Sunday, May 24, 2009

CERITA DARI NOVEL


FAIZIAH DAN BELALANG DEWA


Senja tanpa suria,

Sungai Nil mengalir lesu airnya,

pendam berjuta kisah lara,

dari tasik biru, victoria Nyanza,

ke lembah Halfa, Afrika,

lantas ke Tanta, Mahalla el Kubra,

lalu ke Iskandriah.

Di lembahnya,

kuntum padma- gadis Melayu,

rindukan kekasihnya.

Kuntum padma,

di lembah Nil,

diratah belalang dewa.1

Ya gharami, ya habibi, …aina enta?

Pada senja itu, para sejarawan bersembang tentang Musa, Harun, Masita, Firaun dan Raja Faroq. Mereka dari golongan politikus bercakap di warung-warung qahwa; berkisar pada kisah perjuangan Syed Qutb, Hassan, Al-Banna, Muhammad Abduh, Jamaluddin Al-Afghani dan Ikhwanul Muslimin, Muhammad Najib dan peristiwa penggulingan Raja Faroq, Jamal Abdel Nasir dan Anwar Sadat. Cendekiawan-cendekiawan radikal Islam berbicara tentang bahaya ‘protokol’ dan free missionary Yahudi atau Zionis. Para seniman merindukan Abdul Wahab, Umi Kalthum, Faridul Athrash dan Fatim Hamamah.

Di madrasah dan maahad para mu’alim bersungut tentang para mahasiswa Universiti AL Azhar telah terpengaruh dengan gerakan nasionalis Arab, Yahudi atau Zionis dan Kristian.

Pelacur-pelacur tua yang berpenyakit payu dara dan busung atau gonorea menyumpah seranah para jantan dari kalangan Fasha dan elit Arab dan Yahudi yang telah meratah dan mengunyah tubuh mereka pada usia mereka masih remaja dan jelita.

Pada senja itu - senja yang sama, Fauziah – bunga padma, dalam gaun biru tua, berdiri di beranda apartmen lama yang menghadap ke sungai Nil yang bersejarah itu. Udara dari pesisir sungai panjang itu memuput anak-anak rambut dan mengusap dua pipi gebunya. Dua bola mata Fauziah bersinar lembut tersangkut pada sebuah perahu kosong sedang dihanyutkan air sungai yang mengalir itu.

Sungai Nil yang panjang 6695 kilometer itu mengalir airnya dari pergunungan Abyssinia ke Nyanza, Afrika, tasik biru lalu mengalir ke Aswan. Air mengalir lagi ke muara dan laut Mediterranean. Sungai Nil telah memendam kisah entah berapa ribu gadis sunti terkorban dalam perutnya, akibat kepercayaan kuno orang-orang Masir pada zaman silam.

Pada senja itu, Fauziah didera perasaan sedih dan pilu. Hatinya memendam sebuah kisah kemusnahan kuntum padmanya, akibat cinta dan relanya sendiri. Kuntum padmanya telah dicarik dan dirobek oleh belalang dewa jantan, di Lembah Nil itu.

“…sungai Nil jadi saksi, …enta dah ratah cinta ana, …enta dah musnahkan kuntum padma ana, habibi,” suara Fauziah dalam bahasa Arab terluah dari celah dua ulas bibirnya.

Ana cintakan enta, …ana rela serahkan segala-galanya kepada enta, …ana tak menyesal, …habibi,”suara Fauziah berbaur dengan udara senja.

Air jernih membenak dalam dua telaga mata Fauziah. Air itu tumpah atas dua belah pipinya yang gebu dan licin. Butir-butir air laksana mutiara luruh atas lantai batu di hujung sepasang kakinya. Fauziah memandang kepada sungai Nil. Wajah sungai itu berbalam-balam di bawah langit senja.

Pada detik-detik itu, hati Fauziah diusap pula oleh perasaan gembira. Wajahnya membunga senyuman yang memanjang kerana teringatkan saat-saat dia dan kekasihnya telah memadu kasih dan memintal cinta. Tubuhnya dibelai kekasihnya. Lalu tubuhnya lemah longlai bersama pemuda kesayangannya itu.

Zainal, ana cintakan enta, …ana rindukan enta,… habibi,”suara Fauziah dalam keluhannya.

Fauziah tidak marahkan kekasihnya yang telah berperanan belalang dewa menggigit dan memusnahkan kuntum padmanya. Bunga Padma memang makanan belalang dewa. Belalang jenis itu amat gemarkan bunga padma. Zainal Rashid belalang dewa dan Fauziah bunga Padma dari rimba banat, di Malaysia. Mereka bergelar ‘penuntut di perantauan’, di lembah Nil, Masir.

Pada dua hari yang lalu, pada saat-saat Fauziah mendapat tahu, kekasihnya telah pulang ke Malaysia, air mata Fauziah tumpah bagaikan membasahi seluruh bumi Nabi Yusof alaihis salam itu. Zainal Rashid telah bergelar ustaz dalam masyarakat orang-orang Masir kerana dia telah memiliki segulung ijazah Syar’iyah dan usuluddin dari Universiti Al Azhar yang tersohor itu. Batang tubuhnya mulia kerana memiliki pengetahuan yang tinggi. Di tanah airnya, dia akan dihormati sebagai seorang ulama, Ulu AL bab atau cendekiawan Islam.

Zainal Rashid telah berjaya menggunakan cinta jantannya untuk memerangkap Fauziah, anak dara yang benar-benar percaya dan mencintai dirinya.

Fauziah teringat pada ketika dia dalam pelukan Zainal Rashid dua bulan lalu, kekasihnya telah membisikkan madah cinta Laila dan Majnun bertatah harapan kepadanya, “…ente dah hamil, …tak apa, ana tunggu ente… di sana, ...bila ente balik ke Malaysia, kita kahwin...”.

Sungguh?”Fauziah bertanya.

“…wallah wannabi ana cintakan ente, …entelah perempuan yang awal dan yang akhir ana cinta,” jawab Zainal Rashid lalu memeluk tubuh Fauziah erat-erat.

Eh, enta bersumpah dengan nama Allah, kalau tak tunai, enta akan di makan sumpah,”kata Fauziah.

“…tak, enta tau ana ni anak Kelantan kan, pantang anak Kelantan mungkir janji,”kata Zainal Rashid lalu mencium pipi Fauziah.

Pada saat-saat dimamah rindu begitu, Fauziah mengulangi ungkapan-ungkapan syair dalam ilmu balaghah dan ma’ani yang baru dipelajarinya pada pagi semalam.

Cintailah kekasihmu sederhana sahaja,

Barang kali pada suatu hari nanti dia akan berubah menjadi orang yang kau benci,

dan bencilah orang yang kau benci sederhana sahaja, mungkin pada suatu hari nanti dia akan menjadi kekasihmu.


Berhati-hati terhadap manusia,

nescaya kamu akan dapat mengawal (diri),

dan janganlah kamu terpengaruh dengancemerlang- nya gigi orang yang senyum.

Wahai kekasihku,

tinggalkan aku dengan apa yang ada padaku,

atau kembalilah kepadaku pada masa mudaku.

Bila aku rela, aku setenang air jernih;

dan bila ku marah, aku sepanas api menyala.

Fauziah telah menyelitkan sebuah cita-cita besar pada celah hatinya; apabila dia telah pulang ke Malaysia nanti, dia akan bekerja sebagai wartawan dalam sebuah syarikat akhbar kebangsaan. Syarikat akhbar itu telah membantunya mendapatkan wang derma dari orang ramai untuk belanjanya menuntut di Masir. Akhbar itu telah mencanangkan berita, kononnya dia akan melanjutkan pelajaran di Universiti Al Azhar, di bumi tempat Hassan Al Bana, Syed Qutb, Muhammad Abduh dan Jamaluddin Al Afghani berjuang menegakkan negara Islam itu.

Tidak pernah timbul minat dalam diri Fauziah untuk bekerja sebagai ustazah atau mu’allimah, mengajar di sekolah agama atau bekerja sebagai pegawai kerajaan. Fauziah tahu, seorang wartawan memiliki dunia yang luas berbanding dengan seorang guru dan pegawai kerajaan yang tidak bebas dalam dunia mereka sendiri. Wartawan bebas. Bebas bertemu dengan siapa sahaja, hatta bertemu dengan perdana menteri, presiden dan maharaja. Wartawan boleh menjolok siapa sahaja dengan pena mereka. Guru dan pegawai kerajaan tidak demikian. Mereka banyak pantang larang. Banyak halangan, benteng dan peraturan.

Fauziah adalah salah seorang dari penuntut-penuntut Malaysia di lembah Nil yang terpengaruh dengan kebebasan kaum wanita seperti yang dituntut oleh para wanita beragama Kristian atau wanita-wanita Barat. Kebebasan yang itu telah menjadi topik propaganda golongan nasionalis pro Arab-Yahudi, di Masir dan di seluruh dunia.

Kebebasan demikian telah menjalar kepada wanita-wanita Melayu yang berfahaman sekular atau buta hukum hakam Islam.

Pada bulan pertama Fauziah menapak di bumi Masir, kepalanya masih berbungkus dalam selendang. Tiada seurat rambut pun dapat menggamit angin. Dia sentiasa memakai jubah labuh seperti kebanyakan wanita-wanita Arab yang kuat berpegang kepada ajaran Islam. Tetapi pada bulan kedua dan bulan-bulan seterusnya, keadaan Fauziah telah berubah; laksana pantai landai dilanda ombak. Kepalanya tidak berbungkus dalam selendang lagi. Tubuhnya sentiasa dalam gaun dan separuh dari dua puntung betisnya terdedah seperti betis wanita-wanita Kristian dan agama lain atau pengikut-pengikut Mustafa Kemal Ataturk, di Turki.

...ana balik ke Malaysia nanti, ana nak ubah corak wanita-wanita Melayu jadi moden, jadi macam perempuan Barat, macam perempuan Turki...,”Fauziah telah berkata kepada rakannya, Akmal Hanim – gadis keturunan Pattani, dari Baling, Kedah .

Ana tak nak tengok wanita-wanita Melayu terkongkong, kuno...macam katak bawah tempurung,”tambahnya.

Akmal Hanim sedang menuntut dalam jurusan sains politik dan sosiologi, di sebuah universiti di Lembah Nil. Pendapatnya tidak sama dengan pendapat Fauziah. Akmal Hanim berakar tunjang dengan pendapatnya yang berasaskan ajaran Islam. Hukum Allah tidak boleh dianjak-anjak atau diubah-ubah.

Akmal Hanim berpegang pada pendapatnya; sesiapa yang menganggap perempuan Melayu yang taat kepada perintah Allah itu kuno dan mundur atau tidak mempunyai kebebasan, maka orang itu samalah dengan cara orang-orang Islam yang hanyut dalam keruntuhan moral dan bersekongkol dengan orang-orang kafir yang sedang memusnahkan umat Islam. (Dari novel: Bunga Padma Di Lemabah Nil, oleh: Mokhtar Petah)

1 Belalang Dewa, ialah sejenis kumbang yang panjangnya kira-kira 1 ½ cm dan besar ½ cm. Warna merah

dan tepi kepalanya hitam. Makanannya bunga padma dan daun meranti rayap. Belalang ini terdapat di

banjaran Titiwangsa dan banjaran Bintang Hijau, Kuala Kangsar – Grik, Perak. Gunanya untuk

menguatkan tenaga batin.

No comments: