Sunday, May 17, 2009

CERITA DARI NOVEL


IBUKU GURUKU


(Sempena dengan Hari Ibu dan Hari Guru)


Ibuku, wanita berasal usul dari Melayu Pattani.

Dalam tubuhnya ada darah Melayu Campa.

Dalam dadanya ada iman yang kukuh kepada Yang Maha Esa.

Dia ibu solehah,

Ibu contoh.

Tubuhnya ada isi miskin lemak.

Banyak urat sarafnya.

Waja laksana besi Kharsani tulang temulangnya.

Merah warna darah ibuku.

Hatinya,hati perempuan Melayu taatkan Ilahi,

Mentalnya murni mengikuti sunnah nabi.

Murni jalan fikirnya.

Amal ibadat ibuku sejalan lurus dengan nabi,

seia sekata dengan Imam Shafie dan Ghazali.

Ada syurga bagiku di bawah tapak kaki ibu.

Demi Allah aku tak pernah berkat ‘uf ‘,

apatah lagi keta derhaka.

Tubuh ibu berbungkus dalam telekung putih laksana kapas dibusar. Fardu Isyak kudus baru sahaja ditunaikan dengan khusyuk lagi tawaduk’... Di hujung lafaz kalimat Allahu Akbar, ibuku berpaling kepadaku. Aku sedang duduk bersila sambil membaca buku; cerita Hang Jebat, di penjuru rumah kami yang bertiangkan dua belas puntung teras merbau dari rimba.

Rumah kami berlantaikan buluh, dindingnya dari buluh pelupuh. Atapnya daun rumbia kering tanpa lelangit.

Di situlah syurga kami – ibu, ayah, adik lelakiku dan aku.

Ibu mengorak senyum. Senyumannya laksana senyuman bidadari sedang berdiri di pintu syurga. Di hujung senyumnya yang panjang bagai pantai pesisir lautan pada waktu pagi,ibu berkata kepadaku:

Lamin, …mak ikut cakap ayahmu, tok mu,…demo kata, mengaji agama Islam dulu, lepas tu baru mengaji bahasa orang putih.”

Aku diam. Ketaatanku kepada ibu melebihi segala-galanya. Aku mendengar madahnya yang kiramah..

“…kalau kita mengaji bahasa orang putih dulu, kita mudah jadi orang kafir, …jadi orang Serani,…Kristian,”madah ibuku lembut. Mesra.

Aku termangu. Diam. Bagaikan ikan betuk dalam tasik Cenderoh. Bagai batu tagar di lubuk sungai mengalir airnya dari gunung, di belakang kampung kami.

Ayahmu kata, bahasa Arab bahasa Quran,bahasa Nabi Muhammad,…bahasa syurga,”kata ibuku.

“…ia, bahasa syurga,”aku mengaku.

Aku mengagguk - anggukkan kepalaku. Setia dan patuhku anak lelaki sulungnya.

Aku merenung wajah ibu dengan limpah ruah kasih sayang. Hati nuraniku mengaku akan madah beriman ibuku itu.

Ibu bercakap bersandarkan iman dan akidah. Bahasa dapat menukar rasa cinta seseorang kepada seseorang yang lain. Bahasa dapat mengubah keyakinan atau keimanan manusia kepada Maha Pencipta alam maya,pada nabi-nabi, kitab suci Quran dan kepada hari akhirat.

“…bahasa Arab, bahasa syurga, bahasa Quran, bahasa Nabi Muhammad,” ibuku mengulangi kata-katanya.

“…emak, sunguh, benar kata emak,”aku menyambut kata - katanya dengan patuh lagi ikhlas.

Dari banjaran gunung Bintang Hijau di belakang kampung kami,terdengar sayup-sayup bunyi kuang mengigal. Sekali sekala bunyi pungguk merindukan kekasih bersambut dengan bunyi kijang betina galak jantan di lereng gunung itu. Bunyi kuang, pungguk dan kijang bagai menguak kesunyian kampungku, kampung Kembang Semangkuk. Kampung tradisi yang terletak di dataran di bawah naungan banjaran gunung Bintang Hijau. Dulunya menjadi tempat singgah para pedagang Melayu Pattani yang bermusafir khana lalu lalang dari Legih,Remang dan Yalla ke Manjong dan Gangga Negara atau Beruas. Orang-orang Pettani itu dari keturunan Melayu Champa. Melayu tua beragama Hindu dan kemudian beragama Islam setelah salah seorang sahabat nabi Muhammad merantau ke sana.

Malam muda memeluk seluruh kampungku. Kampung dingin bedi. Sepi. Bagai gadis kehujanan dalam dangau beratap jerami di tengah sawah.

Aku merenung wajah ibuku.

“…Lamin dapat masuk sekolah Clifford, sekolah orang putih, emak,”aku berkata dengan suara lembut.

Ibu merenung kepadaku. Dia merenung seperti dia merenung wajahku pada ketika aku baru terluah dari pintu rahimnya yang diteran payah. Ibuku membuka telekung yang membungkus kepalanya. Senyumannya manis. Senyuman seorang ibu yang beriman kepada Allah. Kemanisan senyumannya itu terasa ada kemanjaan, kasih sayangnya kepadaku dan syurga yang menantiku di bawah tapak kakinya.

Tak apa, ayahmu nak jumpa guru besar,Cikgu Buyong pagi esok. Dia nak tolak tawaran masuk sekolah Clifford tu,” ibuku berkata dengan nada suara memujukku.

Aku diam.

Hatiku terlonjak-lonjak dalam kegembiraan seperti gadis sunti mendapat anting-anting mutiara sejak aku belajar dalam darjah satu lagi, aku tidak ada cita-cita untuk belajar di sekolah Inggeris. Agung benar cita-citaku untuk belajar di sekolah agama. Orang-orang kampungku memberi nama sekolah agama itu sekolah Arab.

Semenjak aku belajar dalam darjah satu di sekolah Melayu, bilik darjah lantai berdebu,dinding kopak di sana sini, hingga darjah empat tempat guru - guru memuji raja British,aku sering mendengar kata-kata dari dua tiga orang guru yang memberi nasihat kepada murid-murid. Mereka menasihatkana murid-murid supaya tekun belajar. Seperti tekunnya penoreh getah pengadap pangkal getah tua setiap pagi Apabila murid-murid itu telah tamat dari sekoloah itu, mereka boleh makan gaji. Jadi kerani pejabat,kerani ladang getah orang putih atgaua jadi mandur. Pendeknya mereka digalakkan supaya makan gaji sepanjang hayat selagi mereka bergelar anak Melayu.

“…tengok cik gu, cikgu makan gaji, kawan-kawan cikgu jadi kerani,jadi mandur…,”kata cikgu Jamal yang jongang giginya.

Cikgu Yeop Lodin pula berkata “…makan gaji cepat kaya, hidup senang, tak macam orang – orang kampong tiap hari berkubang dalam sawak,..menyembah pangkal pokok getah.”

“…suami saya jadi mandur, abang saya jadi oderly tuan D.O., abang saudara saya jadi kerani tuak,” cikgu Yong Zaharah yang tubuhnya kaya isi.

Kamu semua mesti belajar rajin-rajin,… dapat jadi macam abang saya, macam suami saya,…macam abang saudara saya pandai cakap orang putih,”kata cikgu Yong Zahara lagi.

Pada zaman itu orang-orang Negeri Sembilan lebih suka bermenantukan lelaki yang bkerja polis dan askar Melayu daripada lelaki yang berjawatan hakim atau pegawai daerah. Orang-orang Melayu Hulu Perak lebih sukakan pemuda pekerja peon atau oderly menjadi menantu mereka dari pada pegfawai daerah,penghulu atau pegawai jabatan kerajaan.

Lain pula dengan penolong guru besar, cikgu Sharif. Dia mengajar dalam darjahku. Dia selalu menasihatkan kami supaya rajin belajar. Bila kami dah keluar dari sekolah itu dapat menyambu

pelajaran ke sekolah yang lebih tinggi lagi. Kami boleh menjadi pemimpin masyarakat, pemimpin orang-orang dalam negeri untuk menentang penjajah orang putih.

Cikgu Sharif mengajar kami, iaitu orang putih penjajah. Orang putih datang ke tanah Melayu kerana mencari kekayaan. Orang Cina penjajah. Orang India penjajah. Orang-orang itu datang ke tanah Melayu kerana hendak memungut rezeki Tuhan dari bumi ini untuk menyambung hidup mereka.

Kata cikgu Sharif,“…orang-orang tu penjajah. Negara kita jadi macam dalam pantun ni:

Dari mana kendak kemana,

tinggi rumput dari padai,

sini Cina sana Cina,

Malaya jadi pejak judi

Cikgu Sharif berkata lagi, “Orang kita jadi malang,bukan salah ibu menganedung,tetapi salah diri sendiri. Tok nenek kita jadi orang-orang baik budi,…dagang lalu ditanakkan…,atau kera di hutan dususui, anak dalam buaian mati kelaparan.

Orang dagang cari peluang dari budi baik tok nenek kita.Wajah dan bibir mereka manis bak madu, tetapi sikap mereka ibarat telunjuk lurus kelingking berkait. Akhirnya kita jadi orang menumpang atas bumi kita sendiri. Demikian maksud kata-kata cikgu Sharif

Guru penolong anti penjajah itu bercakap dengan wajahnya dibedak-lulutkan oleh warna kesedihan hatinya sendiri.

“…kamu semua tau, ibu bapa kamu hidup ibarat berselimutkan kain panjang lima,tutup kepala kaki telanjang,tutup kaki kepala terbuka…Bila makan dengan anak beranak, sambal dimakan dengan telunjuk berdiri, telan daun ulam mentah dari ranting muda rumput rampai,” cikgu Sharif berkata serius.

Emak kamu semua mengandungkan kamu dengan payah, bila dah bersalin terpakasa berdiang tepi unggun api selama empat puluh hari,makan ubat dari daun- daun dan akar-akat kayu, tak ada masuk hospital,tak ada yang makan ubat moden…,tak ada vitamin…,”kata cikgu Sarif lagi macam orang berleter.

Wajah cikgu Sharif hilang dari otakku kerana ibuku berkata,“… kami nak hantarmu mengaji di sekolah agama,sekolah Arab…”

Ia,emak,”sahutku.

Aku senyum menatap wajah ibu.Wajahnya, wajah wanita tani yang taqwa kepada Allah. Ibuku menjadi petani sepenuh masa.Penternak kambing,ayam dan itik. Ibuku tahu bahasa burung-burung pipit dalam sawah,tekukur dan ketitir di belukar. Suara dan ragam lotong kakah di hutan rimba..

“…burung pipit,ketitir, kambing,ayam,itik selalu sebut nama Allah, emak tahu…,”kata ibuku kepadaku pada suatu hari.

Ayam jantan berkokok, kata, uzkurullah ya ghfilun, ingatkan Allah hai orang-orang lalai,” ibuku berkata seperti mengajar bahasa Arab kepadaku.

Ibuku tak pernah belajar di mana-mana sekolah. Dia buta huruf Rumi tapi tidak buta huruf Arab atau huruf Jawi. Dia boleh membaca dari alif hingga ya.Boleh membaca fatihah,ayat-ayat lazim ,surah Yasin hingga semua ayat-ayat Quranul karim.

Dari celah dua bibir mulut ibuku sering tercurah kalimat- kalimat bismillah, Allahu Akbar, al hamdulillah,astaghafirullahal Azim dan berapa kalimat pendek lagi.

Ibuku mengaji ilmu agama Islam,seperti ilmu tauhid, fiqh dan tasawuf pada tuan-tuan guru di kampungku,Lebai Salleh atau ayah Leh dan Haji Nawawi Muhammad atau Tuan Cik Wi janggut merah.

“…tuan cik Wi kata, anak-anak kalau belajar bahasa orang putih,tak mengaji agama Islam dulu, tak kenal Nabi Muhammad,tak pandai mengucap dua kalimat syahadat, …kenal nabi Isa,… tapi nabi Isa palsu,”kata ibuku.

Ayah Leh kata, banyak anak orang Arab,Turki, Serani,jadi kafir kerana belajar bahasa orang putih,tak belajar agama Islam dulu,” Ibuku berkata dengan mengucap istighfar di hujung perkataannya.

Emak tak emboh jadi macam anak Tuan Kadi, Haji Mat Jais tu, anak jantan dia,kecil lagi dah hantar belajar di negeri orang putih, tak mengaji agama Islam dulu…,” kata ibu dan dua biji matanya yang bersinar dalam cahaya pelita minyak tanah itu menatap wajahku.

Aku senyum kepadanya.Aku akur dengan kata-kata ibukuj itu.

“…anak tuan kadi tu, dah tamat belajar di negeri orang putih,…bawa balik betina orang putih,”ibuku bercerita.

Malam-malam menari di kelab,…minum arak, di rumah demo ada bela anjing,…anjing duk dalam rumah,duk bawa kerusi, bawah katil…,”kata ibu dengan tujuan menanamkan ajaran yang difahaminya kepadaku.

Ibu merenung kepadaku dengan perasaan seorang ibu yang warak.

“…bila mu dah pandai bahasa Arab,dah ada ilmu agama Islam,tak apa mengaji bahasa Inggeris…,”kata ibu sambil bingkas bangun dari atas tikar mengkuang.

Pendapat ibu,bapa,datukku dan tuan cik Wi tak sama dengan pendapat guru besar sekolahku,cikgu Yeop Nordin.Dia mahu murid-muridnya masuk sekolah Inggeris,belajar bahasa Inggeris,pandai cakap Inggeris dan tak perlu belajar ilmu agama Islam.

“…enkauma belajar agama,belajar bahasa Arab,tak boleh cari makan,…jadi derebar orang,jadi kuli,jadi tok siak masjid bolehla,…belajar bahasa Inggeris boleh jadi D.O., jadi Hakim…,jadi kerani kereta api, kerani tuak, jadi apa-apa lagi,…gaji besar.”kata cikgu Yeop Nordin.

Anak saya, Muin tu,saya nak hantar ke sekolah Anderson di Ipoh,” cikgu Yeop Nordin berkata dengan wajahnya yang bongkak.

Pada masa aku belajar dalam darjah satu,cikgu Yeop Nordin telah mengajar dalam darjah tersebut.Dia mengajar aku dan murid-murid lain, iaitu, ‘…ular mematuk,ayam jantan berkuku,ayam betina berketuk,ketam menyepit.’

Cikgu Yeop Nordin mengajar kami berpantun. Di sebalik erti pantun itu ada kelucahan,iaitu:

Buai laju-laju,

sampai balik sana,

apa dalam baju,

kuntum bunga sena.

Pada malam itu, ibuku dan aku bercakap dalam keadaan mesra dan manja. Dia aku hidup pada masa depanku berilmu pengetahuan duniawi dan akhirawi. Hatinya membungkus hareapan agar aku menjadi seorang anak yang soleh. Sepanjang hayatku senantiasa mendapat keredaan Allah dan diberkati oleh-Nya pula.

“…emak tak nak mu jadi anak Cina hisap candu,anak orang India minum tuak,”pesan ibuku di hujung percakapan kami.

Di kaki tangga terdengar gayung bertingkah dengan guri. Ayahku baru pulang dari surau. Dia sedang membasuh kaki dengan air dalam guri di kaki tangga.

Assalamu alaikum,”suara ayahku memberi salam.

Kami menjawab salamnya dengan penuh mesra.

*** ***

Ibu dan ayahku telah berkahwin seperti kebanyakan remaja-remaja Melayu zaman silam. Mereka rela dalam paksaan. Perkahwinan mereka tidak didahului oleh cinta. Mereka berkahwin dulu kemudian sama-sama memupuk perasaan cinta. Biasanya cinta mereka bermula pada waktu kadi atau penolongnya melakukan istiadat akad nikah ke atas pengantin lelaki. Ada di antara pengantin-pengantin lelaki tercongap-congap mengucapkan ‘aku terima nikahnya…’. Ada juga pasangan pengantin jatuh cinta pada malam pertama yang selalunya pengantin perempuan ketakutan seperti orang-orang darat takutkan mata sumpitan beripoh atau seperti janda gatal takutkan lintah dalam sawah.

Ramai pula anak-anak gadis yang musnah mahkota mereka pada malam pertama dalam keadaan tidak wujud perasaan cinta. Kebanyakan mereka menjadi mangsa kahwin paksa.

Pengalaman mahkota kegadisan roboh pada malam pertama tanpa perasaan cinta dan berahi,di alami oleh gadis-gadis Melayu di Pulau Pinang dikahwinkan dengan lelaki Malabari, gadis-gadis Melayu di Singapura dan Johor dengan lelaki – lelaki Arab, di Kedah, Perlis,Terangganu dan Kelantan dengan guru-guru agama yang telah tua. Di Perak dan Selangor anak-anak gadis Melayu menjadi korban kahwin paksa dengan lelaki-lelaki keturunan raja dan orang besar-besar. Manakala di Negeri Sembilan ramai anak-anak gadis Melayu menjadi mangsa lelaki-lelaki tua dari Pagar Ruyung dan Bukit Tinggi dalam kata beradat ‘adat bercampur agama’.Kahwin paksa.

Ayahku anak teruna orang kampung. Ibuku anak dara pingit orang kampung juga.

Ayah anak lelaki dari kampung air meleleh.Pada zaman remajanya dia bekerja kuat menggunakan tulang empat kerat. Sebagai pemuda kampung yang mengenali dirinya sendiri dan mengenali Tuhannya. Dadanya laksana lubuk banyak ikan diisi dengan ilmu pengetahuan agama Islam yang menjadikan imannya kukuh bagai gegunung batu. Tawakalnya kepada Allah melebihi segala macam kekuatan alam. Ramai guru - guru agama dijadikan mursyid untuk dia menimba ilmu.Seketul hati dalam dadanya bersama otak putih dalam kepalanya dihias dengan iman dan taqwa kepada Allah. Tubuhnya yang tulang - temulang masih muda ibarat rebung muda dibesi-wajakan dengan bersenam,bekerja dan memakan ubat-ubatan dari dedaun, bebatang dan akar-akar kayu dari hutan rimba. Dia mahu tulang - temulang dalam tubuhnya kuat lagi perkasa seperti keris dari besi kharsani tempa di tanah Jawa.

Dalam hati ayahku sentiasa membara kalimat syahdu ‘aku anak janta tak taku segala,melainkan Allah’. Dia menjadi berani kerana imannya kukuh dalam dada. Dia menjadi berani kerana tawakalnya kepada Allah. Dia menjadi yakin kerana dia amat mengenali Allah.Dia sering menyanyi kudus dalam hatinya ‘Allah wujud,Allah hidup,Allah berkehendak, Allah berkuasa, Allah berilmu,…tapi berlawanan dengan segala yang baharu’.

Ibu dan ayahku berkahwin pada usia mereka masaih remaja . Ayah berusia dua puluh lima tahun dan ibuku berusia sembilan belas tahun. Pada masa itu bagi orang tua - tua kampong; ayahku telah layak mendirikan rumah tangga, beristeri dan beanak pinak, kerana dia telah pandai menyirat senduk,telah pandai mengikat anak tangga kepada peha tangga dan kenal pula sekilat ikan dalam air, telah tahu jantan betinanya.

Pada zaman dulu,pada pandangan orang tua-tua, kalau pemuda tidak pandai mengaji Quran,akan berkahwin dengan janda tua. Tetapi ayahku pandai membaca Quran,berkasidah,marhaban dan bahkan pandai berdoa hingga doa talking atas pusara.

Manakala ibuku, dia pandai menumbuk sambal di dapur. Cili ditumbuk tak hancur tetapi garam lumat. Ibuku pandai mengayak beras di serambi rumah dan kenal mana antah dan mana melukut. Dia pandai mengadun diri – sanggul biar kemas tetapi kepala mesti diselubung rapi. Tubuh badan messti dijaga, dilangir dan dilulut di luaran manakala makanan mesti dijaga,supaya daging atau isi tubuh kemas,pinggang sentiasa rampin dan perut tidak buyut seperti lelaki ahli gusti Jepun.Perhiasan dada laksana buah mempelam bergayut subur dalam dusun.

Kira-kira sebulan selepas ibu dan ayahku berfkahwin, mereka telah berpindah ke sebuah rumah kecil tidak jauh daripada rumah datuk dan nenekku. Rumah itu hanya boleh dinamakan pondok atau dangau sahaja. Ada ruang anjung,sebuah bilik dan seruang dapur. Rumah itu didirikan oleh datukku dengan bantuan tiga orang lelai. Seorang lelaki Jawa,seorang lelaki Bugis dan seorang lagi lelaki Pattani.

Mungkin rumah seperti itu masih terdapat di kampong-kampung pendalaman di negara kita ini. Rumah tempat ibuku menerankan aku dari rahimnya ke dunia ini, hanya beratapkan daun rumbia kering, dinding pelupuh dan daun-daun pintu dan jendela dari buluh pelang atau buluh betung, lantainya dari buluh minyak yang dibelah-belah dan diikat- sirat dengan rotan seni. Peha tangga dari teras kulim dan anak-anak tangga dari kayu halban tanduk. Anak-anak tangga dan peha tangga itu menjadi satu diikat dengan rotan seni dari rimba.

Aku pernah mengukir sebuah syair mengenai rumah ibu dan ayahku itu,iaitu.

Malam gelap rasa dingin,

dinding berlubang masuk angina,

lantai buluh tikar jerami,

tangga kayu ibarat besi.

Panjat tangga selak kain,

duduk bersila macam bermain,

sepanjang hari rumah berangin,

aman damai ibu sekelamin.

Ayahku dengan dengan keyakinan membungkus hatinya. Jiwa dan hatinya tegar kerana kukuh imannya kepada Allah. Dia bekerja kuat untuk memungut rezeki yang halal dari Allah. Dari pangkal pagi, iaitu selepas semabahyang fardu Subuh ayahku menoreh getah di ladang getah sekangkang kera milik tuan guru Lebai Saleh.

Dengan pisau menorah getah bapaku berlari dan membongkok atau mencangkung di pangkal setiap pokok getah. Dengan cawan-cawan dari seramit dia menadah susu getah yang mengalir ke dalam cawan mengikuti pancur kecil dari zin. Kemudian susu-susu getah dalam semua cawan itu dipungut satu perasatu dan dimasukkan ke dalam baldi dari zin juga.

Dari lading getah sekangkang kera itu bapaku membawa susu baldi berisi susu getah itu ke sebuah bangsa di hujung kampong. Di bangsal itu bapaku bersama penoreh-penoreh lelaki dan perempuan menapis,menakung,membancuh susu getah dalam taking dengan cuka atau sejenis asid supaya susu getah yang ditakung dalam takungan itu menjadi beku seperti taupu kacang.

Setelah susu getah dalam takungan itu telah beku, lalu dikeluarkan ke atas lantai dari simen dan dipijakj-pijak dengan dua kaki supaya getah itu menjadi kepingan nipis. Kemudian kepingan-kepeingan getah itu dimasukan ke dalam mesin supaaya menjadi lebih nipis lagi sebelum dimasukkan ke dalam misen untuk membungakan kepingan-kepingan getah itu.

Bapaku membawa pulang kepingan-kepingan getah yang berbunga itu di sidai atau dijemur pada sebatang buluh di halaman rumahnya.

Pada sebelah petang bekerja di sawah menanam atau membelai anak-anak padi yang subur menghijau. Pada sebelah malam dia menjadi nelayan di tasik Chenderoh1. Kekadang ayahku menggunakan pukat, rawai dan taut. Hasil tangkapan ayahku,ialah ikan baung, belida, toman, haruan dan ikan-ikan jenis makan ikan.

Umpan yang digunakan oleh ayahku untuk rawai dan tautnya,ialah anak-anak ikan keli hidup yang dicangku pada belakangnya dengan mata kail dan dilepas tersiksa dalam air sebelum disambar oleh ikan-ikan dalam tasik itu.

Kerana telah menjadi tradisi di kalangan kaum nelayan Melayu menggunakan umpan ikan untuk menangkap ikan,maka dari perbuatan itu telah menjadi peribahasa orang Melayu,iaitu ‘memancing ikan besar umpannya pun besar’.

Pada sebelah petang,kalau ayahku tidak bekerja di sawah,dia menjadi nelayan di tasik Chenderoh juga. Dia menggunakan pancing untuk menangkap ikan dengan menggunakan umpan ubi kayu atau isi kelapa yang dibakar. Ikan – ikan yang didapatinya ialah Kelabau,lawang, jelawat, temoleh dan sebagainya.

Kerana pengalaman yang pahit dan maungnya,ayahku pernah berkata kepadaku,iaitu pada masa aku menuntut di sekolah menengah,iaitu pada masa orang Melayu menuntut kemerdekaan di bawah gerakan parti-parti politik Hizbul Muslimin,pimpinan Ustaz Abu Bakar al Baqir dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya, pimpinan Dr Burhanuddin Helmi dan Ishak Haji Muhammad “…jadi penoreh getah, jadi nelayan sampai bilapun takkan jadi kaya,tapi peniaga getah dan peniaga ikan jadi kaya raya.”

Ayahku juga bercerita, “…orang putih tipu orang Melayu. Demo beri tanah kepada orang kampung untuk tanam pokok getah,tapi tak tanam pokok getah,demo dapat kopon pada tiap-tiap bulan.”

“…siapa ada satu ekar tanah dapat kopon sama nilai dengan sepikul getah sebulan, siapa dapat lebih tanah lebihlah kopon.Tiap-tiap akhir bulan kopon tu demo tukar dengan duit di kedai getah orang China,” ayahku bercerita lagi.

Orang Melayu jadi manja, jadi orang makan tanggung, tak payah kerja. Orang kita tak sedar orang putih tipu demo,…orang putih,orang China,India dapat tranah lading getah yang luas,estate,…orang Melayu dapat kebun getah sekangkang kera, tengoklah, masa mu dah beranak pinak, getah orang Melayu tak laku lagi,buat getah buku saja…,tapi getah orang lain laku,”tambah ayahku.

Ayahku mencintai ibuku dan ibuku mecintainya jua. Aku lahir ke dunia ini hasil dari cinta dan berahi mereka berdua.

Aku mengaku, bukan takbur atau riya,tetapi aku yakin sungguh,sejak kecil otakku cerdas dan aku dikatakan bijak dibandingkan dengan kanak-kanak sebaya denganku di kampungnya.Kata ulama ilmu jiwa dan ilmu seksologi,sesungguh anak-anak yang pandai dan bijak hasil daripada cinta berahi dan peranan pasangan suami isteri melakukan peranan asyik maksyuk sebelum tubuh mereka menjadi satu.

Aku adalah bukti dari pengakuan Allah ‘(Allah) mencipta manusia dari segumpal darah’2.

“…mu anak emak, mu kena taatkan Allah,ayah,…emak,”ibuku berkata kepadaku ketika aku berusia tujuh tahun. Pada usia itu aku mula belajar di sekolah Melayu dalam darjah satu.

“…lepas emak beranakkan mu,…lepas mak bidan cucikan tubuhmu, ayahmu bang Asyhadu an la Ilaha illallah, wa asyhadu anna Muhammadar rasulullah,” kata ibuku lagi.

Tuan cek Wi kata,kita manusia ni diberanakkan oleh ibu dalam keadaan merdeka,”tambah ibu.

Aku akui akan kata-kata ibuku.

Aku anak bertuah. Aku tau aku tidak pernah melakukan perbuatan ingkar atau melawan ibuku. Aku tidak pernah berkata atau berengus terhadap ibu. “Jangan kamu berkata ‘uf’ kepada kedua- dua mereka.”3 Aku tidak berdosa kerana ibuku. Aku amat taat kepadanya.Yang berkuasa yanhg aku taat adalah Allah. Ibu dan bapaku tempat aku kasih sayang dan taat.

*** ***

“…Lamin, mu mengaji sungguh-sungguh, fasal duit tak usah mu risau, duit getah, duit nyior, pinang kering, asam gelugur kering, sirih, kapur ada…, tak cukup emak jual kambing,” kata ibuku kepadaku pada masa aku belajar dalam tingkatan thanawi rabi’4, di sekolah agama di Seberang Perai.

“…makan minum emak, ayahmu tak apa, padi sawah kita menjadi, ikan keli, ruan, puyu dalam telaga sawah banyak, ayahmu cari ikan di air benak (tasik Chenderoh),”kata ibu lagi.

Emak nak mu jadi orang alim, orang pandai, orang bijak,… macam Jamaluddin Afghani, Sheikh Muhammad Abduh, macam Hamka…,macam Dr Burhanuddin Helmi5,…macam ustaz Abu Bakar al Baqir6”tambah ibuku.

Aku diterpa oleh rasa kagum. Kagum kerana ibuku yang buta huruf Rumi tetapi boleh mengetahui nama-nama para cendekiawan terbilang.

Menurut ibuku,ayahku yang aktif dalam perjuangan orang Melayu peringkat kampungan,sering menerangkan kepadanya tentang orang-orang Islam yang bijak pandai. Hampir tiap-tiap malam pada waktu mereka hendak tidur, ayahku membaca buku-buku mengenai para cendekiawan Islam itu dan diterangkan pula kepada ibuku.

Ayahmu kata,orang laki bini…,kalau baca buku baik-baik pada ketika nak masuk tidur…,kalau dapat anak, …anak tu jadi orang bijak,”ibuku memberitahuku seperti dia mengetahui akan kehairananku terhadap dirinya.

Insya Allah,emak,…memang Lamin nak jadi orang bijak,”aku menanamkan sepohon harapan kepada ibuku.

Kata tuan Cek Wi,budak kecil kalau beri makan belalang kuning,boleh jadi orang bijak,” ibuku memberitahu kepdaku.

Iake, emak?”aku bertanya.

Ia,tengoklah mu,adikmu bila dah besar panjang, …kami selalu beri muma7 makan belalang kuning,”jelas ibuku.

Di mana emak,ayah dapat belalang tu,emak,” aku bertanya.

Di mana lagi, di bendang kita tulah,…ayahmu tahan bubu dalam jerami padi, dalam bubu tu dia

sapu belacan,”jelas ibuku.

Ibuku menternak seekor kamping betina warna hitam. Kuku kaki kiri kambing itu jadi bengkok dan capang kerana terpijak bara api. Kambing betina itu galak beranak. Anak-anak kambing itulah menjadi sumber rezeki bagi ibu dan ayahku. Wang hasil menjual anak-anak kambing itulah dapat aku gunakan untuk membeli buku-buku pelajaran pada tiap-tiap akhir tahun.

Ibuku seorang perempuan Melayu yang yakin pada dirinya. Kerana kesudahan sering menerpa dan melanada ibu dan ayahku, maka ibuku tidak takut kepada kesusahan yang mencengkam dirinya. Dia sering berkata kepadaku,iaitu kesusahan mengajar manusia menjadi manusia sejati. manusia berperikemanusiaan. Menjadikan manusia yang sentiasa hampir dengan Tuhan. Manusia bertimbang rasa kepada manusia lain.

Ingatanku terhimbau kepada suatu malam, iaitu pada ibuku berkata kepadaku, “…Lamin,Allah dekat dengan kita,… kerana Allah dekat dengan emak, tak takut susah, susah jadi ilmu pada emak,…emak tak ingat,ada dalam Quran,…firman Allah, …sesungguhnya bersama kesusahan itu, datang kesenangan8 .

Ibuku merenung wajahku. Dua bola matanya bersinar menandakan hatinya penuh keyakinan kepda Allah.

Kata ibuku, “…mudah baca sejarah, dua puluh lima rasul Allah, dari Adam sampai kepada Muhammad hidup susah,Allah cuba,Allah uji…,demo sabar,demo tawakal, iman demo kuat.”

Demo tu susah sebab musuh,…sebab macam-macam,”kata ibuku lagi.

“…mu anak jantan, mu tak usah takut susah, mu kena sabar,kena tawakal, tak usah lupa Tuhan, orang lupa Tuhan sesat, jadi jahat, suka buat maksiat…,” tambah ibuku.

Ia, emak, insya Allah, Lamin akan sabar, tabah, tawakal, emak,” aku menanamkan harapan pada hati ibuku.

Dia ibuku. Wanita solehah. Dia sedang duduk di hadapanku. Pada wajahnya yang bujur sirih ada cahaya Puteri Balqis dari Saba9 yang jatuh cinta kepada rasul Allah, Sulaiman alaihis salam, Zulaikha yang mabuk cinta kepada rasul Allah,Yusuf alaihis salam dan cahaya Siti Khadijah, hartawanita Arab yang mencintai Nabi Muhammad sallal Lahu alaihi wa sallam.Mereka langsung berumah tanggan.Menjadi keluarga contoh kepada umat manusia. Dia ibuku yang dadanya berisi iman dan berhiaskan kesabaran.

Emak nak cakap ni,Lamin,”kata ibuku sambil merenung kepadanya.

Apa,emak?”aku bertanya.

“…bila mu dah tamat belajar, cepat kawin, emak nak tengok cucu mak,…mak tak mahu kempunan nak tengok cucu emak hingga emak mati,” jawab ibuku dengan tegas.

Baiklah,emak,…tapi,” aku berkata menyuburkan pohon harapan dalam hatinya.

Apa,Lamin?” ibuku bertanya.

“…tapi, emak nak pilih sendiri bakal menantu emak tu, atau…?” aku bertanya pula.

Tak, emak tak nak pilih,emak nak mu pilih sendiri, baik pada mu, eloklah pada emak,” jawab ibuku sambil senyum.

Ibuku diam sejenak. Dia senyum dan berkata, “…mu mesti baik,hormat,sayang pada isterimu,” ibuku meluahkan kata nasihatnya kepdaku.

Insya Allah, emak,”aku berkata mengandungi janji kepadanya.

“…mu ingat, kerana mu lelaki, orang jantan,…mu kena buat baik dengan orang perempuan, demo tu sejenis dengan emak,” pesan ibuku.

Aku hampir ketawa. Aku tak faham perkataan ‘buat baik’ yang dimksudkan oleh ibuku. Tetapi aku tidak bertanya kepadanya akan maksud madahnya itu. Walau bagaimana pun, sebagai seorang anak, pesanan ibuku itu tetap aku memegangnya sekuat mungkin.

Jangan buat tak baik dengan orang perempuan,…Tuhan marah, berdosa,”pesan ibuku lagi.

Baik,emak,”sahutku.

“…tapi kalau mu nak nikah dua tiga, sampai empat pun mak tak larang,” kata ibuku sambil senyum.

Allahu Akbar,…macam menyuruh pula,emak,” aku berkata sambil menahan tawaku.

“…bukan emak suruh,tapi mu jangan menentang takdir,…mu kena ingat, kita hanya merancang, tapi Allah Maha Kuasa,”kata ibuku sambil senyum.

Ia,emak, la haula wala quwwata illa billah…,” aku mengakurkan kata-kata ibuku.

Aku rasa malu mendengar kata-kata ibuku itu. Sebenarnya aku telah berazam; jika Allah meredakan,iaitu aku tidak akan memadukan isteriku.

(Dipindahkan dari novel, Kasih Ibuku,oleh: Mokhtar Petah)

1 Tasik Chenderoh,tasik sungai Perak kerana sebuah empangan jana elektrik ‘Chenderoh Dame’ telah dibina oleh

syarikat gergasi orang – orang Inggeris dan orang-orang di Tanah Melayu,termasuk Sultan Perak,al marhum

Sultan Iskandar Shah, di suatu tempat bernama Chenderoh, dalam daerah Kuala Kangsar pada tahun 1936.

2 Iqra’: 2

3 Al Isra’: 23

4 Sama dengan tingkatan lima.

5 Presiden Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) tahun 1945.

6 Presiden parti Islam pertama di Tanah Melayu, Hizbul Muslimin, ditubuhkan di Gununhg Semanggul pada tahun

1945,iaitu beberapa bulan sebelum ditubuhkan PKMM.

7 Kamu semua (dialet orang Pattani).

8 Al Insyirah (Lapang): 5

9 Kini Yaman Selatan.

No comments: