Sunday, October 5, 2008

BARISAN BERTINDAK SOKONG ZAHID HAMIDI

Oleh: Penulis Politik


Barisan Bertindak Perpaduan Melayu (BBPM) menyambut dan menyokong kesediaan Dato’ Dr. Ahmad Zahid Hamidi bertanding jawatan Timbalan Presiden UMNO dalam Perhimpunan Agung UMNO, pada Mac, tahun depan.

Presiden barisan itu Haji Osman Bakar memberitahu, bahawa barisan tersebut dan semua badan NGO yang bersamanya menyokong penuh akan rancangan Dr. Ahmad Zahid Hamidi, kerana rancangan satu ‘jihad’ untuk membela UMNO dan bangsa Melayu.


“Kami mengalu-alukan kesediaan Dato’ Dr. Zahid, kami menyokong penuh semua perpaduan Melayu pada masa akan datang,” katanya.

“Kami harap Dato’ Dr. Zahid Hamidi akan menjadi Timbalan Perdana Menteri dan akan dapat membantu Perdana Menteri, Dato Seri Najib Tun Razak pada masa akan datang,” katanya lagi.

“Dato Dr. Zahid Hamidi seorang tokoh penting setelah Dato Seri Abdullah Ahmad Badawi menyerahkan kuasanya kepada Najib pada Mac nanti kerana beliau tokoh yang berwibawa untuk menyelamatkan parti politik Melayu itu dan sekali gus menyelamatkan bangsa Melayu,” tambahnya.


Menurut Osman Bakar, Najib Tun Razak tidak akan terdaya menentang gelombang yang akan menghapuskan UMNO sepeninggalan Abdullah Ahmad Badawi.

Najib Tun Razak perlukan seorang tokoh yang Islamik untuk membantu beliau dan dalam UMNO tidak ada tokoh yang islamik selain dari Zahid Hamidi, jelasnya.

Beliau khuatir, setelah peralihan kuasa nanti, ahli-ahli UMNO yang islamik yang berdiri di belakang Abdullah Ahmad Badawi akan meninggalkan parti politik itu dan menyertai Dato’ Seri Anwar Ibrahim.

Presiden Barisan Bertindak Perpaduan Melayu itu menduga, ahli-ahli UMNO yang islamik tidak akan mengikuti Najib Tun Razak kerana beliau tidak termasuk golongan ahli UMNO yang islamik.

Othman Bakar menyeru semua pemimpin Melayu dalam UMNO, PAS, PKR dan badan-badan tidak berpolitik bekerjasama untuk mencari jalan bagi menyelamatkan bangsa Melayu.

Sementara itu beberapa Badan Perhubungan UMNO Perlis turut mengalu-alukan Dr. Zahid Hamidi dan menyifatkan langkah beliau sebagai memenuhi hasrat UMNO memerlukan pemimpin muda untuk memperkasakan parti politik Melayu itu.

No comments: