Wednesday, September 30, 2009

MENENANG MASA SILAM

Mokhtar Petah

Sembilan belas enam puluhan.

Aku seperti lelaki-lelaki lain juga yang menilai cinta kekasih dengan kekasih dan suami dengan isteri, adalah satu-satunya anugerah Allah yang paling berharga. Cintaku dengan Che Su amat berharga dalam hidupku. Kira-kira setahun selepas kami berkahwin, telah lahir anak sulung kami, Khairil Anuar[1]. Dia telah lahir di Kampung Tanah Merah. Kelahiran anak kami itu, aku telah mengakui, sesungguhnya cintaku dengan isteriku itu amat kukuh, laksana gunung batu, Jabal Uhud, di Madinah dan Jabat Nur, di Mekah.

Aku telah merenung kepada masa depanku di Kampung Tanah Merah. Jika aku dan isteriku menumpang menumpang lebih lama lagi di kampung itu, nescaya masyarakat kampung itu akan mengalami perpecahan sesama mereka, disebabkan aku.

Mereka yang memihak kepada Guru Besar sekolah Kebangsaan kampung itu tidak suka aku mengetuai Jawatankuasa Pengelola sekolah agama itu lagi. Manakala pihak lain mahukan aku terus menerajuinya. Cara yang aku baik, ialah aku mengambil keputusan meletakkan jawatan sebagai Yang Dipertua Jawatankuasa Pengelola sekolah tersebut.

MENCUBIT PAHA

Aku dan isteriku dan anak sulung kami, Khairul Anwar telah berpindah berpindah dari kampung Tanah Merah ke Kampung Lubuk Merbau. Kami telah menyewa sebuah rumah di kampung tersebut.

Setiap hari Che Su terpaksa berulang alik dengan menggatih basikal, mengajar di Sekolah Kebangsaan Tanah Merah yang kira-kira 2 kilometer jauhnya dari rumah kami.

Pada satu hari, kira-kira sebulan setelah kami berpindah dari Kampung Tanah Merah, sebuah berita mengenai sekolah Kebangsaan Tanah Merah telah disiarkan dalam surat Khabar Utusan Melayu. Berita itu mengenai seorang guru di Sekolah Kebangsaan Tanah Merah, telah mencubit peha seorang murid perempuan pada waktu mengajar dalam kelas. Berita itu bersumber dari penduduk kampung itu, Encik Yang Zainun dan telah ditulis oleh pemberita surat khabar itu, di Kuala Kangsar, Allahyarham Nasaruddin Abu Bakar[2].

MESYUARAT JAWATANKUASA

Kerana berita itu, Guru Besar dan Lembaga Penguru Sekolah tersebut telah mengadakan mesyuarat tergempar. Guru Besarnya, Anjang Mohamad Yunos memberitahu mesyuarat itu, bahawa berita dalam Utusan Melayu itu telah ditulis oleh suami Che Su, iaitu aku. Dia telah mendesak mesyuarat jawatankuasa itu, supaya mengambil keputusan menolak Che Su dari sekolah tersebut dengan serta merta.

Sehari kemudian, Che Su telah menerima surat arahan bertukar dari Pejabat Pejabat Pelajaran Kuala Kangsar. Surat itu mengarahkan dia bertukar mengajar ke sekolah Kebangsaan Pangkalan Bharu, Manjong, dalam tempoh yang singkat.

Che Su telah mengemukakan rayuan kepada pihak Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Kangsar dan Pejabat Pelajaran Negeri Perak, supaya dia ditukarkan ke sekolah dalam kawasan Kuala Kangsar, kerana sebab-sebab yang munasabah.

SURAT PENGAKUAN

Aku telah menulis surat yang menjelaskan yang berita tersebut bukan aku yang menulisnya. Bersama surat aku itu, aku telah sertakan surat pengakuan dari pemberita Utusan Melayu, Allahyarham Nasaruddin Abu Bakar yang dia telah menulis berita tersebut.

Jawapan yang telah diterima oleh isteriku dari Pejabat Pelajaran Daerah Kuala Kangsar, bahawa mesti mengajar di Sekolah Kebangsaan Pengkalan Bharu, Manjong. Pertukaran itu tidak boleh dibatalkan dan muktamad.

Sebelum Che Su berpindah ke sana, kamai telah berpindah ke Bukit Chandan, Kuala Kangsar. Di sana kami telah menyewa bahagian bawah sebuah rumah milik seorang kerabat diraja Negeri Perak.

TINGGAL BERJAUHAN

Kami telah menyerahkan anak kami, Khairil Anuar kepada ibu dan bapaku, di kampungku untuk menjaganya buat sementara.

Selama dua bulan Cek Su tinggal di Pangkalan Bharu, aku tinggal berseorangan di rumah sewa, di Bukit Chandan. Kami sepasang suami isteri yang sentisa merindu antara satu dengan lain.

Kolek belayar bali berbalik,

Lalu berlabuh di teluk yang tenang;

Adik yang pergi hati tak baik,

Abang yang tinggal hati tak senang.[3]

Kami sama-sama resah dan gelisah kerana merindukan anak kami yang masih bayi, Khairil Anuar yang tinggal berjauhan dari kami.

HALAMAN RUMAH

Di tingkat atas rumah yang kami sewa itu, tinggal seorang perempuan janda kepada pemilik rumah itu yang telah meninggal dunia. Janda itu tinggal bersama seorang anak perempuannya, Mariam (bukan namanya yang sebenar), berusia kira-kira dua puluh tahun. Dia lepasan sekolah menengah kerajaan dan sedang belajar di sekolah agama Islam, di Bukit Chandan yang dikelolakan oleh Ustazah Salmah Sheikh Hussein, dari Pulau Pinang.

Setelah seminggu aku tinggal berseorang di rumah sewa itu, hampir tiap-tiap petang Mariam turun dari rumahnya dan menemuiku di halaman rumah itu. Kadang-kadang ibunya peramah turut bersama kami. Aku terasa kemesraan orang dua beranak itu sebagai kemesraan keluargaku sendiri.

Mariam telah mengetahui akan pekerjaanku. Kerana dia meminati kesusasteraan Melayu dan ingin menjadi penulis cerpen dan sajak, maka pada tiap-tiap kali dia bertemu denganku, di halaman rumah itu, dia bertanya mengenai cara-cara menulis cerpen dan sajak.

CEPAT CAIR

Ramai orang bijak pandai termasuk Ishak Haji Muhammad telah berkata, kalau anak gadis dapat bercakap dengan penulis atau sasterawan, hatinya cepat cair atau terpengaruh kepada penulis atau sasterawan itu. Kiri-kira dua minggu kemudian aku telah dapat merasakan Mariam telah ’filling’ kepadaku. Aku dapat memahami dari cara dia bercakap, senyumannya, jelingan dan sinar matanya termasuk keluhannya.

Hatiku sentiasa mengingatkan diriku; aku lelaki yang telah beristeri dan isteriku adalah kekasihku. Jangan kamu merosakkan kasih sayang isterimu dengan perbuatan kamu mencintai gadis lain. Maka aku sentiasa berwaspada dalam pertemuan dengan Mariam. Hatiku ada doa, hendaknya Allah sentiasa menyedarkan diriku dalam apa jua keadaan.

Aku teringat akan firman Allah mengenai Nabi Yusuf alaihis salam dengan perempuan hartawan yang jelita, bernama Zulaikha seperti dikhabarkan oleh Allah dalam Quran. Aku berharap ayat Quran itu akan menjadi penyedar kepada diriku. Ayat Quran itu, ialah:

’Dan setelah dia (Yusuf) dewasa, Kami berikan kepadanya kebijaksanaan dan pengetahuan. Begitulah Kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat kebaikan.

Dan prempuan (Zulaikha) yang di rumah tempat tinggalnya itu mencuba memujuknya, supaya menurut kesukaan (berahi)nya, dan oleh perempuan itu ditutupnya pintu-pintu, dan mengatakan: Mari kemari! Dia (Yusuf) mengatakan: Aku berlindung kepada Tuhan: Sesungguhnya Tuhanku telah memberikan tempat yang baik kepadaku, sudah tentulah tidak beruntung orang-orang yang bersalah.

Dan perempuan (Zulaikha) itu memang suka (berahi) kepdanya (Yusuf) dan dia suka pula kepada perempuan (Zulaikha) itu, kalau dia tidak melihat keterangan dari Tuhannya. Begitulah kami menghindarkan kesalahan dan perbuatan tidak sopan daripadanya. Sesungguhnya dia termasuk hamba Kami yang tulus ikhlas.’[4]

Sehari kemudian, pada satu malam, ketika kami berjumpa seketika, di bawah cahaya lampu di halaman rumah, Mariam telah memberikan satu sampul surat kepadaku. Setelah surat itu berpindah dari tangannya kepada tanganku, tanpa permintaan dia terus berlalu meninggalkan aku dan naik ke rumahnya.

RUMAH SEWA

Sebaik-baik sahaja aku masuk ke dalam rumah, aku telah membaca surat Mariam itu. Dalam suratnya itu, dia telah meluahkan ’filling’nya seorang gadis kepadaku. Aku telah membalas surat Mariam dengan menegaskan, bahawa aku tidak dapat menerima hasaratnya itu. Aku telah meminta dia menganggapkan diriku sebagai sahabat biasa sahaja.

Setelah lebih dua bulan isteriku mengajar di Sekolah Kebangsaan, Pengkalan Bharu, dengan keputusan dari runding dan muafakat kami suami isteri, maka isteriku telah meletakkan jawatannya. Dia telah kembali tinggal bersamaku, di rumah sewa kami, di Bukit Chandan.

Kira-kira sebulan kemudian, kami telah berpindah dari rumah sewa itu ke rumah sewa kami yang baru, iaitu di tingkat atas bangunan kedai dua tingkat, dalam Bandar Kuala Kangsar.

Pada masa kami tinggal dalam Bandar Kuala Kangsar, dua kali seminggu Mariam telah datang menemui aku, di sebuah restoran. Dia telah meminta aku menolongnya membaca dan melakukan koreksi kepada cerpen-cerpen dan sajak-sajak yang ditulisnya.

Aku mendapati dia mempunyai bakat sebagai seorang penulis cerpen dan sajak. Fikirannya sesuai dengan dirinya calon penulis kreatif. Aku telah mendorongkan Mariam supaya dia mengirimkan cerpen-cerpen dan sajak-sajaknya kepada surat khabar dan majalah.


[1] Nama ini sebgai tanda kenang-kenanganku kepada sasterawan Angkatan 45, Indonesia,

Chairil Anuar

[2] Salah seorang dari murid-muridku yang mengikuti kursus kewartawanan di bawah kelolaanku.

Sebekum meningga dunia, dia menjadi Setiausaha Akhbar kepada Menteri Besar Perak,

Tan Sri Ramli Ngah Tali.

[3] Dipadankan dari pantun Awang sulung Merah Muda, hlm.33.

[4] Quran - Yusuf: 22,23,24.

(Dari MPSBP.mp)

No comments: