Monday, June 29, 2009

MENGENANG MASA SILAM


Mokhtar Petah


Mungkin ganjil, kalau seseorang tidak mengetahui bahasa Inggeris menjadi penulis surat khabar Inggeris, tidak tahu bahasa Jepun menjadi pembrita bahasa Jepun. Aku yang tidak mngetahui bahasa Cina telah menjadi pemberita surat khabar Cina selama beberapa tahun.

Pada tahun 1973 juga, seluruh negara telah mengadakan bulan bahasa kebangsaan, secara main-main atau gatal tangan aku telah menyertai peraduan mengarang artikel bahasa Kebangsaan dalam surat khabar berbahasa Cina, Sing Pin Jih Pao, Pulau Pinang. Itulah kali pertama dan kali akhir aku memasuki peraduan mengarang. Peraduan itu kerana menyambut bulan Bahasa Kebangsaan. Apabila keputusan peraduan diumumkan, maka aku telah mendapat tempat yang kedua dan telah mendapat berbagai hadiah termasuk sebutir jam tangan jenama tersohor.

Sebulan kemudian, pihak jabatan pengarang surat khabar itu telah melantik melantik aku menjadi penulis sambilan surat khabar tersebut. Aku telah menulis berita-berita pada tiap-tiap hari untuk surat khabar itu di Pulau Pinang. Aku telah mengirim semua berita-berita dan gambar-gambar kepada surat khabar itu dengan van khas surat khabar tersebut atau dengan telefon. Semua berita-berita dan artikel-artikel yang aku kirim dalam bahasa Melayu itu, diterjemahkan kepada bahasa Cina.

Pengalaman sebagai pemberita sambilan surat khabar Cina itu menyeronokkan. Surat khabar itu berbeda dengan surat-surat khabar Inggeris dan Melayu di negara ini. Semua jenis kejadian, sama ada besar mahu kecil di siarkan dalam surat khabar tersebut.

Pihak jabatan pengarang surat khabar itu berpendapat; semua kejadian, sama ada besar mahu pun kecil adalah berita dan manusia mahu mengetahui semua berita, tidak kira ianya besar atau kecil.

Mereka berpendapat, walaupun ramai manusia yang suka membaca berita mengenai raja pemerintah, perdana menteri dan sebagainya, tetapi ramai pula yang suka membaca berita mengenai petani menanam sayur, pengemis dipukul oleh orang kaya dan berita orang mencari lokan dalam laut.

Mengenai gambar, surat-surat khabar bahasa Inggeris dan Melayu menyiarkan gambar satu-satu kejadian atau tragedi sekadar sekeping atau paling banyak lima keping (kalau peristiwa besar), tetapi surat khabar Cina menyiarkan sampai sepuluh keping gambar walaupun peristiwa itu tidak sebesar mana.

Begitu juga persitiwa-peristiwa, suratkhabar China tidak sahaja menyiarkan gambar pembesar atau orang kenamaan yang berucap, tetapi gambar-gambar pemandangan yang menampakkan orang-orang yang hadir disiarkan juga.

Tujuan pihak surat khabar itu berbuat demikian, supaya ramai yang gemar membacanya dan mereka membaca dapat mengikut minat dan selera masing-masing.

Manakala gambar-gambar akan menguntungkan pemberita-pemberita sambilan seperti aku. Gambar-gambar yang disiarkan dalam surat khabar tersebut dibayar dengan harga RM4.00 tiap-tiap sekeping.

(Diangkat dari manuskrip buku, Memoir,Patah Sayap bertongkatkan Paruh,

oleh: Mokhtar Petah. - Editor, Petah Shahrir Aidid.











No comments: