Friday, July 17, 2009

KHUTBAH JUMAAT

“ JIRAN SEBAGAI HARTA YANG BERNILAI TINGGI ”
(17 JULAI 2009 / 24 REJAB 1430)

Pada hari Jumaat yang penuh berkat dan dalam masjid yang suci ini, marilah kita bersama-sama tingkatkan ketaqwaan kepada Allah SWT dengan bersungguh-sungguh melaksanakan segala perintah dan menjauhi segala larangan-Nya, sesungguhnya orang yang paling baik di sisi tuhan ialah orang yang paling bertaqwa. Tajuk khutbah kita pada hari ini ialah “ Jiran Sebagai Harta Yang Bernilai Tinggi ”.
Kehidupan kita dalam seharian adalah seperti roda, sentiasa berputar, bergilir-gilir turun naik dan jatuh bangun. Hari ini kita senang dan mungkin esok kita mengalami kesusahan. Kita perlu ingat bahawa putaran hidup manusia adalah tidak menentu dan tidak dapat diramalkan nasibnya. Dengan demikian kita tidak boleh hidup secara bersendirian, tidak boleh mengasingkan diri dalam masyarakat.
Ajaran Islam menuntut kita bercampur gaul dan bermesra dengan masyarakat. Salah satu kumpulan manusia yang memain peranan besar meningkatkan kebahagiaan keluarga ialah jiran. Jiran yang tinggal dalam lingkungan rumah kita adalah orang yang paling hampir dan pantas untuk memberi bantuan dan pertolongan. Berdasarkan besar peranan jiran ini, maka mimbar berpendapat jiran samada kaya atau miskin adalah harta atau aset yang amat bernilai tinggi kepada kita sendiri dan masyarakat. Dalam hal ini Islam memberi penghargaan yang tinggi kepada jiran.
Firman Allah SWT dalam surah An-Nisaa’ ayat 36:
Maksudnya: “Dan sembahlah Allah dan janganlah kamu sekutukan Dia dengan sesuatu apa jua; dan berbuat baiklah kepada kedua ibubapa, dan kaum kerabat dan anak-anak yatim, dan orang miskin, dan jiran tetangga yang dekat, dan jiran tetangga yang jauh, dan rakan sejawat, dan orang musafir yang terlantar, dan juga hamba yang kamu miliki. Sesungguhnya Allah tidak suka orang yang sombong dan membanggakan diri”.

Ketika mengulas perkara yang sama Nabi Muhammad SAW mengingatkan umat Islam supaya memulia dan menghormati jiran sebagaimana layanan kita terhadap kaum kerabat kita sendiri. Ini selaras dengan sabda baginda:
Mafhumnya : “Jibril sentiasa mewasiatkan kepadaku supaya berbuat baik kepada jiran sehinggalah aku merasakan jiran itu kerabatku.” (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Oleh itu, adalah satu kerugian besar kepada umat Islam dan masyarakat jika kita mengabaikan dan tidak mempedulikan jiran yang di anggap sebagai harta yang bernilai tinggi itu.


Jiran itu dianggap sebagai harta yang amat bernilai dalam masyarakat kerana:

Pertama: Jiran adalah orang yang paling pantas secara sukarela siang atau malam memberi bantuan ketika kita menghadapi sakit-pening, kecemasan, dan mala petaka;
Kedua: Menambahkan rangkaian dan cawangan sahabat kerana jiran mungkin terdiri daripada pelbagai latar belakang agama dan pekerjaan seperti doktor, guru, ahli perniagaan, ustaz dan sebagainya yang mungkin dalam masa tertentu boleh membantu kita apabila memerlukannya;
Ketiga : Menjamin keselamatan dan keharmonian dalam usaha menangani isu-isu seperti ancaman jenayah, kecurian dan gejala sosial; dan
Keempat: Menjaga kebajikan penduduk setempat seperti menguruskan kematian, kenduri kendara, menjaga warga tua, orang miskin, orang kurang upaya, membantu anak yatim, meningkatkan perpaduan dan sebagainya.
Dalam usaha memupuk semangat mesra kejiranan, tidak dapat dinafikan bahawa kita akan berhadapan dengan banyak halangan dan rintangan. Walau bagaimanapun, perkara ini dapat di atasi sekiranya masing-masing mengamalkan dan menghayati sikap berlapang dada, bertolak ansur, saling faham memahami, meningkatkan kesabaran, bertukar-tukar pendapat, bersedia mencari titik persamaan dan mengeratkan hubungan yang renggang dengan penuh hikmah dan mahabbah. Untuk itu, mimbar menyeru sidang jemaah sekalian dan semua pihak di negara ini, marilah sama-sama kita meningkatkan azam dan tekad bagi mengamalkan semangat kejiranan dan perpaduan dalam masyarakat kita.

Jiran adalah harta yang amat bernilai kepada kita. Oleh itu, apakah kita perlu menunggu sehingga mala petaka menimpa keluarga kita, ketika itu baru kita terkial-kial hendak mencari dan memperkukuhkan hubungan sesama jiran? Bukankah elok dan bijak sekiranya, kita bersikap sentiasa mesra jiran sebagai langkah persediaan membantu kita menghadapi apa-apa kemungkinan yang mendatang. Bak kata pepatah Melayu “ Sediakan Payung Sebelum Hujan ” dan “ Sesal Dahulu Pendapatan, Sesal Kemudian Tidak Berguna ”.
Persoalan besar timbul ialah apakah kaedah terbaik dalam usaha memuliakan dan menjaga jiran sebagai harta kita yang amat bernilai itu?. Rasulullah SAW bersabda, terdapat enam (6) perkara hak muslim yang perlu dilaksanakan terhadap muslim yang lain iaitu memberi salam apabila bertemu, memenuhi undangan apabila dijemput, memberi nasihat apabila dipinta, memberi tasymit apabila bersin, melakukan ziarah apabila sakit dan mengiringi jenazah apabila meninggal dunia. (Riwayat Muslim).

Selain itu, berdasarkan pengajaran-pengajaran hadith, langkah-langkah lain yang perlu diambil bagi meningkatkan kemesraan jiran ialah:

Pertama: Tanda-tanda orang yang beriman ialah menjadikan sikap mesra dan memuliakan jiran sebagai gaya hidup sihat;
Kedua: Jiran adalah bersaudara. Jika jiran kita terdiri daripada bukan Islam, maka menjadi kewajipan umat Islam untuk mempamerkan umat Islam yang berakhlak mulia;
Ketiga: Kita hendaklah bersangka baik kepada jiran atau tidak memandang serong terhadap jiran;
Keempat: Kita perlu mengelak perasaan dengki dan cemburu terhadap jiran; dan
Kelima: Memberi atau bertukar-tukar makanan lebih-lebih lagi jika bau kelazatan makanan kita dapat dihidu oleh jiran.
(Khutbah Jumaat ini disediakan oleh Jabatan Kemajuan Islam Malaysia – JAKIM).

No comments: