Friday, September 25, 2009

KHUTBAH JUMAAT WILAYAH PERSEKUTUAN



'MENGHAYATI KESAN RAMADAN'

(25 SEPTEMBER 2009 / 06 SYAWAL 1430)

Saya menyeru kepada tuan-tuan dan diri saya sendiri, marilah sama-sama kita meningkatkan ketakwaan kita kepada Allah SWT dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala tegahan-Nya. Semoga kita mendapat kebahagiaan di dunia dan juga di akhirat. Tajuk khutbah Jumaat pada hari ini ialah: “Menghayati Kesan Ramadan”.

Kini kita sudah berada pada tanggal 6 Syawal. Ramadan baru sahaja berlalu, ianya pasti meninggalkan kesan mendalam di dalam jiwa orang-orang mukmin. Didikan Ramadan yang mendisiplinkan diri kita dari mula bangun bersahur sehinggalah kita hendak tidur semula, memberikan suatu pengisian yang sangat bermakna dalam menjalani kehidupan yang berkualiti. Alangkah elok dan baiknya, sekiranya kita dapat mengekalkan rutin harian sepertimana hari-hari Ramadan yang kita lalui selama sebulan yang lalu.

Ramadan yang dipenuhi dengan tuntutan-tuntutan fardhu mahupun sunat seperti solat fardhu berjemaah di masjid-masjid atau surau-surau, bermurah hati dengan sedekah dan amal jariah, istiqamah dalam tilawah al-Quran dengan menyertai majlis-majlis tadarus, rajin berqiamullail dan berbagai-bagai ibadah lain seperti bertakbir, bertahmid, bertasbih, berselawat dan memperbanyakkan doa; dapat kita teruskan di bulan-bulan yang akandatang.

Walaupun hampir seminggu telah berlalu, kemeriahan Idulfitri masih dapat dirasakan. Ramai di kalangan kita pada masa ini berebut-rebut mengambil kesempatan mengadakan rumah terbuka, menjemput sanak saudara, jiran tetangga dan rakan taulan serta saling berkunjung-kunjungan. Amalan ziarah menziarahi disemarakkan. Sememangnya budaya mulia ini telah menjadi tradisi bagi masyarakat kita.

Ini bertepatan dengan usaha-usaha murni menghidupkan sunnah Rasulullah SAW iaitu amalan berziarah dan memberi makan. Jika pada waktu atau bulan-bulan yang lain, kita tiada kesempatan kerana kesibukan dengan tugas mengurus rutin harian, sehinggakan jiran yang tinggal bersebelahan rumah pun jarang-jarang bertegur sapa, maka dikesempatan inilah kita dapat menjalin semula keakraban dengan jiran tetangga, sahabat handai dan rakan taulan.

Sesungguhnya inilah masa yang paling sesuai untuk kita menghubungkan kembali sillaturahim. Mungkin sebelum ini ada berlaku ketegangan, salah faham atau perselisihan yang membawa kepada bermasam muka dan tidak bertegur sapa, maka ambillah peluang dihari yang penuh berkat ini untuk mengeratkan semula hubungan yang kian pudar tersebut. Semoga roh atau semangat yang terzahir di bulan Syawal ini mampu melenyapkan keegoan dilubuk hati seseorang.

Begitulah indahnya Islam mengajar kita, dalam melaksanakan tuntutan berziarah, bukanlah juadah makanan yang diutamakan, akan tetapi hikmah disebalik amalan ziarah tersebut. Manakala dihujung agenda ziarah pula, biasanya diakhiri dengan menghulurkan tangan berjabat salam di samping saling memohon kemaafan. Semoga semua salah silap dimaafkan, perselisihan atau perbalahan dilupakan, mana yang kusut kembali dirungkaikan, buang yang keruh ambil yang jernih.

Islam mengajar kita melakukan sesuatu perkara secara bersederhana. Dalam keghairahan sesetengah kita meraikan Idulfitri dengan membuat rumah terbuka, janganlah sampai kita melakukan pembaziran. Sesetengahnya pula, tiada kemampuan tetapi sanggup berhutang dan bergolok bergadai semata-mata kerana ingin membuat rumah terbuka, kononnya malu dengan kawan-kawan dan jiran-jiran tetangga jika tidak membuat rumah terbuka.

Ada juga yang sanggup mengeluarkan wang simpanan atau tabungan, semata-mata memenuhi kehendak nafsu berbelanja. Duit gaji atau pendapatan yang diperolehi bukan sahaja dihabiskan berbelanja pada hari raya, malah berbelanja pula untuk rumah terbuka, mengadakan majlis rumah terbuka tidaklah salah, bahkan digalakkan bagi mereka yang benar-benar berkemampuan, tetapi biarlah berpada-pada dan tidak membazir kerana ia dibenci oleh Allah SWT.

Firman Allah SWT di dalam Surah al-Israk ayat 26-27:

Dan berikanlah kepada kerabatmu, orang misikin dan orang musafir akan haknya masing-masing, dan janganlah kamu berbelanja dengan sangat boros. Sesungguhnya orang yang boros itu adalah saudara syaitan, sedang syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada tuhannya.

Mimbar juga ingin mengingatkan para jemaah sekalian yang mempunyai anak-anak yang bersekolah supaya jangan berbelanja keterlaluan sehingga apabila sampai permulaan musim persekolahan persiapan untuk anak-anak ke sekolah tergendala atau terganggu. Ini disebabkan tabungan yang telah habis dibelanjakan pada bulan Syawal kerana membeli perabut-perabut baru, bermewah-mewah dengan mengadakan rumah terbuka atau seumpamanya.

Dalam kesibukan kita memenuhi jemputan dan menziarahi sanak saudara dan sahabat handai, janganlah kita lupa melaksanakan amalan yang sangat di tuntut iaitu berpuasa 6 hari di bulan Syawal. Ini dijelaskan di dalam hadith Rasulullah SAW yang diriwayatkan oleh Imam Muslim:

Sesiapa yang berpuasa di bulan Ramadan kemudian mengiringinya dengan puasa sunat 6 hari di bulan Syawal, pahalanya seperti berpuasa setahun.

Besarnya pahala berpuasa sunat 6 hari di bulan Syawal adalah seperti berpuasa setahun. Ini membuktikan rahmat dan kasih sayang Allah SWT kepada baginda dan umat baginda. Maka seharusnya kita merebut peluang ini dan bersungguhn-sungguh di dalam melaksanakan tuntutan tersebut. Umumnya masyarakat kita memahami bahawa amalan sunat itu apabila dilakukan, maka akan beroleh pahala, jika ditinggalkan tidak berdosa. Mimbar menyeru para jemaah sekalian agar dapat melakukan anjakan pemikiran tentang amalan sunat ini iaitu alangkah ruginya kita, sekiranya tidak dapat melaksanakannya kerana ia datang hanya setahun sekali sedangkan kita mengetahui akan fadhilat serta kelebihannya yang amat besar.

Selain daripada balasan pahala yang dijanjikan Allah kepada kita, hikmah puasa sunat 6 hari di bulan Syawal ini diharapkan dapat menampung mana-mana kecacatan yang berlaku di dalam puasa Ramadan kita. Di samping itu juga, puasa sunat ini dapat terus mengekalkan kesihatan tubuh badan kita kerana kebiasaannya di musim perayaan ini kita makan berlebihan dari had yang sepatutnya. Sesungguhnya tubuh badan yang sihat sahaja dapat menjamin kesempurnaan beribadah.

Dan sekiranya mampu, berazamlah selepas melalui bulan Syawal ini, kita akan meneruskan amalan puasa sunat Isnin dan Khamis kerana inilah amalan yang sangat disukai oleh Rasulullah SAW. Dengan melaksanakan amalan puasa sunat sebegini juga, dapat menjamin khususnya orang-orang perempuan yang kedatangan haid semasa Ramadan agar dapat menggantikan (qada’) puasa mereka dengan teratur dan terancang.

Berdasarkan khutbah hari ini beberapa pengajaran yang dapat disimpulkan ialah:

(1) Ramadan adalah bulan tarbiyyah yang dapat mendidik dan mendisiplinkan diri agar kita lebih berazam dan beristiqamah dengan amalan-amalan fardhu mahupun sunat di bulan-bulan yang lain.

(2) Islam menuntut kita agar bersederhana dalam melakukan sesuatu perkara.

(3) Janganlah kita mengabaikan tuntutan berpuasa sunat 6 hari di bulan Syawal dan amalan puasa sunat yang lain kerana amalan ini disukai oleh Rasulullah SAW, para Nabi, Rasul-rasul serta para solihin.

(4) Berpuasa dapat mengekalkan ksihatan tubuh badan, dapat mengekang hawa nafsu dan mencapai redha dan takwa di sisi Allah SWT.

(5) Hendaklah kita sentiasa mematuhi tuntutan syarak dengan tidak mencemari sambutan Idulfitri dengan dosa dan maksiat atau perkara yang sia-sia setelah sebulan kita berpuasa.

Demi masa! Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian kecuali orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar. (Surah al-‘Asr:1-3)

(Khutbah Jumaat ini disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia – JAKIM)

No comments: