Sunday, November 15, 2009

BERITA

Buka banyak peluang: Najib



PERDANA Menteri, Datuk Seri Mohd Najib Razak dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor bersama Perdana Menteri Singapura, Lee Hsien Loong dan isterinya pada Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) yang bermula semalam. - Foto AFP

Taraf hidup lebih baik di Malaysia mampu pikat profesional

DATUK Seri Najib Razak mengakui kerajaan perlu bertindak segera untuk menjadikan Malaysia sebuah negara yang menawarkan taraf kehidupan dan pekerjaan lebih baik bagi menarik semula rakyatnya di luar negara, selain tenaga profesional antarabangsa bekerja dan tinggal di Malaysia.

Perdana Menteri berkata, persaingan mendapatkan tenaga pekerja profesional antarabangsa termasuk rakyat negara ini, semakin sukar kerana banyak negara lain, termasuk negara maju yang turut menawarkan pelbagai pakej dan insentif menarik bagi menarik golongan berkenaan ke negara masing-masing.

"Kita akan membuka lebih banyak peluang, tarikan dan keseronokan kepada golongan ini untuk kembali bekerja dan tinggal di Malaysia," katanya di sini, malam kelmarin.

Perdana Menteri berkata demikian pada ucapan ketika Majlis Makan Malam Delegasi Malaysia yang dihoskan beliau sempena Sidang Kemuncak Kerjasama Ekonomi Asia Pasifik (Apec) 2009 di hotel penginapan rasmi negara, Hotel Ritz Carlton Millenia.

Hadir sama isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor; Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mustapa Mohamed dan isteri; Menteri Luar, Datuk Anifah Aman dan isteri.

Lebih 100 individu, termasuk golongan profesional Malaysia yang bekerja di Singapura dan negara asing lain hadir.

Najib berkata, dalam keadaan ekonomi dunia yang mencabar, Malaysia memerlukan bakat dan kepintaran bagi membangun serta memakmurkan negara bagi membolehkan negara bersaing dengan negara maju lain.

"Kita tidak boleh terus bergantung kepada ekonomi berasaskan mesin dan teknologi," katanya.

(Berita inidiambil dari Berita Harian, 15 November 2009)



No comments: