Sunday, November 22, 2009

BERITA

Sasterawan negara jengah sendiri sekolah Sri Perak

Salmiyah Harun
KUALA LUMPUR, 21 Nov: Nasib 204 orang pelajar Sekolah Kebangsaan Sri Perak, Bandar Baru Sentul yang masih meneruskan persekolahan mereka di bawah rumah pangsa 17 tingkat Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), mendapat perhatian Sasterawan Negara Datuk A. Samad Said semalam.

Selasa lalu, Samad yang lebih dikenali sebagai Pak Samad turun padang untuk melihat dari dekat suasana sekolah itu setelah membaca pendedahannya dari Harakah.

Beliau diiringi pengerusi dan setiausaha Lajnah Peneroka Bandar PAS Wilayah Persekutuan, Haji Ishak Surin dan Tarmizi Mohd Jam, Setiausaha Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) Husni Abas dan beberapa Exco PAS Kawasan Batu.

Mereka sempat bertanya khabar dari beberapa guru di sekolah itu dan meninjau persekitaran yang kurang selesa yang tidak mencerminkan ia sebagai sebuah sekolah bantuan penuh kerajaan. Ketika kunjungan, semua pelajar dan guru sedang bersiap untuk latihan menyambut Hari Anugerah Pelajar.

Pak Samad melahirkan rasa sedih dan kecewa dengan nasib pelajar Melayu di sekolah itu, seolah-olah tanpa pembelaan untuk mendapatkan sekolah yang baru dan selesa. Beliau melihat sendiri keadaan yang tidak selesa, sesak, bising dan mempersoalkan tahap keselamatan sekolah tersebut, baik di dalam bangunan mahupun di luar.

"Kami tidak sempat berjumpa dengan guru besar. Begitu juga penolong guru besar. Kami hanya sempat bercakap dengan guru biasa di pejabat. Dia memang tidak boleh beri apa-apa ulasan. Itu kita tahu," katanya ketika ditemui sejurus melawat pejabat sekolah berkenaan.

Menurut Pak Samad, masalah sekolah ini wajar diambil perhatian yang serius oleh Kementerian Pelajaran memandangkan ia sudah lebih 20 tahun beroperasi.

Sebagai budayawan, mereka harus mengambil berat masalah ini kerana ia membabitkan orang Melayu tambahan pula para pelajar dan ibubapa mereka ini adalah rakyat yang bermaruah di negara ini.

"Kalau betul konsep 'rakyat didahulukan,' inilah masanya. Rakyat kena didahulukan. Kecuali mereka (kerajaan) tidak merasakan pelajar-pelajar di sini adalah rakyat. Kalau mereka rasa, pelajar ini adalah rakyat, kenalah rakyat di dahulukan," tegas beliau.

Kata Pak Samad, budayawan cuma datang untuk berbincang dan mengingatkan dan memberi kesedaran kepada pihak yang bertangungjawab bahawa masalah sekolah ini adalah isu besar dan tidak patut dibiarkan berlarutan hingga lebih 20 tahun sekolah di bawah flat.

"Kalau ada aliran lain, politik masuk (kawasan sekolah), budayawan masuk menunjukkan perhatian kita terhadap masalah ini amat besar, cukup serius" katanya.

Sementara itu, Pengerusi Lajnah Hal Ehwal Pekerja dan Peneroka Bandar, Ishak Surin dalam kenyataan medianya mendesak agar Menteri Pelajaran Tan Sri Muhyiddin Yassin dan pengarah Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan, Sulaiman Wak agar datang melawat ke sekolah ini bagi meninjau suasana sebenar dan tahap prasarana serta keselamatan di sini.

Beliau juga mendesak kedua-dua mereka, mengadakan rundingan semula, mengkaji pembatalan projek pembinaan sekolah yang baru bagi menggantikan penempatan Sekolah Kebangsaan Sri Perak yang kini berada di bahagian bawah empat blok flat 17 tingkat milik DBKL itu.

Terdahulu, PAS Kawasan Batu telah menghantar memorandum berkaitan isu ini kepada Jabatan Pelajaran Wilayah Persekutuan dan mendedahkan masalah berhubung sekolah ini melalui media.

Ekoran itu, lima Ahli Parlimen PAS, Dato Mahfuz Omar (Pokok Sena), Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin (Bukit Gantang), Firdaus Jaafar (Jerai), Siti Zailah Mohd Yusof (Rantau Panjang) dan Dr. Lo'lo' Mohd Ghazali (Titiwangsa), turut melawat.

Mereka turut melahirkan rasa terkejut kerana keadaan sekolah yang tidak menepati keadaan sebuah sekolah yang biasa.

Sekolah ini ditubuhkan sekitar tahun 1987 bagi menampung murid yang terlalu ramai. Bersebelahan rumah pangsa ini terdapat satu lagi sekolah rendah, Sekolah Kebangsaan Bandar Baru Sentul yang sarat dengan pelajar.

Terdapat 32 orang guru yang mengajar di sekolah ini, walaupun dalam suasana sekolah yang tidak memenuhi piawaian sistem pendidikan sebenar.

Sekolah ini diklasifikasikan sebagai gred A iaitu memiliki 700 orang murid dan ke atas.

Sebelum ini, cadangan membina dan menyiapkan sekolah mengandungi 30 bilik darjah di atas sebahagian lot 133, Sekyen 85A Kuala Lumpur itu telah diluluskan oleh Kementerian Pelajaran Malaysia dan akan dilaksanakan oleh kontraktor Contracthouse Sdn Bhd.

Menurut papan tanda projek sekolah itu dijangka siap pada 30 September 2009 dan dimulakan pada 1 April 2008 kira-kira setahun yang lalu.


---------------------


Belia Kelantan diseru patuhi ajaran Islam

Mohd Nor Yahya

KOTA BHARU, 22 Nov: Pentadbiran sesebuah negeri perlu melibatkan genarasi muda sebagai persediaan barisan pelapis sesudah pemimpin sedia ada meninggal atau bersara.

Golongan yang boleh dianggap aset penting sesebuah negara itu perlu diberi pendedahan ilmu agama secukupnya sebelum teraju kepimpinan berubah, demikian dinyatakan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan Datuk Ahmad Yakob ketika merasmikan majlis Konvensyen Belia dan Penganugerahan Tokoh Belia tahun 2009 bertempat di Perdana Resort hari ini.

Turut hadir, Pengerusi jawatankuasa Pembanguan Insan,Belia,Sukan dan NGO Haji Abdul Fatah Mahmood, Wakil-Wakil Rakyat dan ketua-ketua jabatan.

Menurut Dato Ahmad,kerajaan amat perihatin terhadap golongan belia kerana di masa kini terlalu banyak gejala sosial dan perkara yang boleh merosakkan pemikiran belia dan sekiranya ia tidak dibendung,kerajaan akan kehilangan belia berwibawa pada satu hari nanti.

Beliau juga berharap Kelantan akan dapat melahirkan belia dan beliawanis yang membesar bersama ajaran agama Islam yang mulia dan selari dengan dasar kerajaan iaitu Membangun Bersama Islam.

“Kita yakin sekiranya belia masa kini mematuhi ajaran agama dengan sempurna,mereka akan terselamat daripada segala gejala sosial yang melanda masa kini”ujar beliau lagi.

“Anak-anak belia yang mengikuti seminar maupun konvesyen seperti ini amat bertuah kerana telah mendapat ilmu dan ia boleh diamalkan di setiap masa,namun di luar sana masih ramai belia yang tidak mendapat sebarang pendedahan maklumat terkini dan mereka hanyut dengan dunia mereka sendiri”katanya.

Dato Ahmad juga berkata di zaman kini,belia mesti mengambil contoh baik dari negara luar seperti sentiasa menggunakan masa dengan membaca buku terutamanya yang berkaitan dengan ilmu agama.

“Saya juga menyeru agar ramai lagi belia Islam dapat menceburi bidang perniagaan dan pertanian terutamanya yang berkaitan dengan Fardhu Kifayah seperti penyediaan makanan halal”ujar beliau lagi.

Sementara itu seramai empat tokoh belia telah diistiharkan sebagai Belia Contoh bagi negeri Kelantan dan Masjid Mesra Belia,mereka ialah Zurani Mohamed (Tokoh Usahawan Belia), Nazri Deraman(Tokoh Kemasyarakat), Tuan Mohd Saripudin Tuan Ismail(Tokoh Ulamak Muda) dan Harun Ismail (Tokoh Anugerah Khas Belia) sementara itu Masjid An-Nur Wakaf Bharu pula telah diistiharkan sebagai sebuah masjid mesra belia 2009.

Anugerah Tokoh Belia 2009 telah disempurnakan oleh Timbalan Menteri Besar Kelantan Dato’Ahmad Yakob.

(Berita ini diambil dari Harakah Daily, 22 November 2009)




No comments: