“…tanah liat, emak.”
“Ia, ni, tanah liat.”
“…Allah jadikan manusia, … tanah liat juga, emak.”
“Ia, sungguh, …Nabi Adam alaihis salam.”
“Nak buat apa tanah liat ni, emak?”
“…ada guna, ni rezeki kita, ‘Alimin.”
“Al hamdulillah.”
“…nak buat apa, emak?”
“Buat labu tanah, ‘Alimin.”
“…labu tanah?”
“Ia, labu tanah,…labu Sayung.”
“Labu Sayung?”
“Ia, labu Sayung, boleh isi air,…jadi penawar.”
“Ia, emak?”
“Ia, sungguh. Labu tanah ada di mana-mana,…sampai di istana.”
“Bagus tu, emak.”
Angguk.
“…tanah ni,…parit tu,…bukit sana tu…”
“Ngapa, emak?”
“Ayah kamu beli.”
“Luas, emak?”
“Tiga ekar aje...”
“Luas tu, emak.”
“…kata orang, sekangkang kera.”
‘Alimin sengeh.
“…ayah kamu beli tanah ni,…duit dia,…duit mas kahwin emak.”
“…ia, emak?”
Angguk.
“…berapa harga, emak?”
“Tiga ratus, lima puluh tujuh ringgit, lima kupang...”
“Kalau pada masa ni murah, emak.”
“Ia,…tapi pada masa tu, nak cari lima ringgit aje pun, merah biji mata dibuatnya.”
“Ia, emak.”
“Atas tanah ni ada lima enam pokok durian.”
“Ia, emak.”
“…pokok asam gelugur, macang, langsat pun ada.”
“Ia, emak.”
“Pokok cempedak, manggis, … pokok bangkung pun ada , ‘Alimin.”
“Ia, emak. Buah bangkung tu makan biji aje,emak.”
“Di tepi paya tu ada pokok legundi,”
“…pada masa dulu orang-orang negeri Perak lawa-lawa, sebab makan daun legundi.”
“…emak harap benor, cucu-cucu emak dapat makan buah durian, manggis tu….”
“Anak-anak saya, emak?”
“Ia, anak-anak siapa lagi, …kan ‘Alimin anak tunggal emak?”
“Ia, entahle, emak.”
“…wasiat ayah kamu…”
“Apa emak?
“…rumah ni, tanah, tanah liat untuk kamu ‘Alimin, pusaka kami.”
Angguk.
“Untuk kamu.”
“Ia, emak. Al hamdulillah.”
“ Dalam lemari tu, dalam kain hitam, …ada Quran.”
“Quran…?”
“Aruah ayah kamu beli di Madinah…, aruah tu beli untuk kamu.”
“Dia pesan…”
“Apa, emak?”
“…dia pesan, kamu anak lelaki, ikut Quran, berani jihad, tak takut mati kerana Allah.”
Malam sepi. Kampung Sayung berbungkus dalam cahaya purnama. ‘Alimin - pemuda bujang-, terkenang akan madah ibunya dan kalamnya sendiri. Percakapan mereka pada malam Lailatul Qadar. Bulan Puasa. Lebih sepuluh tahun lalu. Madah ibunya sebuah madah wasiat kepada dirinya. Anak jantan.
Pada malam itu, ‘Alimin duduk atas kerusi tua tepi jendela. Harum bunga melati di pohon yang menemani rumahnya membuai dan meresap ke dalam paru-paru dan jantungnya. Dari situ dua biji matanya memanjat puncak gunung Sayung dalam pelukan awan kelabu. Rindu kepada ibunya bukan kepalang. Rindu. Sedih. Sayu memamah hatinya.
Sebulan yang lalu, malam Lailatul Qadar juga, ibunya telah dijemput Tuhan ke alam baqa. Ibu dan bapanya berada di syurga. Mereka menunggunya di sana. Begitu harapan ‘Alimin.
“Ya Allah! Ampunkanlah dosa emak, dosa ayahku. Kau masukkanlah hamba-hamba-Mu itu ke dalam syurga-Mu dengan reda-Mu, amin,” madah doa ‘Alimin kepada Allah, terluah dari celah dua bibirnya.
Alimin mengalihkan dua bola matnya dari puncak gunung. Dia mencampakkan renungannya ke sekitar perut rumahnya. Rumah pusaka peninggalan ayah dan ibunya. Rumah kayu beranjung dan berbumbung lima. Sepi bagaikan dalam perut gua. Sedih meratah hatinya.
Alimin masih ingat; patriot-patriot tanah air pernah singgah di rumah ayah dan ibunya itu. Mereka itu, Dr. Burhanuddin Helmi, Ishak Haji Muhamamad, Ustaz Abu Bakar Al Baqir, Ahmad Boestamam, Abdullah C.D., Abdul Rashid Maidin, Mat Judin, Behran, Ustaz Zulkifli Muhammad dan Ustaz Haji Ahmad Fuad Hassan.
Bunyi ungka jantan galak, atas pokok tualang, dalam gunung Sayung. Sedu pungguk merindukan bulan dara, di sebalik awan kelabu.
“Hai pungguk, kamu zikir nama Allah, orang jahil kata kamu rindukan bulan,” basik ‘Alimin.
‘Alimin bingkas bangun dari kerusi tua tepi jendela. Dalam cahaya lampu yang suram, dia berjalan ke arah meja tua, di sudut anjung rumah itu. Di situ dia mengambil sebuah Quran yang berbalut dengan kain hitam. Kitab wahyu Allah itu telah dibawa oleh bapanya dari Madinah. Bapanya seorang mualim yang berpegang kepada al Quran dan as Sunah. Kini kitab suci itu menjadi pusaka amat berguna baginya.
‘Alimin mengeluarkan Quran itu dari balutan kain hitam. Kitab kudus itu di angkat dan dijunjungnya. Sebaik-baik sahaja selesai mengucup kitab suci itu, dia membuka setiap lambarannya. Dari halaman pertama surah Al Baqarah (lembu betina) sampai kepada surah Al Anfal (rampasan perang).Surah Al Baraah (kebebsan), ditatapnya. Bapanya telah menggariskan dengan tinta merah di bawah beberapa ayat dalam surah-surah itu.
Alimin telah menghayati satu demi satu ayat-ayat yang bergaris merah di bawahnya. Pada waktu itu Allah dan para malaikat amat dekat dengannya. Dia seorang anak lelaki yang berani. Pada bila-bila masa dia sedia berjihad demi Allah dan kerana agama Islam. Hatinya rela benar darahnya memancut, tumpah atau melimpah ruah membasahi bumi. Daging dan urat sarafnya berkecai. Tulang dan belulangnya bergelimpangan dan berserakan di mana. Kalimat-kalimat jihad, …perang, …jihad, …perang, …jihad, …perang, membakar semangatnya. Marak. menjulang pucuk unggun apinya.
‘Perangilah mereka sampai tidak ada fitnah, dan agama seluruhhnya bagi Allah.’
‘Hai orang-orang yang beriman! Apabila kamu bertemu dengan pasukan (musuh), hendaklah kamu berpendirian teguh dan ingatkan Allah sebanyak-banyaknya.’
‘Kalau kamu menemui mereka dalam peperangan, cerai beraikan mereka (sehingga dapat menakutkan) orang-orang yang di belakang mereka.’
‘Dan orang-orang Yahudi mengatakan Uzir anak Allah. Dan penganut-penganut Kristian mengatakan Al Masih anak Allah.’
‘Mereka mengambil mualim dan paderi mereka menjadi Tuhan.’
‘Berjuanglah dengan harta dan diri kamu pada jalan Allah.’
‘Hai Nabi! Perangilah orang-orang kafir dan munafik itu dan bersikap keras kepada
mereka.’
Bapa ‘Alimin adalah salah seorang dari ahli-ahli parti politik Islam pertama di Tanah Semenanjung Melayu, Hizbul muslimin (parti orang-orang Islam). Dipimpin oleh Allahyrham Ustaz Abu Bakar Al Baqir, Gunung Semanggul, pada tahun 1945.
“Insya Allah, ayah, ‘Alimin akan jihad. ’Alimin tak akan biarkan agama kita dipecacai orang,”bisik ‘Alimim seraya memasukkan semula Quran itu dalam kain hitam.
Pada siang tadi ‘Alimin telah pulang dari sekolahnya, Darul Maarif, di utara. Dia pulang dengan menaiki bas ekspres dari Butterworth. Qismul ali tahap kelulusannya ; sama taraf dengan tingkatan enam atas. Kelulusan itu melayakkan dia melanjutkan pelajaran di mana-mana universiti Islam di seluruh dunia. Semenjak dalam qismuth thanawi - menengah-, dia bercita-cita untuk melanjutkan pelajarannya ke universiti, di Iraq. Di bumi tempat bersemadi cucu Nabi Muhammad, Hasan dan Husin. Bumi itu juga tempat bekas dan fakta sejarah keagungan Islam. Di sana juga berkuasa - pemimpin negara republik, Saddam Hussein. Pemimpin musuh ketat Yahudi atau Zionis dan penjajah - penjajah dunia.
‘Alimin masih terperosok dalam rahang duka. Dua bulan yang lalu ibunya telah berpindah dari rumah itu ke alam akhirat. Jenazahnya di semadikan dalam bumi di sisi suaminya di tanah pusara di kampung Sayung. Kira-kira seminggu ibunya telah dimamah sakit tua. Ajalnya tiba dan dia menyusul suaminya yang sedang menunggunya di alam Akhirat. Mungkin dia menanti di pintu syurga. Lelaki pejuang tanah air itu telah meninggal dunia pada masa puteranya,‘Alimin berusia lima tahun.
Beberapa jam sebelum ibu ‘Alimin menghembuskan nafasnya yang terakhir, dia telah membisikkan kepada anaknya:
“…’Alimin, …kuatkan iman pada Allah”
“Ia, emak.”
“Jihad pada jalan Allah, dengan harta, diri kamu…’Alimin.”
“Insya Allah, emak”
“Kalau ada perempuan ucap kasih kepada kamu, kamu cintakkan dia.”
“Insya Allah,emak.”
“Kamu cintakan dia, macam tanah liat pada labu tanah…”
“Insya Allah,emak.”
“…tanah liat, labu tanah satu,”
“Ia, emak”
“…orang tak sebut tanah liat,… orang kenal labu tanah.”
“Ia,emak.”
“…walaupun wacananya hitam.”
“Ia,emak.”
“…tapi itulah cinta.”
“Ia, emak.”
“Alimin, …kamu kasihkan kekasih kamu macam kamu kasihkan emak.”
“Insya Allah, emak.”
*** ***
Labu tanah - labu Sayung telah mendapat pasaran yang baik. Labu tanah telah menjadi perhiasan dalam istana-istana raja, banglo- banglo para hartawan, gedung-gedung budaya, dewan-dewan korporat dan di hotel-hotel mewah.
‘Alimin telah melihat beberapa biji labu tanah dijadikan perhiasan taman, di Jalan Parlimen, Bandaraya Kuala Lumpur. Labu-labu tanah itu bertenggek pada batu kukuh. Dari mulut semua labu itu mengalir keluar air jernih. Air itu bagaikan memuntahkan rasa kebencian kepada kemaksiatan yang menjadi perhiasan bandar raya itu.
“…boleh jadi simbol ketuanan Melayu, mungkin juga labu tu marahkan menteri, Datuk Bandar benarkan macam-macam maksiat menjalar,…meliar di merata-merata perut bandar tu,”hati ‘Alimin bersuar.
‘Alimin pewaris tukang labu tanah. Dia menjalankan perusahaan yang telah ditinggalkan oleh ibu dan bapanya. Semua labu tanahnya dipasarkan melalui peraih-peraih, Mat Tekang, Zulkifli,Uda Endut, Mat Lajim dan beberapa orang lagi. Mereka mengedarkan labu-labu tanah buatan ‘Alimin dan orang-orang kampung Sayung ke bandar-bandar besar di seluruh negara.
Ketua kampung telah menasihatkan ‘Alimin supaya meminjam wang dari institusi kewangan untuk menjalankan perusahaannya. Kata ketua kampung itu, kerajaan telah banyak membantu wang kepada orang-orang kampung menjalankan perusahaan cara kecil-kecilan. Tetapi ‘Alimin tidak mahu meminjam. Wangnya masih ada untuk menjalankan perusahaan itu. Wang simpanannya sendiri telah digunakan untuk menjalankan perusahaan labu tanahnya.
“Alimin tahu, kerajaan memang membantu orang-orang kampung. Kadang-kadang antara pemberi dengan penerima ada karenah. Sementara menunggu bantuan; kalau tidak membina angan-angan melangit, maka akan samalah dengan ‘menang sorak kampung tergadai’.
Tanah liat yang boleh dibuat labu tanah banyak dalam tanah pusaka ibu dan ayah ‘Alimin. Tanah liat itu dikorek dengan pencebak dan cangkul. Dari lubang besar bagaikan kubang badak sumbu atau lombong kecil itu, tanah liat itu diangkut ke bangsal dekat rumahnya.
Semenjak ‘Alimin belajar tafsir Quran - Allah telah mencipta manusia dari tanah liat -, dia telah belajar serba sedikit mengenai tanah tanih. Di negeri Perak terdapat banyak jenis tanah liat yang boleh dibuat bermacam-macam benda untuk keperluan manusia. ‘Alimin telah mencatatkan jenis-jenis tanah liat (clay) dalam buku ‘dana ilmunya’:
Di kampung Sayung sesuai untuk buat labu tanah.
Di Jelapang dekat Ipoh, tanah liat (clay) yang boleh buat seramik atau tembikar.
Di Bidor tanah liat ( Kaolin) (tanah liat) untuk membuat tembikar, campuran minyak gris (grease) - pelincir besi jentera -, ubatan dan alat bagi keperluan kesihatan manusia.
Tanah liar (clay) di Bercham dekat Ipoh sesuai untuk membuat pasu bunga
dan tempayan.
Tanah liat untuk dijadikan batu bata, periuk dan buyung terdapat banyak di kawasan Jalong, Sungai Siput Utara dan Bruas, Manjong.
Semua jenis tanah liat boleh dijadikan kulit (cover) bom jerangkap samar, bom Molotove, bom minyak, bom api dan bom kimia.
‘Alimin menggunakan bansal tua bengkel labu tanah peninggalan ibunya. Dengan pengetahuan dan pengalaman yang diwarisi dari ibunya dan dipungut dari dua tiga orang tua tukang labu tanah di kampungnya, dia menyambung kerjaya ibunya.
“…kita nak tahu mahir atau tidak, kreatifke, tidakke orang yang menempa labu tanah, dapat kita tengok dari labu tu juga,”kata ‘Alimin kepada dua orang pembantunya.
Dua orang pembantu setianya menjadi tenaga-tenaga mahir di bengkel labu tanah itu. Mereka memilih. Menyaring. Mengayak tanah liat yang telah dikeringkan. Menempa. Mengukir hingga membakar labu-labu tanah yang telah siap ditempa.
Dua orang pembantunya itu, Anjang Mat Ali dari Changkat Lada dan Kulup Mat Jihin dari kampung Bendang Kering. Mereka mewarisi kemahiran menempa labu tanah dari datuk dan nenek mereka.
Tiga orang perempuan; dua orang janda, Bedah dari kampung Sayung Lembah dan Itam dari kampung Kandang, bekerja sebagai pembantu menempa dan membakar labu tanah. Seorang gadis, Mimi - adik saudara ‘Alimin sebelah ibunya, bekerja sebagai kerani.
“ Mimi, kerjalah di sini dulu sementara dapat kerja di tempat lain,” ‘Alimin berkata kepada Mimi.
“Tak apa abang, biar Mimi kerja di sini, Mimi tak harap kerja di tempat lain,”sahut Mimi.
“Bukan apa, Mimi, abang ni tak boleh di harap sangat, …macam anak dagang, sampai masa entah di mana rantaunya,” balas ‘Alimin.
“…ngapa, abang, ngapa abang cakap begitu?” Mimi bertanya.
Hati Mimi diratah risau. Sedih.
‘Alimin senyum. Renungannya memeluk Mimi. Degup jantungnya kencang.
“Tak ada apa, Mimi,…abang ada cita-cita nak melanjutkan pelajaran abang,” jawab ‘Alimin.
“Oo, begitu, …tak apa, abang pergi belajar, Mimi uruskan perniagaan abang ni,”kata Mimi.
“Mimi sanggup?” Tanya ‘Alimin.
Angguk.
“ Tapi Mimi kena pandai buat labu,” kata ‘Alimin.
Mimi senyum.
“Mimi minta maaf, abang, buat labu ni macam orang beranak juga,…bila dah belajar pandaile…” Mimi berkata. Dua biji matanya memeluk tubuh ‘Alimin.
‘Alimin diam. Dia senyum.
“Ngapa abang?”
“Tak apa. Mimi pandai.”
“Abang lagi pandai.”
Kulup Mat Jihin memanggil ‘Alimin. ‘Alimin beralih dari sisi Mimi. Dia berjalan ke hujung bengkel mendapatkan tukang labu tanah itu.
Mimi berdiri tercegat di sisi meja. Sedih memamah hatinya. Abang saudaranya akan meninggalkan kampung halamannya. Dia akan ditinggalkan.
Dalam taman hati Mimi telah lama berputik rasa cinta kepada ‘Alimin. Belum sempat bunga itu kembang, dia akan ditinggalkan pula.
“…Mimi cintakan dia, tapi dia tak tau…,” Mimi bersungut sendirian.
Mimi sedar, ‘Alimin abang saudaranya, macam abang kandungnya sendiri. Dia tidak berani meluahkan perasaan cintanya kepada pemuda itu. Mimi mengaku abang saudaranya seorang yang alim. Warak. Bersopan. Tetapi, bagaimana perasaan cintanya kepada abang saudaranya kian mengembang dalam hati daranya?
“…dia dah ada kekasih agaknya?” Mimi bertanya kepada dirinya.
Mimi teringat, pada satu malam, dia telah mendengar percakapan antara ibu dan bapanya mengenai ‘Alimin.
“…’Alimin tu baik, bang,”kata isteri.
“Tu abang tau, tapi…,” sahut suami.
“Apa, bang?” Tanya isteri.
“…anak kita, Mimi tu tak belajar agama Islam, ‘Alimin tu alim, tau bahasa Arab pula tu,mana sepadan,”jawab suami.
“Abang Tanyale dia dulu, jangan-jangan dia tu ada hati pada anak kita tu,”kata suami.
“Heee, minta maaf, abang tak berani,” sambut suami.
“…dah tu, siapa yang berani bang?” Tanya isteri.
“Dah tu?” Suami menagih jawapan.
“…Milah tak,…eee taaak, dia anak saudara abang,”jawab isteri.
“Dah tu,…biar Mimi Tanya,”kata suami.
“ Merepek abang ni,…apa kata ‘Alimin,” sambut suami.
“ Apa,… dia tak kata apa,”kata suami.
“Dia tak katale, …tapi Mimi tule.”sambut isteri.
“…ngapa?” Suami bertanya.
“Macam telaga cari timba kata orang,” jawab isteri.
Mereka ketawa terkekeh-kekeh.
“Kita tunggu…”suami berkata.
“Ialah,”sambut si isteri macam orang kempunan.
Mimi menyesal. Sesalnya tak berkesudahan. Dulu ‘Alimin pernah menasihatinya supaya melanjutkan pelajaran ke sekolah agama, di Padang Rengas, Bagan Datoh, Gunung Semanggol, Kedah atau Kepala Batas, Pulau Pinang, tetapi dia sendiri tidak mahu menerima nasihat ‘Alimin. Mimi tidak yakin dengan pelajaran dari sekolah agama. Dia boleh hidup mewah macam orang-orang yang menuntut di sekolah kebangsaan kerajaan. Dia menganggap semua bekas penuntut sekolah agama ‘tak ke mana’. Mereka tidak layak memegang jawatan kerajaan. Mereka hanya layak menjadi imam masjid, noja atau siak, lebai kampung tukang, jurunikah, baca doa tahlil atau doa talkin.
Apabila Mimi menuntut dalam tingkatan lima di Sekolah Perempuan Kerajaan Kuala Kangsar, dia telah membaca catatan sejarah; ramai orang-orang lepas sekolah agama menjadi pejuang tanah air, pegawai kerajaan, wakil rakyat dan menteri kerajaan pusat.
Dato’ Haji Hassan Yunos Menteri besar Johor, bekas penuntut sekolah agama Ehya Asy syarif,Gunung Semanggol, Datuk Mohd.Asri Haji Muda bekas penuntut sekolah agama, ad Diniah, Padang Rengas menjadi Menteri besar Kelantan, Datuk Haji Ahmad Badawi ahli exco kerajaan Pulau Pinang lepasan sekolah agama di Kepala Batas, beberapa orang menteri, di antaranya Abu Bakar Hamzah pernah menjadi Setiausaha Parlimen,Datuk Mohd.Yusof Nor, Datuk Abdul Hamid Othman menjadi menteri. Dato’ Nik Aziz memegang jawatan Menteri Besar Kelantan.Ramai beks penuntut sekolah agama menjadi wartawan dan pengarang terkenal.
“Ramai pejuang tanah air, pejuang kemerdekaan pada masa penjajahan British, lepasan sekolah agama, sekolah rakyat,” ‘Alimin pernah menyelitkan kata-kata demikian pada waktu dia menasihati Mimi.
“Kita belajar untuk mendapat ilmu, bukan untuk jadi hamba orang,…bila banyak ilmu kita boleh menjadi manusia bebas, jadi ulul al bab dalam bahasa Arab, iaitu intelek atau cendekiawan,”kata ‘Alimin.
Kini kesedaran dan keinsafan mendewasakan mimi. Abang saudaranya alim. Dia menguasai bahasa Arab dan bahasa Inggeris. Di rumahnya banyak buku dan majalah bahasa Arab dan majalah bahasa Inggeris. Dia sendiri hanya membaca buku- buku bahasa Melayu dan Inggeris yang tidak ke mana isinya. Buku dongeng Melayu, Hang Tuah dibacanya berulang kali sampai otaknya menjadi biol. Majalah filem, artis dan yang tidak membentuk fikirannya menjadi kemanusiaan cendekiawan.
Mimi tahu dia berpenyakit angau. Penyakit yang menjadi wabak kepada anak-anak muda di seluruh dunia. Dia amat tahu, penyakit angau termasuk dalam kumpulan gila juga. Gila bayang, syok sendiri, cinta buta, cinta monyet dan banyak angan-angan.
“…kita yang kasihkan orang, orang tak kasihkan kita,…entah-entah dah ada orang lain,”suara hati Mimi.
“Aku cintakan abang ‘Alimin,” hati Mimi menjerit.
(Disunting dari manuskrip novel, Cinta Dan Jihad, oleh: Mokhtar Petah)
No comments:
Post a Comment