Saturday, November 14, 2009

BERITA

KUIN akan dinaiktaraf menjadi universiti PDF | Print | E-mail
Mohd Shubihi Muhamad Zain

ALOR SETAR, 14 Nov: Kerajaan negeri Kedah sedang berusaha untuk menaiktarafkan Kolej Universiti Insaniah (KUIN) menjadi sebuah universiti yang bertaraf profesional.

Pengerusi Jawatankuasa Agama dan Pelajaran, Koperasi Negeri, Datuk Haji Mohamed Taulan Mat Rasul berkata demikian ketika merasmikan Majlis Pecah Tanah Bangunan Baru Asrama Sekolah Integrasi Faizin (SAIF), 12 November lalu.

Taulan berkata, pada tahun ini KUIN telah memulakan pengambilan pelajar untuk pengajian kejururawatan dan ekonomi selain daripada pengajian asasnya sebelum ini.

Menurutnya, kerajaan juga sedang berusaha untuk mewujudkan pengajian kedoktoran dan undang-undang supaya keluaran KUIN akan mencangkupi semua bidang pengajian.

Jelas beliau lagi, kampus induk KUIN akan dibina di Kuala Ketil bagi menampung keperluan pelajar-pelajar di negeri ini yang berkelayakan menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi dengan kos yang paling minima.

Menyentuh tentang bantuan kepada sekolah-sekolah agama, Taulan berkata, kerajaan akan terus membantu sekolah-sekolah agama rakyat di negeri itu yang semakin mendapat sambutan di kalangan masyarakat pada masa kini.

"Kita akan bantu sekolah-sekolah yang menyediakan pendidikan integrasi berasaskan ketakwaan kepada Allah," katanya.

"Sekolah-sekolah inilah yang akan melahirkan pemimpin-pemimpin yang faham akan tanggungjawab mereka kerana hanya kepada pemimpin beginilah yang boleh diamanahkan untuk mentadbir negara ini," ujarnya lagi.


-----------------------


NIKH AZIZ BATAL TUNAI HAJI

Harakahdaily

KOTA BHARU, 13 Nov: Menteri Besar Kelantan, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat membatalkan hasratnya untuk menunaikan haji ke tanah suci 18 November ini.

Menurut laporan, Nik Aziz mengumumkan perkara itu sewaktu menyampaikan kuliah Jumaat di Dataran Ilmu, Kota Bharu pagi tadi.

Perkembangan terbaru itu didakwa ada kaitan dengan serangan pihak tertentu yang mempolemikkan tajaan untuk beliau mengerjakan haji.

Namun difahamkan, Nik Aziz tidak menyatakan sebab sebab pembatalannya itu dan hanya menyatakan beliau dan menantunya telah di fitnah dan di khianati.


PAS Kelantan sebelum ini mempertahan Nik Aziz yang menerima tajaan tersebut kerana menganggapnya biasa berlaku kepada orang alim dan guru-guru pondok di negeri itu.

Mereka juga yakin, tindakan pihak tidak bertanggungjawab yang membangkitkan isu itu adalah sekadar mencari modal politik.

Tuan Guru berkata, pemergiannya ke tanah suci yang dijadual pada 17 Nov ini ditangguhkan kerana media heboh mempersoalkan pemergiannya itu kerana ditaja orang tertentu yang didakwa mempunyai kepentingan dengan kedudukannya sebagai menteri besar.

Nik Aziz, yang juga Mursyidul Am PAS berkata laporan dalam media dan laman blog mengenai tajaan untuk beliau itu bertujuan untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

"Kalau di zaman Nabi dahulu baginda pernah dihalang oleh orang Quraisy daripada memasuki Kota Mekah, maka kini saya dihalang daripada niat untuk mengerjakan haji di tanah suci itu oleh Qurasy Malaysia," katanya ketika menyampaikan kuliah pagi Jumaat di Kota Bharu hari ini.

Dalam ceramah itu, Nik Aziz berkata, beliau tidak begitu "pelahap" (menagih) tajaan oleh seseorang untuk menunaikan ibadah haji kerana beliau mempunyai wang sendiri, tetapi menerima tawaran itu kerana mahu memenuhi niat orang yang ingin menaja pemergiannya.

"Tapi oleh kerana akhbar geger (bising) sangat, saya tangguhkan dulu niat untuk pergi ke Mekah kali ini," katanya.

Bercakap kepada pemberita kemudian, Nik Aziz mengakui ada pihak membiayai perbelanjaannya untuk menunaikan ibadah haji dan beranggapan ia tidak salah selagi tidak melanggar peraturan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Katanya, beliau menerima terlalu banyak tawaran daripada pelbagai pihak yang sanggup menanggung perbelanjaannya ke Mekah.

(Berita ini diambil dari Harakah Daily, 14 November 2009)



No comments: