANGGAH

Oleh: Mokhtar Petah


Ucapan wakil Pas Pahang, Hamzah Jaafar, dalam Muktamar Tahunan PAS Ke–54, di Ipoh, pada 16 Ogos lalu menarik, kerana beliau yakin parti tersebut akan menjadi sebagai sepasang suami isteri yang tidak berbahagia.

“Sebagai suami kita mesti selalu cakap ‘I love you. Kalau boleh hari-hari kita kena cakap ‘I love you’ kepada isteri walaupun sebenarnya tidak sayang,” kata Hamzah Jaafar.


Pandangan Hamzah Jaafar itu sebagai mewakili sejumlah besar ahli parti Islam yang ditubuhkan pada tahun 1951 itu.Pandangann itu seperti yang ada dalam hati Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang dan mereka yang faham yang agama Islam tidak membenarkan para pemeluknya berkongsi kuasa atas sesebuah negara dengan orang bukan Islam.

Nabi Muhammad yang telah memeteraikan perjanjian kerjasama antara masyarakat Islam dengan masyarakat Yahudi di Madinah yang terkenal dengan Piagam Madinah, tetapi tidak bekerjasama dalam bidang politik dan pemerintahan dengan orang Yahudi dan mereka yang tidak beragama Islam.

PAS tidak akan kekal kerjasamanya dengan parti-parti non-Islam dalam Pakatan Rakyat, kerana ideologi yang dianutinya berbeza dan berlawanan dengan ideologi parti-parti politik dalam Pakatan Rakyat itu.

Semenjak ditubuhkan pada tahun 1951, PAS yang banyak berpandu kepada parti Islam Ikhwanul Muslimin Mesir, berideologikan Islam dan meletakkan parti politik itu sebgai sebuah parti Allah atau hizbullah.

Sebilangan ahli-ahli PAS yang tidak kuat berpegang kepada ideologi Islam dan hanya bertujuan untuk menumbangkan Kerajaan Barisan Nasional telah menjadi terumbang-ambing – ada kala cenderong kepada kebangsaan – kapitalis seperti yang dibawa UMNO dan ada kalanya cenderung kepada sosio-demokrasi seperti yang diamalkan oleh DAP dan Parti Keadilan Rakyat (PKR).

Disebabkan didorong oleh nafsu besar kalangan orang muda dalam PAS untuk menghancurkan UMNO dan Kerajaan Barisan Nasional, maka mereka telah menerima DAP dan PKR sebagai rakan kerjasama.

Seperti pendapat penulis dan Ketua Pengarang Mingguan Siasah, Encik Mohd. Sayuti Omar, bahawa dalam PAS kini ada golongan muda sekular dan mereka itu sebagai melakukan tekanan kepada kepimpinan PAS dan Datuk Nik Abdul Aziz bin Nik Mat.

Saya membuka kembali sejarah perjuangan PAS, pada masa yang lalu, PAS tidak pernah bekerjasama dengan parti-parti non-muslim untuk menjatuhkan UMNO dan Barisan Nasional. Parti itu tidak pernah bekerjasama dengan Parti Progresif Rakyat (PPR) yang berpusat di Ipoh sebelum berlaku tragedi 13 Mei1969.

Pada masa ini, kerana golongan ulama dalam PAS kelihatan lemah disebab tekanan golongan yang mahu berkuasa dan tidak menghiraukan apa yang akan berlaku ke atas parti itu, maka kerjasama dengan parti-parti pembangkang telah terjalin.

Setiap orang Islam yang tegar iman memang menyokong PAS untuk menegakkan negra Islam, tetapi tidak semua menyokong parti itu yang bekerjasama dengan DAP dan PKR kerana hendak memusnahkan UMNO – parti politik orang Melayu dan Islam.

Jika PAS sanggup bekerjasama dengan parti politik yang menentang negara Islam kerana hendak menghancurkan parti politik bangsa Melayu dan umat Islam, maka boleh dianggapkan sebilangan dari ahli-ahli PAS sama dengan para pengikut Abdullah Ibnu Ubay pada zaman Nabi Muhammad.

Sesungguhnya, semua parti politik yang menganut ideologi yang lain dari Islam tetap tidak inginkan Islam berakar umbi, kuat dan apa lagi wujud negara Islam di Malaysia.

Kongres Kebangsaan DAP, di Kuala Lumpur telah menolak dengan keras akan Negara Islam seperti yang diperjuangkan oleh PAS.

Datuk Seri Anwar Ibrahim yang pada masa memimpin Angkatan Belia Islam (ABIM) dan pada hari-hari beliau berjuang dalam PAS bersama Presiden, Allahyarham Datuk Hj. Fadzil Mohd. Nor, beliau telah memperlihatkan azamnya untuk mnenegakkan negara Islam.

Tetapi, apabila beliau termasuk perangkap Dr. Mahathir Mohamad dan setelah mendapat kedudukan dan kemewahan, maka suara Anwar Ibrahim telah berubah, beliau telah menjadi seorang tokoh kapitalis dalam UMNO dan menentang Malaysia dijadikan Negara Islam.

Allah telah memberi satu contoh dalam Quran yang boleh menjadi panduan atau teladan para ahli PAS, iaitu kisah Qarun yang alim, tetapi setelah dia menjadi kaya raya, dia menentang Nabi Musa yang memperjuangkan Islam, bahkan dia menentang Tuhan.

Pendeknya PAS tidak akan selamat dan tidak akan mencapai cita-citanya untuk menegakkan negara Islam jika ia terus bekerjasama dengan parti-parti politik dalam Pakatan Pembangkang.

Jika PAS meneruskan juga dengan Pakatan Pembangkang, ia mungkin boleh menumpang kejayaan (mungkin) menumbangkan UMNO dan Barisan Nasional, tetapi ia tetap akan diketepikan oleh pihak parti-parti rakannya.

Akhirnya PAS akan menerima nasib seperti seorang perempuan yang pada masa gadisnya bernafsu besar untuk bersuamikan lelaki kaya dan berkedudukan, tetapi akhirnya hajatnya tidak sampai dia telah menjadi janda yang membilang kepada suami.

Percayalah, jika PAS terus dengan Pakatan Pembangkang dengan tujuan untuk menumbangkan kerajaan pimpinan UMNO dan Barisan Nasional, maka ia akan menghadapi musuh dalamnya, iaitu DAP yang menentang sebarang usahanya untuk menegakkan negara Islam.

Dalam Pakatan pembangkang, boleh dinisbahkan, PAS seperti seekor kambing baka baik, DAP sebagai seekor serigala dan PKR sebagai seekor musang, ketiga-ketiga-tiga jenis haiwan itu gemar makan buah betik masak. Dalam merebut betik masak, PAS akan menjadi kempunan dan mungkin dirinya sendiri dimakan oleh dua jenis haiwan itu.

QURAN


Wahai orang-orang yang beriman, sesiapa di antara kamu berpaling tadah dari agamanya (jadi murtad), maka Allah akan mendatangkan satu kaum yang Dia kasihkan mereka dan mereka kasihkan-Nya; mereka itu bersifat lemah lembut terhadap orang-orang yang beriman dan berlaku tegas dan gagah terhadap orang-orang kafir. Mereka berjuang dengan bersungguh-sungguh pada jalan Allah. Dan mereka tidak takut kepada celaan dari orang yang mencela. Yang demikian itu adalah limpah kurnia Allah yang dikurniakan-Nya’ kerana Allah Maha Luas limpah kurnia-Nya, lagi meliputi pengetahuan-Nya.

( Al Maidah: 54)

HADIS


Sesiapa yang menuntut ilmu dengan tujuan menyayangi ulama atau mempermainkan orang-orang bodoh dan supaya dihormati oleh manusia, Allah akan memasukkannya ke dalam neraka.

Perawi: Imam Tarmizi

PETUA


Petua orang tua-tua Melayu, orang yang mengunakan sumpah (dengan apa cara sumpah) untuk menunjukkan dirinya benar, maka dialah orang yang benar-benar melakukan kesalahan.

Tuesday, August 19, 2008

KEMERDEKAAN


Merdeka! Merdeka!! Merdeka!!!

Laung Abu Bakar Al Baqir,

Parti Islam Hizbul Muslimin,

Dr. Burhanuddin Helmi dan Ishak Haji Muhammad.

Parti Kebangsaan Melayu Malaya.


Satu bangsa; bangsa Melayu,

Satu negara; negara Melayu,

Satu bahasa; bahasa Melayu,

Islam, agama negara Melayu.

Cita dan nekad bangsa kita.


Hidup Melayu!

Laung Dato’ Onn Jaafar,

Dari Kampung Baru ke puncak Titiwangsa,

Menguak ombak Selat Melaka,

Merentang angin di Langkawi.

“Tangkap semua!!!” pekik Dato’ Onn Jaafar,

Polis orang putih bertindak,

Tangkap Abu Bakar al Baqir, Ishak Haji Muhammad,

Semua pejuang tanah air ditahan,

Dalam khemah tahanan di merata-rata.


“Merdeka! Merdeka!! Merdeka!!!

Laung Tunku Abdul Rahman,

Pada bulan, pada bintang di dada langit.

Bisik British,

Bisik syaitan penjajah,

“Malays stop, no power stop,

jv country and jv independence”.


Bangsa Melayu layu,

Jadi kaum dalam dua bangsa baru,

Jiwa Melayu terjajah,

Bercakar sama sendiri,

Melaung sampai ke bulan,

Tahi lekat celah gelegar.

“Penjajah bentuk baru!” pekik Soekarno,

Ombak terhenti di Selat Melaka,

Angin patah di Gunung Jerai,

Semangat Melayu rebah di Kota Melaka.


Merdeka! Merdeka!! Merdeka!!!

Laung guru dan semua murid,

Tanah sekangkang kera entah ke mana,

Bahasa Melayu bak pegaga layu di huma,

Pandai anak Melayu jadi hamba,

Kera di hutan ketawa,

Bayi Melayu dalam buaian, lapar,

Susu ibu dihisap kera,

Puting ibu jadi barah payu dara.


Sayup-sayup suara Pak Pandir,

Megah dek tanjak kampung tergadai,

Badan merempat di bumi sendiri,

Yang berjuang kurang jujurnya,

Suara naga berjalan semut.


Kata ulama,

“Islam agama Allah,

Pegang sungguh-sungguh,

Jihad dan teguh iman,

Bangsa Melayu akan bangun semula,

Satu bangsa direda Allah”


Pulau Sabang, Aceh Mokhtar Petah

QURAN


Ingatlah, kamu semua adalah orang-orang yang diajak untuk menafkahkan (harta kamu) sekalian pada jalan Allah. Maka, ada di antara kamu semua ada orang yang kikir (bakhil), dan sesiapa yang kikir (bakhil), sesungguhnya dia kikir (bakhil) terhadap dirinya sendiri. Dan Allah yang Maha Kaya sedangkan kamu sekalian adalah orang-orang yang memerlukan(Allah); jika kamu berpaling nescaya. Dia akan menggantikan (kamu) dengan kaum yang lain dan mereka tidak seperti kamu semua.

(Muhammad: 38)

HADIS


Rasulullah Muhammad s.a.w. melaknat sepuluh orang dalam golongan orang yang (melibatkan diri) dengan arak:

1 - Orang yang memerahnya (buah anggur untuk dijadikan arak),

2 - Orang yang diminta diperahkan (buah anggur),

3 - Orang yang meminum,

4 - Orang yang membawa,

5 - Orang yang yang meminta dihantar kepadanya,

6 - Orang yang menuang,

7 - Orang yang menjual,

8 - Orang yang makan (wang) harganya,

9 - Orang yang membeli dan

10 - Orang yang minta dibeli untuknya.

Perawi: Tarmuzi dan Ibnu Majah.

PETUA


Untuk menjadi penulis yang baik hendaklah ada sepuluh perkara:

1 - Rasa tanggungjawab,

2 - Tekun,

3 - Sabar,

4 - Mengkritik diri dan orang lain dan

5 - jujur dan amanah,

6 - Arif akan perkara yang hendak ditulis,

7 - Faham akan hala tuju tulisan,

8 - Berani,

9 - Bertujuan membetul atau menasihat,

10 - Tidak cenderung kepada memburuk atau menghina seseorang atau kumpulan.

Monday, August 18, 2008

RAJA MUDA PERAK DAN HAJI HADI

RAJA MELAYU KETIGA MESRA ISLAM

Oleh: Mokhtar Petah


Berita Raja Muda Perak, Raja Dr.Nazrin Shah menerima mengadap Presiden PAS, Datuk Seri Haji Abdul Hadi Awang dan Mursyidul ‘Am merangkap Menteri Besar Kelantan, Datuk Haji Nik Abdul Aziz Nik Mat, pada 14 Ogos lalu, adalah Raja Melayu yang keempat mesra Islam dan menaruh perhatian kepada perjuangan umat Islam.

Raja Melayu yang pertama mesra Islam, ialah Sultan Kelantan, yang kedua Almarhum Sultan Perak, Sultan Idris Shah dan yang ketiga Sultan Terangganu dan kini Yang Dipertuan Agong Malaysia.

Haji Abdul Hadi mengetuai beribu-ribu ahli PAS yang mengadakan muktamar parti tersebut di Ipoh.

Menyertai Haji Abdul Hadi mengadap Raja Dr. Nazrin ialah Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Pesuruhjaya PAS Perak, Ustaz Haji Ahmad Awang.

Raja Dr. Nazrin adalah terkenal sebagai waris Sultan Perak yang berfikiran terbuka dan menaruh perhatian yang serius kepada agama Islam dan perjuangan umat Islam, sama ada dalam ekonomi mahupun politik.

Baginda juga telah berkenan Haji Abdul Hadi Awang dan Nik Abdul Aziz membaca khutbah Jumaat di Masjid Negeri dan Masjid Sultan, Masjid Sultan Idris Shah II, di Ipoh.

Malangnya media kerajaan, BERNAMA telah mengelirukan ‘sikap suci’ Raja Muda Perak itu dengan menyebarkan berita kononnya, dua orang tokoh PAS itu dilarang oleh Raja Muda untuk membaca khutbah di masjid-masjid, di Ipoh.

Raja Muda Dr. Nazrin Shah amat mengetahui akan perbezaan antara agama Islam dengan agama Kristian, iaitu Islam sebuah agama yang ada politik di dalamnya, iaitu politik berdasarkan Quran dan Sunnah dan Kristian menolak politik, iaitu agama tersebut tidak ada politik.

Amalan pihak-pihak tertentu melarang orang-orang politik Islam berkhutbah dalam masjid, adalah mengikut ajaran atau fahaman orang-orang Kristian.

Sesungguhnya, Raja Dr. Nazrin yang bakal menaiki takhta kerajaan Perak telah ditaufik dan hidayatkan oleh Allah. Beliau adalah satu-satunya waris Raja negeri yang memahami agama Islam secara menyeluruh.

Allah telah mentakdirkan selepas pilihan raya ke- 12, Menteri Besar Perak dari tokoh PAS, iaitu Mohammad Nizar Jamaluddin.

Mengambil rasa besar hati dari pertemuan Raja Dr. Nazrin Shah dengan para pemimpin PAS itu, saya berharap kerajaan Perak dapat mengkaji semula undang-undang syariah di negeri itu kerana terdapat di antara undang-undang yang dipraktikkan tidak sesuai dengan Islam.

Di antara undang-undang itu, ialah mengenai khalwat dan zina. Dalam Islam tidak ada undang-undang cegah khalwat (duduk berdua-duaan lelaki dan perempuan yang sah nikah di tempat sunyi), tetapi boleh diguna undang-undang dengan tujuan mencegah perbuatan maksiat.

Tidak wujud undang-undang mengenai zina dihukum dengan menguntungkan kerajaan, iaitu denda. Dalam Quran, surah Nur (2):

Perempuan yang berzina dan lelaki yang berzina, maka deralah tiap-tiap seorang dari keduanya seratus kali dera (sebatan), dan jangan belas kasihan kepada keduanya mencegah kamu untuk (menjalankan) agama Allah, jika kamu beriman kepada Allah dan hari akhirat, dan hendaklah (pelaksanaan) hukuman mereka disaksikan oleh sekumpulan orang-orang yang beriman.


Undang-undang khalwat dan zina yang diamalkan di Perak, selain dari dikenakan hukuman penjara, dikenakan hukuman denda. Hukuman denda yang menguntungkan kerajaan tidak ada dalam Islam.

Dalam Islam, semua undang-undang (hudud), kepada yang bersalah dikenakan hukuman seperti potong tangan, bunuh dan sebagainya. Tidak ada denda.

Hukum denda atas pesalah zina dan khalwat, wang hasil denda itu sama dengan wang yang dipungut oleh ibu atau bapa ayam di sarang-sarang pelacuran dari orang-orang lelaki yang melacur.

Wang hasil denda itu dimasukkan ke dalam Perbendaharaan Negeri. Wang itu bercampur dengan wang yang didapati dari berbagai sumber. Kemudian dibayar gaji para pejawat kerajaan, termasuk kadi, guru agama dan iman masjid.

Mungkin Raja Dr. Nazrin Shah bersetuju, kerana dalam Quran ada tegahan ke atas perempuan Islam mendedahkan aurat, maka undang-undang syariah Negeri Perak elok dipinda dan ditambah dengan undang-undang menegah perempuan mendedah aurat, iaitu tidak bertudung kepada di luar rumah dan membuka sebahagian dada, perut dan pusat.

Kerana Raja Melayu menjadi ketua Hal Ehwal Agama Islam dan Adat Istiadat Melayu negeri masing-masing, maka undang-undang Islam perlulah dilaksanakan dengan betul agar yang memikul bebanan itu tidak ditimpa bala oleh Allah.

QURAN


Dan apa jua perintah yang dibawa oleh Rasulullah s.a.w. kepada kamu, maka terimalah dan amalkan. Dan apa jua yang dilarang kamu melakukan, maka patuhilah larangan itu.

( Al Hasyr: 7)

HADIS


Rasulullah Muhammad s.a.w. telah bersabda: Tidak halal darah seseorang muslim yang mengucap dua kalimat syahadat: Aku mengaku (bersumpah) tiada tuhan melainkan Allah dan aku mengaku Nabi Muhammad adalah utusan Allah, kecuali (kerana) tiga perkara, iaitu: Janda yang berzina, nyawa dengan nyawa (pembunuhan) dan meninggalkan agamanya (Islam) dan memisahkan dirinya dari jemaah (Islam).

Perawi: Ibni Masu’ud radiallahu ‘anhu.

PETUA


Jika perasaan marah telah menyelubungi diri pada waktu kita berdiri, maka untuk mengurangkan perasaan itu, ialah duduk, jika pada waktu duduk, maka berdiri, atau mengambil air sembahyang. Jika tidak kurang juga kemarahan itu, maka sembahyang sunat taubat atau sunat lain.

Insya Allah kemarahan itu hilang.

Sunday, August 17, 2008

Universiti Islam Madinah

Kuala Lumpur: Universiti Islam Madinah telah membuka cawangannya di Shah Alam dengan tujuan memudahkan para pelajar Malaysia melanjutkan pelajaran dalam bidang agama Islam.

Satu pengumuman pihak universiti itu, bahawa para pelajar Malaysia – sama ada masih muda mahupun telah dewasa diterima melanjutkan pelajaran di cawangan universiti tersebut sekiranya mereka mempunyai syarat yang ditentukan.

Syarat itu, semua calon mahasiswa universiti Madinah mestilah tamat Sijil Tinggi Agama Islam atau tamat tingkatan lima sekolah menengah agama Islam dan lulus dalam bahasa Arab.

Di antara jurusan dikemukakan di cawangan universiti tersebut ialah perundangan Islam – ilmu fiqh.

Mereka yang diterima melanjutkan pelajaran ke cawangan unviersiti tersebut akan dihadiahkan biasiswa

FILEM SEJARAH PASIR SALAK


MINTA JINS SHAMSUDDIN TUNAI JANJINYA?


Ipoh: Persatuan penulis dan peminat Sastera Perak (PENTAS) meminta seniman dan Senator Jins Shamsuddin menunaikan janjinya untuk menerbitkan filem perjuangan orang Melayu Pasir Salak yang hingga kini tidak mendengar khabar dan beritanya.

Presiden persatuan tersebut, Encik Osman Bakar memberitahu, pihaknya akan mengambil langkah-langkah tertentu supaya wang Yayasan Perak yang dikeluarkan untuk projek filem itu lebih RM1 juta tidak hilang begitu sahaja.

“Kami tahu wang itu telah dikeluarkan oleh Yayasan Perak kepada Jins Shamsuddin pada tahun 1995, tetapi hingga kini filem itu tidak diterbitkan dan wangnya entah ke mana,”kata Osman Bakar.

“Kami harap Menteri Besar Perak, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin dan Badan Pencegah Rasuah dapat menyiasat perkara filem Pasir Salak dan wang Yayasan Perak yang lesap itu,” katanya lagi.

“ Wang itu dikeluarkan kepada Jins Shamsuddin pada masa Datuk Anwar Zaini (kini pengerusi BERNAMA) menjadi ketua eksekutif yayasan itu, iaitu pada masa Tan Sri Ramli Ngah Talib menjadi Menteri Besar,”tambahnya.

Menurut Osman Bakar, bahawa persatuannya mahu Jins Shamsuddin memulangkan balik wang itu kepada Yayasan Perak jika filem itu gagal diterbitkan.

Dalam buku Kejayaan Bersama yang ditulis oleh Mokhtar Petah, pada tahun 1995, telah menerangkan:

‘Khabar yang sedang dipendam dan akan menjadi ‘isu hangat’ dan sedang digunakan oleh beberapa orang wakil rakyat yang ‘menyembunyikan keris’ di belakang Menteri Besar ialah tentang Yayasan Perak telah ‘melabur atau menabur’ wang yang banyak kepada sebuah syarikat yang dikelolakan oleh Datuk Jins Shamsuddin. Syarikat itu akan membuat filem sejarah Pasir Salak yang dinamakan ‘King Of The River’ – sebuah filem bahasa Inggeris yang dibiayai oleh sebuah syarikat filem dari negara Inggeris.

Saya telah mengkaji nama filem itu dan membaca skripnya dari seorang keturunan Sultan Abdullah, maka saya mendapati filem itu kalau ditayangkan nanti tidaklah menimbulkkan kebaikan kepada sejarah perjuangan bangsa Melayu dalam zaman Sultan Abdullah, Dato’ Sagor, Dato’ Maharaja Lela dan pahlawan-pahlawan Melayu yang lain, sebaliknya menghina atau sekurang-kurangnya merendahkan bangsa Melayu.

Mengapa Yayasan Perak tidak meminta fikiran dari para penulis, sasterawan, budayawan dan para intelektual Melayu Perak mengenai filem itu sebelum mengeluarkan wang yang begitu banyak? Tidakkah terfikir, bahawa wang milik Yayasan Perak itu adalah wang kerajaan dan rakyat? Ertinya wang tidak kepunyaan individu yang boleh dilaburkan (ditaburkan) sesuka hati.’


Kalangan budayawan di Negeri Perak berpendapat, bahawa wang yang banyak, iaitu adalak kepunyaan kerajaan negeri Perak dan rakyat, maka Menteri Besar sekarang perlu melakukan tindakan supaya orang ramai mendapat tahu apa telah jadi dengan filem Pasir Salak itu.

Menurut mereka, Datuk Anwar Zaini yang bertanggungjawab mengeluarkan wang tersebut perlu memberi penjelasan kerana mereka mendapati seperti ada penyelewengan.

Ramli Ngah Talib pada masa memegang jawatan Menteri Besar pernah bersungut tentang wang lebih RM1 juta itu kepada seorang penulis di Kuala Lumpur dan beliu menyalahkan pihak Yayasan Perak.

(Laji Lamin).