Tuesday, September 29, 2009

MENGENANG MASA SILAM

Mokhtar Petah

Pada petang 11 November 1975, aku telah bertemu dan bercakap dengan Ketua Polis Kontinjen Negeri Perak, Tan Sri Khoo Chong Kong, di Ipoh Club. Percakapan kami mengenai pergolakan politik di negeri Perak, ancaman pengganas komunis masih berlarutan, pembangunan rakyat dan beberapa perkara yang menyeronokkan. Khoo telah meminta semua percakapan kami itu di ’off the record’kan kerana sebab-sebab tertentu.

Antara pendapat-pendapat Khoo Chong Kong yang masih aku ingat, ialah:

+ Mengenai perpaduan rakyat; selagi orang-orang bukan Melayu tidak ikhlas menerima bahasa Melayu sebahagian bahasa mereka dan mereka masih ada sentimen mahu menegakakan bahasa mereka, maka selama itulah perpaduan tidak akan tercapai dengan sempurna.

+ Agama Islam mestilah diterima sebgai agama negara, dan hukum-hukumnya dipraktikkan sebagai undang-undang dan perkemaskan perlembagaan mengenai agama Islam. Pemahaman mengenai Islam agama rasmi negara hendaklah diberi fahaman kepada semua rakyat bukan Islam, supaya perpaduan antara rakyat yang sedia ada akan bertambah kukuh.

+ Tidak ada cara yang lebih baik yang berkesan untuk membanteras fahaman komunis, melainkan dengan Islam dan mengurangkan kadar kemiskinan di kalangan rakyat luar bandar dan pinggir bandar.

+ Kerajaan Pusat dan semua Kerajaan Negeri akan tidak selamat, mungkin akan muflis kalau dibiarkan amalan rasuah berleluasa di kalangan para pegawai, kakitangan kerajaan dan mereka yang berkecimpung dalam arena politik.

+ Untuk meninggikan moral semua rakyat, kerajaan mestilah mengawal atau menghalang kemasukan segala macam unsur menolak ketuhanan dan kebudayaan kuning menerusi filem, televisyen dan media cetak.

Hanya berselang sehari semalam, iaitu pada waktu lepas makan tengah hari pada 13 November 1975, Khoo Chong Kong telah mati ditembak oleh dua orang pengganas Parti Komunis Malaya (PKM) yang menunggang motosikal, di garisan lampu isyarat simpang Fair Park dengan Jalan Anderson, dalam Bandar Ipoh. Turut terbunuh, pengiringnya, Sarjan Yeung Peng Chong dan pemandu keretanya.

Sebelum berkhidmat dalam pasukan Polis Diraja Malaysia, Khoo Chong Kong adalah bekas aktivis Parti Komunis Sarawak (PKS). Sebelum menyertai pasukan polis, dia telah menyerah diri kepada pihak berkuasa.

Keberanian dan kebodohan seseorang ada kalannya memberi guna kepadanya. Begitu jugalah aku dengan keberanian dan kebodohanku. Aku ditakdirkan Allah tidak mengalami sebarang kejadian buruk di negara orang, maka hidup hingga kini. Tetapi aku bangga, kerana langkah berani dan bodohku itu telah menjadi catatan manis dalan ’sejarah hidup’ku.(MPSBP.mp)

No comments: