Friday, September 25, 2009

MENGENANG MASA SIALAM

Mokhtar Petah

Pada tahun sembilan belas enam puluh sembilan.

Pada masa itu Ketua Biro The New Straits Times di Ipoh, Encik Hanry Paul. Walaupun aku bekerja dengan Berita Harian, tetapi telah meminta aku menulis berita-berita atau berita-berita yang aku dapati diterjemahkan ke bahasa Inggeris untuk The New Straits Times, Sunday Times atau Malay Mail, Sunday Mail atau Business Times.

Hanry Paul telah memberitahu kepadaku, bahawa wartawan-wartawan bukan Melayu yang bekerja pejabat The New Straits Times cawangan Ipoh, sukar mendapat berita-berita secara langsung mengenai mesyarakat, adat istidat, hal ehwal istana Sultan Perak dan hal ehwal polit, kebudayaanh dan sebagainya dari orang Melayu.

Semenjak tragedi 13 Mei 1969, wartawan-wartawan dalam kumpulan akhbar New Straits Times yang terdiri dari bukan orang Melayu telah enggan atau takut menulis berita-berita mengenai hal ehwal orang Melayu, seperti politik, kemasyarakan, agama Islam dan seumpamanya.

BERITA HARIAN

Hanry Paul telah meminta aku meliput dan menulis berita-berita berkenaan di seluruh Negeri Perak. Pada masa itu Samad Ismail bertanggungjawab sebagai Ketua Pengarang Berita Harian, A.Samad Said dan Semani Mohd.Amin di bahagian editorial.

Pada masa itu belum ada komputer dan internet. Semua berita-berita dikirim dari pejabat New Straits Times Ipoh ke pejabat The New Straits Times, di Kuala Lumpur dengan menggunakan teleprinter dari Telekom. Kerana waktu penggunaan itu diagihkan dengan Club Lumba Kuda Ipoh, maka waktu mengirim berita dihadkan, iaitu kira-kira sejam untuk The New Straits Times dan sejam lagi untuk digunakan oleh Kelab Lumba Kuda Ipoh.

Gambar –gambar yang perlu disiarkan segera, dikirim dengan teksi sewa khas dari Ipoh ke pejabat The New Straits Times, di Jalan Rion, Bangsar, Kuala Lumpur.

KIAMBANG BERTAUT

Setelah Indonesia – Malaysia mencantum semula seperti, ’biduk lalu kiambang bertaut’, aku tidak lagi mengirim berita-berita kepada Institusi Pengajian Tinggi, di Singapura. Hubunganku dengan pensyarah tersebut terputus begitu sahaja.

Hanya pada waktu aku menelefon kepada rakanku, Adam Malik, Wakil Presiden Republik Indonesia (1978 – 1983), di pejabat Presiden Republik Indonesia, di Jakarta, bulan Mei 1980 kerana membantu seorang peniaga yang bermasalah pembalakan, di Balik Papan, Indonesia, dia telah mengucap terima kasih kepadaku kerana aku telah membantu pihaknya.

Pada masa konfrantsi Republik Indonesia terhadap Malaysia, Adam Malik telah memegang jawatan Menteri Luar republik itu. Dia telah memegang jawatan Wakil Presiden menggantikan Sri Sultan Hamengkubuana yang telah memegang jawatan itu dari 1973 hingga 1978.

SULTAN PERAK

Walaupun aku tidak menyertai Persatuan Wartawan, tetapi pada masa itu, hampir semua wartawan akhbar berbagai bahasa, telah menerimaku sebagai ketua mereka, terutama dalam menjalankan tugas untuk mendapatkan berita dari pihak istana Sultan Perak, Kerajaan Negeri Perak, UMNO dan kalangan pemimpin orang Melayu.

Mereka memandangku demikian, kerana akulah sahaja wartawan yang bergaul dengan Sultan Perak, kalangan istana, Menteri Besar, ahli-ahli Dewan Negeri dan Dewan Rakyat, pegawai-pgawai tinggi Kerajaan Negeri, Kerajaan Pusat dan golongan orang-orang politik dan para pemimpin masyarakat Melayu.

Misalnya, kalau mereka memerlukan kenyataan atau comment dan sebagainya dari Sultan Perak, Menteri besar dan pegawai-pegawai tinggi kerajaan, mereka terpaksa membuat temu janji dan seumpamanya, tetapi aku tidak demikian, aku terus mendailkan telefon atau terus mengadap Sultan di istana, Menteri Besar di pejabatnya atau di kediamannya.

MENINGGAL DUNIA

Ada satu peristiwa kecil – beritanya menarik - , pada satu hari aku telah menerima panggilan melalui telefon dari seorang rakanku dan rakan Rashid Maidin, iaitu Allahyarham Shaharuddin,”...datang segera ke Gopeng, ...rumah mak Suri Nandih...,Rashid Maidin balik.”

Aku telah pergi ke rumah ibu Rashid Maidin, Allahyarhamha Suri binti Nandih, di Gunung Misah, Gopeng. Sebaik-baik sahaja aku tiba, aku jadi terpegun dan sedih kerana mak Suri Nandih telah meninggal dunia. Jenazah sedang terbujur di tengah rumahnya. Aku nampak, di antara orang-orang yang sedang membaca ayat-ayat Quran dekat jenazah itu, iaitu seorang lelaki telah berumur sedang membaca Quran di sisi mayat jenazah tersebut.

Aku mulai cam lelaki itu, tetapi entah mengapa aku seperti terpukau melihatnya. Aku telah duduk dan membaca surah Yasin bersama orang-orang lelaki di situ yang jaraknya kira-kira lima meter dari lelaki itu. Apabila aku selesai membaca surat Yasin, aku mendapati lelaki itu telah tiada lagi di sisi jenazah itu. Sebaik-baik aku selesai membaca surah Yasin, aku bergegas turun turun dari rumah itu dan hatiku bertanya,”...diakah Rashid Maidin?”.

PISANG MUDA

Sambil turun dari rumah itu aku merenung ke jalan raya yang jaraknya dari rumah itu kira-kira tiga ratus meter. Atas jalan raya sebuah lori kecil, membawa buah-buah pisang muda baru bergerak, ke arah pekan Gopeng.

Selesai memakai kasut di kaki tangga itu aku telah berjalan ke arah beberapa orang lelaki sedang duduk atas bangku panjang tepi halaman tumah itu. Di antara mereka itu ,ialah dua orang rakanku, Allahyarham Shaharuddin dan Allahyarham Mustafa Hussein[1]. Allahyarham Shaharuddin telah berbisik ke telinga kananku, ”...dia (Rashid Maidin) datang tadi, sempat baca Yasin, ...dah pergi dengan lori pisang.”

Aku telah duduk dekat mereka dan meneguk secawan air kopi ’o’ yang telah disediakan di situ. Kira-kira setengah jam kemudian, dua buah Land Rover membawa sepasukan anggota-anggota polis telah masuk ke halaman rumah itu. Mereka itu lengkap dengan senjata yang pada bila-bila masa sahaja akan memuntahkan pelurunya. Beberapa orang dari mereka telah naik ke rumah tempat jenazah Suri Nandih sedang terbujur dan anggota-anggota polis yang lain telah berkawal di sekitar kawasan rumah itu.

”Nampaknya, Rashid lebih pandai dari polis...,” bisik Mustafa Hussein.

MENGHADAPI JENAZAH

Pada ketika itu aku kagum terhadap kesetiaan dan kasih seorang anak kepada ibunya, walau dalam keadaan yang membahayakan dirinya – kemungkinan peluru-peluru api akan menembusi tubuhnya - , namun dia datang juga menghadapi jenazah ibunya.

Setelah melarikan diri dari khemah tahanan Tanjung Berus, Melaka, Rashid Maidin telah menyertai Tentera Pembebsan Bangsa Melayu ke – 10, di negeri Pahang yang bermarkas dalam rimba di daerah Temerloh.

’Dalam tahun 1950 itulah Tentera Pembebasan Bangsa Melayu di negeri Pahang telah menubuhkan semula pasukan Askar Melayu Ke – 10 di negeri itu. Pada masa itulah juga Chin Peng telah membawa anggota-anggot Komunis lebih kurang seramai dua ribu orang dari negeri Perak telah memerintahkan orang-orangnya memujuk orang-orang Melayu di daerah Temerloh yang luas itu untuk menyebelahi pihak Komunis, membenci British dan Kerajaan Tanah Melayu supya bangkit memberontak. Pejuang-pejuang Melayu yang dahulunya menentang British di Malaya sekarang telahh dibawa masuk oleh Chin Peng ke negeri Pahang menjadi pemimpin askar Melayu Ke-10 cawangan Tentera Pembebasan Bangsa Melayu di negeri itu, iaitu seperti Abdullah C.D., Musa Ahmad, Manap Jepun dan Shamsiah Pakeh. Orang-orang Melayu lain yang disifatkan sebagai pemimpin pengganas di negeri Pahang itu ialah Wan Ali, Wahi Anuar dan Budin bin Chok.

Pejuang Melayu yang menyebelahi Parti Komunis Malaya itu bertujuan hendak menghalau British dari Semenanjung Tanah Melayu dengan jalan berbaik-baik dengan Parti Komunis Malaya yang mempunyai askar dan senjata yang banyak itu, seperti kata mereka, ” Kalau hendak memburu harimau mestilah ada anjing pemburu yang garang!”[2]

Kira-kira setahun sebelum kejadian itu, aku telah bertemu dengan isteri dan anak-anak lelaki Rashid Maidin, di rumah mereka, di Sungai Itik, Gopeng. Sebatang paip air yang besar dan memanjang dari loji air di bukit hulu Sungai Itik ke kawasan luar, telah memisahkan rumah mereka dengan jalana raya. Untuk pergi ke rumah mereka itu terpaksa memanjat dan turun tangga yang tersandar pada batang paip itu.

SUSAH HATI

Kira-kira satu jam aku telah berbual dengan isteri dan anak-anak Rashid. Semenjak hari itu aku yakin Rashid Maidin telah curi-curi pulang ke rumah keluarganya. Keyakinanku dikuatkan dengan perhatianku kepada isterinya. Perempuan itu tidak kelihatan seperti orang sedang sedih, rindu dan susah hati kerana telah lama ditinggalkan oleh suaminya.

’Waktu itu kira-kira penghujung Jun 1948. darurat telah diisytiharkan, tapi saya sendiri pun tak terbayang begitu cepatnya darurat diisytiharkan dan begitu kejamnya tindakan penjajah British. Isteri saya yang ketika itu sedang sakit merasa sesuatu perkara yang tak diingini akan berlaku ke atas saya.

Utusan yang ditunggu-tunggu tidak kunjung datang, tetapi yang datang ialah satu seksyen polis yang dipandu oleh seorang intelijen Melayu dengan membawa surat saman untuk mengiring saya ke balai polis. Sebelum meninggalkan rumah. saya memberitahu isteri dan membariskan anak-anak saya (tiga orang) lalu mencium mereka. Saya berjanji dengan mereka, ”Esok ayah akan pulang.” Saya turun tangga di dalam tangisan anak-anak. Isteri saya pula menangis di dalam selimut. Itulah saat-saat terakhir saya bersama anak isteri.

Saya ditangkap atas tuduhan seorang komunis. Mula-mula ditahan di lokap Teluk Anson sekarang Teluk Intan) kemudian dibawa pula ke penjara Taiping. Saya digari dengan seorang pemuda Tionghua yang tidak dikenali. Kami dibawa naik keretapi. Kebetulan pada masa itu saya terserempak dengan Aminuddin Baki[3] yang dalam perjalanan balik ke Chemor dari persekolahannya di Singapura. Saya nampak dia jadi serba salah dan gelabah. ”Bung Rashid kena tangkap?” Dia berkata sambil mengggeleng-gelengkan kepala. Seterusnya dia menyambung kata’ ”Bong jangan bimbang, mesti teguh, jangan goyang.” Saya menjawab, ”Tak goyang.”

Sebelum berpisah kami bersalaman. Dia memberikan sebuah majalah Inggeris yang sedang dibacanya serta wang seringgit. Saya menolak, tapi dia menyatakan mungkin ada gunanya.’[4]

Tidak bertujuan mengangkat diri, tetapi pada masa itu akulah wartawan yang terkemuka di negeri Perak – ramai orang yang suka dan ramai pula yang benci - , setiap orang diseluruh negeri Perak yang berkecimpung dalam arena politik dan kemasyarakatan sentiasa membaca dan suka memabaca surat akhbar dan buku-buku, kalau tidak kenal akan diriku, tentu mereka mengetahui namaku juga.

Kerana banyak tulisanku terutama berita yang bersifat ekselusif atau kontroversi dan menimbulkan perbincangan di kalangan yang orang ramai di negeri Perak, maka pada satu hari, Pengarah Urusan Syarikat Utusan Melayu, Allahyarham Dato’ Hussein bin Nordin[5] telah menawarkan kepadaku untuk bekerja dalam syarikat itu sebagi wartawan. Kerana sebab-sebab tertentu aku telah tidak dapat menerima tawarannya itu.

Kira-kira sebulan kemudian, kebetulan aku sedang bercakap dengan Sultan Idris Shah di Istana Fairuz, Ipoh, Hussein Nordin telah datang mengadap Baginda. Pada waktu itu juga dia telah mengadu kepada Sultan Idris Shah mengenai aku telah menolak tawarannya untuk bekerja sebagai wartawan dalam syarikatnya.

”Mokhtar Petah ni Tuanku, nyombong, patik taworkan dia keghja journalist dalam Utusan Melayu, tak siornye...,”Hussein Nordin mengadu.

”...dia, dia, you tawor, ... takkan siornye, ...dia nak bebas,...tak boleh dikongkong...,” titah Sultan Idris.

*** ***

Beberapa orang tokoh politikus dalam Parti Hizbul Muslimin dan Parti Kebangsaan Melayu Malaya (PKMM) dan Angkatan Pemuda Insaf (API) sering datang ke Ipoh. Setiap kali mreka datang, kami telah bertemu di beberapa tempat, seperti di restoran atau di Masjid Negeri dan beberapa tempat lagi.

Mereka itu, ialah Allahyarham Ustaz Abu Bakar al Baqir[6] bekas Yang Dipertua Parti Hizbul Muslimin, Dr Burhanuddin Helmi, Ustaz Othman Hamzah, Ustaz Abdul Wahab Noor, Ustaz Abdul Rauf, Abdul Rashid Karim (Hizbul Muslimin), Ustaz Hassan Adli, Panglima Jihad PAS, Ustaz Haji Abdul Samad Noh(PAS) dan Mustafa Hussein (PKMM).

Dua hari dalam seminggu, ustaz Abu Bakar telah berjumpa denganku. Pada masa itu dia telah menjalankan perniagaan kilang kaolin (tanah liat putih), di Bidor. Kami sering makan bersama di restoran dan kadang-kadang bercakap-cakap di Masjid Negeri atau dalam bilik hotel tempat dia menginap.

BERJIWA PATRIOTIK

Dalam percakapan denganku, Ustaz Abu Bakar al Baqir telah memberi beberapa pendapatnya.

+ Umat Islam di Malaysia tidak akan bersatu secara ’bulat air kerana pembetung’ selagi UMNO tidak bersatu dengan jujur atau kerana Allah dengan PAS.

+ Negara ini walau macam mana kayanya, rakyat akan terus sebagai orang tidur berselimutkan kain panjang lima; tutup kepala kaki telanjang, tutup kaki kepala terbuka, selagi para pemimpin dari atas hingga ke bawa tidak jujur, para pegawai-pegawai dan kaki tangan kerajaan mengamakan rasuah dan hukum-hukum dalam agama Islam dipandang tidak penting, kerana kemakmuran tidak mendapat keredaan Allah.

+ Untuk menanam rasa kasih rakyat kepada negara, mereka hendaklah diberi pengetahuan sejarah perjuangan bangsa Melayu secara jujur, kerana dengan cara itu dapat menjadikan rakyat, terutama generasi muda berjiwa patriotik, sanggup membela dan mempertahankan negara dalam apa jua keadaan.

Allahyarham ustaz Abu Bakar al Baqir adalah bekas murid kepada Allahyarham Sheikh Abdullah Fahim. Dia telah menuntut di pondok, di Kepala Batas pada tahun 1930-an.

Selama masa aku bekerja sebagai wartawan, aku telah menjelajah kemerata –merata tempat – bandar, kampung, teluk, permatang dan kawasan pendalaman termasuk kawasan orang Asli di Ulu Perak, Kinta, Cammeron Highlands dan beberapa tempat lagi. Di tempat-tempat itu ramai belia yang dahagakan ilmu pengetahuan, tetapi kerana mereka brada dalam kepompong kemiskinan, maka mereka ketinggalan.

ORANG ASLI

Apabila kerajaan mengadakan kemudahan-kemudahan bagi penuntut-penuntut luar bandar mendapat pelajaran, seperti memberi bisiswa, menempatkan mereka di sekolah-sekolah berasrama dan hingga ke institusi-institusi pengajian tinggi, maka dari semasa ke semasa belia-belia di kampung – kampung dan kawasan pendalaman, termasuk kawasan Orang Asli telah mengalami perubahan. Mereka telah berubah menjadi angkatan belia yang berilmu pengetahaun.

Setiap kali aku bertugas di kawasan-kawasan bandar, aku mendapati ramai belia-belia berminat kepada bidang kerjaya seperti aku. Mereka mahu menceburkan diri dalam bidang kewartawanan dan penulisan. Ramai dari mereka itu telah bertanya kepadaku akan peluang bagi mereka untuk mempelajari ilmu kewartawanan dan penulisan dan seterusnya bekerja sebagai pemberita atau wartawan.

Aku yang memiliki sedikit sebanyak ilmu pengetahuan dan pengalaman dalam bidang tersebut, lebih-lebih lagi aku telah mengadakan kursus ilmu tersebut pada masa lalu, maka rasa bertanggungjawab untuk menyebarkan lagi ilmu pengetahuan tersebut kepada mereka. Aku telah mengadakan Kursus kewartawanan Gaya Pos di Ipoh. Kursus itu atas nama syarikat kecil Mata Publication.

AKADEMI KECIL

Lebih lima ratus orang belia termasuk mereka yang telah dewasa telah mengikuti program Kursus Kewartawanan Gaya Pos itu. Mata[7]Publication telah menjadi pusat akademik kecil untuk melatih calon-calon pemberita secara jarak jauh.

Sistem pelajaran yang aku telah jalankan, ialah setiap peserta mengikuti kursus itu selama empat hingga enam bulan. Pelajaran dikirim kepada para peserta pada tiap-tiap dua mingu sekali. Apabila mereka telah sampai kepada pelajaran menulis berita dan artikel, maka aku mengarahkan mereka supaya mengadakan penyelidikan atau mencari bahan-bahan berita dan artikel(cara praktik). Berita dan artikel yang mereka telah tulis itu mereka mengirimkannya kepada Mata Publication .

Aku telah memeriksa semua berita dan artikel dari mereka itu, seperti menyunting dan memberi tokok tambah yang perlu. Kemudian aku mengirimkan semula kepada mereka dengan mengarahkan mereka menulis semula berita-berita dan artikel-artikel itu dan mengirimkannya kepada mana-mana surat khabar atau majalah.

SURAT KHABAR

Peserta-peserta kursus yang rajin atau aktif, maka berita-berita atau artikel-artikel yang mereka telah kirimkan kepada surat khabar atau majalah dan telah disiarkan, maka mereka telah menerima sagu hati atau honorarium dari media-media berkenaan.

Semua peserta kursus kewartawanan memiliki kad pengenalan ’pelatih pemberita’. Kad pengenalan itu untuk memudahkan mereka mencari bahan-bahan berita atau artikel-artikel di tempat-tempat tertentu. Setelah mereka tamat dengan baik, aku telah memberikan satu sijil kepada tiap-tiap pesereta itu, menandakan mereka telah menyertai kursus kewartawan anjuranku.

Kemudiannya, aku mendapat tahu, ramai dari mereka yang telah mengikuti kursus kewartawanan dan penulisan itu telah bekerja sebagai pemberita atau pemberita sambilan dalam syarikat-syarikat akhbar. Ada juga yang telah melayakkan diri sebgai penulis kreatif, iaitu cerpenis dan penyajak atau penyair.

KAKITANGAN KERAJAAN

Pada satu petang dalam tahun 1973, Menteri Besar Perak, Dato’ Sri Haji Kamaruddin bin Haji Mat Isa telah menjemput aku datang ke pejabatnya, di Jalan Dato’ Panglima Bukit Gantang, Ipoh. Aku telah tiba di pejabatnya pada waktu para kakitangan kerajaan sedang bersiap-siap hendak pulang. Aku mendapati Dato’ Ishak Tadin (Tan Sri) Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Timbalannya, Encik Nasir Taha, Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Kamaruzzaman dan Pegawai Penerangan Negeri, Encik Ismail Shah sedang berada dalam pejabat tersebut.

Aku telah duduk atas sofa antara Haji Kamaruddin dengan Encik Nasir Taha.Setelah aku menghirup air teh dalam cawan yang telah disediakan untukku, Haji Kamaruddin telah bercakap atas tujuan dia telah menjemput aku ke pejabatnya.

”Encik Mokhtar, ...di Taiping minggu lalu, Encik Mokhtar ada mencadangkan kepada saya, supaya kerajaan negeri terbitkan surat khabar Berita Perak...,” kata Haji Kamaruddin.

”Ia, Dato’...,”sahutku.

”Macam mana Dato’?” Haji Kamaruddin telah bertanya kepada Ishak Tadin.

” Ia, boleh kita terbitkan, tapi siapa yang nak jalankan?”Tanya Ishak Tadin.

”...Encik Mokhtar ada pengalaman, ...kita minta dia jalankan Berita Perak..., adakan peruntukan duit...,”kata Haji Kamaruddin.

Semua pegawai-egawai tinggi kerajaan Negeri Perak itu telah setuju menerima aku memegang jawatan pengarang surat khabar bulanan Kerajaan Perak bernama ’Berita Perak’.

BERITA PERAK

Aku telah mengemukakan pendapatku; Sebagai sebuah surat khabar suara Kerajaan negeri, Berita Perak tidak akan menyiarkan ucapan atau kenyataan dari tokoh-tokoh politikus parti-parti kerajaan dan parti-parti lain. Ia hanya akan menyiar ucapan berhubungan dengan kerajaan oleh Menteri Besar, anggota-anggota Exco dan pegawai- pegawai kanan kerajaan. Menteri Besar dan pegawai-pegawai kerajaan itu telah bersetuju dengan pendapatku itu.

Pada petang itu, keputusan yang telah dicapai, bahawa surat khabar Berita Perak, akan diterbitkan pada tiap-tiap awal bulan. Kerajaan Negeri Perak akan mengadakan peruntukan wang untuk menerbitkan surat khabar itu dan membayar elaun kepadaku sebagai editornya.

Oleh kerana kerajaan tidak mengadakan kakitangan untuk mengendalikan surat khabar itu, maka aku telah menjalankan tanggungjawab serentak, iaitu sebagai editor, penyelidik, penulis, membaca proof, jurugambar dan berurusan dengan pihak pejabat cetak kerajaan yang mencetak surat khabar itu.

ARTIKEL MENGKRITIK

Menurut Ishak Tadin, tujuan utama pihak Kerajaan Perak mengambil aku untuk mengendalikan Berita Perak, supaya dapat menyekat atau melembutkan kegiatan aku dalam menulis berita dan artikel mengkritik wakil-wakil dan kerajaan negeri itu.

Ishak Tadin telah banyak membantuku dalam mengendalikan surat khabar Berita Perak. Dia telah memberi kepadaku beberapa buah fail rasmi kerajaan mengenai pembangunan kerajaan dan sebagainya. Memberi kemudahan kepadaku untuk menghubungi semua pegawai-pegawai daerah dan pegawai-pegawai lain termasuk polis dan tentera di seluruh negeri Perak.

Aku juga diberi kebenaran mengikuti mesyuarat-mesyuarat tertutup kerajaan, seperti masyuarat Jawatankuasa Keselamatan Negeri, Pembangunan Negeri dan hal-hal berkenaan sidang Dewan Undangan Negeri Perak.

DIBIARKAN MUNDUR

Aku telah berkesempatan membaca banyak nota dalam fail rasmi kerajaan mengenai Pembangunan Negeri dan sebagainya. Dari nota-nota dan catataan-catatan mesyuarat, aku telah mendapati banyak wang kerajaan telah digunakan dengan cara tidak mengikut keputusan dan jadual.

Dari fail-fail pembangunan Kerajaan Negeri Perak yang aku telah membacanya, aku telah mendapati ada ’kelemahan’ dalam mengagihkan peruntukan wang bagi pembangunan dalam negeri itu.

Disebabkan sentimen politik, ada kawasan yang patut mendapat peruntukan bagi pembangunan telah diketepikan. Misalnya kawasan-kawasan yang ramai pembangkang tidak diberi peruntukan pembangunan dan dibiarkan mundur.

MENGGIGIT JARI

Ada pula wang peruntukan untuk satu-satu kawasan dipindahkan kepada kawasan lain kerana sebab-sebab dalaman, misalnya menteri besar tidak bersefahaman dengan wakil-wakil rakyat dalam satu-satu kawasan. Akibatnya, ramai penduduk luar bandar ramai yang ’menggigit jari’ kerana tidak dapat menikmati pembangunan kerajaan, terutama di kawasan-kawasan luar bandar.

Pada masa itu aku sering menaiki helikopter Tentera Udara Malaysia (TUDM) mengikuti pegawai-pegawai tentera dan kerajaan melawat dan meninjau kawasan-kawasan luar bandar, termasuk kawasan-kawasan Orang Asli dan khemah-khemah askar dan polis hutan di seluruh negeri Perak.

Pada satu subuh aku telah menaiki helikopter TUDM, Nuri, bersama Setiausaha Kerajaan Negeri Perak, Ishak Tadin, Timbalannya, Nasir Taha, Pemerintah Tentera Darat di Perak, Brigadier General Abdul Abdul Latif Hussein[8](telah meninggal dunia) dan pegawai Penerangan Negeri Perak, Ismail Sahah telah terbang ke kawasan hutan belantara Hulu Perak dan mendarat atas sebuah bukit dekat khemah Askar Wataniah dekat Lebuh Raya Timur Barat – Pulau Pinang- Kelantan.

LEBUH RAYA

Sebaik-baik sahaja kami mendarat atas bukit itu, kami telah dikawal oleh berpuluh-puluh orang anggota askar Wataniah yang lengkap dengan senjata.

Kami telah dibawa masuk ke dalam sebuah khemah Askar Wataniah di pinggir Lebuh Raya Timur – Barat yang sedang dibina oleh sebuah syarikat pembinaan ’Malaysian and Thailand Development (MTD).

Pada malam tadi segerombolan gerila Islam pemisah Selatan Siam yang diketuai oleh ’Tok Janggut’, telah membakar beberapa buah jentolak dan lori milik syarikat MTD, atas lebuh raya yang sedang dalam pembinaan itu, tidak jauh dari khemah Askar Wataniah tersebut.

ASKAR WATANIAH

Menurut keterangan seorang pegawai askar di khemah itu, gerombolan gerila Islam pemisah Selatan Siam itu telah datang pada waktu tengah malam, dari atas bukit di bahagian atas kawasan khemah itu. Mereka telah memberi amaran dengan alat pembesar suara kepada askar-askar dalam khemah itu, supaya meletakkan senjata kerana mereka hendak membakar alat-alat jentera milik syarikat MTD di atas lebuh raya itu.

Semua anggota Askar Wataniah itu telah meletakkan senjata masing-masing dalam keadaan ketakutan. Pada saat begitu semua anggota Askar Wataniah itu hanya berpaut kepada keyakinan; mereka beragama Islam dan gerila-gerila itu beragama Islam juga, dengan kehendak Allah, tentulah mereka tidak di apa-apakan.

Setelah gerila- gerila itu membakar semua alat-alat jentera tersebut, mereka telah memberitahu kepada pasukan Askar Wataniah itu, apabila gerila-gerila itu telah meninggalkan kawasan itu, supaya mereka melepaskan seberapa banyak tembakan rambang untuk mengelakkan dari anggapan pegawai-pegawai atasan mereka yang mereka telah tidak melawan pengganas komunis.

PENGGANAS KOMUNIS

Pada waktu itu, walaupun aku seorang wartawan, tetapi kerana sebab-sebab tertentu, aku terpaksa mengikut kehendak pihak yang berkuasa. Aku telah menulis berita atau artikel mengenai kejadian itu berbeda dari fakta sebenarnya. Aku telah menjadi salah seorang dari ramai penulis-penulis yang membohongi orang ramai.

Mesyuarat Jawatankuasa Keselamatan dalam khemah itu, pada hari itu telah memutuskan, kerana keselamatan dan kempen memburuk-burukkan pengganas komunis, maka satu kenyataan kepada akhbar akan dikeluarkan, iaitu kejadian tersebut telah dilakukan oleh pengganas komunis.

Pada waktu makan, aku telah bercakap dengan Brigadier General Abdul Latif Hussein. Dia memberitahu kepadaku dengan ’off the record’, bahawa pihaknya memang telah mengetahui akan pergerakan gerila-gerila Islam, di Selatan Siam itu. Menurutnya, mereka itu bukan pengganas, tetapi pejuang-pejuang untuk membebaskan tanahair mereka dari dijajah oleh Kerajaan Siam seperti umat Arab Palestin menentang Israel.

”...I pegawai tentera, tapi I hairan mengapa negara-negara Asia tidak mencari jalan membantu umat Islam Selatan Thailand mencapai kemerdekaan, seperti mereka membantu umat Arab Palaestin...? ” Tanya Brigadier General Abdul Latif Hussein.

Sebelum bersara, Brigadier General Abdul Latif Hussein telah bertukar ke kem Lok Kawi, Kota Kinabalu, Sabah untuk menjadi pemerintah Tentera Malaysia, di sana.


[1] Bekas pensyarah Kolej Pertanian Serdang, rakan Rashid Maidin pada masa mereka

sama-sama dalam Parti Kebangsaan Melayu Malaya. Mustafa agen sebuah syarikat

insuran, dia sering datang menemuiku di Ipoh. Kami sering makan nasi kandar

di restoran depan stesen bas Tanjung Rambutan di Pekan Baru, Ipoh.

[2] Haji Buyong Adil, 1984, Sejarah Pahang, Kuala Lumpur, Dewan Bahasa dan Pustaka,

hl:432, 433.

[3] Subki Abdul Latif, 2-15 Disember 2005, Mingguan Siasah – ‘Aminuddin Baki dalam GPMS’,

Kuala Lumpur, hlm. 4.

[4] Rashid Maidin, 2005 Memoir Rashid Maidin, Petaling Jaya, Strategic Information Development

(SIRD), hlm.38, 39.

[5] Keturunan Orang Besar-Besar Negeri Perak, Dato’ Setia, dan bekas ahli Dewan Rakyat (Parit)

[6] Mokhtar Petah, Tokoh-Tokoh Ulama Dan Politikus Islam.(belum terbit).

[7] MATA , Majlis Agama Tertinggi, iaitu sebagai mengenangkan sebuah badan agama yang

telah ditubuhkan oleh Ustaz Abu Bakar al Baqir _Hizbul Muslimin -, di institusi

pengajian Islam, Ihya usya Syarif, Gunung Semanggul bersama Ibrahim Yaakob dan Dr

Burhanuddin Hedlmi.

[8] Lihan, Mokhtar Petah, 2002, Meniti Derita Kepuncak’ Kuala Lumpur, Darul Fikir.


Dari manuskrip buku, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paruh. Oleh: Mokhtar Petah. – Editor, Petah Shahrir Aidid)









No comments: