Sunday, May 17, 2009

HADI AWANG


KEKAL PRESIDEN PAS


Irwan Muhammad Zain

KUALA LUMPUR, 16 Mei (Hrkh) - Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang mengekalkan jawatan Presiden PAS bila tiada calon yang mencabar beliau untuk jawatan tersebut.

Pengerusi Jawatankuasa Pemilihan PAS, Dato' Mustafa Ali menegaskan hanya satu kawasan yang mencalonkan Tuan Guru Dato' Nik Abdul Aziz Nik Mat untuk menentang Hadi sebagai Presiden dalam pemilihan parti Jun nanti.

Setiap calon, tegas Mustafa, perlu mendapat dua pencalonan bagi melayakkan diri bertanding mana-mana jawatan yang dipertandingkan.

"Bila tarikh pencalonan ditutup 8 Mei lalu, hanya PAS kawasan Bukit Bintang mencalonkan Nik Aziz untuk bertanding jawatan Presiden.

"Lain-lain kawasan tetap mencalonkan Hadi dan kerana itu beliau yang telah menyatakan persetujuan untuk mengekalkan jawatan menang tanpa bertanding," jelas beliau kepada Harakahdaily.

Menurut Mustafa, sehingga tarikh tutup menghantar pencalonan sebanyak 137 kawasan daripada 176 kawasan telah menyerahkan senarai pencalonan mereka.

Baki 39 kawasan yang lain gagal menghantar senarai pencalonan mereka atau gagal mengadakan mesyuarat agung sebelum tarikh tutup pencalonan yang telah ditetapkan.

Seramai 125 calon layak bertanding jawatan-jawatan utama dalam parti.

Setiap calon perlu mendapatkan dua pencalonan bagi melayakkan diri untuk bertanding.

Calon-calon yang layak juga telah dihantar surat menyatakan jumlah pencalonan diterima dan perlu menjawab surat tersebut sama ada akan bertanding atau menarik diri.

Tarikh tutup membalas surat tersebut pada 25 Mei nanti.

Mustafa juga menjelaskan calon-calon yang menarik diri selepas bersetuju untuk bertanding, nama mereka akan tetap dicetak dikertas undi.

"Jumlah pencalonan kali ini merupakan terbanyak berbanding pemilihan yang diadakan sebelum ini," jelas beliau.

Bagi jawatan Pengerusi Tetap sebanyak dua calon layak bertanding manakala Timbalan Pengerusi Tetap enam calon layak bertanding.

Ustaz Abu Kassim Abdullah dan Hussain Ismail merupakan calon yang layak bertanding jawatan Pengerusi tetap.

Hussain turut dicalonkan untuk jawatan timbalan pengerusi tetap bersama Ishak Surin, Misbahul Munir Masduki, Nasuruddin Daud, Tengku Puji Tengku Hamid dan Dato' Wan Abdul Rahim Abdullah.

"Bagi kedua-dua jawatan ini hanya seorang bakal terpilih bila perwakilan membuat undian nanti," jelas Mustafa.

Lima orang dicalonkan bagi merebut jawatan Timbalan Presiden yang kini disandang oleh Ustaz Nasharuddin Mat Isa.

Empat calon lain untuk jawatan timbalan presiden terdiri daripada Dato' Husam Musa, Mohamad Sabu, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak dan Dato' Dr Haron Din.

Husam, Mohamad Sabu, Nasharuddin dan Azizan turut menerima pencalonan bagi jawatan Naib Presiden bersama 12 calon lain.

12 calon tersebut terdiri daripada Salahuddin Ayob, Dato' Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man, Dato' Mahfuz Omar, Ustaz Ahmad Awang, Dato' Ustaz Harun Taib, Dato' Dr Hassan Mohd Ali, Ustaz Idris Ahmad, Dato' Kamaruddin Jaffar, Dato' Mohd Amar Abdullah, Dr Mujahid Yusuf Rawa, Dato' Seri Mohd Nizar Jamaluddin dan Ustaz Taib Azamuddin Md Taib.

Tiga orang daripada 16 calon ini bakal menduduki kerusi Naib Presiden bagi penggal 2009 ke 2011.

Seramai 86 orang layak bertanding bagi jawatan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat dimana 10 daripada mereka terdiri daripada calon wanita.

Ketua Dewan Muslimat PAS Pusat, Nuridah Saleh antara yang dicalonkan untuk jawatan tersebut selain Ahli Parlimen Titiwangsa, Dr Lo'Lo' Mohd Ghazali dan Ahli Parlimen Kota Raja Dr Siti Mariah Mahmud.

Exco kerajaan Pakatan Rakyat Selangor, Dr Halimah Ali dan Senator Mumtaz Md Nawi juga turut dicalonkan untuk jawatan ahli jawatankuasa kerja PAS Pusat.

Hanya 18 orang calon bakal dipilih untuk jawatan ini daripada 86 pencalonan yang diterima.

Bagi jawatan Pemeriksa Kira-kira, seramai sembilan orang calon layak bertanding dimana hanya dua orang bakal terpilih.

(Berita ini dari harakah Daily, 17 Mei 2009)

No comments: