Sunday, June 21, 2009

MENGENANG MASA SILAM

Mokhtar Petah

'Sungguhpun banyak pengarang muda Melayu yang berhijrah ke Singapura, tetapi pada permulaannya mereka itu terpancar dan membawa nasib sendiri-sendiri atau hidup dengan beberapa kawannya dalam bilik sewa yang sempit, belum ada persatuan untuk bersama-sama memperjuangkan sesuatu tujuan yang tertentu melalui bahasa dan sastera Melayu. Tetapi pada 25.8.49 muncullah sebuah pertubuhan persahabatan Sahabat Pena dengan rasminya kerana Kerajaan Singapura telah bersetuju untuk mengecualikan pertubuhan ini dari pendaftaran, ketuanya ialah Ja’afar bin Haji Muhammad (Jimmy Asmara).

Sebenarnya Ja’afar yang berasal dari Muar (lahir di Muar pada 29.7.21) itu pernah menjadi Heiho (calon perwira atau soldadu) dalam zaman Jepun dan pernah diberangkatkan dari Singapura ke Siam untuk menjalankan tugasnya. Setelah Jepun menyerah dan para Heiho dipulangkan, Ja’afar datang ke Singapura lagi dalam tahun 1947 dengan bekerja sebagai buruh dan kemudian sebagai polis, tetapi sejak tahun 1950 beliau terjun ke dalam dunia persuratkhabaran dengan masuk bekerja pada Melayu Raya Press.

Semasa menjadi Heiho Ja’afar telah berkenalan dengan Heiho-Heiho Melayu yang datang dari merata Tanah Melayu dan juga yang datang dari Sumatera dan Borneo. Setelah perang mereka berpecah kerana para Heiho telah dipulangkan. Ketika Ja’afar sudah menetap di Singapura sejak tahun 1947, beliau dengan beberapa orang kawannya berikhtiar mengadakan perhubungan dengan bekas Heiho-Heiho yang menjadi sahabatnya dengan surat menyurat, tujuannya tak lain tak bukan hanyalah untuk mengekalkan persahabatan satu sama lain. Tetapi sambutan bekas sahabat-sahabatnya itu hanya sekali, malahan ada pula orang-orang baru yang mencari persahabatan dengan Ja’afar dan kawan-kawannya melalui pena-penanya. Lama kelamaan jumlah sahabat pena ini meningkat dan Ja’afar terpaksa harus memberitahukan hal ini kepada Kerajaan Singapura.

Setelah dikecualikan dari pendaftaran oleh Kerajaan Singapura, Ja’afar berjaya pula mendapat satu ruangan dalam mingguan kesusasteraan dan pengetahuan umum Hiburan yang diterbitkan oleh Royal Press, pimpinan majalah itu ialah Cikgu Harun. Melalui ruangan ini ahli-ahli Sahabat Pena dapat mengeluarkan berita mengenai diri masing-masing. Pada umumnya ahli-ahli Sabahat Pena itu guru, wartawan atau pengarang. Mereka itu juga sering menulis sajak, cerpen atau rencana yang disiarkan dalam majalah-majalah Melayu di Singapura.

Tujuan Sahabat Pena berbunyi:

( a ) berkenalan antara satu sama lain

( b ) bertukar-tukar fikiran dan

( c ) saling menghormati waktu berjumpa.1


Aku adalah salah seorang dari ahli-ahli Sahabat Pena pimpinan Jimmy Asmara itu. Melalui Sahabat Pena, aku mempunyai ramai sahabat lelaki dan perempuan di seluruh Semenanjung Tanah Melayu, Singapura dan Borneo – Sabah, Sarawak dan Brunei.

Sahabat Pena telah menjadi jambatan penghubung antara aku dengan pengarang-pengarang beberapa buah surat khabar dan majalah Melayu yang terbit di Singapura dan Pulau Pinang pada masa itu.

Selain dari rencana-rencana dan cerpen-cerpen hasil tulisanku telah disiarkan dalam surat-surat khabar dan majalah-majalah, ada juga di antara para editor itu telah mengirim surat kepadaku meminta rencana-rencana dan cerpen-cerpen dari padaku dengan menyertakan postal order wang honorarium untukku.

Tulisan-tulisanku dengan mengguna nama-nama pena yang berlainan telah disiarkan dalam surat–surat khabar Utusan Zaman, Melayu Raya, Semenanjung (Singapura) dan Warta Negara dan Warta Mingguan (Pulau Pinang). Majalah – majalah pula, ialah Mastika, Qalam, majalah Guru, Juita dan Hiburan.

Selain dari itu tulisan-tulisan untuk akhbar dan majalah-majalah, Radio Malaya Singapura dan Pulau Pinang telah beberapa menyiarkan drama-drama karyaku.

Di Pulau Pinang aku mempunyai ramai Sahabat Pena. Kami telah diberi peluang bermain drama di stesyen Radio Malaya, Pulau Piang. Di antara sahabat-sahabatku itu, ialah Harun Hassan2 atau Belia Malaya , pununtut Madrasah al Mashhur, Zaiton Abdul Ghanis (guru Sekolah Melayu Tanjung Tok Kong), Ahmady Asmara (anggota sidang pengarang Warta Negara), Zakiah Hanum (pegawai muda kerajaan), Ramlee bin Putih – P.Ramlee - , Salmah Muhsin dan Sawiah Hassan (penuntut Madrasah Al Masyhur), Laili Abdullah (pegawai perhubungan sebuah syarikat perkapalan) dan Mohammad bin Mohd. Amin pekerja feri Butterworth – Pulau Pinang.

Pada satu hari, aku sedang belajar dalam kelas , seorang lelaki Melayu dari Sungai Dua telah datang ke pejabat Pengetua sekolah, Haji Ahmad Badawi.Lelaki itu mencari rakanku, Mohd. Jirim dari Kedah – ahli sahabat pena juga. Dia telah membawa sepucuk surat dan sekeping gambar Jirim yang telah dikirim kepada anak saudara lelaki itu, Hasnah Ahmad. Lelaki itu telah menyangka Jirim telah bercinta dengan anak saudaranya itu.

Haji Ahmad Badawi telah memanggil aku dan Jirim untuk menjelaskan perkara itu. Setelah Jirim dan aku memberi penjelasan, lelaki itu telah faham dan meminta maaf atas salah fahamnya itu.

Di antara sahabat-sahabat Penaku, di Negeri Pahang, ialah Syed Ahmad bin Syed Abdullah dan adiknya, Sharifah Sheikhah binti Syed Abdullah dan Hendon Naton (mereka guru sekolah Melayu di Pekan). Di antara sahabat penaku di Negeri Perak, Rosmida (anggota polis di Tanjung Rambutan - penulis), Hassan bin Haji Arshah – Hassan Adli (Bagan Datok), Raja Omar dan adiknya Raja Zaleha (Selama), Arena Wati binti Noh (kemudian berkahwin dengan penulis, Abu Zaki Fadhil) dan Nurlian binti Tahir (Sungai Raya).

Pada masa itu kenderaan-kenderaan awam seperti bas ekspres masih belum ada. Aku bersama tiga orang sahabat Pena telah menjelajah ke seluruh Tanah Melayu dan Singapura untuk bertemu dengan sahab-sahab dalam Sahabat Pena dengan menumpang lori membawa barang, terompah kayu, sayur- sayuran, arang dan buah-buahan. Dari Kuala Terengganu ke Kota Bharu kami telah menumpang lori askar British.

Dalam pengembaraan itu, kami tidak menginap di hotel kerana kami tidak mempunyai wang yang banyak. Kami telah menginap di rumah sahabat-sahabat pena yang kami temui.

Selama dua hari di Singapura, aku dan sahabat-sahabatku telah dibawa melawat semua syarikat-syarikat yang menerbitkan surat khabar dan majalah, termasuk Utusan Melayu dan The Straits Times Press. Kami juga di bawa melawat dua buah syarikat yang menerbitkan filem-filem Melayu di sana.

Bekas ahli Parti Kebangsaan Melayu Malaya, Othman Qalam yang berasal dari Padang Rengas dan bekerja di stesen Radio Malaya Singapura telah membawa kami melawat stesen Radio tersebut. Sebelum kami meninggalkan Singapura, sahabat-sahabat pena di sana telah meraikan kami dengan jamuan nasi beriani, di sebuah restoran India Muslim.

Pada masa itu, kebanyakkan orang-orang Melayu di Singapura tinggal dalam rumah - rumah kecil dan buruk dalam kampung-kampung yang banyak pokok kelapa dan pokok-pokok lain.

Aku dan sahabat-sahabatku telah menumpang bas dari Singapura ke Johor Baharu. Dari Johor Baharu, kami telah menumpang lori kosong ke Batu Pahat. Dari sana kami telah menumpang lori polis ke Kota Melaka.

Pendeknya aku dan rakan-rakan telah menjelajah ke seluruh Tanah Melayu dengan menumpang ihsan beberapa orang pemandu dan kelendan lori-lori perdagangan. Kebanyakan dari mereka telah belanja kami makan dan minum dalam pengembaraan itu.

Pengalaman yang tidak dapat aku lupakan, iaitu di Kota Bharu, Kelantan. Kami telah menginap selama satu malam, di rumah seorang perempuan lacur, Rogayah (bukan nama sebenar), - ahli Sahabat Pena juga.

Sehari sebelum kami meninggalkan Kota Baharu, kami telah menemui Rogayah, di sebuah Kedai makanan dalam Bandar Kota Baharu. Pada mulanya aku menyangka dia seorang kerani pejabat kerajaan atau guru sekolah kerajaan. Tetapi setelah kami tinggal di rumahnya, barulah kami mendapat tahu yang dia seorang pelacur. Tetapi Rogayah telah melayan kami sebagai melayan kawan-kawan biasa atau saudara-saudara kandungnya sendiri.


Pada waktu-waktu aku menulis buku ini, aku teringat kepada kawan-kawan yang sama dalam Sahabat Pena, ada di antara mereka telah berjaya menempa nama sebgai p

1 Drs Li Chuan Siu, 1986, Ikhtisar Sejarah Pergerakan Dan Kesusasteraan Melayu Moden

1945 – 1965, Kuala Lumpur, Penerbitan Pustaka Antara, hlm. 160.

2 Lahir di Terengganu, kemudian menjadi penerbit berbagai majalah dan filem-filem Melayu

di Kuala Lumpur.

(Dari novel, Memoir, Patah Sayap Bertongkatkan Paroh, oleh: Mokhtar Petah)



No comments: