Friday, December 18, 2009

BERITA



Anti-GST sanggah kenyataan Menteri Kewangan Kedua

Hazayani Zakaria
KUALA LUMPUR, 17 Dis: Pasukan Khas Pakatan Rakyat Anti-GST (Anti-GST Task Force) hari ini sekali lagi menyanggah kenyataan Menteri Kewangan kedua, Datuk Ahmad Husni Hanadzlah bahawa pelaksanaan Cukai Barangan dan Perkhidmatan (GST) tidak akan membebankan rakyat.

Menyifatkan kenyataan itu sebagai tidak masuk akal, Ahli Jawatankuasa Anti-GST Tony Pua berkata, pengenalan GST akan menyebabkan rakyat terpaksa menanggung lebih RM 6.4 bilion cukai yang sepatutnya diperolehi daripada pihak industri.

"Jika perolehan cukai daripada para peniaga akan dikurangkan sehingga RM 5.4 bilion dan dalam masa yang sama pendapatan negara bertambah kepada RM 13 bilion, bermaksud jumlah cukai RM 6.4 bilion akan diperolehi daripada rakyat.

"Persoalannya bagaimana menteri boleh keluarkan kenyataan rakyat berpendapatan rendah mampu menyimpan seperti mereka yang berpendapatan tinggi?. Pengecualian cukai RM 6.4 bilion yang dinikmati oleh para peniaga akan dibayar oleh pengguna yang terdiri daripada pekerja berpendapatan rendah, pesara, pelajar ataupun golongan pertengahan," katanya yang juga Ahli Parlimen Pelating Jaya Utara pada sidang media di lobi Parlimen pagi tadi.

Seorang lagi Ahlijawatankuasanya, Dr. Dzulkifli Ahmad pula berkata, perlaksanaan GST merupakan satu beban kerana ia mengakibatkan semua rakyat tidak mengira sempadan pendapatan terpaksa membayar cukai dengan kadar yang sama sekaligus membuatkan golongan berpendapatan rendah lebih menderita.

"kalaulah golongan berpendapatan rendah buat simpanan, golongan pendapatan tinggi pun buat simpanan, kelompok pengeksport pun buat simpanan akhirnya macammana datangnya pendapatan lebihan daripada cukai ini. Rakyat yang manjadi mangsa kerana terpaksa membayar cukai," katanya.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Kuala Selangor juga berkata, rancangan Kerajaan melaksanakanGST disebabkan mereka sudah kehabisan sumber kewangan dan terpaksa mencari sumber ain untuk menampung hutang Kerajaan.

"Menteri cuba yakinkan rakyat cukai ini baik untuk rakyat tapi sebearnya Kerajaan sudah banyak berhutang sehingga terpaksa mencari sumber lain,"tegasnya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Machang, Saifuddin Nasution berkata, pasukan Anti-GST akan meningkatkan usaha memberikan penerangan kepada rakyat mengenai kesan buruk yang akan ditangggung rakyat jika GST dilaksanakan.

Ini termasuk perbincangan meja bulat parlimen melibatkan ahli parlimen dan pakar industri bagi mendapatkan pandangan dan maklumbalas daripada golongan ini.

"Untuk tempoh Januari hingga MAC, Pasukan Anti GST akan meningkatkan tindakan membantah pelaksanaan cukai ini.

Kami akan mengadakan perbincangan meja bulat parlimen dengan 'industry ekspert' untuk dapatkan pandangan dan maklumbalas daripada kelompok ini.

"Kami juga akan adakan kaukus parlimen melibatkan Ahli Parlimen tentang GST," katanya lagi.

Selain itu, pasukan ini akan mengadakan siri jelajah ke seluruh negara melibatkan program berbentuk forum, pengedaran risalah penerangan mengenai GST.

Rakyat juga boleh memberi maklum balas mengenai GST melalui emai NOtoGST@gmail .com

Semalam, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah berkata, pelaksanaan GST yang bermula pertengahan 2011 nanti dijangka hanya sekitar empat peratus berbanding kadar cukai jualan dan perkhidmatan (SST) di antara lima hingga 10 peratus selama ini.

Menurutnya, GST juga dikecualikan ke atas barangan keperluan seperti produk pertanian dan makanan asas bagi memastikan ia tidak membebankan rakyat khususnya golongan miskin serta berpendapatan rendah.

Beliau berkata, pelaksanaan GST berupaya mengurangkan kos operasi para peniaga di negara ini dengan penjimatan tahunan sebanyak RM4 bilion bagi semua sektor perniagaan dan RM1.4 bilion untuk sektor eksport.

Ahmad Husni berkata, ini kerana syarikat yang mencatatkan perolehan tahunan kurang daripada RM500,000 dikecualikan daripada membayar GST.


-------------------------


Hanya royalti dalam Akta Petroleum, bukan wang ihsan- Salahuddin
M Faqih
TUMPAT, 17 Dis: Royalti atau wang ihsan kata pemimpin Umno sama sahaja kerana bagi mereka tidak ada perbezaan di antara dua istilah tersebut.

Pengerusi Biro Agama Pergerakan Pemuda Umno, Affandi Yusof misalnya menyebut royalti hanya istilah bahasa Inggeris dan wang ihsan bahasa Melayu.

Semua tanggapan itu tersasar jauh kerana royalti terkandung dalam Akta Petroleum 1974, sedangkan wang ihsan tidak ada dalam akta tersebut.

Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub berkata, royalti terikat dengan Akta 144 dan mesti dibayar kepada negeri terbabit dua kali setahun iaitu Mac dan Ogos.

“Pembayaran dibuat Petronas pula dalam bentuk tunai dan perlu dimasukkan ke dalam akaun milik kerajaan negeri.

“Sedangkan wang insan tidak terkandung dalam akta tersebut dan ia boleh dibayar kepada sesiapa sahaja. Misalnya kalau kes di Terengganu sebelum ini pernah wang ihsan diberi kepada Ketengah.

“Di Kelantan pula kemungkinan akan dibayar kepada Jabatan Pembangunan Persekutuan dan lebih istimewa lagi duit tersebut tidak perlu diaudit,” katanya pada ceramah isu semasa anjuran Dewan Pemuda PAS Tumpat di Kampung Berangan di sini, malam tadi.

Hadir sama Timbalan Menteri Besar, Datuk Ahmad Yakob, Timbalan Speaker Dun Kelantan, Mohd Zaki Ibrahim dan Ketua Dewan Pemuda PAS Tumpat, Rosli Abdullah.

Tuntutan kerajaan Kelantan ke atas royalti mulai digegerkan Julai lalu setelah menyedari ada laporan mengenai pengeluaran minyak dan gas di perairannya berdasar laporan Jabatan Perangkaan Malaysia.

Perangkaan yang dibuat jabatan berkenaan menyebut Kelantan, Terengganu dan Sabah mengeluarkan petroleum pada 2004 bernilai RM47 bilion.

Biar pun ada menteri dari Kelantan cuba menafikan kewujudan telaga minyak di perairan Kelantan, namun akhirnya Perdana Menteri sendiri mengakui perairan negeri terbabit mempunyai sumber minyak dan gas.

Pada persidangan parlimen pada 4 November lalu, Datuk Seri Najib Razak memberitahu kerajaan pusat akan memberi wang ihsan kepada kerajaan Kelantan mulai tahun depan.

Salahuddin yang juga anggota parlimen Kubang Kerian berkata, Akta 144 ditulis bekas Ketua Hakim Negara, Tun Salleh Abas bagi membantu Tengku Razaleigh Hamzah yang bertanggungjawab mengasaskan kewujudan Petronas ketika itu.

Menurutnya, kerajaan Barisan Nasional sekarang menerima tekanan hebat berkaitan isu royalti minyak apabila semua anggota parlimen Pakatan Rakyat sepakat memperjuangkannya.

“Setiap kali ada ruang kita bercakap isu royalti di Dewan Rakyat kita perjuangkan sehingga terpaksa dijawab Perdana Menteri sendiri.

“Oleh itu rakyat Kelantan tanpa mengira ideologi politik perlu memperjuangkan tuntutan royalti minyak bagi membolehkan ia dinikmati rakyat secara saksama,” katanya.

Menurutnya juga beliau pernah mencabar Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Nazri Aziz untuk berdebat isu royalti pada bila-bila masa sahaja.

Mohd Zaki berkata, sekiranya wang ihsan disalur melalui JPP rakyat Kelantan tidak dapat menikmati manfaat sepenuhnya.

“Ini kerana kita tahun sejak diwujudkan JPP lebih 19 tahun di sini peranannya tidak banyak membantu kerajaan negeri. Orang kampung hendak dapatkan peruntukan membaiki madrasah pun susah.

“Sebab itulah kita tetap menuntut seperti mana yang terkandung dalam perjanjian di antara kerajaan negeri dan Petronas pada 1975,” katanya.

Timbalan Menteri Besar berkata, sekiranya royalti petroleum diperolehi banyak masalah rakyat dapat diselesaikan termasuk menyediakan prasarana lebih sempurna di sekolah-sekolah agama.

Katanya juga setiap tahun kerajaan negeri terpaksa menyediakan peruntukan besar kepada sektor pendidikan sehingga mencecah RM70 juta.

Salahuddin juga berkata, anggota parlimen Pakatan Rakyat akan memastikan Biro Tata Negara (BTN) tidak lagi diteruskan kerajaan memandangkan ia tidak membantu mencapai matlamat mewujudkan integrasi nasional.

“Apa yang diajar ketika latihan di BTN ialah membenci kaum bukan Melayu dan melemparkan tomahan kepada pemimpin-pemimpin Pakatan Rakyat,” katanya.

Menurutnya, biar pun kerajaan telah menggunakan duit rakyat begitu besar, namun perpaduan kaum tidak juga tercapai.

Kata beliau tahun hadapan sebanyak RM60 juta disediakan kerajaan kepada BTN bagi mengendalikan kursus tata negara kepada pegawai kerajaan dan pelajar.




-----------------




MP dakwa kronisme di Universiti Malaya

Dzulfikar Mashoor

KUALA LUMPUR, 16 Dis: Naib Canselor Universiti Malaya Prof. Datuk Dr. Gauth Jasmon pagi tadi didakwa mengamalkan kronisme dalam pengambilan staff universiti itu.

Menurut Ahli Parlimen Padang Terap Mohd Nasir Zakaria, perlantikan Dr. David Ngo Check Leng dan Dr. David Asirvatham tidak melalui temuduga rasmi Universiti.

"Dr. Gauth perlu jelaskan asas-asas perlantikan dua staff terbabit...suatu perlantikan pelik," jelasnya.

"Perlantikan itu ganjil (kerana) tiada temuduga, seolah-olah (seperti) tender tertutup."

(Gambar: Nasir, Muhamad Husein dan beberapa pihak lain dalam sidang media hari ini)

Beliau yang juga Exco Dewan Pemuda PAS Pusat turut melahirkan rasa ragu terhadap Dr. Gauth kerana kedua-dua staff terbabit merupakan rakan sekerja Naib Canselor itu di Universiti Multi Media (MMU) dahulu.

"Adakah kedua-dua (staff) ini adalah rakan sekerja lama Dr. Gauth di MMU dulu, maka mereka boleh dilantik sewenang-wenangnya di UM," soalnya.

Dalam kenyataan bertulis, Nasir turut memertikai kelayakan minima David Ngo Chek Leng dianugerahkan Profesor serta dilantik sebagai Dekan di Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat (FSKTM).

"Beliau tidak memenuhi syarat minima (seperti) mendapat kredit bahasa Melayu dalam SPM, tidak boleh bertutur dalam bahasa Melayu yang diperlukan oleh seorang penjawat awam," jelasnya.

Beliau turut memperikai Dr. David Asirvatham yang menjawat jawatan Pengarah Pusat Teknologi Maklumat (PTM) dengan tawaran gaji begitu misteri, RM18,000 sebulan.

Dakwanya lagi, disiplin pengajian Dr. David Asirvatham dalam bidang e-Learning, sedang disiplin pengajian yang menjadi syarat kelayakan minima bagi Pengarah PTM adalah dalam bidang Sains Komputer.

Nasir turut mendesak Dr. Gauth dan dua staff terbabit digantung dari jawatan mereka masing-masin sebagaimana amalan biasa perjawatan awam demi memudahkan siasatan oleh pihak berwajib.

Beliau juga bercadang untuk memanjangkan dakwaan tersebut kepada Menteri Pengajian Tinggi (KPT) Datuk Seri Khaled Noor dalam masa terdekat.

Turut menyertai Nasir, Ahli Parlimen Pasir Puteh, Muhammad Hussein dan dua exco Majlis Perwakilan Mahasiswa Universiti Malaya (MPMUM).


(Berita ini diambil dari Harakah Daily On Line, 18 Disember 2009)
















No comments: